Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Monday, May 15, 2023

Bermula dari pencuci pinggan kedai mamak, kini pemilik perniagaan puluhan juta

  Anonyme       Monday, May 15, 2023


Ini kisah benar seorang kawan yang saya kenal. Dia dahulunya bekerja sebagai seorang pencuci pinggan di sebuah restoran. Kini seorang usahawan dengan jualan tahunan puluhan juta.

Saya akan ringkaskan cerita kawan saya itu dan berikan nama samaran kepadanya sebagai Mat. Elok jika saya rahsiakan saja identiti sebenarnya di sini supaya dia tidak terdedah kepada sebarang perkara yang tak diingini.

Zaman sekarang bukan elok sangat untuk promosikan kejayaan seseorang atau dedahkan segala identiti pada khalayak umum. Jika tidak ada keperluan yang berfaedah untuk dedahkan identiti, elok kekal disebalik tirai saja. Hidup lebih aman begitu. Yang penting bisnes berjalan lancar dan berjaya tanpa perlu kejar kemahsyuran.

Kerja sebagai pencuci pinggan

Mat berasal dari Sarawak. Selepas tamat SPM, dia minta izin dari emaknya untuk datang ke Kuala Lumpur. Dia mahu berdikari dan belajar dari universiti kehidupan di sebuah bandar besar untuk menjadi orang berguna.

Begitulah apa yang dia gambarkan kepada saya.

Dengan duit yang sedikit, dia datang ke Kuala Lumpur untuk mencari rezeki. Bukan senang nak cari kerja di KL kalau tak kenal orang dan tak punya kelayakan serta pengalaman dalam dunia pekerjaan.

Jadi apa saja kerja yang boleh dapat, Mat terima saja.

Mat dapat kerja di sebuah restoran mamak di jalan TAR. Kalau anda biasa ke situ, tentu kenal restoran Insaf yang ada di sebelah jalan TAR itu. Kedai mamak yang dah lama bertapak. Kalau anda masuk dan makan kat kedai mamak tu, tentu akan keluar dengan penuh keinsafan. Sebab dia punya harga makanan, mampu membuatkan orang yang tak berapa ada duit boleh insaf kedudukan diri.

Mat kerja sebagai pencuci pinggan di situ. Dia perlu mula kerja seawal 6 pagi dengan aktiviti pertamanya adalah membasuh semua periuk yang besar-besar untuk mamak mulakan masakan mereka.

Dari pagi sampailah ke malam, itulah kerja Mat. Basuh periuk dan pinggan. Menurut Mat, dia masih terasa kebas tangannya sehingga sekarang sebab banyak main sabun membasuh yang tajam.

Tapi apa nak buat, untuk hidup di KL perlu ada duit. Dan perlu ada kerja yang halal tak kisah susah atau senang.

Berjinak dalam industri jual kereta

Bermula dari cari makan dengan basuh pinggan di kedai mamak itu, dia mula berusaha untuk kenal orang. Lebih ramai kenal orang lebih mudah untuk dia intai peluang yang ada di kotaraya KL.

Melaui kenalan ditambah dengan kerajinan Mat, dia buat kerja sambilan jual kereta. Dia bermula hanya sebagai jurujual sambilan kepada salah seorang jurujual perodua di salah sebuah pengedar Perodua di KL. Masa dia mula tu, dia hanya jadi jurujual sambilan untuk seorang jurujual agen perodua tu saja, bukan jadi jurujual kepada agen perodua pun. Bukan juga seorang jurujual tetap!

Oleh sebab dia rajin berusaha, maka dia mampu belajar selok belok menjual kenderaan terutamanya kereta perodua. Malah dia mampu menjual dengan baik walaupun sekadar sambilan.

Kerajinan dan bakat yang dia ada dilihat oleh seorang taukeh pengedar perodua yang lain kat KL juga. Maka akhirnya Mat ditawarkan untuk menjadi jurujual tetap kepada syarikat taukeh tersebut.

Mat memang seorang yang rajin. Dia juga punya kelebihan semula jadi dalam melayan orang samada yang baru kenal, apatah lagi jika dah lama kenal.

Bakat itu boleh saya lihat sendiri ketika awal pertemuan dengannya dahulu. Baru kenal sehari, terasa macam dah kenal Mat lama. Begitulah bakat semula jadi yang ada pada Mat dalam bab layan orang.

Prestasi Mat dalam jualan kereta memang bagus. Disamping menjual, dia ambil kesempatan untuk mendalami industri tersebut. Apa saja kerja lebih seperti pergi ambil kereta dari kilang dan sebagainya, Mat akan buat tanpa soal banyak.

Mohon jadi pengedar perodua

Dalam hati Mat, dia mula ada perancangan yang lebih besar.

Oleh kerana dah biasa keluar masuk dan berurusan dengan orang kat Perodua, dia cuba untuk minta jadi pengedar kenderaan tersebut di tempat asalnya, Sarawak. Dia cuba tulis surat permohonan secara diam-diam terus kepada CEO Perodua ketika itu.

Menurut Mat, surat pertamanya tidak ada jawapan lansung. Tapi dia tak putus asa. Lama kemudian dia tulis sekali lagi. Dan masih tetap tidak ada sebarang maklum balas. Dan Mat masih tetap tak putus asa.

Dia tulis sekali lagi untuk kali yang ke-3.

Satu hari, dia dipanggil mengadap oleh Boss Perodua itu sendiri.

Bila pergi mengadap, ternyata perjumpaan itu berkenaan surat permohonan yang dia buat untuk jadi pengedar Perodua kat Sarawak. Berlaku soal jawab serius antara dia dengan Boss perodua. Kesungguhan dia untuk mohon tanpa putus asa mendapat perhatian, walalupun dia hanya seorang jurujual biasa.

Bila ditanya berkenaan duit, Mat jawab dengan yakin bahawa hasil dari sikap berhemah dalam berbelanja dan usaha kerasnya untuk kumpulkan duit, dia berjaya simpan sedikit wang untuk mulakan bisnes sendiri.

Namun begitu sudah tentu modal yang dia ada masih tidak mencukupi untuknya membuka sebuah perniagaan sebagai pengedar perodua kat Sarawak. Tapi keazaman yang ditunjukkannya berjaya meyakinkan Boss Perodua yang akhirnya meluluskan permohonannya itu.

Berjaya menjadi pengedar perodua

Maka diapun balik semula ke Sarawak dan berusaha membuka perniagaannya kat sana sebagai pengedar kenderaan perodua.

Diringkaskan cerita, akhirnya kedainya dirasmikan dan bermulalah perjalanan Mat sebagai usahawan dalam industri automotif.

Dengan sikap rajin dan keyakinan yang tinggi, Mat berjaya mengharungi segala cabaran bisnes. Walaupun ketika awalnya dia dianggap sebagai budak hingusan oleh semua taikun-taikun kat Sarawak itu, semua itu tidak mampu melemahkan Mat.

Dia berjaya mengatur strategi untuk pastikan bisnesnya mampu bertahan sehingga sehingga sekarang. Malah tak lama selepas bertapak di kedainya itu, dia berjaya pulak kumpulkan kemudahan kewangan untuk beli satu lagi bisnes pengedaran perodua yang sedang meghadapi masalah.

Jadi pengedar model lain pulak

Sekarang Mat bukan saya merupakan pengedar kenderaan Perodua, malah dia juga punya syrikat pengedar kenderaan Honda dan juga Subaru.

Prestasinya dalam industri jualan kenderaan perodua, honda dan subaru amat baik dan sentiasa mencapai sasaran yang ditetapkan oleh syarikat induk. Malah pencapaiannya sentiasa melebihi sasaran.

Bukan lama sangat untuk Mat capai semua itu. Hanya dalam lingkungan 15 tahun sahaja dia berusaha gigih tanpa penat. Sekarang semua yang dia ada mampu meletakkan dirinya sebagai seorang jutawan. Kalau bukan nilai bersihpun setidaknya jumlah kesemua jumlah jualan dari seluruh syarikatnya mencecah puluhan juta setahun !.

Sikap Mat yang dahagakan ilmu

Saya akan bertemu dengan Mat sebulan sekali untuk berbincang dengannya berkenaan pembaikan yang boleh dia lakukan dalam perniagaannya itu.

Walaupun apa yang telah dicapai oleh Mat sudah tentu jauh lebih baik dari saya, dia masih tetap berfikiran terbuka untuk sentiasa berbincang idea dan strategi perniagaan dari saya yang kerdil ini.

Sikap itu amat saya kagumi dan susah nak cari orang yang ada sikap sebegitu.

Saya sentiasa akan terinspirasi setiap kali bertemu dan berbincang dengan Mat terutamanya terhadap tenaga dan stamina yang ada padanya. Semangat, tenaga dan staminanya membuatkan saja cemburu dan memang rasa tak boleh nak ikut cara Mat buat kerja.

Apa saja hasil dan rumusan dalam setiap perbincangan, akan segera Mat aplikasikan tanpa tangguh. Dan setiap kali bertemu akan ditunjukkan pada saya segala hasil dari perlaksanannya. Alhamdulillah semuanya berjaya menambah baik kan lagi pengurusan bisnesnya. Dan seperti biasa Mat mahu buat lebih baik lagi dan kami akan bincang dan kerahkan otak untuk cari idea lain pula.

Di mana ada usaha, situ ada jalan

Begitulah cerita ringkas yang dapat kongsikan hari ini untuk para pembaca. Semoga cerita ringkas ini mampu menyuntik sedikit inspirasi kepada anda semua untuk kekal dan terus berusaha gigih.

Mat berjaya tunjukkan contoh depan mata saya bahawa di mana ada usaha, maka disitu akan terbentang jalan untuk kita berjaya.

Perlu ada impian yang besar dan perlu juga ada semangat, tenaga dan stamina yang besar.

Cakap saja tak guna jika tidak diiringi dengan tindakan. Yang pentingnya jangan putus asa dan tak perlu ada sikap rendah diri dengan kedudukan anda sekarang. Cari kekuatan yang ada dan guna pakai semaksimum mungkin kekuatan yang ada dalam usaha mengejar impian besar anda.

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Bermula dari pencuci pinggan kedai mamak, kini pemilik perniagaan puluhan juta

Previous
« Prev Post

2 comments:

  1. Klu Mat tu yg dimaksudkan, tak susah nak kenai...kahkahkah kahkahkah

    ReplyDelete

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !