Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Friday, September 17, 2010

Dunia Kamera Digital - Menyeronokkan Dan Banyak Faedahnya

  Mohd Shubhi       Friday, September 17, 2010
Selama ini saya mengenali kamera digital sebagai salah satu peralatan yang diperlukan oleh para pekerja saya dalam merakamkan situasi premis para pelanggan syarikat saya yang melanggan khidmat kawalan serangga dan makhluk perosak.

Semasa penggunaan kamera berfilem dulu kos untuk merakam sesekeping gambar adalah amat tinggi. Maka penggunaan gambar sebagai salah satu medium membuat laporan tidak ekonomik dari segi kos, sedangkan medium gambar lebih menarik dan mudah difahami jika ianya digunakan berbanding laporan bertulis yang berjela-jela.

Apabila kamera digital berada di pasaran di tambah dengan harganya yang semakin hari semakin murah maka kebanyakan syarikat mengambil peluang teknologi rakaman gambar ini sebagai salah satu peralatan yang memudahkan mereka melaksanakan kerja.


Dengan harga kamera yang murah ditambah dengan cara memproses hasil gambar yang jauh lebih mudah serta hampir tiada penanbahan kos membuatkan semua orang mampu memiliki kemudahan ini. Lagipun dengan teknologi pengkomputeran dan internet yang berintegrasi dengan segala teknologi serta peralatan canggih sekarang ini, ia memudah serta membantu kecekapan para usahawan melaksanakan kerja.

Diringkaskan cerita setiap seorang penyelia syarikat perkhidmatan kawalan serangga dan makluk perosak saya, PestSciences dibekalkan satu kamera digital. Mereka akan merakam kan semua keadaan premis yang dirawat yang dikesan perlu dibaiki atau diubah bagi meningkatkan lagi keberkesanan kawalan serangga dan makhluk perosak di premis tersebut.

Segala gambar yang diambil akan disusun dalam satu laporan bergambar berserta sedikit komen menyatakan apa yang tidak kena dan apa yang harus dilakukan bagi membaikinya. laporan itu akan terus di emailkan kepada pelanggan yang akan membacanya tanpa perlu dicetak. Lihatlah betapa mudahnya penggunaan teknologi yang sekali gus membantu penambahan nilai terhadap perkhidmatan saya.

Begitulah berterusan saya mengenali fungsi kamera digital ini dan kegunaannya untuk perniagaan sedangkan saya sendiri tidak ada memilikinya untuk kegunaan peribadi kerana tidak nampak apa keperluannya.

Semua itu mula berubah apabila saya mula menulis blog secara suka-suka dan sering menampalkan artikel-artikel yang saya rasa menarik. Saya sering malampirkan artikel yang saya siarkan dengan sekurang-kurangnya satu gambar yang menceritakan apa yang say tulis dan gambar-gambarnya saya akan ambil dari carian google, mana yang sesuai saya simpan dan tampal bersama artikel saya.

Suatu hari saya mendapat satu amaran berbentuk email dari google yang manyatakan beberapa artikel saya terpaksa digantung akibat mereka menerima aduan bahawa saya telah mengambil dan menyiarkan beberapa keping gambar kepunyaan orang lain yang di kawal hak miliknya. Jika saya mahu artikel saya disiarkan, saya perlu memadamkan gambar-gambar tersebut dahulu.

Ini membuatkan saya tersedar bahawa saya selama ini menciplak atau mencuri gambar hasil dari susah payah orang lain lalu ia menimbulkan satu keinginan untuk saya mempunyai koleksi gambar saya sendiri. Sudah tentu ini kerja mudah kerana saya hanya perlu memiliki sebuah kamera digital yang berlambak di pasaran dengan harga yang murah.

Antara hasil awal gambar saya. Jalan di Bukit Cerakah
dengan menggunakan camera compact.
Maka dari situ bermulalah satu penerokaan dunia kamera digital yang rupa-rupanya amat menarik dan membuka mata dan menarik minat saya untuk mendalaminya dengan lebih jauh sebagai satu hobi dan kegemaran masa lapang yang bermanafaat.

Penerokaan dunia kamera digital saya dari seorang yang mempunyai pengetahuan yang hampir kosong sejak beberapa bulan ini tentu amat menarik untuk dikongsikan bersama kepada mereka yang mungkin seiring dengan saya iaitu sedang meneroka dunia photografi yang sebenarnya amat menyeronokkan.

Saya akan siarkan artikel lanjutan yang tetap bagi menceritakan pengembaraan saya dalam dunia kamera digital ini selepas ini. Tunggu lagi artikel yang akan datang yang mana akan saya ceritakan bagaimana saya mula mengenali perbezaan jenis-jenis kamera digital yang terdapat di pasaran, yang mana satu sesuai untuk kita, kenapa gambar yang kita ambil tak seelok gambar orang lain yang kita lihat, kenapa ada banyak fungsi pada butang kamera dan macam-maca lagi.

Hasil awal gambar "macro" dengan kamera compact
Semua artikel ini akan saya labelkan di bawah label "photography". Saya amat mengalu-alukan jika ada di kalangan pembaca blog saya mahu menceritakan pengalaman mereka dalam dunia photography atau dunia kamera digital ini, sila emailkan pengalaman anda untuk saya siarkan di blog ini, hantar ke alamat email saya mohdshubhi@gmail.com. Anda tidak perlu risau jika anda masih jahil atau amat cetek pengetahuan dalam dunia photography kerana saya sendiri dan jutaan manusia diluar sana adalam sama atau lebih teruk dari kita. 
logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Dunia Kamera Digital - Menyeronokkan Dan Banyak Faedahnya

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !