Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Friday, January 20, 2012

Gambar Dedah Aurat Akan Dihentikan Serta Merta

  Mohd Shubhi       Friday, January 20, 2012
Mendedahkan aurat bagi seseorang manusia yang berakal dan cukup umur hukumnya adalah haram. Semua orang Islam tahu hukum tersebut. Cuma persoalannya apakah yang dimaksudkan dengan aurat. Apakah bahagian yang dikatakan aurat bagi seorang lelaki dan seorang wanita.

Pendapat yang paling popular mengatakan aurat bagi lelaki adalah anggota yang terletak antara bahagian pusat dengan lutut manakala aurat bagi wanita pula adalah semua anggota kecuali muka dan juga tapak tangan.

Ini bermaksud semua lelaki yang mendedahkan bahagian antara pusat dan lututnya melakukan perbuatan haram manakala semua perempuan yang mendedahkan mana-mana bahagian anggota badannya selain dari muka dan tapak tangan juga turut melakukan perkara haram. Ini semua juga telah diketahui umum.

Ada berbagai lagi versi yang sering dibahaskan dalam hal aurat ini. Ada juga sebahagian kecil orang Islam yang mengatakan bahawa yang dikatakan aurat hanyalah anggota kemaluan mereka. Ini popular dikalangan mereka yang menolak Hadith sebagai sumber hukum dan hanya menerima Al-Quran sebagai sumber hukum. Dan pandangan ini merupakan pandangan yang paling longgar dan digemari oleh para wanita muslim yang moden dan liberal.


Di sudut lain pula ada pandangan yang lebih ketat khususnya terhadap aurat wanita yang mengatakan aurat kaum wanita adalah semua bahagian tubuh badannya. Sebab itu ada yang menutup seluruh tubuh badannya hatta bahagian mata sekalipun ditutup dengan jaring berlubang sekadar untuk boleh melihat. Malah suara wanita juga dikatakan sebagai aurat dan ada juga yang melarang wanita memakai seluar kerana boleh menterjemahkan bentuk anggota badan mereka. Ini pandangan yang paling ketat dan tidak di gemari oleh ramai orang ultra moden terutamanya mereka yang takutkan pengebom berani mati.

Sesiapa yang mendedahkan auratnya melakukan perkara haram dan orang yang melihat mereka yang mendedahkan auratnya juga melakukan perkara haram. Yang nyatanya melihat orang yang mendedahkan aurat secara real atau secara life adalah haram.

Dalam dunia sekarang dimana saja kita berada terutamanya dalam kawasan penempatan yang ada pekan dan juga bandar, kita dipenuhi oleh ramai manusia yang mendedahkan aurat. Dan mereka lalu-lalang di serata tempat tidak kira di mana saja kita berada.

Secara biasanya kita sentiasa tidak dapat mengelakkan diri kita daripada melihat perkara yang diharamkan walaupun kita berusaha dengan gigih untuk tidak melihatnya. Kecualilah kita memejamkan mata kita dan menggunakan tongkat orang buta apabila keluar daripada rumah dan hanya membukannya apabila sampai di dalam kurungan rumah kita.

Mungkin pusat orang buta boleh membuka kursus terbuka kepada mereka yang benar-benar mahu mengelakkan perbuatan melihat aurat orang lain, bagaimana menggunakan tongkat dan memejam mata ketika berjalan-jalan dipusat bandar, tentu ada sambutan hangat.

Setakat ini kita membicarakan aurat manusia yang hidup di dalam alam nyata yang mempunyai 4 dimensi serta boleh dikesan oleh semua deria termasuklah rasa, bau, penglihatan dan juga pendengaran. Maksudnya apabila kita menyaksikan seorang wanita secara live, kita dapat melihat pergerakannya, kelembutan gerak gerinya, henjutan dagingnya apabila bergetar, deraian rambutnya apabila dipukul angin, serta liuk lintuk bentuk tubuh badannya secara 3D.

Bagaimana pula kedudukan aurat apabila seorang wanita diambil gambarnya. Gambar yang terhasil hanyalah merupakan objek 2 dimensi dan tidak bernyawa malah tidak ada segala pergerakan, bauan, getaran kerlipan dan lain-lain sebagaimana yang saya gambarkan di atas.

Adakah sama hukumnya melihat gambar terdedah aurat yang terhasil daripada rakaman gambar kaku serta mati tersebut sebagaimana kita melihat aurat manusia secara live 3D yang digambarkan di atas. Adakah sama melihat aurat wanita nyata dengan melihat gambar wanita atau lebih tepat lagi objek mati yang hanya 2 dimensi.

Bagi diri saya yang bukan ustaz, bukan cendikiawan dan bukan juga pandai agama malah hanya seorang muslim biasa yang ada sedikit akal pemikiran yang tahu membezakan antara gambar kaku dengan tubuh real ini, merasakan bahawa ada perbezaan yang amat ketara dalam dua perkara tersebut diatas malah kesannya juga amat berbeza apabila melihat seorang wanita 'real' di depan mata dengan sekeping gambar wanita kaku mati tidak bernyawa.

Kecualilah apabila kita melihat gambar yang mengiurkan daripada seorang wanita yang begitu terdedah gambarnya. Ia mendatangkan berahi apabila deria penglihatan kita memprosesnya di dalam minda lalu melakarkan imej 3D di dalam minda kita. Itu kita namakan gambar lucah dan kita tidak sebuat lagi melihat pendedahan aurat manusia.

Apa yang saya sebuatkan di atas hanyalah sekadar mukadimah tulisan ini untuk kita fikir dan renungkan bersama. Isu sebenarnya di sini adalah teguran demi teguran yang saya terima dari ramai individu yang saya rasa adalah dikalangan para Ustaz yang perihatin terhadap masalah halal haram dalam masalah pendedahan aurat. 

Saya menerima banyak teguran secara bersopan dari email yang membantah penulisan di blog ini yang disertakan dengan gambar wanita yang mendedahkan aurat. Ada berbagai gambar para wanita yang mendedahkan rambut serta anggota lain yang kadangkala saya paparkan dalam tulisan saya yang tidak disukai oleh mereka tersebut.

Bagi memenuhi permintaan mereka maka saya dengan rendah hati menerimanya dengan hati yang terbuka. Barangkali kehidupan seharian yang sentiasa dipenuhi dengan aktiviti melihat wanita tidak menutup aurat sejak kecil sehinggalah dewasa sama ada secara rela atau tidak rela yang tidak mampu saya mengelakkannya membuat hati ini menjadi keras dan tidak dapat memahami hikmah sebagaimana yang difahami oleh para ustaz yang telah menegur saya.

Oleh itu mulai sekarang ini sebarang gambar yang mendedahkan aurat tidak akan lagi dipaparkan di dalam blog ini dan segala gambar yang telah disiarkan sebelum ini akan dibuang sedikit demi sedikit sehingga habis kesemuanya. Segala keperihatinan para penegur saya ucapkan terima kasih daun keladi elok lepas ini tegurlah lagi.
logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Gambar Dedah Aurat Akan Dihentikan Serta Merta

Previous
« Prev Post

3 comments:

  1. syabas saudara. teruskan perjuangan.

    ReplyDelete
  2. tahniah krn berfikiran terbuka & sedia ditegur!

    *saya sendiri tak setuju dgn blog yg menyiarkan gambar lelaki/wanita tak tutup aurat. krn ia lebih kpd mendedahkan seseorang ke arah dosa apabila memandang gambar tsbt..disebabkan cara berfikir yg berbeza2.

    ReplyDelete
  3. aurat lelaki & perempuan muslim memang diterangkan dlm alquran, kenapa ini tidak terdapat dlm undang2 syariah? sedangkan makan ditempat awam dlm bulan ramadan menjadi kesalahan, berdasarkan surah mana, ayat berapa & hadis mana. jgn salah faham.

    ReplyDelete

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !