Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Wednesday, April 15, 2009

Baca Quran

  Mohd Shubhi       Wednesday, April 15, 2009
Hari minggu yang lepas merupakan satu kejayaan yang amat bermakna buat diri saya. Dengan izin Allah, saya telah berjaya membaca dan cuba memahami keseluruhan tafsir Al-Azhar yang dikarang oleh ulamak tersohor nusantara Professor Hamka.

Walaupun saya mengambil masa yang amat lama, iaitu selama 7 tahun untuk menghabiskan keseluruhan tafsir tersebut sebanyak 30 juzuk yang disusun dalam 9 kitab yang tebal, namun saya amat puas. Banyak sekali pengajaran yang saya dapat cungkil hasil daripada pembacaan tersebut yang saya praktis setiap malam selama 7 tahun itu.

Boleh dikatakan setiap kali saya membaca tafsiran ayat-ayat suci Al_Quran walau ayat yang mana sekali pun ianya sentiasa relevan dengan apa saja isu yang saya alami sepanjang hari tersebut, juga sentiasa menjawab segala permasalahan yang sedang dialami di sekeliling kita.


Saya sering menyarankan kawan-kawan yang bersemangat tinggi memperjuangkan Islam agar menjadikan aktiviti membaca tafsiran Al-Quran sebagai aktiviti harian. Tanamlah azam untuk mengkhatam pembacaan keseluruhan tafsiran rujukan utama umat Islam itu sekurang-kurangnya sekali dalam seumur hidup kita.

Selalunya alasan yang amat popular dari kalangan kita ialah tiada masa, takut tersesat, tak minat membaca dan berbagai lagi yang mana tiada satupun dari alasan itu dapat kita terima.

Kita sentiasa amat sensitif dengan isu agama Islam, mahu memperjuangkan Islam, namun tidak ada lansung inisiatif untuk kita cuba melihat, membaca memahami, menghayati kitab rujukan yang paling utama dalam hidup kita sebagai orang Islam. Sedangkan kemudahan atau saluran untuk kita merujuk Al-Quran itu amat luas sekali, banyak tafsiran yang muktabar telah diterjemahkan ke dalam bahasa malaysia. Kalau kita tidak tahu berbahasa Arab, itu bukanlah satu alasan yang kukuh untuk kita meninggalkan usaha memahami Al-Quran.

Kalau kita selidik peratusan umat Islam di Malaysia ini yang menunaikan solat 5 waktu tentu kita akan terkejut dengan jumlah yang tidak sampai 30%. Dari jumlah tersebut cuba kita tanya pula berapa yang mempunyai tafsir Quran di rumah. Yang ada pula berapa yang berjaya mengkhatamkannya.

Kemudian berapa pula yang mempunyai tafsiran serta huraian Al-Quran seperti tafsir Al-Azhar, Tafsir Ibnu Sakir, Tafsir Jalalain dan lain lagi dan berapa ramai pula yang menelaahnya hingga habis. Takkan kerja membaca tafsiran itu hanya kerja para ustaz dan ulamak...?

Tentu amat memalukan kita mengaku Islam sebagai agama kita, Al-Quran sebagai rujukan kita tapi hakikatnya tiada lansung usaha untuk kita membacanya. Kita hanya membiarkan Almari yang membacanya, itupun kalau ada dirumah kita.

Marilah kita mulakan aktiviti ini sebagai satu dari aktiviti rutin kita, disamping amalan membaca Al-Quran dalam bahasa arab itu, kita panjangkan lagi dengan memahami maknanya dan kita dalaminya lagi dengan membaca huraian tafsirnya. Ayuh, sekarang juga kita ke toko kitab, beli kesemua jilid tafsiran serta huraian Al_Quran, mulakan membacanya sekadar 20 minit setiap malam sebelum tidur Insyaallah.
logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Baca Quran

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !