Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Saturday, June 23, 2012

Masak nasi dalam buluh

  Mohd Shubhi       Saturday, June 23, 2012
Aku biasa dengar orang cerita bagaimana orang asli tanak nasi dalam buluh sebelum ini tapi aku sendiri tak pernah tengok macam mana mereka buat. Selama ini aku fikir orang asli masukkan beras ke dalam batang buluh, tuang air dan panaskan batang buluh yang ada nasi itu.

Baru-baru ini aku berpeluang rasakan sendiri pengalaman macam mana nak masak nasi dengan menggunakan buluh dan juga masak ayam juga dengan menggunakan buluh. Rupa-rupanya cara masak sebenar berlainan daripada yang aku bayangkan selama ini. Malah ia cukup menarik dan nasi yang di masak begitu, tahan lama serta rasanya sedap.

Nasi yang di masak menggunakan batang buluh prosesnya lebih kurang dengan masak lemang saja cuma tak ada santan. Beras yang dibasuh ala kadar di letakkan di atas daun 'Lerek' lalu dibungkus mengikut kesesuaian saiz batang buluh yang kita gunakan. Ia perlu longgar sedikit sebab bila nasi masak nanti dia akan kembang menjadi macam nasi himpit yang dibalut dengan daun Lerek.


Buluh yang kami gunakan hari itu besar dan setiap ruas boleh dimasukkan sebanyak 4 bungkus beras yang telah dibungkus bersama dengan daun Lerek. Setelah masukkan beras ke dalam buluh, kita perlu masukkan air sehingga memenuhi ruas bulut itu dan diletakkan di tepi api atau bara sebagai mana kita memasak lemang. Tunggulah sehingga 2 jam sebelum nasi masak dan boleh dimakan.

Buluh perlu dipusing-pusingkan agar nasi masak sepenuhnya di dalam buluh hijau itu. Bila masak nanti keseluruhan buluh bertukar menjadi warna coklat. Kita perlu tuangkan air yang masih ada dari dalam batang buluh dan baringkan dia sebentar berdekatan api sehingga semuanya kering. Bila kita nak makan, tunggang saja batang buluh untuk mengeluarkan nasi yang ada di dalamnya.

Hari itu ayam juga kami masak dengan menggunakan batang buluh. Bezanya ayam yang telah diperapkan bersama beberapa ramuan rahsia tradisi orang asli dan orang tak asli terus di masukkan ke dalam ruas tanpa dibalut terlebih dulu dengan daun. Buluh yang digunakan juga lebih kecil. Setelah itu letakkan di tepi api atau bara macam masak lemang juga dan tunggu sehingga semuanya masak. Ia ambil masa lebih daripada satu jam juga. Setelah masak, tuang saja ayam ke dalam bekas untuk dimakan bersama nasi tadi. Ayam yang telah siap masak di dalam buluh itu ada mempunyai kuah sedikit walaupun tidak ada air dimasukkan bersamanya ke dalam buluh tadi.

ambil daun Lerek untuk masak nasi

Letakkan beras di atas daun lerek dan bungkus macam lepat
semua nak mencuba
Masukkan macam ni ke dalam buluh

Masak nasi dalam buluh
Selepas tuang air dari dalam buluh keringkan dahulu
Nasi dan ayam yang telah masak
Tuang ayam yang telah masak di dalam buluh

Jom makan....!











logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Masak nasi dalam buluh

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !