Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Wednesday, May 31, 2023

Ayat yang sama dengan 2 tafsiran makna yang berbeza - Nak ikut yang mana satu?

  Mohd Shubhi       Wednesday, May 31, 2023


Ada seorang kawan berpangkat abang yang rajin kongsikan satu hari satu ayat Al-Quran pada saya dah bertahun lamanya. Dia akan hantar masuk dalam Whatsapp setiap pagi sebelum subuh.

Untuk tidak sia-siakan usaha baiknya, maka saya akan biarkan saja terlebih dahulu selagi tidak benar-benar bersedia untuk membaca ayat perkongsiannya itu setiap hari. Buat begitu untuk pastikan supaya jika dah dibuka, saya akan benar-benar membaca ayat tersebut. Berfikir, merenung, membuat perbandingan dengan tafsiran yang dia berikan berbanding dengan semua tafsiran lain yang saya dah muat turunkan ke dalam telefon.

Bila buat begitu, barulah ada maknanya dan sekurang-kurangnya saya dapat pastikan setiap hari ada sepotong ayat Quran yang dah disemak dan cuba difahami. Dah lama saya mendekati ke arah cuba memahami Al-Quran dengan merujuk berbagai tafsiran atau mungkin lebih difahami sebagai terjemahan dari berbagai aliran yang ada di luar sana.

Di zaman yang mana menjadi jahil adalah satu pilihan ini, rugilah kalau tak ambil kesempatan untuk menggunakan kemudahan yang ada seboleh mungkin. Apa saja usaha untuk membendung kemasukkan maklumat, samada benar atau salah ke minda manusia sudah hampir mustahil untuk dilaksanakan dengan teknologi yang ada sekarang.

Dunia sudah berubah

Minggu lepas saya dan kawan-kawan lepak sambil berbual di sebuah kedai mamak. Ada yang baru dikenali, ada yang sudah lama kenal.

Tercetus satu perbincangan berat antara seorang kawan lama saya dengan seorang kenalan baru yang turut sama sertai sesi mengeteh tersebut. Kawan baru itu adalah seorang ustaz muda yang bersungguh-sungguh cuba mengingatkan kawan lama saya agar tidak tergelincir dari jalan yang benar.

Kawan lama tu memang giat mencari kebenaran. Kebetulan pula dia rajin membaca, samada dari internet, mahu pun membeli buku berkaitan aliran pemikiran dan seni. Dia terangkan kepada ustaz tersebut kenapa dia banyak membaca dan mengkaji, adalah untuk mencari Tuhan.

Dia berani sebut ayat sedemikian atas pengaruh bacaan tersebut. Tambah lagi dia sedang asyik membaca buku-buku tulisan Jalaluddin Ar-Rumi atau lebih terkenal dengan panggilan Rumi saja. Seorang yang amat terkenal di barat melalui puisi-puisi cintanya. Buku puisi Rumi adalah buku paling laris di Amerika.

Dia orang Parsi dan dikenali dengan aliran sufinya yang unik. Boleh cari maklumat berkenaan Rumi di Wikipedia.

Bagi orang Malaysia, membaca buku Rumi adalah sesuatu yang menakutkan. Ia bertentangan dengan konsep berhati-hati yang sejak dulu orang tua kita amalkan melalui penyebaran ilmu terkawal. Masa saya belajar ilmu akidah dengan orang arab di Eropah, yang juga beraliran pemikiran tua, Rumi memang tak masuk dalam senarai rujukan. Pemikirannya bahaya. Begitulah pendapat mereka.

Macam saya kata di atas tadi, sekuat mana adanya cubaan membendung kemasukkan aliran pemikiran yang berbeza di negara kita tidak akan berjaya. Pintu kebanjiran maklumat sudah terbuka satu demi satu dari berbagai sudut. Samada anda bersedia untuk memerah akal dan meluangkan masa mencari kebenaran atau tidak, adalah satu pilihan yang perlu dilakukan jua akhirnya.

Berbalik kepada perbincangan kawan saya dengan ustaz muda itu tadi. Ustaz sering sebut untuk menggunakan alat yang betul dalam menilai sesebuah pemikiran. Ulamak dah sediakan alatnya yang jelas, kalau tak ada alat, maka sila ikut apa saja pesanan ulama.

Kawan-kawan lain di sesi mengeteh itu juga sering ulang agar kawan saya itu berwaspada. Belajar perlu berguru. Tak boleh main baca dan fikirkan sendiri. Paling mudah, lebih baik ikut saja apa yang ulama sudah gariskan. Itu jalan selamat. Itulah yang mahu disampaikan oleh ustaz muda tersebut.

Bagi saya, pendedahan kepada seribu satu macam aliran pemikiran sudah berlaku lama dulu ketika berada di Perancis. Negara sekular yang tidak menghalang apa saja jenis aliran pemikiran agama secara peribadi terhadap rakyatnya. Bab kepercayaan adalah hak setiap orang. Maka semua aliran agama ada di sana.

Saya dah jumpa macam-macam aliran agama Islam itu sendiri. Syiah yang bermacam-macam aliran, Qadariah, Muktazilah, Jabariah, Zahiriah, Wahabi, Sunni, Zaidi, Ahmadiyah .. begitu juga dengan berbagai aliran sufi Rifaieah, Naksyabandiah, Qadiriah, Siddiqiah, Tijaniah, dan berbagai lagi yang penuh mistik.

Bukan saja Islam, Kristian juga ada berbagai aliran, Yahudi pun sama. Atheis juga ada aliran berbeza, Scientologi juga ada, Zen, Hinduism .. sebut saja apa, anda akan jumpa. Bebas betul mereka berpegang kepada apa yang difikirkan betul.

Apa yang saya nak sampaikan di sini adalah, jika ustaz itu masih kekal cuba pertahankan alat yang dia suruh pakai tu di Paris, dia akan dihujani dengan seribu satu alat penilaian lain yang diketengahkan oleh semua ahli pemikiran yang berbeza berdasarkan kepercayaan masing-masing.

Maka mahu tak mahu, kemantapan akal fikiran untuk berfikir dan melihat hujah serta bukti adalah satu kemestian untuk selamatkan diri. Dengar dan taat ikuti saja nasihat mereka yang lebih tahu adalah satu kesilapan yang menyusahkan diri sendiri. Sebab lambat laun akan timbul pertanyaan bagaimana nak pastikan apa yang Tok Guru aku tetapkan itu adalah di pihak yang benar? 

Apa alat yang nak kena pakai?

Takkan nak kena pakai alat yang dikeluarkan oleh Tok Guru itu juga. Dah tentu dia akan sediakan alat yang hanya mengesahkan kebenarannya saja. 

Tak ada alat yang lebih universal ke?

Akhir sekali, terpaksa pergi kepada sumber asal kepercayaan Islam juga iaitu Al-Quran itu sendiri. Kena buat apa yang kawan saya itu buat di atas tadi. Mencari dan kekal mencari dengan tujuan untuk tingkatkan pemahaman, tingkatkan penguasaan emosi, tingkatkan motivasi dan tingkatkan keupayaan membuat keputusan yang betul. Balik-balik terpaksa guna akal dan kesedaran sendiri juga.

Dan memang dalam Al-Quran ditegaskan dengan jelas bahawa masing-masing bertanggung jawab dengan dirinya sendiri. Tak ada siapa dapat bantu, bahkan cubaan untuk salahkan Syaitan sekalipun tak akan berjaya di akhirat nanti sebab dia lebih awal menafikannya. Dia hanya syorkan dan diri sendiri lah putuskan untuk ikut.

Ayat sama, tafsiran berbeza

Panjang juga saya tuliskan mukadimahnya sedangkan tajuknya mudah saja. Tentang ayat yang saya terima dari kawan tadi yang saya rujuk satu demi satu tafsirannya dari berbagai sumber. Penerangan di atas sebenarnya adalah untuk menjelaskan apa yang nak saya sampaikan berkenaan perbezaan tafsiran terhadap satu ayat yang sama ini.

Ini ayat yang saya dapat.

بسم الله الر حمن الر حيم..                                    

 يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِن تُطِيعُواْ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ يَرُدُّوكُمۡ عَلَىٰٓ أَعۡقَٰبِكُمۡ فَتَنقَلِبُواْ خَٰسِرِينَ 

Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu taatkan orang-orang yang kafir nescaya mereka akan menolak kamu kembali kepada kekufuran, lalu menjadilah kamu orang-orang yang rugi.

Âl-`Imrân: 149

Hampir semua tafsiran yang ada di dalam internet adalah sama. Perkataan yang menarik untuk dilihat di sini adalah 'Aamana' dan 'Kafara'. Semua tafsiran akan merujuk perkataan aamana kepada mereka yang beriman atau percaya. Manakala perkataan kafara merujuk kepada mereka yang tidak percaya.

Huraian tafsirannya adalah, yang beriman itu adalah orang Islam dan yang tidak beriman itu adalah bukan Islam. Maka mudah saja pemahamannya yang melegakan orang yang sudah Islam. Dia hanya perlu tak ikut dan tak taat pada orang kafir saja. Selamatlah dia. Dengar dan taat kepada orang Islam sahaja itu, juga diguna pakai oleh mereka yang menjadikan agama sebagai alat politik mereka.

Saya buka Tafsiran berbeza dari Muhammad Asad, seorang Yahudi yang masuk Islam dan usahakan terjemahan Al-Quran ke dalam Bahasa Inggeris. Terjemahan itu diharamkan oleh Arab Saudi pada tahun 1974 sebelum ia diterbitkan pun lagi! sebab tak seiring dengan aliran Wahabi.

Ini apa yang Muhammad Asad terjemahkan.

O YOU who have attained to faith! If you pay heed to those who are bent on denying the truth, they will cause you to turn back on your heels, and you will be the losers.

Lihat semula apa yang anda dapat faham dari terjemahan Muhammad Asad di atas. Ia membawa kepada satu pengertian yang lebih mendalam. Tak ada di sebut antara Islam dan Kafir di sini sebagai mana yang kebiasaan orang Islam fahami dan rasa selamat.

Ia umum untuk mereka yang beriman dalam mengikuti sesuatu kebenaran. Samada ikut orang Islam atau tidak, seandainya anda cenderung untuk ikut mereka yang menolak kebenaran, maka anda akan tersesat.

Ia juga tidak meletakkan ahli politik yang menggunakan agama sebagai alat untuk urusan politik mereka tidak selamat dari ayat tersebut. Sekalipun seseorang itu perjuangkan Islam yang dia faham, jika dia cenderung kepada menolak yang benar, maka tak boleh ikut. Siapa yang ikut akan berada dalam kerugian.

Saya sedar apa yang saya kongsikan di atas, jika di baca oleh para ustaz, akan menyatakan apa yang saya buat itu salah. Saya tidak ada alat yang cukup, tak ada kemahiran yang cukup untuk membuat rumusan sedemikian .. lebih baik tak payah fikir, ambil tahu pun tak perlu dan dengar serta ikut sajalah aliran yang di putuskan oleh para ulama di luar sana .. 

Itu mungkin betul bagi mereka yang sudah ikut aliran yang betul, yang sama macam ustaz tu. Tapi bagi mereka yang ikut aliran yang berbeza dari ustaz tersebut, yang salah, sudah tentu mengundang masalah jika dia terus kekal untuk ikut saja apa yang tok guru di atasnya faham .. maka apa caranya untuk sedar bahawa ia berada di aliran yang salah seandainya dia main ikut saja?

Sukar untuk berubah kepercayaan

Dari statistik kepercayaan agama, hanya 3% sahaja mereka yang lahir dalam satu aliran agama akan berubah kepada kepercayaan lain. Ertinya jika anda lahir di India, kemungkinan anda akan kekal jadi Hindu sampai mati. Jika lahir di Iran, anda akan jadi Syiah, jika lahir di Arab Saudi, anda akan jadi Wahabi, jika lahir di Rome anda jadi Kristian, jika lahir di China anda ikut Lau Szu atau Confucious, jika lahir di nepal anda akan ikut Dalai Lama, jika lahir di Perlis anda akan ikut Asri dan jika anda lahir di Kubang Semang anda akan ikut Aliran Tua Pondok ..

Dengar dan taat itulah yang menjurus kepada hanya 3% sahaja mereka yang mengubah kepercayaan masing-masing takkira samada kepercaya itu tahyul, logik atau celaru, betul atau salah.

Wallahu'alam!

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Ayat yang sama dengan 2 tafsiran makna yang berbeza - Nak ikut yang mana satu?

Previous
« Prev Post

3 comments:

  1. Saya org Johor, belajar sekolah agama Johor, yg akidahnya beraliran Asy'ariah-Maturidi, Fekahnya beraliran Syafi'iyah, Tasauf (pengajian akhlaknya) beraliran Ghazaliyah. Aliran perdana di Malaysia skrg.

    Sekolah menengah masuk sekolah berasrama penuh, ikut usrah di asrama, cenderung beraliran Wahabiyah, hinggalah ke universiti, terus dgn usrah usrah yg cenderung kewahabian. Ikut pula program satu parti politik dan usrahnya, juga cenderung kewahabian. Nampak mudah, pegang Quran Dan Sunnah, ikut kefahaman sendiri sendiri, membenteras amalan amalan bid'ah dan kepercayaan kepercayaan yg pelik pelik.

    Tafsir cara wahabiyah, terjemahan Mohd Asad nampak cantik. Ikut aliran pondok, panjang ceritanya, kena gi ngaji pulak, sudahnya ikut ajer apa tok tok guru kata.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kata ustaz ustaz, nak elak tersalah ikut, sebelum tidur jgn tinggalkan Surah Al Kafirun, sehari sekali baca 10 ayat dr permulaan atau akhir Surah Al Kahfi, bnykn berselawat utk Nabi saw, dan amalkan doa,
      "Allahumma arina haqqa haqqan, warzuqnattiba'ah, wa arina batila batilan, warzuqnajtinabah - Allahumma ! nampakkanlah bg kami yg benar itu benar dan jadikanlah kami pengikutnya, dan nampakkanlah bg kami yg batil itu batil, dan jauhkanlah kami drnya".

      Delete
    2. Terima kasih sudi komen kongsikan pengalaman dan pedoman di atas ya !

      Delete

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !