Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

09 June 2024

Perbezaan masyarakat antara sebelum dan selepas wujudnya dunia internet - Siri 1

  Anonyme       09 June 2024


Bagi anda yang lahir sebelum wujudnya dunia cyber internet, tentu dapat rasakan perbezaan antara dunia sebelum dan selepas adanya teknologi tersebut. Saya sempat rasai pengalaman hidup dunia sebelum wujud dunia cyber ni.

Komputer meja pertama yang saya sentuh (ketika itu) dengan perasaan takut adalah ketika sesi pendedahan awal di sekolah menengah rendah satu ketika dahulu. Tak pasti tahunnya tapi antara tahun 1981 ke tahun 1983. Itu baru pengenalan kepada komputer, satu perkataan baru buat saya masa itu. 

Walaupun dah biasa guna kalkulator, yang secara asasnya adalah sejenis komputer, tapi komputer meja yang ada keyboard dan ada paparan skrin macam TV tu adalah benda baru. Ia jadi menarik lagi bila saya dapat tahu pasal pengaturcaraan yang membolehkan arahan dibuat untuk suruh komputer buat apa.

Masa itu ada sesi pendedahan apa itu komputer. Selain dari boleh guna untuk main video game, ia juga berguna untuk menaip surat. Kami diajar pakai word processor software untuk tujuan itu yang ternyata lebih mudah berbanding pakai mesin taip.

Walaupun takut-takut bila disuruh tekan keyboard dan tak faham bagaimana komputer itu berfungsi, saya dapat rasakan ketika itu, ia adalah sesuatu yang hebat dan bakal mengubah dunia tak lama lagi. Pengalaman tekan keyboard dan lihat apa berlaku pada paparan skrin komputer itu sudah cukup untuk buat saya rasa bangga bila menceritakannya pada kawan-kawan yang tak berpeluang alami pengalaman tersebut. Paling rasa hebat adalah bila kawan-kawan yang mendengarnya percaya saya sudah pandai tentang komputer!

Dari dunia komputer kemudian muncul pula dunia internet. Saya difahamkan internet bermula di Malaysia pada tahun 1987. Mimos ditubuhkan untuk tujuan tersebut. Masa itu saya sendiri belum sedar kewujudannya, masih sibuk sambung belajar seperti biasa. Anda boleh rujuk wikipedia untuk tahu lebih lanjut bagaimana bermula dan berkembangnya dunia internet di negara kita.

Perkembangan teknologi komputer bantu manusia buat urusan kiraan, tulisan dan cetakan dengan pantas berkali ganda berbanding zaman dulu. Dengan rekaan internet pula, perkongsian maklumat berlaku tanpa sempadan membawa kepada kemajuan yang lebih meluas dan pantas. Ia mengubah cara manusia buat kerja ke tahap manusia itu sendiri berubah.

Apa perubahannya?

Itu yang saya cuba bandingkan perbezaan ketika hidup sebelum adanya internet dengan setelah internet digunakan secara meluas sekarang.

Jom lihat dunia tanpa internet terlebih dahulu.

Kanak-kanak dan alam sekitar

Ketika menempuh zaman kanak-kanak dulu, banyak masa habis di dunia nyata. Di awal tahun 70-an, rumah saya sendiri tak ada telefon, tak ada TV, tiada peti ais. Bumbung rumah masih pakai atap rumbia.

Kalau nak berak masa tu, masih guna jamban tradisional macam jamban yang ada dipamerkan di rumah P Ramlee di Jalan P Ramlee, Pulau Pinang. Jamban yang ada lubang di tengah lantainya dan di bawah lubang itu diletakkan timba untuk tadah najis yang dilepaskan.

Busuk bukan main sebaik saja masuk bertinggung duduk dalam jamban tu nak buang air besar. Tapi sebab dah biasa saban hari, bau busuk itu sudah sebati dan tak rasa apa-apa lagi. Kalau bau yang sama dikenakan kepada budak zaman sekarang mahu muntah terus agaknya.

Zaman itu majoriti orang kampung masih pakai air telaga. 2 kali setahun arwah bapak akan buat operasi basuh telaga. Semua alga dan lumut yang melekat pada dinding batu telaga itu akan diberus sampai bersih untuk dikeluarkan dari batu tersebut. Itu pengalaman yang sangat menyeronokkan bagi saya sebab dapat terjun masuk duduk dalam air telaga.

Telaga rumah saya dulu tak duduk dalam rumah. Ada kat luar depan halaman di sudut sebelah kiri rumah. Memang ada rumah orang kampung dulu, biasanya yang berada sikit, telaganya duduk dalam rumah, tapi bukan rumah kami. Kalau mandi malam kena bawa pelita atau lilin baru nampak timba dan air dalam telaga tu.

Semua itu memberikan gambaran betapa zaman kanak-kanak saya masih lagi kurang dari segi kemudahan hidup. Lebih dari 90% keperluan hidup adalah atas usaha kreativiti orang kampung menggunakan alam sekitar yang ada. Saya tak berapa ingat bila rumah mula ada tenaga letrik, tapi rasanya masa kanak-kanak dah ada lampu mentol bulat dan suis hitam comel tu kat rumah.

Telefon ketika itu hanya dimiliki oleh mereka yang berada. Kalau perlu guna telefon, pakai saja telefon awam yang memang disediakan di pekan depan balai polis kampung saya. Boleh telefon ke mana saja asalkan anda ada duit siling.

Permainan kanak-kanak

Seperti yang saya sebut tadi, hidup kami kanak-kanak ketika itu lebih banyak berkisar tentang alam persekitaran yang ada. Semua permainan kami terutamanya untuk kanak-kanak lelaki, adalah di luar rumah samada di hutan, padang atau mana-mana saja yang ada tanah lapang, biasanya depan rumah jiran kampung yang luas bidang tanahnya.

Permainan kami bermusim, bila datang musim main wau, maka habis semua orang akan sibuk buat wau dan main di padang atau di bendang. Biasanya kami main wau selepas orang dah habis kerat padi.

Habis main wau, datang pula musim main gasing. Maka habis semua pakat tebang dahan limau atau jambu untuk buat gasing sendiri. Kalau nak mudah, beli saja gasing di kedai mamak, ok juga gasing tu tapi tak se-original gasing yang dibuat sendiri pakai kayu keras seperti dahan batang pokok limau umpamanya.

Permainan guli, gambar, getah dan lain-lain juga sering datang dan pergi ikut musim.

Selain dari itu, permainan berpasukan juga selalu ada. Antaranya adalah seperti bola. Kalau tak ada bole betul, kami balut saja apa yang ada untuk dijadikan bola. Ada musim main hoki juga masa zaman tu. Kami buat sendiri kayu hoki dan balut getah skrap jadikan bulat macam bola hoki.

Bila datang musim main bola atau hoki, habis berdebu dan hitam kaki dan pakaian sebab kami suka main atas tanah berkaki ayam. Debu dan pasir meletak penuh muka, lengan dan kaki bila badan berpeluh laru berebut tak berhenti. Ketawa girang jangan cerita lah, ada saja benda lawak yang berlaku sepanjang bermain.

Ada masanya pula kami masuk hutan belukar main askar-askar buat khemah atau pondok dari kayu dan pokok hutan yang ada. Semua pakai apa yang ada saja. Golok dan pisau orang tua jadi mangsa, kami seludup bawa ke hutan belukar untuk projek buah khemah di hutan.

Bila masuk musim buah-buahan, kampung mewah dengan segala jenis buah yang ada boleh diambil makan begitu saja terutamanya yang jatuh dari atas pokok. Buat rambutan, buat sentul, buah mangga, buah rambai, buah machang dan sebagainya. Tapi buah yang ada harga seperti manggis, rambutan, langsat atau durian, tak boleh main kutip ikut suka. Kena minta izin terlebih dulu kalau nak sangat makan.

Masuk musim kemarau, akan ada projek timba sungai untuk seluk ikan pulak. Kami akan buat batas sekat air dari mengalir masuk ke lubuk ikan. Kemudian mula seluk dan ambil ikan keli, puyu, haruan, sepat dan sebagainya bertimba-timba.

Ringkasnya, hidup kami penuh dengan aktiviti fizikal dan berkait rapat dengan alam sekitar. Bersembang, bercerita, melawak, berseloroh adalah amalan dan kemahiran semula jadi yang berlaku saban hari.

Zaman remaja & dewasa

Perkara paling penting bila masuk peringkat dewasa adalah tanggung jawab bermasyarakat. Memang sejak remaja, bab ini sudah mula ditekankan oleh ibu bapa yang berpandangan jauh dan berfikiran matang.

Antara aktiviti masyarakat yang penting adalah kenduri kendara dan kegiatan gotong royong. Adalah perkara janggal jika anda membesar di kampung tanpa hadir kenduri kendara sekurang-kurangnya pergi makan pada hari kenduri. Tapi yang jauh lebih penting adalah turut sama hulurkan tenaga atau apa yang ada sebagai sumbangan kepada ahli masyarakat lain yang buat kenduri.

Masa zaman saya remaja, team bola atau team sepak takraw kampung sangat aktif. Setiap kampung ada pasukan mereka sendiri. Liga tempatan daerah sentiasa dianjurkan dan banyak team kampung akan turut sertai.

Bagi yang tak minat sukan, boleh sertai kumpulan silat atau kegiatan seni lain seperti kompang umpamanya. Ada juga kumpulan marhaban yang disertai oleh anak-anak muda bergabung dengan orang tua.

Dalam bab hobi pulak ada yang kaki pikat burung, ada yang kaki memancing, ada yang masuk hutan memburu dan macam-macam aktiviti santai lain lagi.

Aktiviti gelap dewasa

Selain dari aktiviti baik, sudah tentu ada yang buruk contohnya judi. Aktiviti berjudi sudah wujud sejak zaman berzaman. Apa saja benda boleh dijudikan dan salah satu yang terkenal dan amat menghiburkan adalah laga ayam.

Judi lain seperti belangkas, daun porker, mahjung dan sebagainya ada juga tapi saya tak pernah ambil tahu bagaimana caranya permainan semua tu. Tahu semua itu wujud sebab bila ke pekan pasti lalu depan kedai yang jadi pot kaki main judi di belakang kedai.

Di Bukit Mertajam ada banyak pusat hiburan termasuklah pelacuran yang semua orang tahu. Ada 3 panggung wayang dan ada pusat billiard serta video game. Saya sendiri banyak buang masa di semua tempat tu masa tunggu keputusan SPM. Tapi tak pernah ler naik tangga cari pelacur, saya hanya dengar apa yang orang ceritakan saja, entah betul entah tidak.

Pergi jauh sikit di Butterworth, ada pub dan bar. Saya tak pernah masuk semua tempat itu tapi tahu yang ia wujud.

Bagi mereka yang terlibat dengan aktiviti gelap itu, tak dapat elakkan diri dari di ketahui orang kampung. Tapi orang kampung buat tak tau saja dan hanya simpan sekadar maklumat. Kalau ada orang datang tanya nak tahu tentang keluarga tertentu sebab nak masuk meminang, masa itu baru di beritahu siapa keluarga yang di tanya samada jenis yang baik-baik atau ada kegiatan gelap. Ertinya semua yang berlaku adalah dalam sedar dan sukar nak sorok-sorok.

Ada satu aktiviti gelap yang sering dilakukan secara diam-diam oleh orang dewasa tertentu, mengendap. Mengendap atau ada juga yang kenalinya dengan perkataan skodeng merupakan amalan seorang atau 2 orang yang pasti ada di kampung. Orang tua-tua kata mengendap ni penyakit keturunan. Entah betul entah tidak saya tak pasti.

Biasanya orang kampung tahu siapa kaki mengendap ni, tapi tak sebut sebab tak ada bukti. Hanya agak-agak berdasarkan gambaran yang diberikan dari kelibat kaki mengendap tersebut bila di sedari dan dikejar. Ada juga yang pernah kena tangkap dan kena pukul pun tapi biasanya orang kampung tak sebarkan perkara itu sebab tak mahu buka aib sanak saudara kaki mengendap tersebut.

Samada anda dari keluarga yang baik-baik atau dari keluarga yang ada masalah, atau anda sendiri orang yang baik atau bermasalah, semua itu tidak dapat diselindungi. Terima saja hakikat dan tak perlu nak berlakon baik masa zaman tak ada internet dulu. 

Jika anda baik, semua orang akan tahu dan begitu juga kalau anda jahat, semua orang akan tahu. Kaki gossip telefon karat berfungsi dengan baik untuk sebarkan mana kaca dan mana permata.

Jika mahu jaga nama baik keluarga, anda terpaksa kekang diri dari terjebak dengan apa saja amalan yang buruk di mata masyarakat. Kalau nak berpacaran, jangan sampai kena tangkap basah. Semua itu bergantung setakat mana keupayaan anda untuk menjaga diri sendiri sebaik mungkin.

Itu sedikit gambaran masyarakat yang saya sendiri lalui ketika dunia masih belum ada internet.

logoblog

Boleh Like dan Share artikel ini di akaun Medsos anda. Terima Kasih sudi luangkan masa membaca artikel, Perbezaan masyarakat antara sebelum dan selepas wujudnya dunia internet - Siri 1

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !