Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Sunday, September 28, 2014

Perlu baca ini untuk elak dari penyakit demensia

  Mohd Shubhi       Sunday, September 28, 2014
Dalam bahasa biasa, demensia ada juga yang panggil penyakit nyanyuk. Kalau dalam bahasa Indonesia, demensia mereka panggil sebagai Singkat Akal. Rasanya perkataan singkat akal mungkin lebih tepat memandangkan keadaan akal mereka yang mengidapinya mengalami situasi akal yang singkat daripada keupayaan berfikir dengan baik.

Apakah demensia itu sama dengan gila atau tidak saya tak dapat sahkannya. Tapi berdasarkan pemerhatian saya, pengidap demensia bukannya gila, mereka dapat berkomunikasi dengan baik seperti orang waras, cumanya keupayaan menghubungkan semua keadaan dengan baik dalam membuat penafsiran adalah lemah.

Mengelakkan diri daripada penyakit demensia
Menu mediterranean merupakan antara menu terbaik untuk kesihatan
Orang gila bukan macam itu. Mereka cakap ikut suka dan mereka jawab segala soalan ikut sedap mulut mereka saja tanpa memahami apa yang mereka cakapkan. Orang yang terkena demensia boleh diajak berbual seperti biasa dan mereka masih mampu menjawab segala soalan dengan baik.

Jika ditanya maklumat atau fakta-fakta lama seperti umur mereka, umur kawan-kawan mereka yang meninggal dan diajak mengecam siapa-siapa saja yang pernah mereka kenali, akan dapat dijawab dengan tepat tanpa sebarang masalah.

Punca demensia yang berbagai

Melalui pembacaan, saya dapati usaha untuk memahami penyakit demensia dan sebab-sebabnya masih giat dikaji. Puncanya kejadian masih tidak dapat sisahkan secara pasti setakat ini. Yang pastinya ia ada kaitan dengan sel-sel otak yang tercedera atau mati yang membuatkan perhubungan aliran maklumat antara sel otak menjadi tersekat.

Para pakar ada memberikan beberapa sebab yang berkemungkinan membuatkan orang terkena masalah demensia ini dan berikut adalah antara sebab-sebabnya:

Faktor umur 

Risiko terkena  demensia meningkat dengan meningkatnya umur. Jarang kita dengar orang yang berumur 30 tahun ada masalah demensia. Mereka mungkin ada masalah suka lupa, tapi itu masalah lain dan bukannya demensia.

Bermula dengan umur 65 tahun, faktor terkena demensia mula tinggi. Dikatakan risiko demensia terhadap mereka yang berumur 65 tahun adalah 1 dalam 14.

Bila umur kita naik kepada 80 tahun, risikonya semakin tinggi lagi. Kemungkinan terkena demensia pada umur begitu adalah 1 dalam 5. Sebab itu mereka yang panjang umur kerap terkena demensia. Lagipun ada dalam Quran mengesahkan bahawa kita bermula daripada keadaan kanak-kanak membesar, tua dan kembali kepada keadaan seperti kanak-kanak semula.

Jika anda ada pengalaman menjaga pesakit demensia, memang nampak amat ketara sikap mereka yang berubah menjadi sebijik macam kanak-kanak. Perlu banyak bersabar dan sentiasa ingatkan diri bahawa keupayaan mereka menganalisa dan berfikir secara logik tidak seperti keupayaan anda yang muda. Layanlah mereka dengan baik dan kreatif dalam menyelami perasaan mereka.

Faktor jantina

Fakta menunjukkan bahawa orang perempuan lebih berisiko tinggi terkena demensia. Memang orang perempuan biasanya panjang umur berbanding orang lelaki, tetapi itu bukanlah fakta sebenar terjadinya keadaan begitu.

Sebab utama kenapa orang perempuan lebih berisiko terkena demensia tidak dapat diputuskan lagi dengan tepat. Kajaian masih dibuat. Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa kaum wanita kekurangan hormon oestrogen selepas mengalami menopause. Tapi tindakan menambah hormon pada mereka tidak memberikan apa-apa perubahan

Faktor genetik

Umum mengetahui faktor genetik dalam mewariskan berbagai penyakit dalam satu-satu keturunan. Jika ibu bapa anda ada rekod terkena demensia, kemungkinan anda juga bakal mengalami masalah yang sama adalah lebih tinggi berbanding mereka yang tiada.

Faktor sejarah perubatan

Sejarah perubatan juga memainkan peranan penting untuk membuatkan masalah demensia terbina. Jika anda ada masalah kencing manis, masalah darah tinggi dan juga masalah kolestro tinggi dalam darah, anda ada risiko tinggi untuk mengalami demensia.

Orang yang ada sejarah terkna strok juga ada potensi tinggi untuk mengalami masalah demensia. Malah faktor strok menyumbang risiko yang amat tinggi untuk demensia.

Orang yang mengalami tekanan dalam hidup atau mengalami kemurungan dalam waktu-waktu kehidupan zaman lalu juga berisiko tinggi untuk menghadapi masalah demensia. Namun begitu hubungan antara tekanan hidup atau kemurungan dengan demensia masih tidak jelas.

Ada yang kata tekanan hidup dan kemurungan menjadikan orang terkena demensia. Ada juga yang mengatakan disebabkan mereka ada bakat jadi demensia maka mereka mengalami kemurngan dan senang tertekan. mana satu yang betul tidak dapat dipastikan lagi.

Kalau kepala anda asyik tercedera banyak kali sepanjang hidup, anda juga berisiko tinggi untuk kena demensia. Jadi cuba ingat balik berapa kali anda terhantuk kepala sampai cedera.

Faktor persekitaran dan gaya hidup

Ini satu faktor yang sebenarnya merupakan ibu segala masalah penyakit dalam dunia ini. Persekitran yang sihat diikuti dengan gaya hidup yang sihat adalah ubat kepada segala aktiviti mengelakkan dan mencegah penyakit.

Makan tak tentu hala ikut nafsu, tak bersenam, merokok, mabuk todi, kera sumbang tak kawan dengan orang, tak ada kawan, tak bermasyarakat dengan jiran dan tak ada aktiviti ziarah menziarahi adalah gaya hidup yang boleh merosakkan dan ada bakat untuk terkena demensia.

Sikap malas menggunakan otak untuk berfikir selesaikan masalah, malas menjawab soalan terselindung, malas membaca buku atau mendapatkan dan belajar ilmu baru dan seupamanya adalah satu lagi gaya otak bebal yang boleh menjadikan anda terkena demensia.

Amalan membaca Al-Quran

Mereka yang banyak gunakan otak dalam sebarang aktiviti agar otak sentiasa berfikir dan aktif kurang terkena demensia berbanding mereka yang malas dan asyik manjakan otak. Sebab itu ramai para ustaz sarankan kita sering membaca Quran untuk aktifkan otak.

Ada yang kata dengan hanya membaca Quran setiap hari sebagai amalan dapat mengelakkan diri anda dari demensia. Tapi saya rasa baca saja tak berapa berkesan untuk latihan otak. Baca dan cuba hafal jika dijadikan sebagai aktiviti rutin adalah jauh lebih bagus.

Untuk lebih bagus lagi adalah dengan sering baca Quran, sering cuba hafal Quran dan sering hafal sekali dengan maknanya dan seterusnya memikirkan apa yang dikatakan untuk mendapat kefahaman Al-Quran dan diaplikasikan dalam kehidupan.

Mengelakkan diri daripada demensia

Dengan senarai yang saya sebutkan di atas, anda tentu dapat tangkap mana satu yang anda boleh kawal dan mana satu yang anda tak boleh buat apa-apa. kalau anda tak dapat tangkap dan faham, anda berkemungkinan ada masalah demensia.

Ada banyak perkara dari segi amalan gaya hidup yang boleh membantu anda elakkan diri daripada Demensia, Insyaallah. Tapi kalau iltizam tak berapa kuat dan masih tak dapat bendung nafsu dan mahu kekalkan juga gaya hidup yang merosakkan, anda tanggung sendiri akibatnya.

Apa kata anda mulakan hari ini juga untuk berjalan kaki dan keluarkan peluh selama 30 minit sehari setiap hari. Bersenam ada banyak faedahnya dan jangan banyak kasi alasan. sebaliknya cari jalan untuk buat.

Anda juga boleh mula amalkan puasa Isnin Khamis bermula sekarang dan jangan berhenti sehingga datangnya malaikat maut mencabut nyawa anda. Puasa banyak mengajar anda erti makan sekadar perlu berbanding makan walaupun tak perlu.

Apa pendapat ada dalam bab gaya hidup ini? adakah anda amalkan gaya hidup sihat sekarang atau anda ada seribu satu alasan untuk kekalkan gaya hidup tak sihat. Atau anda ada nasihat untuk mula mengamalkan gaya hidup sihat untuk saya dan pembaca lain?

Kongsikan pendapat anda di ruang komen di bawah... fikirkan sedikit, perah otak untuk menulis komen walaupun susah, ini adalah permulaan untuk membuang sikap malas menggunakan otak anda dan moga otak anda terus aktif dan terelak daripada masalah demensia... Insyaallah!


logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Perlu baca ini untuk elak dari penyakit demensia

Previous
« Prev Post

4 comments:

  1. alhamdullillah terima kasih di atas perkongsian ilmu amat bermanafaat, Mertua saya mengalami masaalah kemurungan di waktu muda. Menjaganya memang satu cabaran buat saya. Bukan ingin mencerca tapi ini adalah realiti. Dulu saya memang tidak tahan dengan kerenahnya yg suka menyakitkan hati dan melukakakan perasaan dengan kata2 sindiran dan selepas itu dia lupa. Selalu juga diminta hantarkan ke rumah anak yg dia suka tpi apabila dihantar merengek minta balik ke rumah saya.Suami selalu menasihatkan agar saya sentiasa bersabar dgn ibunya. Sudah dibawa berjumpa pakar perubahan amat sedikit. Tapi saya bersyukur kerana dapat peluang menjaga ibu mertua kerana pengalaman yg dapat amatlah berharga walaupun stress. Masih belajar dan moga allah memberi saya kesabaran yg tinggi dan membantu saya menghadapi saat-saat sukar. Sekadar berkongsi pengalaman dan tiada niat mengaibkan sesiapa.
    Teruskan penulisan saudara.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih sudi kongsikan pengalaman di sini. Moga ada manaatnya untuk semua. Insyaallah

      Delete
  2. Arwah tok dan nenek sy tak kena penyakit nyanyuk walaupun umur dah lebih 80. Daripada pemerhatian sy, mereka selalu membaca al-Quran dan berkebun.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Gaya hidup sihat tu... ditambah kalau keturunan yang tak ada...alhamdulillah rezki tu

      Delete

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !