Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Monday, November 27, 2023

Berubah jadi lebih muda setelah kena penyakit darah tinggi dan kencing manis

  Mohd Shubhi       Monday, November 27, 2023


Baru ini jumpa seorang kawan di Perak. Dah lama tak jumpa dan dia kelihatan berubah dari segi keadaan fizikal walaupun umur makin meningkat.

Pelik juga bila umur makin meningkat tapi tubuh badan kelihatan lebih sihat daripada beberapa tahun yang sudah. Apa yang dia buat?

Bila bersembang, baru dapat tahu cerita sebenar apa yang telah berlaku kepadanya. Semua bermula bila dia temankan anaknya yang masuk wad di hospital setelah kemalangan motosikal, patah teruk di merata tempat.

Untuk pulih memang ambil masa. Jadi banyak hari dia jadi warga hospital siang dan malam duduk dan tidur di situ. Satu hari sedang dia melilau di ruang legar, ada kempen derma darah sedang dijalankan di situ.

Dah tak ada kerja, maka dia serahkan diri untuk berikan sedikit darahnya. Sebelum darah di ambil dia perlu jalani pemeriksaan kesihatan terlebih dahulu. Bacaan darahnya sangat tinggi dah nak masuk peringkat ke-3.

Setelah duduk berehat dan tenangkan diri untuk diambil semula bacaan, tak ada perubahan pada tekanan darahnya yang sangat tinggi. Akhirnya, tak dapat buat derma darah dan dia kena masuk wad.

Tapi kawan saya itu tak ada rasa apa-apa pada keadaan dirinya. Pening atau sakit kepala tak berlakupun selama ini. Jadi dia malas dan minta tak mahu masuk wad, maka doktor berikan surat supaya dia pergi buat bacaan berkala untuk pantau tahap tekanan darahnya di klinik kesihatan berdekatan rumahnya.

Zero Gula !

Apa yang berlaku itu benar-benar membuatkan dia fikir panjang. Dia mula tanya kawan-kawan dan mencari panduan dari bahan-bahan bacaan yang ada bagaimana untuk atasi masalah darah tinggi nya itu.

Formula yang disyorkan oleh kawan-kawan yang dah amalkannya dengan kesan yang ajaib adalah tinggalkan terus dari pengambilan gula. Itulah yang dia nekad amalkan sejak itu.

Dia lansung tak ambil gula samada minum air kopi atau teh atau makan kek dan kuih muih yang ada gula semuanya ditinggalkannya terus 100%. Nasi juga dikurangkan ke tahap minimum dan lebihkan makan daging, ayam, telur atau ikan yang segar. Kalau nak manis dia makan buah saja.

Dan hasilnya, 3 bulan sahaja diperlukan untuk semua bacaan darah tinggi kembali normal. Kebaikan sampingan yang ketara adalah perut buncit hilang, berat badan turun, masalah kegemukkan hilang dan dia rasa jauh lebih segar dan bertenaga macam muda semula.

Saya dapat testimoni depan mata terhadap kelebihan tinggalkan terus pengambilan gula dalam kehidupan seharian.

Masalah kencing manis

Ramai rakyat negara kita diketahui ada penyakit kencing manis dan lebih ramai lagi kemungkinan besar ada kencing manis tapi tak tahu sebab tak beri perhatian untuk pergi buat pemeriksaan.

Kencing manis dah jadi perkara biasa sekarang sebab terlalu ramai yang kena. Kebanyakan orang akan terima kenyataan dengan tenang bila diberitahu dia ada kencing manis. 

Ketenangan itu lebih menonjol lagi bila dia langsung tak ambil perhatian untuk ubah jaya hidupnya agar bersesuaian dengan penyakit yang tak ada ubat itu.

Suka atau tidak, penyakit kencing manis adalah satu masalah pada orang yang mengidapnya. Bagi yang mendapat hidayah, dia jadikan masalah itu sebagai satu titik tolak perubahan hidup dalam menghadapi masalah itu secara positif.

Bagi yang tak dapat hidayah, dia menerima khabar berita itu sebagai hukuman. lalu dijadikan itu sebagai alasan untuk tidak meneruskan hidup seperti biasa. Dia layan kesedihan dan penyakit jadi lebih parah. Dia mahu layanan istimewa dan dikecualikan dari apa saja tanggung jawab hidup atas alasan penyakit tersebut.

Kelebihan ada masalah

Tak ada masalah yang menimpa diri anda melainkan jika masalah itu ditempuhi membuatkan anda menjadi seorang yang lebih baik daripada sebelumnya. 

Ada pertanyaan dalam Al-Quran yang boleh diambil iktibar dalam kehidupan seharian. Bunyinya begini.

Adakah anda ingat dengan mudah untuk mendapat kejayaan tanpa dikenakan berbagai ujian terlebih dahulu.

Ayat tersebut memberikan dua perkara penting untuk dihayati:

  • Punyai matlamat untuk berjaya
  • Bersedia menerima dugaan

Mereka yang berfikiran positif menerima masalah sebagai satu isyarat atau tanda-tanda untuk menempa kejayaan.

Pak Mansur dari Aceh

Pak Mansur ialah seorang warganegara Malaysia yang berasal dari Aceh.

Sudah puluhan tahun tinggal di Malaysia selepas berhijrah dari Aceh yang kacau bilau satu ketika dahulu. Dah lama juga saya tak jumpa beliau satu hari saya bertemunya untuk minum kopi di Kampung Baru.

Kali terakhir saya jumpa Pak Pansur dulu di Wangsa Maju, juga untuk minum kopi di waktu malam. Masa itu dia ialah seorang tua yang kelihatan berumur dan jenis yang suka menolak apa saja idea orang yang positif. Beliau agak berfikiran tertutup.

Tapi, malam itu saya terkejut melihat Pak Mansur. Rupa parasnya sama  tetapi perwatakan serta fizikalnya jauh lebih muda dari 2 tahun lepas. Puas saya renung mukanya yang sawo matang dan berkulit cekang, mantap dan handsome. Betulkah ini Pak Mansur?

Berbual lebih lama membuka satu lagi kelainan pada sikapnya. Dia lebih terbuka mendengar idea orang dan menerima segala yang positif. Beliau cukup bersemangat untuk menjayakan segala projek yang sedang dirancangkan bersama beberapa orang kawan.

Memang sah Pak Mansur sudah berubah. Bukan setakat fizikal malah mental sekali bertukar 360 darjah. 

Saya mesti tanya apa rahsianya.

Rahsia jadi muda

Sambil bergurau saya tanya apa yang beliau buat selama ini sehingga kelihatan jauh lebih muda. Dia menjawab dengan ceria, ‘saya kena kencing manis!.

Aduh! lagi pelik, apahal pulak kencing manis boleh buat dia jadi muda?.

Seterusnya dia jelaskan. Semenjak dapat tahu dia ada masalah kencing manis dia mula bersenam dengan berjalan kaki setiap malam sejauh 6 km. Itu lakukannya setiap malam walau dengan apa cara sekalipun. Dah nak masuk 2 tahun dia amalkannya tanpa jemu dan inilah hasilnya, “saya lebih muda dan bertenaga!”, kata Pak Mansur.

Pak Mansur jadikan berita buruk itu sebagai titik tolak perubahan untuk mengubah gaya hidup. Hanya satu perubahan yang dia lakukan. Namun dengan satu perubahan itu telah mengakibatkan semua perubahan lain berjangkit turut berlaku. Termasuklah cara berfikir dan juga cara buat kerja.

Ubah satu perkara

Saya ada baca satu teknik mengubah diri dengan hanya memberikan tumpuan pada satu disiplin baru. Kajian membuktikan bahawa hanya dengan melakukan begitu, secara automatik segala tabiat yang lain akan turut sama berubah.

Dalam kajian, kanak-kanak bermasalah yang diberikan tugas untuk menumpukan pada satu saja disiplin baru yang mereka minat, secara lansung berubah menjadi kanak-kanak yang baru. 

Sikap buat kacau hilang, perangai tak kemas bilik tidur terhenti, sikap suka membantu orang terbina, pelajaran di sekolah meningkat dan ringkasnya dia bertukar menjadi budak berpotensi.

Semua itu bertukar bila kanak-kanak tersebut mula memberi tumpuan hanya pada satu sahaja disiplin baru dia minat. Tak kira samada menyertai sukan, menyertai seni lukisan atau menyertai seni pertahankan diri. Yang penting, dia minat perkara itu dan beri galakan sehingga terbentuk disiplin untuk menguasai minat tersebut.

Boleh cuba 1 benda baru

Anda juga boleh berubah membaiki diri dengan teknik mudah ini. Kenal pasti satu disiplin baru yang anda minat sekian lama tapi tak buat. Berusaha untuk mula mendalaminya secara formal dan bina kemahiran tersebut dengan lebih mendalam.

Pilihlah apa saja disiplin samada kamera, ilmu menulis, sukan, bersenam atau apa saja yang menjadi kesukaan. Lakukannya secara istiqamah dan lihatlah perubahan pada hidup anda secara keseluruhannya, insyallah ia pasti berubah.

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Berubah jadi lebih muda setelah kena penyakit darah tinggi dan kencing manis

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !