Tuesday, August 27, 2013

Ganggu orang bersolat sambil meriah berselawat!

Dah lama tak update posting bergambar di blog ini. Bukan tak mahu tetapi ada sedikit masalah dengan external storage yang saya simpan kesemua gambar yang dirakamkan selama ini.

Nampak seperti diketuk sehingga rosak. Entahlah angkara siapa tidak dapat dipastikan. Apapun benda dah terjadi, tak perlulah saya siasat angkara siapa. Telan saja kekecewaan itu dan teruskan kehidupan dengan apa yang ada.

Oleh kerana tak ada gambar, maka untuk hidupkan juga penulisan di Blog ini, terpaksalah menulis semula seperti dulu tanpa ada paparan gambar.

Kali ini rasa terpanggil untuk menulis berkenaan tajuk yang tertera di atas. Kejadian sudah lama berlaku dan sering saya perhatikannya terutamanya di surau yang saya sering berjemaah di waktu malam.

Kemudiannya kejadian yang sama berlaku juga di satu surau lain yang saya sering berjemaah di waktu siang. Kesemua surau tersebut berada di dalam khariah Masjid yang sama dan amalan yang diamalkan sama seperti yang diamalkan di Masjid tersebut.


Amalannya memang baik, iaitu selepas selesai setiap solat fardu, maka semua makmum akan bangun membuat barisan dan mula bersalam sambil masing-masing berselawat ke atas nabi dengan meriah sekali.

Dari segi amalan berselawat...tidak dinafikan memang bagus, sunat yang cukup digalakkan. Begitu juga bersalam-salaman sesama jemaah, juga baik dan merupakan amalan sunat yang digalakkan.

Maka tanpa ada sebanrang pengecualian, amalan ini terus diamalkan sepanjang waktu dengan tertib dan bersemangat sehinggakan jika ada warga Bangladesh yang turut berjemaah, akan turut sama mengamalkannya.

Namun apa yang mengecewakan adalah kadangkala ada makmun yang terlewat datang berjemaah. Kebetulan bila sampai Imam telah memberi salam. Lalu bagi mereka yang tahu kelebihan berjemaah, akan mengikuti pula salah seorang makmum yang masih belum selesai menghabiskan jumlah rekaatnya.

Sebagai sebuah surau, semua orang tahu, keluasannya bukanlah besar sangat, jadi kebiasannya mereka yang masbuq dan berada di saf kedua akan berada di tengah surau.

Bayangkan apabila selesai bersolat jemaah dan semua makmum mula beratur berjalan menuju kepada Imam pada tempatnya. Apabila ada insan yang masih lagi bersolat, maka berpusu-pusulah para jemaah melintas di hadapannya tanpa sedikitpun ada rasa bersalah.

Pak Imam yang sepatutnya arif tentang hukum hakam dalam bersolat ini pula dengan selamba kekal pada tempatnya walaupun dia tahu dengan kedudukan tersebut, semua para jemaah akan lalu lalang di depan insan malang yang sedang bersolat.

Menambahkan lagi malang insan bersolat itu adalah, barisan para jemaah yang bersalaman sambil berselawat itu akan membuat satu bulatan mengelilingi insan tersebut sambil berselawat.

Cuba bayangkan perasaan anda yang sedang bersolat Fardu dan dalam masa yang sama dikelilingi oleh orang ramai dalam jarak dekat dan akhirnya kesemua orang itu berdiri tegak sambil berselawat kuat dan melihat anda seorang diri sedang bersolat....anda mungkin jenis Wali yang kyusuk seperti para sahabat jika tidak merasa kekok dalam keadaan sebegitu!.

Apa yang saya ceritakan di atas adalah perkara yang sering di alami oleh saya sendiri setiap kali singgah bersolat di sana. Rasa marah, memang ada tapi tak sanggup menegurnya kerana takut dituduh bodoh dan antisosial.

Mungkin jika amalan sama berlaku di Masjid tidak kelihatan janggal kerana sebuah masjid keluasannya besar. Aktiviti bersalaman selepas selesai solat fardhu biasanya tidak menggangu jemaah yang terlewat kerana para jemaah dapat megelakkan diri mereka daripada melintas di hadapan orang yang sedang bersolat.

Apakah hukumnya mengganggu orang yang sedang bersolat?, sebagai muslin yang cetek ilmu ini saya diajar bahawa mengganggu orang bersolat terutamanya solat fardhu adalah haram. Samada secara perbuatan maupun secara membuat bising, hatta jika anda sedang membaca Quran, perlu memperlahankan bacaan anda jika ada orang yang sedang bersolat.

Oleh itu apa pendapat anda jika anda berselawat beramai-ramai sambil mengelilingi insan yang sedang bersolat. Ditambah lagi dengan melintas dihadapan orang tersebut seorang demi seorang dalam keadaan mulut terkumat kamit berselawat....! Lu pikir la sendiri...!
Previous Post
Next Post

1 comment:

  1. Orang yang menganggu orang lain solat sebenarnya solat dia sebelum itupun sudah hancur dan tidak diterima ALLAH.

    ReplyDelete