Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Sunday, July 17, 2011

Kubang Semang Kampung Ku

  Mohd Shubhi       Sunday, July 17, 2011
Ban Busuk
Kubang Semang, merupakan kampung yang terletak di kawasan Seberang Perai, Pulau Pinang. Bangunan paling mudah untuk mengenal pasti bahawa anda berada di Kubang Semang adalah Masjid Jamek Kubang Semang, yang terletak bersebelahan dengan Butterworth-Kulim Expressway. Sebelah Masjid Jamek ada kedai kopi yang sentiasa ramai orang. Orang kampung panggil kedai kopi tersebut sebagai 'Kedai Tok' tapi ada juga yang panggilnya sebagai 'kedai tepi masjid'

Bagi para penduduk asal di sini, Kubang Semang amat sinonim dengan Ban Busuk. Sesiapa yang mengaku berasal dari Kubang Semang tapi tak kenal Ban Busuk, berkemungkinan besar dia tidak membesar di sana.

Ketika kecil dulu ada 3 Ban yang paling dikenali. Ban Busuk, Ban Cabang dan Ban Baru. Ban Cabang merupakan tempat kami curi mandi ketika pergi belajar mengaji Quran di Masjid. Sekali sekala kami akan mandi di Ban baru yang lebih merbahaya dan lebih dalam daripada ban Cabang.


Ban Busuk pula sesuai dengan namanya memang tak ada sesiapa yang mandi di situ kecuali orang gila. Ini kerana airnya memang busuk disebabkan oleh pembuangan bahan kilang terutamanya kilang getah Lee Rubber di kubang Ulu.

Mandi Ban merupakan satu amalan jahat bagi orang tua-tua. kalau mereka tahu anak mereka mandi ban, sudah tentu berjalur badan kena rotan. Mungkin ibu bapa tak mahu anak-anak mereka mati lemas walaupun jarang-jarang dengar ada orang mati lemas mandi ban.

Kalau mandi ban tak kena hisap darah dek lintah memang tak sah. Ada musim memang banyak lentah, masukkan saja jari anda ke dalam air, akan kelihatan beberapa ekor lintah berenag menuju ke arah jari anda. 

Walaupun kebanyakan kami tak takut dengan lintah, tapi perasaan ngeri menyelinap juga masuk ke perasaan apabila terbayangkan lintah masuk lubang dubur. Entah kenapa saya amat takut lintah masuk lubang dubur tidak dapat dipastikan dari mana datangnya. Tapi orang kata kalau masuk kat situ lintah akan beranak pinak dan tak keluar, itu yang ngeri dengar.

Pernah saya dan beberapa orang rakan mandi ban cabang dan pakaian yang kami sorok bawah titi telah diambil oleh Bakaq (orang panggil Kaq Ton). Dia memang suka usik budak-budak. Dia selamba ambil semua pakaian kami dan berjalan pulang masuk ke dalam kampung.

Apa lagi dengan penuh malu kami semua yang berbogel berlari meniti batas bendang mengejarnya sehingga masuk ke dalam kampung. Dia letakkan semua pakaian kami bawah rumahnya untuk kami ambil. Memang memalukan apabila semua orang kampung tertawa melihat kami masuk keliling kampung berbogel.

Tapi itu semua tidak pernah membuatkan kami serik untuk mandi ban. Bagus juga dengan kedegilan tersebut memnuatkan saya mampu berenag dengan baik sehingga sekarang.
logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Kubang Semang Kampung Ku

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !