Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Tuesday, December 6, 2022

Pengalaman nak beli kereta Proton Saga dari dealer Proton di Puchong dan Shah Alam

  Mohd Shubhi       Tuesday, December 6, 2022


Setelah fikir panjang, akhirnya saya buat keputusan untuk beli kereta Proton Saga baru untuk kegunaan anak perempuan.

Mulanya rasa tak perlu nak belikan kereta untuk anak-anak. Pakai saja kereta yang dah ada di rumah tu. Ada 2 kereta, semua dah habis bayar. Kenapa nak tambah bebanan bayar ansuran bulanan baru.

Selain dari 2 buah kereta, ada 2 buah motosikal. Anak lelaki bawa motosikal tu untuk ke sekolah. Bukan saya yang beli, moto tu, tapi orang rumah. Dia diam-diam beli. Mungkin tahu kalau tanya saya, takkan dapat. Kita cerita bab motosikal untuk anak-anak di artikel lain lepas ni.

Kereta sebuah tu saya pakai dan sebuah lagi orang rumah pakai untuk urusan hantar dan ambil anak perempuan bongsu ke sekolah. Itu saja gunanya. 

Bila anak sulong mula buat intern, orang rumah mula gaduh susah nak hantar dan ambil anak dari kerja.

Ikutkan pemikiran cermat saya, biarlah susah sikit. Dah lama sangat tak rasa bebanan sedikit berat tu. Biar lah begitu untuk pecahkan lemak pada badan. Apa salahnya tambah kerja sikit. Boleh juga ada masa sembang dengan anak dan selitkan pedoman hidup pada mereka.

Kalau anak-anak duduk kat rumah tu, mereka biasanya terperap berkunci duduk dalam bilik. Tak akan turun kalau tidak dipanggil.

Tapi, macam biasa la. Orang perempuan ni bila dia nak sesuatu, dia akan berterusan minta, merungut dan segala amalan yang mampu melemaskan orang lelaki yang akhirnya malas nak berpanjangan lalu ikut saja.

Pilih Proton Saga

Diam-diam saya mula buat kaji selidik sikit. Buka dan buat carian dari google review kereta baru lokal mana yang terbaik untuk dibeli. Ada 2 saja pilihan kereta lokal ni, Perodua dan Proton.

Semua kriteria dah ada dalam kepala. Paling murah dan paling tinggi nilainya berbanding harga.

Kalau diikutkan populariti, dah tentu Perodua akan jadi pilihan. Murah dan menjimatkan. Tapi, bagi saya, kriteria paling penting untuk sesebuah kenderaan adalah keselamatan. Kemudian baru lihat kesemua keselesaan lain.

Saya akan skeptikal dengan Perodua. Hampir kesemua kenderaan buatannya fokus kepada penjimatan minyak. Bagus tu, tapi ...

Dia tambahkan lagi penjimatan melalui kurangkan berat kenderaan. Sebab itu anda boleh rasakan bila bawa kereta perodua, macam bawa sebuah tin kosong. Bayangkan bawa bumbung zink yang dibentuk jadi rupa kereta dengan laju. Macam tulah saya rasa setiap kali bawa perodua.

Saya tengok pula Proton Saga. Dari review yang ada banyak di Youtube tu, ternyata ramai yang puji dan syorkan Proton Saga sebagai kenderaan mula. Sangat berbaloi dari segi kos dan apa yang anda dapat.

Bawa selesa, rasa kejap dan tak bawa tin kosong. Ciri-ciri keselamatan juga mencukupi. Harganya menarik dan sejak syarikat geli tu ambil alih, makin laju penambah baikan dari segi rupa dan kelengkapan nya.

Maka saya buat keputusan beli Proton Saga. Pilih yang pertengahan, Standard. Tak payah ambil yang premium.

Proton Dealer Puchong

Ada satu dealer di sebelah LDP yang selalu saya lihat tersergam indah setiap kali lalu jika nak ke Cyberjaya.

Bila buat keputusan nak beli Proton, dealer tulah yang saya teringat.

Maka, satu pagi tu, bulan lepas, saya terus ke sana. Parkir, dan masuk ke dalam ruang tunjuk kereta. Saya terus pergi lihat kereta yang di pamerkan dalam tu. Tak ada sesiapa ambil tahu atau peduli untuk layan saya.

Saya lihat receptionist dan menghampirinya. Beritahu yang saya nak melihat Proton Saga. Dia suruh saya tunggu sebentar nak panggil salesperson mereka.

Saya kembali pergi melihat semula pameran. Tunggu dengan penuh minat dan masih tak ada sesiapa peduli.

Akhirnya saya belah keluar saja dari premis dealer tu. Kalau mereka rasa tak berbaloi untuk layan saya yang memang dah nekad nak beli tu, buat apa saya terhegeh-hegeh tunggu. Bukan ada satu saja dealer proton. 

Proton Dealer Shah Alam

Saya terus gerak ke Shah Alam pula. 

Sambil memandu, teringat yang Proton dan Perodua selalu pamerkan kereta mereka di ruang legar di Giant Shah Alam. Maka saya terus ke Giant dan masuk.

Memang betul, ada Proton Saga dan ada Perodua Axia di pamerkan bersebelah di dalam ruang legar Giant. Saya terus ke meja salesman Proton dan bertanya apa spek Saga yang dia ada.

Salesman berbangsa India melayan saya. Dia dengan baik hati tanya berapa tahun nak ambil loan dan mulakan segala kiraan ansuran bulanan. Saya berpuas hati. Bajet saya hanya dalam lingkungan 500 sahaja sebulan.

Kemudian saya ke sebelah. Minta dapatkan maklumat berkenaan Axia pula. Berbeza sikit layanannya, Jurujual India itu lebih baik cara dia cuba memenuhi permintaan dan pertanyaan saya. Yang Perodua tu tidak nampak bersungguh nak layan.

Akhirnya saya berpatah balik ke Proton dan ambil maklumat jurujual dan minta senarai perkara yang perlu saya berikan untuk proses mohon loan kereta. Dan terus beredar.

Dokumen perlu untuk mohon loan

Sampai ke pejabat, saya dapat wasap dari jurujual India tu berikan segala dokumen yang perlu saya serahkan. Salinan lesen, slip gaji, penyata akaun bank. Saya berikan kesemuannya kecuali slip gaji. 

Saya berniaga, tak ada slip gaji. Ada sebenarnya, cuma malas nak saya cetak. Jurujual itu kata penyata akaun bank dan penyata laporan dan pembayaran cukai sudah memadai.

Maka saya berikan kesemuanya.

Bank paling cepat hubungi saya semula adalah Hong Leong bank. Tapi dia minta saya berikan penyata bank lain sebab katanya penyata akaun saya ada akaun pinjaman rumah.

Saya balas itu akaun fleksibel. Semua akaun saya terkumpul dalam akaun tu. Loan rumah, akaun semasa, OD dan lain-lain terkumpul. Lihat saja transaksi duit masuk dan keluar di situ. Akhirnya dia terima.

Ada lagi pendapatan saya dari akaun lain. Rasanya tak perlu saya nyatakan dan berikan lampiran akaun sebab saya hanya mahu buat loan beli proton saja. Kenapa nak tunjuk duit banyak. Itu logik saya.

Lagipun dah ada penyata deklarasi cukai kat situ dan resi pembayaran cukai. Itu menggambarkan semua laporan duit masuk saya setahun. Tak kan saya nak berbohong pendapatan semata-mata nak bayar cukai lebih.

Setuju loan Hong Leong bank

Diringkaskan cerita, akhirnya saya ke bank Hong Leong untuk melihat segala dokumen dan perjanjian sewa beli kereta. Semuanya pakai kaedah digital. Mudah dan pantas. Pegawai loan itu berikan masa untuk baca kesemua perincian perjanjian. Tapi saya beritahu, tak pernah lagi seumur hidup saya baca perjanjian detail satu persatu.

Dia gelak dan mengaku yang dia juga tak pernah baca perjanjian beli kereta. Lalu saya tanda tangan setelah melihat hanya perincian loan, berapa interest, berapa sebulan dan berapa tahun. Dia bagi tempoh lama dalam perjanjian tu. Saya minta ubah untuk pendekkan saja tempoh bayaran. Kena ubah detal dan dia perlu minta kelulusan lain katanya.

Saya kata tak apa sebab tak urgent. Tapi saya setuju terlebih dahulu dan selepas ini hanya perlu lihat semula revision baru dan perlu terima secara online. Semua lancar dan saya balik.

Maksudnya kesemua urusan bank dah selesai. Tunggu dapatkan kereta saja dan proses beli Proton Saga saya selesai.

Kereta Proton Saga tak siap-siap

Tapi sampai sekarang masih tak dapat kereta lagi. Bila saya tanya pada jurujual India tu bila boleh dapat kereta, dia tak bleh beritahu bila. Dia hanya ulang cakap akan dapat.

Itulah masalah pembuat kereta. Itulah masalah dealers kereta terutamanya Proton atau Perodua. Mereka lansung tak boleh beritahu bila kereta akan siap di pasang dan saya boleh dapatkannya.

Kesemua kenderaan yang dipasang hanya akan dihantar kepada delaers setiap hujung bulan dan semuanya sudah ada pembeli. Hand to miuth situation kata orang putih.

Punya la laku kereta lokal kita. Macam goreng pisang sedangkan kereta bukanlah aset pun, hanya liabiliti. tetap orang berlumba beli tak henti-henti.

Saya dijanjikan akan dapat kereta hujung November 2022. Tapi hingga ke hari ini, dah masuk 6 Desember 2022, jurujual itupun tak hubungi untuk update dan kereta masih tak kelihatan.

Saya tanya samada boleh saya batalkan saja hasrat nak beli Proton baru itu, tapi jurujual itu kata tak boleh sebab daia dah request. Masalahnya dia hanya tak tahu bila akan siap .. gila juga saya fikirkan kenapa sangat tidak cekap sampai sebegitu.

Dari pengalaman itu, saya rasakan elok beli kereta second hand saja. Dah tentu kereta ada. Loan tak lulus pun dah boleh guna. Mereka nampaknya jauh lebih cekap tunaikan pembelian berbanding penjual kenderaan lokal.

Terfikir juga saya untuk beli kereta Toyota Vios tahun 2012 atau ke atas sahaja. Itu kereta yang baik dan kurang masalah. Harganya juga konsisten, kurang jatuh merudum.

Bagi anda yang nak beli Proton, mungkin anda boleh fikirkan semula untuk beli kenderaan mula kereta second hand saja.

Samada masalahnya adalah pihak Proton, atau pihak dealers saya tak pasti. Tapi saya rasa dealer tu bukanlah antara ajen pilihan proton. Sebab nampaknya dia tidak diberikan maklumat jelas bila stok akan ada dan bila mereka boleh dapatkan stok baru.

Walau bagaimanapun, saya masih menunggu Proton Saga baru untuk anak saya ..

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Pengalaman nak beli kereta Proton Saga dari dealer Proton di Puchong dan Shah Alam

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !