Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Wednesday, December 10, 2008

Kembali Ke Dunia Nyata

  Mohd Shubhi       Wednesday, December 10, 2008
Tahun ini genap umur saya 40 tahun. Bermakna telah 40 tahun saya mengharungi perjalanan yang dinamakan kehidupan. Selama tempoh 40 tahun ini sudah tentu secara fizikalnya saya amat berbeza dari zaman saya muda remaja dahulu.

Saya yakin sel-sel tubuh badan saya yang membentuk fizikal saya ketika berumur 10 tahun dahulu telah lama mati luput ke bumi, diganti sel-sel baru. Sudah tentu saya secara fizikalnya adalah benda yang baru. Ini bermakna fizikal saya sekarang bukan fizikal saya yang dulu saling berganti.

Jadi nyata bahawa saya masih ada ini adalah jiwa atau roh saya. Dan jiwa inilah yang sebenarnya mengharungi kehidupan ini. Sepanjang perjalanan hingga ke saat ini saya menyedari bahawa segala yang saya lalui hanya berkisar tentang 2 perkara sahaja:
1. Kesenangan.
2. Kesakitan.
Tiada yang lain dari kedua tersebut di atas. Perjalanan kehidupan ini pada hakikatnya adalah perjalanan jiwa yang merentasi masa. Perjuangan untuk cuba mengekalkan keadaan kesenangan dan menjauhi keadaan kesakitan. Namun rupa-rupanya kesenangan itu amat rapuh sifatnya. Sesekali ia berkumpul mekar dalam jiwa, tiba-tiba ia berserakan hancur berkecai diganti kesakitan. Begitulah silih berganti.

Lumrah manusia, kesakitan sentiasa menjadi keluhan kita. Boleh dirumuskan segala kesakitan yang dialami hanya berkisar dalam 4 perkara:
1. Orang sekeliling kita atau masyarakat.
2. Isteri kita atau teman hidup.
3. Diri kita sendiri

Kita resah dan lemas dengan keadaan masyarakat sekeliling yang rakus, tamak, dengki iri hati, kita di sakiti dengan pemimpin yang korup, pentingkan diri sendiri. Kita mengeluh dengan kawan yang berpaling tadah, pekerja yang malas, hang hanya mahu menerima tanpa memberi dan berbagai kesakitan lagi yang menekan jiwa kita. Dalam kita berusaha mahu menukar kesakitan tersebut kepada kesenangan, kita sering mengimpikan bilakah munculnya masyarakat yang penyayang, yang saling mengharapkan keselamatan orang lain, yang bahagia melihat kesenangan orang lain.

Kita juga ditekan dengan pasangan hidup yang tak pernah puas dengan apa yang kita mampu berikan, yang kekadang membentak merajuk engan masak, engan mengemas, engan memaafkan. Kita juga sering tidak puas dengan pasangan sendiri yang sudah dimakan usia, yang gagal menghias diri untuk suami, kita terpesona melihat wanita lain yang kelihatan lebih cantik dan menawan, ada saja yang lebih cantik yang kita temui. Kita sering mengimpikan isteri yang amat penyayang, yang senyuman sentiasa mekar di bibir, yang melayan kita seperti raja, yang paras rupa cantik menawan tak jemu dipandang, alangkah indahnya hidup jika begitu.

Masa berlalu pantas memamah usia kita. Rambut mula beruban, kekacakan mula menghilang, ingatan mula pudar. Kita resah bila kesihatan terjejas. Kita murung dengan kehilangan harta, kita mengidamkan barang yang tiada, kemewahan yang tak kunjung tiba. Kita bertanya bila masanya kita mendapat segala apa yang kita idamkan, harta benda yang mencukupi, kesihatan yang rapi, peribadi yang dikagumi.

Satu malam saya menelaah kitab Al-Hikam, syarahan Prof. Dr. KH Muhibbuddin Waly. Saya memerhatikan hikmah yang ke 24 daripada Al-Imam Ibnu Athaillah Askandary yang berikut:

“Jangan anda merasa hairan atas kejadiannya segala kekeruhan selama anda dalam kampong dunia ini, kerana bahawasanya segala kekeruhan itu tidaklah muncul selain kekeruhan-kekeruhan yang patut pada mensifatkannya dan wajiblah sifat-sifat itu.”

Penulis menyampaikan syair Imam Jaafar Ash-Shadiq: “ Barang siapa yang mencari sesuatu yang tidak dijadikan (oleh Allah) nescaya ia meletihkan dirinya dan tidak ada rezki baginya”

Orang bertanya pada beliau, apakah yang dimaksud dengan mencari sesuatu yang tidak dijadikan Allah di dunia ini ?. Maka Beliau menjawab: “Sesuatu itu ialah istirehat dalam dunia”

Bergenang air mata saya memahami kata-kata Imam Jaafar, rupa-rupanya apa yang saya impikan selama ini hanya dicipta di syurga. Kesenangan mutlak hanya ada di syurga.

Masyarakat yang saling salam bersalaman adalah masyarakat di syurga, isteri yang sempurna yang menjadi igauan adalah bidadari syurga, peribadi yang sempurna serba cukup adalah peenghuni syurga.

Maka kembalilah saya ke bumi yang nyata. Menyambung perjalanan kehidupan meredah segala cabaran dengan syukur dan sabar. Dunia ini sungguh bukanlah tempat bersenang lenang.
logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Kembali Ke Dunia Nyata

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !