Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Saturday, June 3, 2023

Lelaki Jerman paling ramai kencing duduk di Eropah - Lelaki Malaysia bagaimana?

  Mohd Shubhi       Saturday, June 3, 2023


Berita tentang lelaki Jerman paling ramai yang memilih untuk kencing sambil duduk membuatkan saya tersentak sebentar berfikir.

Kalau bukan disebabkan berita itu, saya tentu dah tak perasan yang amalan kencing berdiri dah jadi kebiasaan tanpa ada rasa bersalah. Bila perasaan biasa ini bermula pun saya tak pasti. Tapi masa zaman kanak-kanak dulu, memang kencing duduk adalah amalan mulia.

Bagi mereka yang cenderung kepada menjadi seorang muslim yang baik, sudah tentu kencing sambil duduk adalah salah satu kriteria yang dia mesti ada. Itulah yang saya faham masa ketika dibesarkan di kampung dahulu.

Mula kencing berdiri

Bila atau dalam keadaan macam mana, anda lelaki, akan kencing berdiri?

Zaman kanak-kanak saya tak berapa ingat samada selalunya kencing duduk atau berdiri. Kalau dilihat anak-anak kecil yang dah boleh berjalan kaki di kampung, mereka kencing selamba saja sambil berdiri. Mungkin saya macam itulah juga masa kecik dulu.

Tapi kalau pergi buang air besar, memang kena duduk bertinggung samada dah dewasa atau masih kanak-kanak. Lagipun, jamban kampung tradisional lama yang dibuat dari papan tu, direka untuk duduk bertinggung.

Jamban batang pokok kelapa merintang parit besar belakang rumah juga tidak mengizinkan berdiri untuk buang air besar, kencing boleh saja kalau nak berdiri. Biasanya bila ke telaga untuk kencing, memang akan kencing duduk. Orang tua marah kalau berdiri.

Bila dah besar sikit, pergi mengaji di masjid, saya mula amalkan kencing duduk. Itu yang tok guru ajar dan saya taat sebab mahu pahala dan mahu dilihat sebagai seorang lelaki budiman dan soleh. Begitulah berterusan membesar dengan sedaya boleh kencing sambil duduk.

Bila dah besar, pergi luar negara, mengembara ke sana sini, akhirnya kencing berdiri mula diamalkan tanpa rasa bersalah pun. Dah terbiasa dan memang keadaan tidak mengizinkan untuk duduk. Apatah lagi kebanyakan tandas awam untuk lelaki, ada tempat khas untuk kencing sambil berdiri.

Kalau pakai seluar jeans atau seumpamanya yang agak ketat, mana boleh bertinggung untuk kencing. Itu sebab utama kencing berdiri mula dah jadi kebiasaan. Tambah pulak semua tandas awam sekarang memang ada tempat khas kencing berdiri untuk lelaki. 

Jika benar-benar nak amalkan kencing duduk, kena masuk jamban. Tapi kalau orang menunggu masuk jamban ramai, akhirnya ke tempat kencing berdiri juga akan jadi sasaran.

Kecuali kalau pergi berjalan pakai kain pelikat atau jubah, maka sudah tentu kencing duduk adalah jauh lebih sesuai, selesa dan selamat dari kena percikan najis pada kain tu.

Lelaki Jerman kencing duduk

Dalam portal di sini, ada statistik berdasarkan kajian yang dibuat untuk melihat lelaki dari negara mana yang paling ramai kencing duduk di beberapa negara.

Hasilnya, orang lelaki Jerman paling biasa kencing duduk diikuti oleh lelaki Sweden dan Denmark. Orang Lelaki Mexico paling ramai kencing berdiri diikuti oleh Poland, Britain dan Singapura.

Kenapa orang Jerman kencing duduk?

Paling utama adalah dari segi kebersihan. Kalau anda berdiri, air kencing akan bertaburan, merecik merata. Tambah lagi jika yang kencing bukan seorang penembak tepat.

Faktor kesihatan juga sebenarnya adalah satu insentif besar yang lelaki kencing duduk dapat. Kencing lebih lancar, puas dan habis seandainya anda kencing sambil duduk.

Tandas awam di Malaysia

Kebanyakan tempat di Malaysia, kalau tandas awam percuma, keadaannya sangat menyedihkan. Jika tak ada pencucian yang kerap dilakukan pada tandas, memang tak lalu nak pergi buang air di dalamnya. Itu bagi tandas lelaki lah sebab saya tak pernah masuk tandas perempuan. Lagipun perempuan sudah tentu kencing duduk.

Ada masjid yang tandasnya memang tak terurus kotor dan hancing juga.

Jika anda masuk ke tandas stesen minyak misalnya, dalam jamban pun boleh dapat agak yang penggunanya kencing berdiri. Biasanya, saya akan basuh dulu semua tempat termasuk pada pemulas air sekali. Tak yakin cara pengguna di negara kita menjaga kebersihan.

Paling menyedihkan, selalu juga terserempak dengan tandas yang paipnya terjatuh atas tempat buang air dan orang yang gunakan tandas itu selamba saja kencing atas pait plastik yang sepatutnya disambung pada pili untuk kegunaan membasuh. Punyalah bebal dan hitam hati mereka tergamak buat begitu.

Pernah juga saya jumpa orang berak atas paip yang terjulur masuk ke tempat berak tu. Jenis tak basuh ke apa? tak dapat fikir kerenah manusia pengotor tiada kesedaran sivik macam tu.

Statistik lelaki Malaysia kencing duduk ada atau tidak saya tak pasti. Mungkin kalau tanya lelaki Melayu, Islam, tentu ramai yang akan mengaku lebih kerap kencing sambil duduk. Untuk bangsa lain saya tak tahu pulak. Persepsi saya adalah lelaki bangsa lain lebih kerap atau mungkin sentiasa kencing berdiri.

Apapun, mari kita berazam untuk lebih kerap kencing duduk berbanding kencing berdiri. Nak mudah, pakailah kain pelikat sentiasa samada di rumah atau berjalan. 

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Lelaki Jerman paling ramai kencing duduk di Eropah - Lelaki Malaysia bagaimana?

Previous
« Prev Post

1 comment:

  1. Mungkin perlu promosi besar-besaran agar ramai yang mahu kencing duduk ...

    ReplyDelete

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !