Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Saturday, March 4, 2023

Sudahkah anda lalui pengalaman bersama orang yang menghembuskan nafas terakhirnya

  Mohd Shubhi       Saturday, March 4, 2023


Bulan sudah, sepupu saya bersama isteri dan anak menantunya pergi menunaikan umrah ke Tanah Suci Mekah.

Kali akhir saya berjumpa dengan sepupu saya itu adalah dalam 3 atau 4 bulan sebelum itu. Dia datang ke rumah menziarahi ibu saya yang balik sekejap ke rumahnya di kampung.

Ibu duduk dengan adik di Langkawi. Bila rindunya tarhadap rumah di kampung memuncak, tak boleh halang lagi. Perlu bawa balik dan saya akan bergilir duduk dengan abang menjaganya. Biasanya kami akan berganti-ganti seorang satu minggu.

Masa giliran saya itu, sepupu datang satu keluarga. Dia siapa bawa hadiah beg untuk ibu saya. Hasratnya adalah untuk bawa ibu dan saya keluar makan di tempat yang best. Itu katanya.

Malam itu, kami keluar makan bersama. Berbual dan kemas kini maklumat masing-masing. Satu perkara yang saya lihat ketara pada sepupu saya itu adalah keadaan kesihatannya yang nampak jelas tidak seperti biasa lagi.

Dia tak banyak cakap, makan pun sudah tak berselera seperti selalu. Tubuh badan kurus cengkung. Semua itu berbeza jauh dari sifatnya yang saya kenal selama ini.

Hanya satu sifatnya yang kekal, iaitu, rajin menziarahi saudara maranya. Dalam keadaan tak sihat dan ceria, dia masih tetap berusaha untuk rapatkan silaturahim.

Itulah kali akhir kami jumpa dan bersembang. Dia meninggal ketika menjalankan umrahnya di Mekah dan di kebumikan di sana.

Kematian makin kerap berlaku

Saya ada lihat statistik kematian yang berlaku di negara kita baru-baru ini. Tujuannya nak tengok ada tak perbezaan jumlah orang meninggal sebelum, ketika dan selepas wabak covid-19.

Andaian saya tentulah ketika tahun-tahun penting covid mengamuk, sebelum adanya vaksin, dah tentu jumlah orang Malaysia mati akan mendadak naik. Macam itupun yang kita lihat pada laporan saban hari, sampai naik seram.

Dari laporan, saya agak terkejut!.

Jumlah kematian setiap negara akan di pantau dalam bentuk indeks per seribu penduduk. Untuk negara kita, nombornya adalah 5.31 per seribu.

Itulah unit atau indek yang di lihat setiap tahun. Dan paling menarik adalah nombor itu kekal begitu saja sebelum ketika dan selepas wabak covid-19. Tiada perubahan.

Ertinya jumlah orang yang meninggal saban tahun adalah sama saja. Covid ada atau tidak ada, ada vaksin atau tiada, jumlahnya kekal tak berubah.

Selepas buat kiraan, saya dapati, purata orang mati di negara kita adalah seramai 487 orang setiap hari. Esok pagi, akan ada 487 orang yang tak akan bangun mengecapi waktu paginya.

Mungkin salah seorangnya saya atau anda. Tak tahu nasib siapa.

Sub tajuk di atas, saya tulis makin hari kematian makin kerap. Itu adalah relatif kepada diri saya sendiri berdasarkan umur sekarang. Makin umur meningkat, makin kerap saya mendapat berita orang mati. Sedangkan jumlah secara puratanya sama saja.

Apa yang boleh dirumuskan adalah, semakin anda meningkat umur, kemungkinan untuk menjadi salah seorang dari 487 yang mati esok pagi itu adalah semakin tinggi.

Senarai mereka yang dah mati

Mati berlaku setiap hari. Samada di kampung tempat anda tinggal atau di mana saja. Kita hanya akan ambil tahu apabila yang mati itu merupakan seseorang yang kita kenal.

Makin rapat, makin ambil tahu.

Bagi saya, selepas saudara mara, orang yang membuatkan saya ambil tahu dan prihatin akan kematian sudah tentu kawan-kawan.

Ada beberapa orang kawan yang pergi terlebih dahulu ketika saya masih remaja. Salah seorang yang saya masih ingat sampai ke hari ini adalah kawan membesar, bernakal sekali di kampung. Dia meninggal kemalangan motosikal. Ketika itu saya masih di sekolah menengah. Saya hanya sempat melihat dirinya di dalam kain kafan sahaja. Kesannya sangat mendalam terhadap sikap saya kepada motosikal.

Berita kematian kawan ketika remaja sangat jauh jaraknya. Bukan setiap tahun, tapi lebih jauh jaraknya. Bila dah dewasa tapi masih bujang, ada lagi beberapa kawan baik yang meninggal. Berbagai cara. Ada yang kemalangan dan ada juga yang membunuh diri sebab fikiran sudah tidak waras.

Selepas berkahwin dan masuk peringkat matang. Datang lagi berita kematian kawan-kawan. Ada yang baru berusia awal 40-an. Kena serangan jantung. 

Ditahap selepas 40-an, kematian banyak disebabkan masalah kesihatan. Di tahap itu, beritanya semakin lama makin kerap. Jika dimasukkan sekali senarai saudara mara dan kawan-kawan, beritanya adalah lebih kerap di dengari.

Seorang demi seorang bermula dari jarak tahun mendekati kepada jarak setiap bulan pula. Dan sepupu saya adalah saudara paling terkini. Hari ni pun ada berita kematian salah seorang yang saya kenal di kampung sejak kecil. Dia lebih senior. Semuanya juga adalah lanjutan dari masalah kesihatan juga.

Kalau saya buat senarai, sudah tentu ia akan jadi semakin kerap untuk dikemas kini.

Point yang saya nak kata di sini adalah, kematian itu adalah pasti.

Keadaan ketika mati

Itulah tajuk yang saya terfikir nak tulis hari ini. 

Bagaimana agaknya keadaan seseorang ketika dia menghadapi maut, menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Itulah yang saya terfikir dan cuba bayangkan bila teringat akan kematian sepupu saya yang baru berlaku di Mekah itu.

Bagaimana keadaannya, bagaimana keadaan fizikalnya dan apa yang berlaku sebelum, ketika dan selepas nafas terakhir berlaku.

Tak ada jawapan selagi saya tidak pernah mengalami pengalaman bersama orang yang menghembuskan nafas terakhirnya di sisi.

Patutlah orang-orang tua dulu sangat prihatin untuk pastikan diri mereka ada bersama saudara ketika saat akhir mereka. Itu perkara penting yang jika terlepas, mereka akan nyatakan rasa kesal.

Dulu saya tak faham. Tapi sekarang baru saya faham bahawa itu adalah satu perkara paling penting untuk anda yang masih hidup dan sedar ahawa satu masa nanti anda akan mengalami detik yang sama.

Tiada peringatan yang lebih baik terhadap kematian selain dari berada bersama mereka yang menemui kematiannya di saat akhir menghembuskan nafas.

Saya berazam untuk mengambil berat perkara itu sekurang-kurangnya sekali semasa masih hidup ini.

Satu lagi pengalaman yang perlu dilalui adalah menguruskan kematian. Memandikan, kafankan, kembumikan dan lain-lain lagi seumpamanya. Ia adalah satu peringatan dan paling penting untuk tawarkan hati terhadap sikap mengejar dunia sehingga lupa diri terhadap kematian dan apa yang bakal berlaku selepas itu ..

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Sudahkah anda lalui pengalaman bersama orang yang menghembuskan nafas terakhirnya

Previous
« Prev Post

12 comments:

  1. Ust kata kita akan mati dlm keadaan apa yg kita selalu lakukan, atau dlm keadaan bgmn yg biasa kita menjalani kehidupan kita. Jika kita membiasakan diri dgn kesolehan, insyaAllah kita akan mati dlm keadaan soleh. Jika seseorg itu membiasakan dirinya dgn dosa dan maksiat, ditakuti, matinya juga dlm keadaan melakukan dosa dan maksiat.

    ReplyDelete
  2. Apa yg bakal kita hadapi selepas mati.

    1.Malaikat maut yg mencabut nyawa.
    2.Malaikat rahmat atau Malaikat azab yg mengiringi Malaikat maut.
    Jika disambut Malaikat rahmat, mk dibawa ke bawah Arasyh melalui 7 lapis langit, lalu dikembalikan ke jenazahnya di Alam Barzakh utk menghadapi Malaikat Munkar dan Nakir.
    Jika disambut Malaikat azab, langit pertama pun tak lepas, lalu dilemparkan, bagai jatuh dr tmpt yg tinggi, lalu disambar Malaikat azab, dikembalikan ke jenazahnya di Alam Barzakh, bg menghadapi Munkar dan Nakir.
    3.Soalan kubur dr Munkar dan Nakir.
    4.Bg yg soleh, dikatakan selepas 7 hari kemudian ditidurkan, rohnya disimpan di Illiyin, hinggalah tibanya Qiamat. Dilamun berbagai mimpi mimpi indah.
    Bg yg 'asi, fasik dan kafir, dikatakan menghadapi fitnah kubur hingga 40 hari, barulah ditidurkan, rohnya disimpan di Sijjin, namun mengalami berbagai mimpi mimpi yg mengerikan, hinggalah Qiamat.
    5.Setelah sekian lama Sangkakala yg pertama, turun hujan likat bagai air mani menenggelamkan bumi hingga 12 hasta dlmnya, dr tulang sulbi yg masih tinggal, tumbuhlah jasad jasad manusia, bagai tumbuhan tumbuh dr benihnya, hinggalah sempurna jasadnya.
    6. Banjir air likat surut, lalu tiupan Sangkakala kedua bergema, keluarlah sekelian roh dr bawah Arasyh, Illiyin dan Sijjin, menuju jasadnya masing masing. Lalu hiduplah dan bangun berdiri sekelian manusia dan sekelian makhluk yg pernah hidup, dlm kegelapan Bumi datar yg tiada cahaya matahari atau bulan. Jika ada iman dan amal soleh, itulah cahaya penerangnya. Jika tidak bergelaplah. Bahkan bg yg fasik dan yg kafir, bangkitnya dlm keadaan buta matanya.
    7. Di atas kubur masing masing, bercampur baur, manusia dan makhluk lainnya, berdiri menunggu, entah berapa lamanya, menanti arahan seterusnya.Bergema lg Sangkakala, mk berhimpun kita mengikut jamaah masing masing, lalu mula bergerak menuju Mahsyar, dikatakan berpusat di Syam, mencari Nabinya masing masing. Ada yg berjalan, ada yg berlari lari, ada yg berkenderaan, bergantung iman, taqwa dan amalannya masing masing. Bahkan ada yg merangkak, mengesot, bahkan ada juga yg tertiarap, mengesot ngesot di atas muka mukanya bergerak bagai ulat dihalau api yg mengepongnya ke Mahsyar.
    Bg kita umat Islam jgn lupa, Nabi kita saw menunggu kita di Haudhnya, dan Haudh Nabi itu bertepatan mimbar Nabi di Madinah. Bgmn mengenalnya, amalkan Surah AlKahfi setiap Jumaat, mudah mudahan kita dipermudahkan dgn bimbingan cahayanya ke sana.

    ReplyDelete
  3. Biasa sgt, sbb kerja di hospital

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alhamdulillah! Tentu ada banyak pengalaman yang sangat bermanfaat untuk diambil iktibar buat persediaan. Terima kasih sudi komen!

      Delete
  4. Hujung Surah Waqi'ah, menceritakan 3 macamnya manusia bila menghadapi sakaratul maut.

    1. Bq golongan muqarrabun, yg sentiasa mencari jalan mendekatkan diri kpd Allah swt, memperbnyk istighfar dan taubat, serta amal soleh lainnya, merasa gembira, kerana sudah mendpt bayangan kebaikan dan kebahagiaan yg menantinya, bahkan merasa gembira disambut Rasullah saw dan org org bertaqwa yg telah mendahuluinya. Diiringi bau bauan yg menyenangkan.

    2. Bg golongan kanan, para mukmin yg sentiasa menjauhi dosa dosa besar, beristighfar dan taubat setiap harinya, menjaga segala kewajipan beragama, saat sakaratnya, merasa tenang dan aman, kerana mendpt bayangan keselamatan dan keamanan yg menantinya.

    3. Bg golongan kiri, para pendosa yg bergelumang dosa dosa besar, belum pula berkesempatan taubat, golongan pendusta agama yg fasik, dan golongan kafirin, sakaratnya bagai cacing kepanasan, resah gelisah serba tak kena, bahkan dipukul pukul Malaikat maut di muka dan di belakangnya bg mencabut rohnya yg berlari keseluruh jasadnya ketakutan menghadapi maut, kerana sudah mendpt bayangan kesengsaraan dan azab yg menantinya. Na'uzubillahi min zalik.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Saya ulang baca berkali-kali surah Al-Waqiah ( surah 56), tidak menceritakan bagaimana saat kematian manusia. Tapi memberikan penerangan terhadap 3 golongan manusia di akhirat nanti. Golongan muqarrabun yang jumlahnya lebih ramai di masa dahulu berbanding sekarang yang makin lama makin sedikit. Kemudian golongan kanan dan golongan kiri. Terima kasih atas komen dan maklumat.

      Delete
  5. Pernah jumpa sorg makcik bercerita ttg ayahnya, menghadapi saat saat nak dipancung Jepun masa zaman Jepun dulu. Tp bila beliau membaca 2 ayat terakhir Surah AtTaubah, lancar ajer. Dlm hati berkata, belum nak mati lg agaknya. Seketika kemudian muncul atasan Jepun yg nak memancung tadi, lalu hukuman dibatalkan.

    Org org tua dulu dulu yg ngaji pondok ramai yg menganjurkan kita amalkan 2 ayat terakhir Surah Taubah setiap hari, katanya bila mendekati hari kematian kita tidak mampu utk membacanya dgn lancar, walaupun sebelumnya dah dihafal bagai Fatihah. Bila dah ada tanda sedemikian, mk mrkpun membuat persiapan utk menghadapinya. WaAllahu'alam.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Menarik perkongsiannya! Terima kasih tuan. Dah hafal ayat tu .. laqad jaa akom ..

      Delete
    2. Cerita dlm kitab, seorg ulama' silam Al Imam Ibnu Mujahid, melihat dlm mimpinya, seorg sufi, Abu Bakar Assyibli, dicium dahinya oleh Rasullah saw dlm satu majlis. Bila ditanya, apakah amalan Assyibli hingga dimuliakan sedemikian, katanya, beliau amalkan ayat "laqad ja akom" setiap selesai solat fardhunya. Ayat "laqad ja akom" adalah pujian Allah swt terhdp Nabinya saw, akan sifat pengasih dan perihatinnya kpd umatnya. Sempat sempatkanlah sbg wirid harian kita, selain doa lepas azan dan selawat Nabi, mudah mudahan kita tak terlepas dr mendpt syafaat Nabi saw nanti. Di Mahsyar nanti, tiada yg boleh selamat tanpa syafaat Nabi saw.

      Delete
  6. Nice post thank you Maria

    ReplyDelete

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !