Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Friday, June 26, 2009

Terperangkap Dengan Cara Kerja Syarikat Multi Nasional

  Mohd Shubhi       Friday, June 26, 2009

Jika anda pernah bekerja dalam syarikat multi nasional atau sedang bekerja dalam syarikat multi nasional dan bercadang untuk menceburkan diri dalam keusahawanan, anda perlu membaca apa yang saya akan kongsikan di sini.

Bekerja Di Syarikat Besar

Bagi mereka yang berpengalaman berkhidmat dalam syarikat gergasi multi nasional, tentu mereka akan terdedah dengan budaya kerja yang terperinci dan khusus.

Syarikat multi nasional mempunyai keupayaan modal kewangan yang amat besar yang membolehkan mereka menyusun organisasi yang menjurus dalam pengkhususan sesuatu kerja dengan begitu terperinci.

Sebagai contoh mereka berkeupayaan memecahkan setiap tugasan sehingga mereka yang kerjanya memasukkan data hanya menumpukan tugasan mereka dalam memasukkan data sahaja.

Data yang dimasukkan pula akan dianalisa oleh satu jabatan lain yang kerjanya hanya menganalisa data tersebut mengikut keperluan tugasan kerjanya sahaja.

Hasil dari penganalisaan pula akan disalurkan kepada jabatan lain yang akan membuat tindakan lanjutan yang berkenaan dengan bidang pengkhususannya saja.

Bagi mereka yang membuat perancangan, kerja mereka akan memberikan tumpuan sepenuh masa dalam kerja-kerja perancangan mereka sahaja.

Segala maklumat lain yang diperlukan dalam perancangan akan diuruskan dan disalurkan oleh berbagai jabatan yang berbeza dan terperinci dan segalanya mampu diperolehi dengan pantas.

Syarikat multi nasional juga melaburkan wang yang banyak dalam menambah baik sistem outomasi maklumat melalui ICT di mana segala maklumat hanya berada di hujung jari.

Dari Pekerja Syarikat Besar Terjun Berniaga

Apabila bekas pekerja di syarikat multi nasional terjun ke dalam bidang keusahawanan, tabiat atau kebiasaan dengan kerja yang khusus dan terperinci akan menguasai mereka.

Mereka akan terbelenggu dengan kerja-kerja remeh dan terperinci yang kebiasaannya tidak sesuai dengan keadaan perniagaan mereka yang kecil dan baru dalam peringkat pembinaan.

Mereka akan merancang segala kerja atau pembaharuan yang hendak dibuat seolah-olah mereka beroperasi dalam syarikat multi nasional.

Mereka akan menganggap kerja memerlukan mereka hanya duduk dikerusi di depan komputer dan memanggil untuk bermesyuarat demi mesyuarat sepertimana kebiasaan dalam syarikat besar.

Mereka akan mengandaikan maklumat akan disalurkan sepantas kilat apabila diminta. Selagi tiada maklumat, mereka akan sentiasa menyalahkan kekurangan maklumat kenapa mereka tidak dapat melaksanakan sesuatu tugasan. Maka mereka akan sentiasa menunggu seperti pungguk rindukan bulan.

Realiti Memulakan dan Membina Perniagaan

Situasi perniagaan kecil memerlukan seseorang usahawan turun padang dan dek kekurangan sokongan modal yang begitu mengcengkam membuatkan mereka kadang kala terpaksa berkorban dengan membuat sendiri segalanya dari operasi, jualan, kewangan, HR, perancangan dan lain-lain lagi.

Sehinggakan kadangkala menulis surat, menghantar bil, membuat laporan dan melayan semua permintaan pelanggan terpaksa dibuat sendiri oleh usahawan

Mereka tidak boleh berharap untuk disuapkan segala maklumat yang diperlukan untuk merangka strategi dan perancangan kerana semua pekerja atau rakan kongsi yang ada masing-masing terpaksa bekerja secara multi tasking dan mendapatkan sendiri segala yang perlukan demi kesinambungan perniagaan.

Perbincangan atau mesyuarat hanya perlu dilakukan secara santai dan tidak perlu formal kerana semua yang terlibat dalam menjayakan perniagaan sentiasa bersemuka.

Melaksanakan kerja dan menunaikan janji kepada semua pelanggan adalah keutamaan.

Perkhidmatan atau produk yang ditawarkan harus dilaksanakan sebaik mungkin yang dapat memenuhi jangkaan pelanggan dengan segala keupayaan yang ada.

Jika sesuatu tugasan tidak dapat dilaksanakan dengan baik oleh pekerja, usahawan harus sama-sama turun ke padang dan cuba memahami segala masalah dengan melibatkan diri dan menyelami segala kerumitan yang dialami oleh pekerja.

Walaupun jika kita mempunyai cukup kewangan untuk merekrut pekerja melaksanakan kerja-kerja tertentu, harus diingat jumlah pekerja yang diambil akan sentiasa tidak mencukupi seiring dengan keperluan kerja.

Usahawan harus peka bahawa jika pekerja sentiasa ditambahi dengan muatan demi muatan, satu ketika mereka tidak akan mampu untuk menanggung lagi muatan. Ini berakhir dengan segala muatan dilepaskan dan mereka akan cabut lari.

Di sini memerlukan kebijaksanaan usahawan untuk mengetahui bila dia perlu menghulurkan tangan membantu sehingga sumber kewangan mencukupi untuk menambah pekerja.

Atas dasar itu juga, usahawan perlu menguasai segala kerja atau bidang yang diceburinya agar dia mampu menjadi pengganti sekiranya diperlukan.

Proses ini akan berlanjutan sehinggalah ke satu tahap pengkhususan kerja dapat dilaksanakan dan kerja dapat dilakukan dengan lebih sistematik.

Apabila pengkhususan dapat dilaksanakan, cara kerja harus berubah. Masing-masing harus menumpukan dalam pengkhususan yang telah dipersetujui. Tiap-tiap orang harus menyelami pengkhususan tanggung jawabnya dan tidak lagi bertindak cuba melaksanakan tugasan yang bukan tanggung jawabnya.

Setiap yang bertanggung jawab dalam pengkhususan mereka harus menggangap yang mereka sedang membina sebuah perniagaan kecil dalam bidang pengkhususan mereka untuk memberikan perkhidmatan sokongan kepada perniagaan kecil lain dalam ruang lingkup perniagaan besar mereka.

Jika ini tidak dapat dilaksanakan, perniagaan akan menjadi kelam kabut dan kekecewaan akan tercetus pada pihak jabatan lain yang mengharapkan sokongan yang baik dari jabatan yang kita jaga.

Begitulah proses pembesaran akan berlaku setapak demi setapak dan usahawan mula melepaskan penguasaannya dari satu tangga ke satu tangga yang lebih atas.

Untuk memastikan orang yang mengambil alih tangga yang dilepaskan dapat melaksanakan dengan cemerlang, usahawan harus tahu dan menguasai terlebih dahulu perkara itu. Jika tidak bagaimana hendak melatih penggantinya.

Tiada waktu rehat sebenarnya bagi seseorang usahawan untuk membina empayar perniagaannya. Mereka harus ada sikap "pushing to the limit".

Tidak ada satu perniagaan pun akan berjaya secara luar biasa jika kita hanya berusaha secara biasa. Jika kita hanya bersikap seperti semua orang kebiasaan, maka kita hanya akan menjadi seperti ramai orang kebiasaan.

Sikap "tidak boleh" harus dipadamkan dari kamus seorang usahawan. Yang harus ada ialah bagaimana nak buat, bukan mencari alasan kenapa kita tak boleh buat.

Jika seseorang usahawan tidak dapat menyesuaikan diri dalam setiap perubahan yang diperlukan bagi setiap peringkat perniagaan membesar, mereka hanya akan membuang masa dan wang yang ada. Adalah lebih baik berkhidmat dalam syarikat besar yang perubahan penyesuaian berlaku secara amat perlahan.

Melainkan anda diwariskan dengan harta yang bertimbun, atau mempunyai Bin Tan Sri, Datuk Seri atau berkebolehan merebut ketua UMNO bahagian atau cawangan di Pahang atau di Johor, berkeupayaan merasuk orang lain menyertai skim piramid anda, atau amat setia menjadi proksi mana-mana menteri, atau lain-lain seumpamanya, maka anda tiada pilihan lain untuk berjaya sebagai usahawan selain mula dari kepayahan.
logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Terperangkap Dengan Cara Kerja Syarikat Multi Nasional

Previous
« Prev Post

2 comments:

  1. Salam Sdr Shubhi.

    Yang ini memang realiti. Saya dah alami sendiri. Kalau dulu boleh mengarah-arah staf, sekarang mengarah diri sendiri.

    ReplyDelete

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !