Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Thursday, April 2, 2009

Kegagalan Perniagaan

  Mohd Shubhi       Thursday, April 2, 2009
Malam yang dingin di bandar Guangzhou ini, saya bersama 3 orang lagi rakan duduk minum sambil menghisap shisha bersama di sebuah restauran Arab di sini. Banyak yang dibincangkan tetapi topik utama pada malam ini adalah mengenai kegagalan sesuatu perniagaan kecil. 

Masing-masing menceritakan pengalaman peribadi mengenai kegagalan masing-masing. Kita dapat mengenal kawan kita dengan lebih rapat jika dia bukan saja menceritakan kejayaan diri sendiri tetapi juga kegagalan diri sendiri. Jika dia hanya menceritakan kegagalan atau hanya menceritakan kejayaan, tentu ada sesuatu yang cuba disembunyikan.

Ini adalah kerana setiap orang pasti merasa gagal dan pasti merasa berjaya. Kejayaan itu satu proses dan kegagalan juga adalah satu proses yang berterusan dan berpanjangan. 

Kejayaan hakiki hanyalah di akhirat kelak. Apa yang kita kecapi di dunia hanyalah kejayaan dan kegagalan yang sementara.

Berbalik kepada topik kita pada hari ini iaitu mengenai kegagalan dalam perniagaan. Kami berempat sepakat dan setuju bahawa terdapat beberapa perkara yang menjadi penyebab kegagalan dalam perniagaan.

1. Terlalu banyak idea - Idea datang apabila kita bekerja dan berusaha. Idea ini tidak datang secara berkala seperti seminggu sekali atau 2 minggu sekali. Kadang-kala idea datang sekaligus dan serentak. Kadang-kala mungkin tidak ada langsung. Maka kita kena mahir untuk mengurus idea-idea yang ada.

Tidak semua idea mempunyai potensi untuk maju. Dalam masa yang sama, idea-idea ini juga tidak mampu untuk kita laksanakan dalam satu masa yang sama. Terdapat idea yang kita perlu tulis dan ingat untuk masa depan, ada idea yang kita perlu terus lupakan, ada idea yang kita boleh sampaikan sebagai cadangan untuk orang lain manfaatkan. (Apa guna kita simpan jika kita sendiri tak mampu untuk laksanakan, lebih baik bersedekah dalam bentuk ini)

2. Tidak fokus - Ini adalah kesinambungan pada perkara yang pertama. Apabila terlalu banyak idea yang hendak kita laksanakan, maka kita akan hilang fokus terhadap apa yang kita sedia lakukan. Ini kerana kita cuba untuk lakukan beberapa perkara dalam satu-satu masa. Kadang-kala perkara ini tidak ada perkaitan langsung.

Maka adalah baik jika kita cuba berada dalam satu-satu perniagaan dalam tempoh masa yang lama dan cuba untuk kembangkan perniagaan kita seiring dengan bidang yang kita ceburi. Jika kita dalam perniagaan minyak wangi, biarlah kita dalam bidang ini sehingga kita membina nama dalam bidang ini. Apabila terbau saja minyak wangi, pasti orang akan teringat pada kita. 

Jika kita menceburi bidang pelancongan sebagai ejen pelancongan yang menerima pelancong asing, maka kembangkanlah perniagaan kita juga dalam bidang yang sama seperti menceburi bidang kereta sewa, perhotelan atau penjualan cenderamata pelancong. Jangan ceburi bidang penanaman jagung atau penternakan kambing. Ini adalah kerana bidang-bidang ini adalah terlalu jauh berbeza dari bidang asal yang kita sedia ceburi.

3. Perniagaan Kredit - Sebagai peniaga kecil, kecairan wang tunai adalah sangat penting. Oleh itu cuba sedaya upaya untuk tidak menjual apa-apa barangan secara hutang atau consignment. Anda boleh untuk tidak menjual produk langsung jika tidak mendapat pasaran tunai. 

Ini mungkin kedengaran seperti agak janggal tetapi inilah realitinya. Ramai usahawan-usahawan kecil cuba untuk menggunakan rangkaian rakan-rakan untuk menjadi pengedar mereka, tetapi rakan-rakan ini tidak berminat dengan perniagaan. Mereka fikir mereka menjual barangan kita untuk membantu kita. Akhirnya, barangan terjual tetapi duit entah ke mana. 

Apabila kita bertanya mengenai duit, mereka sendiri pun tidak tahu. Kita perlu lebih tegas dalam perniagaan. Jika ada kawan hendak memulakan perniagaan tetapi tidak ada modal, minta kawan anda cari modal sekurang-kurangnya sedikit untuk memulakan perniagaan. Jika kawan anda tidak juga mampu mencari modal ini, maka dia masih belum bersedia untuk meniaga.

Jika kawan kita berkata, "dengan kawan-kawan pun kau nak berkira". Jawapan yang tepat adalah "Dengan kawan-kawanlah, aku perlu lebih tegas dan keras kerana aku perlu menjaga 2 benda utama iaitu yang pertama adalah persahabatan dan yang kedua adalah perniagaan" 

Kita tegas adalah untuk menjaga persahabatan. Kerana duit, kawan-kawan dan keluarga pun boleh bermusuhan. Lebih baik kita bertegas berbanding bermusuhan. 

Ini adalah antara 3 perkara penting kegagalan sesuatu perniagaan kecil. Terdapat banyak lagi yang mungkin kita dapat kongsi bersama dalam ruangan komen di bawah atau dalam artikel-artikel yang akan datang. 

Dalam hidup dan perniagaan, terdapat waktu-waktu yang kita perlu lihat pada kegagalan lampau kita supaya kita tidak menyeluk tangan ke dalam lubang ular yang sama. Kesalahan pertama boleh dianggap pengajaran, tetapi kesilapan kedua dalam kesalahan yang sama adalah kebodohan diri kita sendiri.

Sekian, terima kasih


Shahabudeen Jalil
2 April 2009
Guangzhou, China.

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Kegagalan Perniagaan

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !