Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Sunday, March 17, 2024

Antara kelihatan wara' dengan wara' - Hasil dari amalan beragama

  Mohd Shubhi       Sunday, March 17, 2024


Dalam mana-mana agama, ada garis amalan tertentu yang perlu diamalkan sebagai rutin bagi menzahirkan seseorang itu sebagai seorang penganut ajaran atau kepercayaan agama tersebut.

Sebagai seorang muslim pula, anda diajar bahawa amalan yang wajib dilaksanakan oleh setiap individu yang beragama Islam ada dalam senarai 5 rukun Islam.

Saya senaraikan 5 rukun Islam di bawah ini sebagai ulang kaji kalau-kalau ada yang terlupa. Maklumlah perkara ini dipelajari masa zaman kanak-kanak dulu, selepas itu semuanya dianggap dah tahu sehinggalah satu hari anda mungkin terkeliru mana satu rukun Islam, mana satu rukun Iman, mana satu syarat sah dan mana satu syarat wajib dan sebagainya.

Rukun Islam

  1. Mengucapkan dua kalimah syahadah.
  2. Mendirikan solat lima waktu sehari semalam.
  3. Menunaikan zakat.
  4. Berpuasa di bulan Ramadhan.
  5. Mengerjakan haji bagi yang mampu.

Anda boleh lihat semua itu adalah amalan yang wajib dilaksanakan. Orang boleh lihat samada anda buat atau tidak serta dapat menilai samada kepercayaan anda terhadap semua perkara yang tersenarai dalam rukun iman betul atau palsu.

Saya senaraikan pula Rukun Iman, kalau-kalau ada yang terlupa atau terkeliru.

Rukun Iman

  1. Beriman kepada Allah SWT.
  2. Beriman kepada Malaikat.
  3. Beriman kepada Kitab.
  4. Beriman kepada Rasul.
  5. Beriman kepada Hari Akhirat.
  6. Beriman kepada Qada dan Qadar.

Beriman adalah perkara yang tak dapat dilihat atau dirasai oleh orang lain melainkan anda sendiri sahaja yang tahu. Anda boleh saja mengaku beriman tapi ia tidak semestinya benar dan tak ada siapapun yang dapat kesan sekalipun anda hanya sebut dimulut saja. 

Dalam Quran ada disebut, sebagai contoh di Surah Al-Baqarah, Q2:8, ada orang yang sebut dia percaya pada Allah dan hari akhirat, tapi itu hanya dusta sedangkan dia langsung tak percaya.

Maka, untuk buktikan apa yang anda cakap, diberi lah senarai Rukun Islam di atas. Tak buat, terutamanya yang no 1 itu, maka anda bukan Islam. Selepas selesai no 1, kena buat no 2 dan begitulah seterusnya hingga yang ke 5 ada syarat jika mampu. Akhirnya, semua kena buat.

Pendekatan tersebut adalah sangat tersusun berdasarkan teknik manusia zaman moden bertindak melaksanakan sesuatu. Sangat sistematik susunan langkahnya jika anda mahu jadi atau buat sesuatu.

Berbeza dari zaman dulu kala, anda hanya dapat kuasai sesuatu kemahiran hanya secara amali. Kalau nak mahir jadi tukang buat kapal, perlu kerja dengan tukang yang mahir buat kapal puluhan tahun dari bawah sampai atas. Tak ada kelas formal, tak ada dokumen proses atau langkah demi langkah tercetak seperti buku manual pasang almari IKEA.

Itu rasional yang saya buat jika ada yang anggap segala rukun dan syarat yang kita belajar itu adalah rekaan yang tidak perlu sebab zaman dulu tidak ada cara formal pembelajaran sedemikian. Malah dalam Al-Quran juga tidak ada disenaraikan sama sebijik seperti mana yang kita belajar. 

Panduan dalam Al-Quran adalah dalam bentuk memahami dengan membuat rujukan pada ayat-ayat lain yang memberikan huraian lebih lanjut pada satu-satu perkara yang dirasakan kurang jelas.

Bertakwa dan beriman

Rujuk dalam Al-Quran, anda akan bertemu lengkap segala panduan dari Allah untuk jadi insan yang bertaqwa. Ia bermula dari Surah Al-Baqarah ayat 2 hingga 5. Awal-awal lagi Quran dah sebut bahawa ia adalah panduan untuk mereka yang bertaqwa.

Surah Al-Baqarah pula adalah lanjutan dari surah pertama yang dipanggil Al-Fatihah atau pembuka yang juga turut dikenali sebagai Ummul Kitab. Bila anda baca surah pembuka tersebut, jelas ia adalah perjanjian penting antara anda dengan Pencipta. 

Anda membuat perjanjian untuk menyerah dan mengabdikan diri hanya kepadaNya dan memohon pertolongan hanya kepadaNya. Dengan berbuat begitu, Tuhan akan memimpin anda ke jalan yang lurus, iaitu jalan orang yang berjaya dan diberikan nikmat, jalan orang bertaqwa. 

Ada lagi 237 ayat dalam Quran yang sebut pasal perkataan yang kata utamanya 'taqwa' (و ق ي) itu. Anda boleh rujuk sendiri untuk lihat dan fahaminya. Semua panduan adalah ke arah mencapai kedudukan sebagai orang yang bertaqwa. 

Bila baca habis semua ayat yang ada perkataan tersebut, anda boleh dapat rumusan bahawa taqwa bermaksud sentiasa berwaspada atau berhati-hati. Saya selalu ingat kata-kata Saidina Umar kalau tak silap, yang menggambarkan taqwa sebagai berjalan di tempat yang dipenuhi oleh duri, bila nak pijak perlu sentiasa berhati-hati waspada dan peka gunakan semua deria yang ada.

Ada satu lagi perkataan penting yang perlu dilihat dalam Quran, iaitu beriman (أ م ن) atau lebih mudah difahami dalam Bahasa Melayu, menerima dan percaya setelah diberi ingatan serta bukti. Ia adalah syarat utama untuk jadi taqwa. Perkataan yang kata utamanya adalah iman ada disebut dalam 723 ayat Al-Quran.

Lawan kepada perkataan percaya atau beriman itu adalah engkar, menolak, menafikan (ك ف ر), iaitu tidak menerima peringatan setelah diberi tahu dan diberikan bukti kebenaran. Ada sebanyak 465 kali perkataan tersebut dalam berbagai bentuk diulang dalam Quran. 

Jadi kalau nak faham kedua-dua perkara dan perkataan penting itu, anda perlu luangkan masa membuka dan membaca serta memahami makna dalam Al-Quran. Semua itu berikan penjelasan terhadap beriman dan bagaimana nak buktikan anda beriman. Tidak semudah hafal rukun islam dan rukun iman sebenarnya.

Yang menarik sekali jika anda buka Quran, tak ada pula panduan macam mana nak jadi Islam, hanya panduan untuk jadi bertaqwa. Dan perkataan Al-Islam dan seumpamanya hanya disebut sebanyak 8 kali. Manakala perkataan akar Islam itu pula disebut sebanyak 127 kali yang membawa maksud serah atau lebih mudah faham 'penyerahan diri'.

Secara ringkasnya, untuk selamat di akhirat nanti, anda perlu menyerahkan diri hanya kepada Allah, dan sentiasa menjadi orang yang berwaspada terhadap peringatan yang Tuhan sampaikan yang ada di dalam Quran.

Anda boleh luangkan masa untuk membuka semua yang saya sebut di atas tadi. Saya jadi leka buka satu persatu semua perkara ini apabila putuskan nak tulis artikel ini. Sekali buka jadi berangkai satu demi satu jumpa perkara menarik yang membuka minda.

Nampak wara bila beramal

Berbalik kepada fokus saya dalam bab wara. Iaitu proses nak tunjukkan bukti bahawa anda bukan sekadar beriman di mulut dengan mengaku percaya semua rukun iman. Anda terus tunaikan pula rukun Islam. Dari situ orang boleh tahu yang anda menganuti agama Islam.

Tapi itu masih tak habis lagi. Orang Islam yang buat semua 5 perkara asas tadi sangat ramai jumlahnya. Maknanya kalau setakat buat yang asas saja anda adalah penganut agama Islam biasa-biasa seperti kebanyakan orang Islam lain.

Untuk bezakan sesama Islam, maka disenaraikan pula seribu satu lagi perkara lain yang amat panjang dari segi pemakaian, perbuatan, makanan, rehlah, percakapan, dan lain-lain yang masuk dalam kategori sunat dengan berbagai darjat. Sehingga ke cara potong kuku, cara simpan jambang dan kumis, cara suap makanan masuk mulut ada diberikan garis panduan. Dari celik mata pagi hari sampai tutup mata malam hari, setiap saat berdetik ada step by step yang anda perlu ikut untuk jadi wara peringkat atasan.

Sunat adalah amalan yang anda perlu buat untuk lebih wara, amalan nak kena tinggal juga ada seribu satu lagi senarai, ia dipanggil makruh. Anda perlu tinggalkan yang malah yang syubhah sekalipun perlu juga dikawal serta rapi dijauhi. Naik lagi satu martabat wara anda.

Kelihatan wara adalah perkara idaman buat semua orang Islam. Perempuan yang belum kahwin dambakan lelaki yang warak, ibu bapa juga mahukan anaknya wara, jiran nak orang sebelah rumahnya wara. Majikan mahu pekerja wara begitu juga pekerja nak majikan wara. Wara jadi status yang amat berharga.

Lumrah barang berharga, maka senarai orang yang nampak wara mula jadi pendek di setiap kampung sebab disiplinnya bukan calang-calang orang mampu buat. Anda perlu ada disiplin untuk berusaha amalkan, kena pandai mengaji, pandai jadi imam, baca doa, buat tahlil dan sebagainya.

Bila ada barang berharga, sudah pasti akan wujud barang tiruan. Kosmetik luaran untuk jadi wara sudah disenaraikan. Kalau mahu, boleh saja keluarkan wara tiruan.

Untuk pastikan anda kelihatan wara agak mudah. Pakai apa yang mereka takrifkan sebagai sunat, pakaian orang alim ulama, utamakan yang berwarna putih, pasang janggut dan misai, botakkan kepala, pergi umrah kerap, pakai celak, bersugi, solat berjemaah 5 waktu terutamanya subuh sebab itu waktu solat yang orang Malaysia pandang paling tinggi kepada mereka yang melaziminya. Masuk bulan ramadan, anda solat sunat tarawih sampai habis, lepas tu tadarus Quran, kemudian I'tikaf di masjid sampai subuh, bangun tahjud dan sebagainya lagi.

Semua itu akan mampu membuatkan anda nampak sangat wara. Ertinya, cara yang digariskan secara sistematik satu persatu oleh para ulama amat memudahkan anda amalkan lalu seterusnya merasakan diri wara atau soleh. Dan anda sudah bersedia untuk menemui ajal bila-bila masa. Mantra anda sekarang adalah, jika mati dengan banyak buat semua kebaikan itu akan masih tetap menyesal sebab tak buat lebih banyak lagi. Ayat itu menaikkan lagi martabat kewarakan anda.

Nampak wara & betul wara

Perlu diingat kelihatan wara tidak semestinya wara.

Jika anda buat semua itu, dalam masa yang sama diam-diam ambil rasuah atau bagi rasuah untuk dapatkan projek, tiada siapa tahu selagi pemberi atau penerima itu tidak dedahkan. Begitu juga hal ehwal lain seperti cakap bohong, tak jujur, makan harta anak yatim, tak pegang janji, pilih bulu, sumbang seks, gila lucah dan sebagainya, selagi anda masih kekal dapat pamerkan segala panduan amalan sunat berbentuk fizikal dan seumpamanya, anda akan kekal dilihat wara.

Maka tidak hairanlah ramai orang tertipu oleh mereka yang kelihatan wara. Bukan saja orang tertipu, malah diri sendiri juga boleh tertipu bila garis panduan kelihatan wara anda tunaikan, anda rasa hanya dengan kelihatan wara adalah tanda anda benar-benar wara. Sedangkan kelihatan wara tidak semestinya wara atau soleh atau lebih tepat lagi 'bertaqwa' sebagaimana yang digariskan oleh Allah dalam Al-Quran dalam 273 ayat dengan jelas.

Proses kelihatan wara atau suci itu terpakai bukan saja untuk mereka yang beragama Islam, malah dalam agama apa sekalipun, anda dapat lihat bagaimana amalan atau gaya hidup secara sistematik yang boleh dilakukan oleh mereka yang komited, yang digariskan oleh para pendeta atau guru di atas sana, akan membuatkan pengikutnya kelihatan kuat beragama atau 'pious' dalam BI.

Orang Buddha sangat hormat Tok Sami pakai jubah oren. Orang Hindu pula hormat Tok Sami pakai kain putih tak pakai baju, orang Kristian hormat Paderi pakai jubah dan begitulah seterusnya. Dalam semua agama, untuk kelihatan wara, anda diberikan senarai panjang amalan serta gaya hidup yang sangat tersusun.

Kaya atau kelihatan kaya

Bila melihat semua perkara tersebut di atas, saya nampak ada satu persamaan dengan proses kelihatan kaya dengan menjadi kaya.

Jika anda terserempak dengan seseorang yang kelihatan kaya, perlu diingat bahawa tidak semestinya nampak kaya bermakna dia kaya. Kelihatan kaya sebenarnya sudah di promosikan oleh para peniaga yang mahu jual benda mahal. 

Peniaga yang mahu jual status kedudukan kepada manusia yang gilakan status berjaya mencipta proses untuk kelihatan kaya. Mereka pasarkan segala produk yang menjanjikan status kepada orang ramai. Mesin propaganda disebarkan ke seluruh dunia untuk pastikan manusia percaya semua takrifan kaya berdasarkan produk luaran tersebut.

Proses pemasaran mencipta Brand, atau Jenama dalam Bahasa Kampung. Tidak hairanlah ada di kalangan pemikir yang turut sama melabelkan agama sebagai Brand juga. Proses penciptaan Jenama. Mungkin Jenama Islam, Jenama Buddha, Jenama Hindu, Jenama Kristian dan lain-lain seumpamanya.

Ada di kalangan pengkaji yang membezakan apa yang digariskan dalam Quran itu adalah perkara yang jauh berbeza dari apa yang umat islam kata dan amalkan, sekalipun umat islam kata mereka ikut Quran. Untuk bezakan itu, mereka labelkan agama Islam yang manusia amalkan adalah Brand Islam.

Wallahu'alam!

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Antara kelihatan wara' dengan wara' - Hasil dari amalan beragama

Previous
« Prev Post

2 comments:

  1. Kongsi sikit.

    3 tingkatan org Islam ; Muslim, mukmin dan muttaqin.

    Muslim ; mula dgn Syahadatain, kekal dgn solat, sempurna dgn taat.

    Mukmin ; mula dgn percaya, kekal dgn yakin, sempurna dgn syukur dan sabar. Syarat lain bg kesempurnaan iman ; ikhlas, jujur, amanah dan tawakal. Tak sempurna iman tanpanya.

    Muttaqin ; mula dgn memperbnyk istighfar, taubat dan zikrullah. Kekal dgn sifat tawadu'. Sempurna dgn akhlak yg baik.

    Muttaqin tentulah sempurna imannya, mukmin pula, tentulah sempurna Islamnya (syariatnya atau ketaatannya). Jika tak sempurna Islamnya (syariat atau ketaatannya) bukanlah mukmin yg sempurna imannya (atau disebut cacat imannya) dan pastilah pula tak tergolong muttaqin. Yg tak sempurna imannya, juga tidaklah tergolong muttaqin.

    ReplyDelete

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !