Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Thursday, August 24, 2023

Kelazatan masakan Restoran M Salim Tokong dan berakit mengharung jeram di Sungai Kampar, Gopeng

  Anonyme       Thursday, August 24, 2023


Kalau guna google untuk terjemahkan White Water Rafting, dia akan beri makna 'Berakit Air Putih'. Itu dalam Bahasa Malaysia. Kalau google terjemah ke Bahasa Indonesia pula jadi 'arung jeram'.

Saya buka kamus dewan, perkataan arung adalah gelaran raja atau puteri bagi orang Bugis. Satu lagi, maknanya adalah arungan atau harung.

Rafting pula bermakna rakit. Dari aktiviti White Water Rafting yang biasa disediakan di pusat perkelahan sekarang, sebutan rakit agak mengelirukan sebab perkataan rakit itu bermakna sejenis pengangkutan yang dibuat dari ikatan batang-batang buluh dihampar atas sungai.

Apa yang dimaksudkan sebagai White Water Rafting di atas tu adalah aktiviti naik bot yang diperbuat dari bahan PVC atau lain seumpamanya yang ditiup udara supaya dapat terapung ringan di atas air untuk mengharungi arus deras dalam sungai.

Kalau naik rakit dari batang buluh di air deras tu saya pasti bukan saja akan terbalik. Malah mungkin akan pecah berterabur batang buluh tu.

Apa yang nak saya cerita di sini adalah pengalaman Arung Jeram dengan bot udara ringan tu di Sungai Kampar Perak.

Rock Garden Gopeng

Keinginan nak cuba aktiviti Rafting tu memang dah lama terpendam dalam hati tapi tak ada kesempatan untuk buat.

Tanpa di rancang, ketika buat kerja lebih 2 minggu di Perak baru-baru ni, ada ruang masa rehat 2 hari, kawan ajak rehat lepaskan lelah sebentar di alam semula jadi katanya.

Dia kata ada satu resort nama Rock Garden di Gopeng. Ada jeram dan suasana damai di kawasan tersebut. Boleh mandi sungai dan segarkan semula tubuh badan. Yang paling best, ada aktiviti rafting kalau nak main di situ.

Saya setuju sangat. Memang aktiviti bersama alam ni sesuatu yang saya suka dari dulu lagi.

Makan Nasi kandar M Salim

Tanpa buang masa, selesai semua kerja di Taiping, kami gerak naik ke Ipoh hari selasa. Kebetulan sampai di Ipoh dah waktu tengahari, perut dah rasa lapar.

Mulanya, macam biasa nak makan Nasi Ganja yang terkenal tu di Jalan Yang Kalsom tu. Tapi kawan saya yang lama duduk di Ipoh beritahu ada satu lagi kedai yang jauh lebih lazat di Ipoh

Dia beritahu hanya orang Ipoh saja yang tahu kedai tu. Dia agak tersorok dan kalau lalu memang tak akan perasan. Nama kedai tu M Salim.

Saya biasa dengar nama restoran M Salim tu sebab ada sebuah restoran dengan nama yang sama tak jauh dari Kedai Nasi Ganja yang saya sebut di atas tadi. Kalau diikutkan citarasa, saya lebih suka rasa makanan di kedai M Salim berbanding kedai nasi ganja.

Jika kedai Nasi Ganja ramai mengarut, saya akan terus ke M Salim saja. Kalau lewat dalam pukul 3 petang camtu, ada capati. Itu lagi sedap sebab capatinya sangat lembut dan panas makan dengan kuah apa saja.


Dari kawan tu saya baru tahu yang M Salim ni ada banyak cawangan di sekitar Ipoh Perak. Yang dia maksudkan restoran tersorok M Salim tadi adalah salah satu dari cawangannya.

Biasanya orang Ipoh akan panggil M Salim Tokong untuk membezakan restoran tu dengan Salim yang ada di tempat lain.

Dalam leka berbual sambil bergerak di Ipoh akhirnya kami sampai di M Salim Tokong. Memang betul kedai tu sangat tersorok. Bukan saja berada di dalam kawasan sibuk dan tidak menonjol, malah depan kedai tupun ditutup oleh pokok sampai signboard tak nampak.


Tapi bila masuk ke dalamnya, sangat bersih dan suasana sangat selesa. paling best, tak ramai sangat orang berebut meja macam di kedai nasi ganja tu..

Diringkaskan cerita, saya yang memang dah kelaparan terus pergi ambil nasi, ayam masak bawang dan sayur. Duduk dan makan .. perghh memang selera tekak saya. Tak sia-sia cuba di kedai tu.


Menu kegemaran yang selalu orang makan di M Salim Tokong adalah kari kepala ikan. Beberapa hari selepas makan dengan kawan tadi, saya bawa satu keluarga pula untuk makan tengahari di situ dan kami ambil kari kepala ikan. Memang lazat !

White Water Rafting

Berbalik kepada cerita ke Rock Garden tadi, selepas kami makan di M Salim, terus gerak naik ke Gopeng menuju ke Rock Garden. Tak jauh sangat dan akhirnya kami sampai.

Pertama kali masuk ke kawasan tu menarik dan suspen juga sebab selelah lalu kawasan taman, masuk lagi lalu kawasan kampung dan kemudian masuk kawasan kebun kelapa sawit yang tak ada jalan tar.

Saya ingatkan tentu Rock Garden tu kawasan hutan dara yang redut nyaman. 

Tapi ternyata salah sangkaan saya. Resort Rock Garden tu dan botak habis pokoknya. Cerah tak macam hutan pun. Aktiviti pembinaan masih giat berjalan dengan tambahan chalet berbentuk khemah.


Terus terang saya rasa benci masuk hutan dan sungai yang botak tak ada pokok begitu. Tak guna buat tempat peranginan yang hanya merosakkan suasana. Nasib baik masih ada sungai dan jeram tu, sejuk la juga.

Sementara tunggu kawan selesaikan penginapan saya lepak sebentar tepi sungai. Dah diganggu oleh bunyi motor hisap air la pulak. Punya la bingit menenggelamkan habis semua bunyi segar aliran air sungai. Tiada kedengaran bunyi unggas dan segalanya dilenyapkan oleh bunyi mesin yang siul tu.

First impression dah gagal buat saya. Tapi layan juga sebab esoknya nak harung jeram dengan bot angin tu.

Malam tu kami makan roti canai frozen saja. Ada kawan bagi beberapa tin sardin cap ayam, kami panaskan di dapur yang rosak disediakan di dewan makan situ. Tiada kedai atau makanan disediakan di situ. Kalau nak makan malam, boleh keluar dari situ ke kampung Sungai Itik di depan tu.


Esok pagi, jam 9 kami terus naik lori, kami hanya 5 orang pagi tu dan akan naik 2 bot. Sambil bergerak atas lori tu kelihatan suasana kawasan perkelahan dan perkemahan yang banyak di sekitar sungai kampar tu.

Dari maklumat sata dapat tahu rupanya ada sebanyak 38 resort dalam kawasan tersebut. Semuanya ada keunikkannya yang tersendiri. Malah ada banyak resort yang saya rasa sangat kemas dijaga dan sangat cantik. lain kali boleh cuba resot lain pulak.

Akhirnya sampai ke tempat mula kami lancarkan bot masuk ke dalam air. Sebelum tu ada taklimat keselamatan dan cara kendalikan bot tersebut.

Hari tu air banyak, orang tak ada, maka memang sangat nikmat perjalanan kami dari atas turun ke bawah mengikuti arus yang sangat deras. Masa bergerak, di tempat yang tak bahaya, sengaja tekong bot kami terbalikkan bot, sempat juga saya tertelan sikit air sebab tak bersedia.

Bawa keluarga Ke Rock Garden

Selesai semua urusan kami keluar sambung kerja di Ipoh pula. Malam tu saya kongsikan pada anak-anak gambar mengharungi air deras dalam bot. Mereka kecek nak cuba juga.

Maka, hari jumaat, selepas habis sekolah, saya suruh mereka datang dari KL ke Ipoh. Tidur semalam di Ipoh dan esoknya, saya dah habis kerja dan bawa keluarga pula masuk ke Rock Garden sekali lagi.

Yang tak best masuk hari minggu adalah terlalu ramai orang. Nasib baik saya dapat juga tempah 2 chalet yang berharga RM100 sebuah. Tapi chalet tu berbentuk khemah yang diperbuat dari kanvas.

Masuk waktu petang hari sabtu tu masih ok sebab dah tak panas. Tidur malam juga ok. Cuma bilik air ada di luar. Tak seperti chalet awal yang saya duduk diperbuat dari batu kemas dan besar serta bilik air ada di dalam.

Seksaan adalah maksimum bila keesokkan harinya waktu tengahari panas terik, duduk dalam chalet bentuk khemah tu terasa seperti neraka. Silau dengan warna di dalamnya, panas sekalipun ada aircond. Sia-sia saja ada aircond dan kipa angin tu sebab saya memang rasa macam nam mampu duduk dalam tu dalam keadaan cua panas di tengari.

Memang sangat tak sesuai chalet dari kanvas tu. Puncanya adalah sebab kawasan tu dah dogol botak habis semua pokok tu. Tak redup damai dan sejuk seperti hutan. Jad dah sah bukan tempat yang sesuai untuk khemah.

Saya nasihatkan anda yang nak ke sana, elakkan sewa apa apa chalet dari kanvas seandainya kawasan perkemahan atau resort tu terbuka lapang tanpa pokok-pokok besar seperti dalam hutan. Itu kerja gila yang tidak difikirkan secara mendalam dalam menyediakan kemudahan untuk orang bersantai dan merehatkan diri.

Selepas subuh pagi sabtu tu, saya bawa anak-anak keluar ke kampung di depan tu untuk sarapan. Makan nasi lemak, roti canai dan kuih muihnya sangat menyelerakan. Ada sebuah kedai kampung khas untuk sarapan saja di situ.

Kalau anda ke sana, saya syorkan keluar waktu pagi dan sarapan di situ, berbaloi. Gambar mula sekali di atas tu adalah kedai saran di kampung sungai itik yang saya makan tu.

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Kelazatan masakan Restoran M Salim Tokong dan berakit mengharung jeram di Sungai Kampar, Gopeng

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !