Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Monday, August 28, 2023

Bagaimana dunia moden jadikan manusia semakin gila dan sukar berikan tumpuan

  Anonyme       Monday, August 28, 2023


Dah berapa kali pernah berlaku, anda keluar dari rumah kemudian berpatah balik tak lama kemudian, sebab nak ambil telefon yang tertinggal masa mula keluar tadi?

Jika ada yang beritahu dia tak pernah patah balik, teruskan saja ke destinasi atau teruskan saja buat kerja seperti biasa tanpa telefon, anda memang terlalu luar biasa.

Hampir semua orang sekarang bergantung penuh kepada telefon pintarnya dalam meneruskan urusan seharian. Tahap kebergantungan itu sudah tentu berbeza-beza.

Bagi orang yang cari makan dengan pakai telefon itu, tak dapat elakkan diri untuk terus berkepit dengan telefon itu. 

Mekanik kedai baiki kereta umpamanya, yang sentiasa mendapat panggilan telefon dari pelanggan atau pekerja atau lain-lain yang berkaitan dengan urusan menguruskan bengkel kenderannya, sudah tentu amat bergantung kepada benda tu.

Apatah lagi jika anda seorang pemandu grab, atau penghantar barang dari syarikat JNT atau seumpamanya, mana boleh buat kerja kalau telefon tu tak ada. Benda itu sudah jadi alat buat kerja. Sama seperti perlunya gergaji bagi seorang pemotong kayu. 

Tapi ada juga orang yang tak cari makanpun dengan phone tersebut. Kebanyakan masa, dia pakai telefon itu untuk main game saja. Sekali sekala dapat panggilan dari kawan, kemudian sambung main game lagi.

Orang yang begitupun, ramai akan patah balik apabila dia keluar rumah tertinggal telefon. Hidup terasa janggal apabila berjalan keluar tanpa telefon.

Pergi masjid bawa phone, pergi rumah kawan bawa phone, pergi berkelah bawa phone, masuk jamban bawa phone .. anda boleh buat panjang lagi senarainya.

Tak boleh hidup tanpa phone

Banyak alasan kenapa telefon diperlukan. 

Semua orang akan berikan jawapan selari seperti di atas. Hidup sudah terikat dengan benda tu. Maklumat semua di dalamnya, nombor kawan ada dalam tu, duit keluar masuk pakai telefon tu, nak cari jalan ke mana-mana pakai phone tu juga.

Itulah ciri-ciri manusia moden. Memang anda tak salah untuk berikan alasan betapa perlunya ada peralatan tersebut. 

Sama seperti mana anda sekarang perlukan kenderaan, perlukan dapur gas, atau dapur letrik. Sama macam anda perlukan ketuhar letrik di rumah, perlukan air paip lengkap dipasang penapis mahal, perlukan cucco, perlukan cermin, perlukan kaca mata, perlukan letrik dan seribu satu macam keperluan lagi.

Semua itu adalah untuk kemudahan manusia. 

Kerajaan dianggap gagal jika tidak dapat sediakan semua kemudahan moden sama taraf dengan semua negara membangun atau maju lain di dunia ini.

SEmua manusia di selruh mukabumi berkejaran ke satu arah yang sama. Menuju kemodenan.

Dan kamodenan itu juga yang membawa manusia menjadi semakin lama semakin gila.

Hilang daya tumpuan

Kesedaran terhadap hilangnya daya tumpuan manusia sudah dapat dirasakan di seluruh dunia. Banyak kajian yang menunjukkan daya fokus semua orang sangat rendah.

Salah satu nasihat yang sering anda dapat adalah untuk amalkan 'digital detox'. Jauhkan diri dari penggunaan telefon pintar bersama dengan seribu satu maca aplikasi yang ada di dalamnya untuk satu tempoh yang tertentu.

Itu dikatakan dapat baiki daya tumpuan anda.

Tapi sebenarnya itu hanya salah satu saja punca kecil dari keseluruhan punca yang ada. Ia sebenarnya jauh lebih kompleks dari apa yang anda sangkakan. Masalah hilang daya tumpuan adalah satu masalah sistemik.

Keseluruhan sistem kehidupan moden telah membuatkan manusia jadi hilang daya tumpuan, tidak membuat keputusan dengan cekap, tidak dapat berfungsi menggunakan akalnya dengan baik.

Satu masa nanti akan hilang kelebihan sebagai seorang manusia itu sendiri jika berterusan begini. Dan saya yakin itu tidak dapat dielakkan lagi. memang manusia keseluruhannya sedang menuju ke sana, ke dalam keadaan itu.

Bezanya hanyalah siapa yang akan sampai lebih lambat, itu saja.

Gaya hidup berubah

Dalam buku tulisan Johann Hari yang bertajuk Stolen Focus, beliau himpunkan keseluruhan maklumat yang menarik dari kajiannya terhadap masalah hilangnya daya tumpuan terhadap manusia sekarang.

Dia sedar adanya masalah itu terhadap dirinya sendiri lalu berusaha untuk betulkannya. Tapi apabila kajian di lakukan, ternyata tak boleh fokus bulan masalah peribadi. Ia merupakan masalah keseluruhan sistem kehidupan itu sendiri yang membuatkan berlaku perubahan terhadap otak manusia.

Saya melihat hilang upaya terhadap kemampuan otak adaah sama dengan hilangnya upaya terhadap kemampuan menjadi manusia itu sendiri.

Apa yang membuatkan manusia berbeza berbanding haiwan atau makhluk lain adalah keupayaan akal itu sendiri. Keupayaan berfikir, merasakan keadaan berfikir, melalui pengalaman hidup dan menggunakan semua itu dalam membuat keputusan.

Apabila keupayaan itu hilang, maka sama sajalah manusia dengan haiwan.

Aplikasi melekakan

Dalam kajian yang penulis itu buat, memang salah satu kesan besar yang merosakkan keupayaan manusia berikan tumpuan adalah aplikasi yang ada pada telefon pintar.

Ia menyentuh usaha semua aplikasi yang ada di situ berusaha untuk mencuri tumpuan setiap manusia yang menggunakannya.

Makin lama anda diikat melayan aplikasi itu, bermakna makin banyak duit yang mereka boleh jana. 

Untuk lakukan itu semua, para jurutera dan pemikir yang terbaik di bayar dengan gaji yang amat lumayan dengan matlamat bagaimana mengahsilkan suatu produk yang dapat jadikan manusia melekat dan ketagih menggunakannya.

Kerja dan tekanan hidup

Budaya kerja yang berlebihan disertai tekanan kehidupan juga membuatkan daya tumpuan manusia rosak. 

Berbagai peralatan di reka untuk pastikan manusia dapat buat kerja siang dan malam. Antara ciptaan paling hebat untuk pastikan manusia sentiasa dapat buat kerja adalah lampu.

Selama ini kita anggap lampu adalah satu ciptaan ajaib yang memberi kemudahan kepada kehidupan manusia. Tapi bila saya baca buku itu, nampak satu sudut lain yang sebenarnya ia merosakkan gaya hidup manusia zaman moden.

Dengan adanya lampu, waktu rehat mula berubah. Tempoh masa kerja menjadi panjang dan paling penting keupayaan manusia untuk rehat menjadi rosak.

Makanan merosakkan

Ketamakkan para pengusaha perindustrian untuk buat duit juga memberi sumbangan kepada soraknya daya tumpuan manusia.

Berbagai ramuan yang membuatkan anda terliur di reka sedangkan semua bahan yang digunakan adalah menghancurkan dan tidak sesuai untuk kejadian manusia itu sendiri.

Sumber makanan manusia sudah tidak segar lagi sebab untuk sediakan makanan segar, perlu ada tanah, tanam dan hasilkan sendiri. Kalau semua manusia buat begitu, siapa nak kerja kilang buat benda sampah untuk dijual kepada manusia di atas mukabumi ini.

Lalu makanan cepat di reka, bahan tahan lama direka supaya makanan boleh disimpan dan hasilnya makanan jadi tahap sampah yang tidak dapat memberkan keperluan makan yang baik.

Makanan ada di pasaraya. Tak ada siapa dapat hasilkan makanannya sendiri yang segar sebab rumah tempat tinggal pula hanya ada simen dinding dan bumbung. Tanah nak bercucuk tanam tak ada.

Anak membesar terkurung

Bahan-bahan yang digunakan untuk membina rumah dan bangunan pula penuh dengan baha  pencemaran yang membuatkan udara jadi toksik. Sama racun seperti pencemaran alam sekeliling yang ada di semua bandar di negara maju.

Rumah sempit, terkurung tanpa tanah itulah tempat anak-anak dibesarkan. Duduk depan tv atau main game. Tiada peluang keluar masuk rumah kejar atas padang, masuk hutan atau cipta permainan dari alam sekitar seperti tok nenek manusia dahulu.

Dari situ pertumbuhan anak-anak terjejas dan timbul berbagai masalah seperti hyperactive ADHD dan sebagainya.

Aanak tak mampu berdikari sebab tak ada ibubapa yang akan biarkan anak-anak jalan sendirian ke sekolah. Nanti kena culik. Semuanya pergerakan anak kecil diarahkan sehingga mereka jadi tidak kreatif langsung.

Banyak lagi yang disenaraikan dalam buku itu. kalau baca nampak jelas dan nyata seperti tidak ada penyelesaian selagi keseluruhan sistem yang ada tidak dihancurkan.

Memang jelas dan nyata kehancuran pasti datang. Bersedialah untuk pengadilan di sana nanti supaya kehidupan yang sebenar di sana akan bahagia. Wallahu'alam.

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Bagaimana dunia moden jadikan manusia semakin gila dan sukar berikan tumpuan

Previous
« Prev Post

2 comments:

  1. saya menjauh telefon apabila berada dalam masjid dan memandu...walaupun kadang-kadang terpaksa guna waze atau Google Maps

    ReplyDelete

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !