Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Monday, November 20, 2023

Siapa yang dapat faedah hasil dari konflik dan peperangan antara Palestin dan Israel

  Anonyme       Monday, November 20, 2023


Siapa dapat manfaatnya?

Soalan itu sangat membantu untuk difikirkan dalam apa saja langkah dan keputusan yang manusia ambil. Sebab ia mampu membuka sudut pandang anda secara objektif tanpa terlebih dahulu membuat sebarang keputusan.

Itulah yang terlintas dalam benak kepala saya bila melihat konflik Israel - Palestin dan kejadian Israel membunuh rakyat Palestin di Gaza sekarang. Siapa yang mendapat faedah dari peperangan dan konflik yang sedang berlaku di sana tanpa perlu melihat sejarah dan permulaannya kenapa ia jadi begitu.

Doktrin materialis

Mula-mula saya nak cuba lihat dari sudut material sahaja terlebih dahulu tanpa melihat sudut spiritual atau keagamaan. 

Saya rasa ini lebih penting memandangkan pegangan manusia di hampir keseluruhan muka bumi sekarang, baik blok sosialis atau komunis, mahupun demokrat atau liberalis, malah sekalipun yang berlandaskan agama seperti islam, kristian, hindu, buddha, dan sebagainya, doktrin yang ketara di-anuti manusia adalah materialis.

Tak perlu dengar apa yang dicakap sebab mulut boleh kata apa saja yang terlintas di kepala manusia. Cukup sekadar lihat apa yang di buat. Amalan dan tindakan tidak dapat menipu secara konsisten sebab ia terlahir dari doktrin yang dipegang jauh di sudut hati manusia.

Perkara paling utama kepada penganut fahaman materialis adalah, 'more is better'. Hala tujunya adalah ke arah kuantiti. Lebih banyak lebih bagus. Semua negara ukur kemajuannya berdasarkan GDP dan GNP. Indeks itulah yang dikejar untuk sentiasa di naikkan. Lebih tinggi ertinya lebih maju membawa kepada lebih bagus.

Dari matlamat mencapai ketinggian indeks tersebut, semua alat propaganda di gerakkan di seluruh dunia demi mencapai angka tersebut. Samada media massa, media sosial, mesin propaganda kerajaan, mesin propaganda korporat, syarikat multi nasional dan sebagainya mengerahkan segala alat dan bahan propaganda mereka ke arah yang sama.

Oleh kerana majoriti manusia adalah golongan marhaen yang tak berupaya berfikir, kalau mampu pun tak akan sempat berfikir sendiri sebab kepala sudah dikawal oleh semua media propaganda dunia tersebut, maka apa yang difikirkan adalah seiring dengan apa yang segelintir mereka di peringkat global atas sana, mahukan manusia berfikir. 

Semua itu jadi satu permainan sahaja, permainan kuasa dan kekayaan dan nafsu keduniaan yang tidak pernah puas.

Nota: Anda mungkin rasa fahaman materialis tidak dipegang oleh para agamawan yang tenggelam dalam alam mistik dan kerohanian. Betul, memang golongan (yang marhaen mahu memujuk hati menahan kesusahan, yang kaya mahu dapat kuasa magis dari ketua supaya jadi lebih kaya), yang pilih jalan tinggalkan kebendaan dunia. Tapi setiap dari golongan dan aliran itu ada ketuanya dengan berbagai gelaran masing-masing, guru mursyid, maulana, habib, yogi, master, khalifah dan seumpamanya. Ketua-ketua itu mewah dan kaya raya menggunakan para pengikutnya untuk meraih segala kekayaan tersebut. Materialis juga akhirnya.

Maka saya yakin dengan hanya melihat siapa yang dapat faedah berdasarkan doktrin materialis dapat memberikan pencerahan yang baik dalam merungkai konflik Israel dan Palestin.

Kekayaan dari peperangan

Kekayaan dari peperangan pergi kepada para pembekal senjata dan kelengkapan ketenteraan. Kos peperangan baik yang ditanggung oleh Israel atau Hamas bukannya sikit. Perlu dilihat siapa pembuat dan pembekal senjata tersebut. 

Bukannya banyak pun para pembuat senjata moden, hanya segelintir saja. Mereka mendapat manfaat yang amat besar dari peperangan. Nyawa, bagi para pedagang senjata ini sikit pun tidak ada nilainya. Manusia atau haiwan bagi mereka adalah sama saja. Yang penting, mereka dapat meraih kekayaan dan kekuasaan. Cuma mereka lebih suka pada manusia sebab haiwan tak beli senjata sedangkan manusia lebih suka membunuh manusia lain dengan pakai senjata.

Jika anda cari maklumat di google, kos perang di Gaza yang ditanggung Israel mencecah sampai USD51 Billion. Itu termasuk kos pampasan kerosakan, kos kerugian perniagaan dan sebagainya. Kos senjata dan ketenteraan saya tak dapat cari. Tapi berdasarkan kos keseluruhan itu boleh agak mungkin ia dalam lingkungan suku ke separuh dari keseluruhan.

Siapa pembekal senjata dan ketenteraan terbesar kepada Israel?

Sudah tentu Amerika. Itulah negara syaitan yang paling besar mendapat manfaat dari konflik Israel dan Palestine. Sekalipun jika dilihat dari sejarah sangat nyata kenapa Hamas atau Palestin bertindak seperti mana sekarang adalah hasil dari tekanan, pembulian, jenayah kemanusiaan, pelanggaran undang-undang antarabangsa oleh Israel sejak berpuluh tahun sampai sekarang, Amerika dan sekutunya terutama Britain, buat-buat macam bodoh tak faham.

Sebab itu tidak hairan sangat jika diberi pilihan antara damai atau perang, kerajaan Amerika dah pasti pilih perang. Amerika adalah salah satu dari calon yang mendapat manfaat dari perang Israel - Palestine.

Dari mana Hamas dapat bekalan senjatanya pula?

Roket yang mereka lancarkan sejak dulu lagi bukannya sikit. Kos nya juga besar. Sekalipun tidak sebesar yang ditanggung oleh Israel, ia tetap satu jumlah yang sangat banyak. Dari maklumat di google dikatakan bajet Hamas untuk ketenteraan adalah dalam lingkungan USD100 juta setahun. 

Hamas kata mereka buat sendiri semua roket yang digunakan selama ini. Ada kilang untuk keluarkan roket yang sangat diperlukan oleh pejuang Hamas. Untuk senjata seperti senapang dan seumpamanya, maklumat menyatakan ia adalah senjata lama buatan Russia.

Untuk senjata dan kelengkapan ketenteraan yang mereka tak buat sendiri, semuanya masuk ke Gaza melalui pasaran gelap. 

Siapa penjual di pasaran gelap tersebut?

Orang barat tuduh pembekal senjata dan latihan perang serta teknologi diberikan oleh Iran. Mungkin betul dan mungkin tidak. Tak dapat dibuktikan bila main pasaran gelap ni.

Walau bagaimanapun, jika difikirkan secara logik, ada sebab yang baik untuk Iran memberikan sokongan dari segi latihan dan kemahiran kepada Hamas. Iran, terutamanya para pemimpin keagamaan mereka juga mahu negara Israel tidak aman. Ia ada kaitan dengan faedah yang disebut di bawah.

Satu lagi kemungkinan adalah Amerika juga merupakan dalang pembekal senjata kepada Hamas di pasaran gelap. Amerika dan sekutunya sengaja menggunakan sentimen agama yang ada pada Arab Palestin untuk bangkit menentang Israel. Mereka juga meniup sentimen agama kepada orang Yahudi untuk mendapat sokongan dan simpati kepada bangsa Yahudi di Israel. 

Semua itu dibuat agar wujudnya peperangan di sana untuk membolehkan perdagangan senjata dan seterusnya mereka mendapat manfaat kekayaan dari apa yang berlaku. Saya rasa semua orang tahu yang hampir semua peperangan ideologi dan seumpamanya didalangi oleh Amerika dan Britain sejak lama dahulu lagi. 

Kumpul kuasa guna Ideologi

Satu lagi faedah yang ada dalam konflik antara Israel dengan Palestin adalah berkaitan dengan mengumpulkan kuasa dengan menggunakan ideologi atau agama. Dalam kes ini, pertembungan antara Agama Yahudi dan Agama Islam.

Israel menggunakan sentimen agama mereka untuk mendapatkan sokongan dari semua bangsa Yahudi di seluruh dunia. Para pemimpin Israel perlu pastikan semua orang Yahudi percaya bahawa jika Israel jatuh, ia adalah sama dengan jatuhnya agama suci mereka. 

Terutamanya untuk semua warga negara Israel, mereka perlu diyakinkan bahawa kerajaan yang ada sekarang berperanan melindungi agama Yahudi supaya mereka kekal berkuasa. Kemenangan Israel terhadap Palestin adalah kemenangan Yahudi terhadap Islam.

Satu lagi pegangan yang digunakan adalah kepercayaan bahawa Bangsa Yahudi adalah bangsa pilihan. Pegangan ini bukan saja dipegang oleh orang yahudi, malah sebahagian penganut Kristian juga punya pegangan yang sama. Ia membawa kepada perlunya penganut agama Kristian memberi sokongan kepada negara Israel berbanding negara Palestin.

Ideologi kebenaran agama Yahudi diguna pakai untuk pastikan negara Yahudi terus wujud dan para pemimpin mereka kekal berkuasa. Penganut agama Yahudi disatukan atas satu kepercayaan yang sama oleh para pemimpin mereka supaya senang untuk diuruskan. 

Palestin mewakili Islam

Begitu juga para pimpinan Palestin, perlu pastikan umat Islam seluruh dunia yakin bahawa mereka berjuang demi membela agama Islam. 

Untuk itu, perang perlu berlaku sampai bila-bila selagi Israel tidak berjaya di musnahkan dan dirampas kembali menjadi milik orang Islam. Kekalahan Palestin adalah kekalahan agama Islam.

Atas dasar itu, dana dengan mudah dapat dikumpulkan demi perjuangan agama Islam. Bukan hanya untuk makan dan minum serta kemudahan rakyat Palestin, tapi juga untuk persediaan memerangi negara Israel.

Banyak negara Islam lain yang turut sama mengambil faedah dari apa yang berlaku di Palestin - Israel sana. Setiap pemimpin Islam di negaranya sendiri akan tegas menyatakan pendirian mereka sokong Palestin demi mendapatkan sokongan dari rakyat di negaranya sendri.

Bila Presiden Turki dengan lantang menghentam negara Israeil, sudah tentu popularitinya akan naik di negara Turki. Ia dapat membantu pengekakalan kuasanya sebagai pemimpin di sana.

Para pemimpin Iran sudah pasti lega setiap kali Israel menyerang Palestin. Ia boleh digunakan oleh pemimpinnya sebagai bukti bahawa negara Israel adalah musuh Iran dan ia perlu diperangi. Segala masalah yang dihadapi di Iran boleh saja dituduh datannya dari negara Israel.

Para pemimpin negara Hamas pula hanya perlu pastikan bahawa Israel sentiasa menjadi musuh mereka sampai bila-bila supaya semua kemunduran dan kegagalan pimpinan mereka dapat disalahkan kepada Israel. 

Paling penting umat Islam satu dunia sentiasa bersedia untuk salurkan dana buat rakyat palestin dan para pimpinan tertinggi Hamas kekal relevan dengan kerja-kerja mereka di luar negara. 

Ringkasnya para pemimpin Hamas mendapat faedah besar dari konflik yang berlaku disana dari segi kuasa dan kesenangan hidup di luar negara. Orang bawah duduk di Palestin bertempur dan buat semua kerja bahaya di bumi Palestin. Dan yang pasti rakyat Palestin tidak mendapat apa-apa faedah dari konflik yang berlaku di sana.

Konflik Israel Palestin memberikan faedah besar dari segi kuasa dan kekayaan kepada mereka yang saya sebutkan di atas tadi. Mereka menggunakan tempat suci yang sejak dahulu dikaitkan dengan 3 agama utama dunia iaitu Yahudi, Kristian dan Islam sebagai landasan untuk mendapatkan kekuasaan dan kekayaan masing-masing.

Kutip derma atas nama Palestin

Satu lagi faedah besar bila berlaku konflik yang tak pernah habis di Palestin adalah aktiviti kutip derma yang di lakukan oleh organisasi kebajikan atas nama Palestin. Aktiviti ini juga sangat rancak berlaku di negara kita. 

Banyak lagi negara di dunia yang dilanda musibah peperangan atau konflik. Contohnya perang puak Kurdish dengan Iran, juga perang puak Kurdish, dengan Turki, yang berlarutan tak pernah habis dari dulu sampai sekarang. Tapi tidak rancak berlaku kutipan derma seperti mana yang berlaku di Palestin.

Konflik antara India dengan Kashmir juga tak pernah habis dari dulu. Tapi tiada kutipan derma besar-besaran seperti mana untuk Palestin. Tidak ada di negara kita setakat yang saya tahu. Mungkin ada di negara lain saya tak dapat pastikan.

Masalah Rohingya di Myanmar juga tak habis-habis berlaku. Pelarian Rohingya ada ramai di negara kita. Tapi malangnya mereka sudah jadi masalah atau bebanan kepada masyarakat di sini sekarang. Ramai juga yang meluat dengan mereka. Dan yang pastinya, tiada kutipan derma yang konsisten untuk mereka di Myanmar sebagai mana untuk Palestin.

Derma untuk Palestin sebenarnya berlaku di seluruh dunia di mana saja ada umat Islam. Kutipan ini ada yang disalurkan untuk rakyat Palestin. Laporan mengatakan semua derma untuk rakyat Palestin tak disalurkan untuk ketenteraan. Jadi sudah tentu ada saluran lain untuk derma pembiayaan ketenteraan. Yang pasti, aktiviti kutip derma berjaya menjadikan agen atau organisasi tersebut turut sama kaya raya dan hidup senang.

Walau bagaimanapun, aktiviti kutip derma ini atau kegiatan ambil manfaat dari gerakan kutip derma hanya berlaku atas dasar mengambil kesempatan dari apa yang berlaku. Sudah tentu mereka tidak punya pengaruh besar untuk menentukan agar perang diteruskan di sana. Kecuali penerima segala derma itu di pihak pimpinan tertinggi Hamas yang berada di luar Palestin tentu mendapat faedah besar dengan konflik yang berlaku di negara mereka. Mereka hidup senang dan dapat banyak sumbangan pula dari seluruh dunia. 

Tempat suci lenyap

Seandainya Tuhan turunkan malapetaka dengan menghancurkan terus apa saja yang ada di semua tempat suci itu, tenggelamkannya lalu dijadikan tasik, mungkin barulah semua itu akan tamat.

Ada banyak kesan-kesan atau bekas tapak tempat suci yang bertaburan di muka bumi yang sekarang hanya tinggal kenangan. Ada yang jadi bahan sejarah, ada yang diiktiraf sebagai world heritage, ada yang masih menjadi tapak kajian pada arkeologis.

Sebagai contoh, Petra yang berada di Jordan bukanlah satu tempat yang calang-calang. Ia boleh dimasukkan sebagai satu tempat suci di mana cerita para rasul dan nabi dahulu hidup. Nabi Musa, Nabi Harun, dan Mariam ada kisahnya di sana. 

Malah di catitkan bahawa Petra merupakan tempat menunaikan haji ketika zaman kerajaan Nabatean dahulu. Salah satu lawatan wajib pengerja haji di sana ketika dahulu, adalah rumah suci tempat tinggal Mariam di situ. Dalam Quran juga ada disebut berhala yang dipuja kaum Nabatean iaitu, Uzza, Baal dan Manat. Itu merupakan bukti bahawa Petra adalah satu kota atau bandar yang suci satu ketika dahulu.

Petra merupakan tempat di mana kaum Nabatean dulu mahu jasad mereka disemadikan. Mereka mahu bersama dengan mereka yang berjasa, yang dianggap keramat oleh masyarakat atas sumbangan mereka terhadap bangsa, yang dikuburkan di sana. Salah satu ciri-ciri tempat suci dan pusat tumpuan perjalanan suci (haji) adalah, ia menjadi tempat orang-orang mulia dalam sesebuah masyarakat dikuburkan.

Akhirnya tempat suci itu semua Allah musnahkan. Tiada orang yang berebut tempat itu sekarang melainkan mungkin bekas penduduk Beduin (Badwi) yang diarahkan pindah bila kerajaan Jordan mahu jadikan Petra pusat Pelancongan dan dipelihara keadaannya. Sekarang Petra hanya jadi pusat pelancongan.

Di India, Turki, Greek, Eropah, Asia Tenggara, Mesir masih banyak tempat yang dianggap suci suatu masa dulu. Cuma bezanya adalah semua tempat suci itu ada unsur-unsur Politeism atau Syirik. Mungkin sebab itu semuanya dihancurkan.

Jika di lihat cerita-cerita bangsa dahulu dalam Al-Quran, setiap bangsa atau umat yang melakukan kerosakkan, yang mereka cipta berbagai kuasa berhala palsu yang sesat akan diutuskan nabi atau rasul untuk diberi peringatan. Bila umat itu engkar, maka Tuhan hancurkan tempat itu.

Memandangkan Nabi Muhammad merupakan Rasul terakhir, maka peringatan dari Tuhan masih terus berjalan di seluruh muka bumi sekarang. Peringatan pergi kepada para penguasa global, orang kaya yang berkuasa dan lain-lain sepertinya. 

Bila tiba masanya, di mana manusia engkar dan menolak kebenaran serta cenderung menyembah selain dari Tuhan yang satu (duit, pangkat, bangsa, hiburan, influencer, makanan, bangunan, rumah, pemimpin dan lain-lain), maka kehancuran akan berlaku secara total seluruh dunia.

Hanya ada 2 pendekatan yang biasanya tak berlaku pertelingkahan sesama manusia dalam perebutan sesebuah tempat. Pertamanya bila manusia mereka-reka berbagai Tuhan dan membina tempat suci khas untuk kultus (cult) mereka sahaja. Maka tak ada perebutan tempat suci. 

Seperti mana India dengan Varanasi, tempat suci yang digelar Bandar Dewa Shiva, tak ada agama lain nak berebut. Tiada peperangan di situ. Orang ke Varanasi untuk mati di sana sahaja duduk diam-diam tunggu maut datang. 

Sama juga dengan Bandar Vatican untuk penganut Kristian Roman Catholic, Pergunungan di Tiber atau Nepal dan sebagainya.

Keduanya, manusia berikan tumpuan hanya pada Tuhan semata-mata tanpa kaitkan kepercayaan mereka dengan mana-mana tempat suci atau seumpamanya, konflik agama akan hanya menjadi konflik tempatan sahaja dan tidak global.

Namun begitu, manusia dari dulu tetap mahu berikan tumpuan kepada sesuatu yang dapat dilihat dan di rasa. Jika tak dapat buat berhala, mereka akan buat tempat suci untuk dijadikan tempat tumpuan yang dilihat dan dirasa kewujudannya, barulah rasa lega untuk merasakan dirinya bersama Tuhan.

Apabila tempat suci itu direbut oleh 3 agama berbeza kerana masing-masing ada sejarah atau mitos cerita mereka disebaliknya, maka persengketaan pasti berlaku sampai kiamat selagi tempat itu kekal masih ada. 

Dan yang pasti, ia sentiasa membuka peluang kepada mereka yang licik untuk mengambil kesempatan dan faedah dari kelemahan manusia tersebut.

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Siapa yang dapat faedah hasil dari konflik dan peperangan antara Palestin dan Israel

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !