Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Monday, August 21, 2023

Mencintai kucing sehingga akhirnya menjadi hamba tukang buang najis kucing

  Anonyme       Monday, August 21, 2023


Menurut cerita dongeng dari bangsa Yahudi, kucing asal yang pertama tinggal bersama Nabi Adam di dalam rumahnya sebagai haiwan peliharaan untuk menghapuskan masalah tikus.

Samada benar atau tidak yang kucing pertama duduk dengan Nabi Adam, tak boleh disahkan dengan yakin. Tapi yang betul dan pasti adalah kegunaan kucing sebagai binatang peliharaan bagi mengawal serangan tikus yang datang merosakkan makanan manusia.

Dari kajian yang para penyelidik kucing jalankan, kucing mula dibela oleh manusia di kawasan yang dikenali sebagai 'Fertile Crescent' sejak 7500 BCE dulu. Jika diterjemahkan ke Bahasa Malaysia, di panggil Hilal Subur. Ia merangkumi Iraq, Kuwait, Syria, Lebanon, Jordan, Israel/Palestin, juga termasuk di pinggir tenggara Turki dan pinggir barat Iran.

Bela kucing kawal makhluk perosak

Fertile Crescent dikatakan asal usul bermulanya perkembangan tamadun manusia di daerah sana kerana kesuburan dan sumber air yang ada padanya. 

Kalau anda baca banyak kajian perkembangan tamadun manusia dari zaman dulu, semuanya akan rumuskan bahawa ia bermula apabila manusia mula bercucuk tanam. Pertanian adalah pencetus kepada pembinaan sesebuah ketamadunan.

Bila makanan diusahakan secara banyak, maka sudah tentu akan ada lebihan yang perlu disimpan untuk dijadikan stok. Perlu ada tempat yang perlu dibina, juga bekas yang boleh gunakan untuk masukkan dan simpan makanan di dalamnya.

Semua itu akan menarik kehadiran binatang lain yang perlukan jenis makanan yang sama yang digunakan oleh manusia. Contohnya binatang seperti burung dan tikus akan tertarik untuk pergi ke penempatan manusia yang ada banyak simpanan makanan.

Maka bermulalah penggunaan kucing sebagai binatang kawalan makhluk perosak dan pencuri makanan manusia.

Haiwan kecil yang suka curi atau rosakkan makanan simpanan manusia tu kebetulan merupakan makanan untuk kucing. Jadi bersesuaian sangat untuk manusia bela kucing. Lagipun, kucing ni memang mudah mesra dengan manusia dengan sifatnya yang suka bermain dan punya tahap kepandaian yang baik berbanding binatang lain.

Kucing merebak ke seluruh dunia

Bila manusia dah maju, ada sistem pengangkutan, bermula pula perhubungan sesama manusia dari benua-benua yang berbeza. Mereka berdagang dari satu tempat ke tempat lain dengan menaiki kapal membawa makanan dan bahan dagangan lain.

Kapal besar yang dipenuhi makanan juga menjadi tarikan binatang perosak dan pencuri makanan manusia yang saya sebut di atas tadi. Tikus juga boleh masuk dan membiak dalam kapal sebab ada banyak makanan di situ.

Burung juga dengan mudah boleh terbang dan masuk kapal.

Jika tiada kawalan maka akan habis dan rosak semua makanan dalam kapal. Perlu ada satu cara untuk kawal tikus dan burung dari habiskan makanan dalam kapal tu. 

Sebab itu setiap pelayaran akan ada kucing di bawa bersama di dalam kapal. Tugasnya adalah untuk kawal binatang perosak tersebut.

Dari situ juga kucing mula merebak ke seluruh dunia termasuklah ke negara kita Malaysia.

Cinta berlebihan pada kucing

Kenapa saya tulis pasal kucing?

Saya bukan seorang pencinta kucing. Bukan juga seorang pembenci kucing. Macam mana saya lihat semua binatang lain yang setiap darinya ada kelebihan dan masalah yang diberikan kepada manusia, macam itu juga saya lihat kucing.

Cuma saya mula rasa hairan dengan budaya kongsi gambar, bahan berita dan sebagainya tentang kucing yang sangat menjadi-jadi di media sosial sekarang.

Kongsikan cerita, pamerkan sikap cintanya pada binatang di anggap sangat comel, untuk wanita. Untuk lelaki pula di anggap sangat romantik. Lelaki macho sekalipun mampu cairkan hati wanita jika dia sangat suka kongsikan gambar kucing. 

Lelaki macho yang lihat kucing berwarna oren lalu menulis atau menyebutnya sebagai Oyen terus akan jadi lelaki idaman. Postingnya akan dikongsi dengan laju. Anak dara manja akan jatuh suka kepada jejaka macho yang tahu bahawa kucing berwarna oren perlu disebut Oyen !

Terus terang saya mula jadi meluat dengan cinta berlebihan terhadap kucing.

Manusia jadi hamba kucing

Biasanya manusia tak akan bela binatang melainkan ada tujuan penting untuk kehidupannya. Bela lembu contohnya, selain dari keperluan terhadap daging, lembu juga digunakan dalam aktiviti pertanian.

Anjing pula sudah diketahui umum sejak dahulu digunakan untuk membantu banyak kerja manusia seperti penternakan, pemburuan, dan keselamatan.

Sama macam kucing, tujuan asalnya adalah untuk kawalan makhluk perosak makanan.

Tapi dah jadi lumrah manusia ni sejak dahulu agaknya, sentiasa tertipu dengan apa saja bahan yang dia rasa telah berjaya dikuasainya.

Sebagai contoh, asalnya makan seperti buah, bijirin, daging haiwan dan sebagainya hanya perlu diambil dalam hutan saja. Tak payah susah-susah bercucuk tanah, sakit pinggang dan habiskan masa usahakan tanaman.

Tapi manusia akhirnya berjaya usahakan kebun dan ladang untuk tanam dan bela binatang sebagai sumber makanan. Lalu masa dah terikat. Manusia dah mula kena buat kerja membanting tulang dan akhirnya manusia jadi hamba kepada perladangan.

Manusia berakhir dengan menjadi hamba kepada kebun, ladang dan seumpamanya sampai sekarang.

Macam kucing juga. Mulanya manusia rasa dia dah kuasai kucing untuk digunakan sebagai penjaga makanan dari tikus dan burung. Kucing pula lanja, pandai ambil hati. Lama-lama manusia pula jadi hamba kucing. Kena beri makan, buang taik dan belai manja binatang tu

Sekalipun tak ada benda yang perlu di kawal oleh kucing tu dalam rumah sekarang, kucing tetap dibela dan dimanja selain semua makan minum dan najisnya diurus oleh manusia yang membelanya itu.

Di zaman Firaun dulu, dari menjadi haiwan peliharaan untuk tujuan kawalan makhluk perosak makanan, akhirnya kucing jadi binatang pujaan ke tahap yang sangat mengarut. Dikebumikan dan mumikan dan dibina patung khas melambangkan dewi kucing berkepalakan kucing.

Aksi begitu dah hampir berlaku di negara kita. Kematian kucing menjadi sesuatu yang amat memilukan. Satu keluarga murung, sedih tidak dapat melupakan kucing dewi belaannya. Sebut saja oyen mula menangis dan lihat kucing seiras yang matu tu terus histeria.

Saya pernah lihat seorang janda yang teresak-esak menangis atas kematian kucing belaannya seolah-olah kucing itu berperasaan. Atau mungkin ada sesuatu hubungan yang luar biasa antara kucing itu dengan janda tersebut saya tak tahu lah.

Adakah semua perkembangan ini sengaja dirancang oleh pihak berkepentingan tertentu?

Itu soalan yang muncul dalam kepala saya sekarang. Secara logiknya, memang ada kemungkinan besar sebab industri sediakan makanan dan segala ubatan kucing adalah satu industri yang sangat besar sekarang di seluruh dunia. Sama macam industri anjing juga.

Asalkan boleh buat duit, tak menghairankan mesin propaganda akan digembeling di seluruh dunia dengan giat untuk memimpin cara manusia bertindak dan berfikir tanpa manusia itu sedari. Jika perlu untuk angkat kucing ke tahap dewa sembahan kaum firaun supaya permintaan terhadap barangan kucing meningkat, dah tentu mereka tidak teragak-agak untuk melakukannya.

Mudah benar manusia tertipu tanpa disedari .. Waallahu'alam!

Nota:

Sumber gambar dari sini.

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Mencintai kucing sehingga akhirnya menjadi hamba tukang buang najis kucing

Previous
« Prev Post

3 comments:

  1. Saya tak bela kucing, tapi bagi makan kat kucing jalanan yang datang ke rumah sekali sekala, jika ada makanan lebihan. Tapi bila kucing tu berak kat rumah jiran, ataupun beranak kat rumah sapa-sapa. Orang tu boleh tuduh itu kucing saya! Adooi, tak bagi makan macam zalim, dah bagi makan org fitnah itu kucing saya?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kucing tak ada tuan memang banyak di luar sana. Gara-gara orang bela kucing kemudian hangat-hangat taik ayam, lalu dibiarkan merayau tanpa tuan

      Delete

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !