Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Saturday, December 13, 2014

Bola dah jadi satu agama - Apa pendapat anda ?

  Mohd Shubhi       Saturday, December 13, 2014
Menarik juga bila terbaca satu artikel yang menarik dalam isu bola lanjutan daripada kes penyokong tegar negara kita menyerang penyokong Vietnam baru-baru ini.

Artikel yang saya petik daripada FB di sini, menimbulkan soalan samada bolasepak sudah bertukar menjadi satu agama.

Saya ada pernah tulis lama dulu bagaimana kita boleh melihat bolasepak sebenarnya macam dah bertukar menjadi satu anutan yang besar di seluruh dunia. Kumpulan bolasepak sokongan masing-masing penyokong nampak seperti pecahan mazhab dengan masing-masing amat fanatik.
Bola dah jadi satu agama - Apa pendapat anda ?

Baca artikel di bawah dan bolehlah berikan komen jika anda ada pendapat sendiri...

Bola kini jadi satu agama

Bukan sekadar sukan. Kes penyokong Malaysia merusuh dan membelasah penyokong Vietnam selepas tamat perlawanan antara Vietnam dan Malaysia semasa separuh akhir Piala AFF Suzuki amat memalukan.

Budaya hooligan ini juga sering tercetus dalam kancah perlawanan tempatan. Berjaya benar dakyah dari musuh Islam yang menggunakan pendekatan 7S (Sport, Snack, Smoke/Stim, Spirit, Screen, Sex, Song) dan Propaganda 5F (Finance, Food, Fun, Fashion, Film).

Semua ini dirangka untuk menjadikan manusia semakin lemah dan menjadi sayuran kepada segolongan manusia di dunia ini.

Menyentuh tentang isu bola, dari marhaen dan gelandangan yang mengikat perut untuk sekeping tiket perlawanan bolasepak, hinggalah ke peringkat pemimpin, kerabat dan raja-raja semuanya terlibat.

Kita katakan kita professional dan bertamadun dengan bolasepak. Kita juga mengecam budaya hooligan yang berlaku. Namun apa yang sebenarnya kita galang itu ialah satu doktrin pemusnah penyatuan sekalipun kita promosikan bahawa bolasepak ‘menyatukan manusia’.

Penyatuan yang memecah belah

Sepertimana sistem politik yang digelar ‘Demokrasi’ yang tidak Islamik itu, demikian juga dengan bolasepak. Dalam sukan, kita diajar menyatu untuk memihak kepada pasukan yang kita sokong sahaja.

Malangnya ia mewujudkan pemisahan dan permusuhan dengan pasukan lawan. Padahal matlamat asalnya untuk bersahabat dan bersatu hati.

Sedih sekali melihat seruan agama dicampak ke belakang hanya kerana sukan tajaan musuh ini. Kita tetap bergaduh kerana sukan itu walaupun dengan saudara seagama, sebangsa, senegara bahkan antara dua pasukan dalam satu sekolah atau kampung sekalipun.

Apatahlagi apabila pasukan kita bertembung dengan negara/bangsa lain. Dari pemain, penyokong, pengurus pasukan sampai ke peringkat menteri besar dan raja pun ikut saling bermusuh dan fitnah menfitnah.

Doktrin yang mengatakan bolasepak dan sukan ini menyatukan tidak dipandang secara menyeluruh. Sama sahaja seperti tentera dari 2 buah negara yang bertempur untuk satu peperangan.

Tujuan peperangan itu mesti akan mengalahkan atau dikalahkan. Kita bersatu dalam pasukan kita, namun berpecah dan bermusuh dengan pasukan lawan. Perpecahan inilah yang dimahukan.

Bolasepak hari ini sudah menjadi sebuah peperangan pula. Di manakah penyatuannya? yang boleh kita lihat hanyalah perpecahan dan pembaziran.

Satu kampung yang dahulunya bersatu tetapi apabila bermula bolasepak liga kampung, bakal ada bibit dendam dan tidak puashati. Muncul pula jagoan kampung dari setiap pasukan. Jika sebelum itu boleh duduk semeja, apabila musim liga kita sudah berpecah kerana tidak sepasukan lagi.

Pemain pula berebut nak jadi jagoan supaya peminat bolasepak wanita boleh kita rangkul semudah-mudahnya. Lagi jaguh, lagi mudah dapat wanita. Di sukan motor, lumba haram, wresling juga begitu, wanita seksi jadi habuan sukan.

Ulamak umarak tutup mata kerana sukan. Kerana bola, kawan-kawan pun boleh bergaduh, tidak bertegur hanya kerana seorang ber’ideologi’ Manchester United dan seorang lagi ‘fanatik’ Liverpool. Kami gunakan terma “ideologi” kerana ia kini sudah jadi satu agama.

Sia-sia dan semangat yang melemahkan

Jihad itu adalah satu usaha dan gerak kerja yang bermati-matian. Sedar mahupun tidak, kita kini BERJIHAD mempertahankan pasukan kesayangan kita sampai ke tahap menggunakan kekerasan.

Kita berhabis harta untuk pasukan kesayangan kita dengan jersey RM200, tiket bola barisan hadapan dengan harga ratusan RM. Kita laburkan masa berharga kita meraikan perlawanan yang berlangsung. Hasilnya hanya sekadar siulan dan tepukan tangan sahaja. (QS:8/35-36)

Budaya pertarungan Galdiator yang berlaku sebelum keruntuhan Rome dahulu kini kembali menjadi temasya yang sampai ke tahap mengorbankan nyawa dan harta.

Memang Nabi SAW mahukan umatnya sihat dan pintar juga melalui riadah. Tetapi tiada pula diriwayatkan yang nabi menonton PESTA atau TEMASYA perlawanan bolasepak, perlumbaan unta ataupun sebarang sukan sebagai tukang sorak pasukan sampai merusuh.

Nabi SAW benci PASAR dan PESTA. Jika baginda mahukan sukan menjadi PESTA, pastinya banyak riwayat akan mengatakan begitu. Jika tiada, itu bermakna ia bukanlah suatu yang baginda mahu kita ikuti.

Israel pernah menganjurkan perlawanan bolasepak antara anak-anak Palestin dan Israel. Tujuannya untuk melemahkan semangat juang anak-anak Palestin. Padahal mereka dikenali berjiwa kental, tidak gentar atau berundur sekalipun berhadapan dengan kereta kebal tentera Zionis.

Kami tiada pilihan selain mendedahkan realiti pahit penyakit bola yang kini telah turut menjadi Agama Rasmi ‘sembahan’ rakyat Malaysia.

Pernahkah anda lihat umat Islam bersatu bermati-matian mempertahankan agama Islam yang dicabar MELEBIHI dari perjuangan memenuhi stadium, seluruh dataran tepi stadium, juga dataran-dataran negeri dan skrin besar mamak buat menonton siaran langsung?

Jangan kata berjuang, lihat sahaja perarakan Maulidurrasul. Hanya warga-warga emas sahaja. Selebihnya hanya murid sekolah dan kakitangan awam yang DIWAJIBKAN kehadirannya.

Tidakkah itu cukup jelas untuk menyatakan yang bolasepak dah setaraf malah lebih hebat dari agama?

Adakah program ilmu mampu mendapatkan khalayak yang sanggup bermatian bermandi darah demi mempertahankan Islam yang dihina sepertimana “Jihad” kita membelasah dan membakar bas penyokong bolasepak lawan?

Bolasepak jadi satu hedonism yang parah 

Kami ada kes rujukan bekas seorang pengasas sebuah kelab bola sepak EPL di Malaysia yang sudah menyesali kesilapan mengabdikan dirinya kepada BOLA.

Hidup bebas dan bercampur dengan pelbagai kemungkaran telah banyak menyesatkan dia daripada Islam. Percampuran bebas lelaki dan wanita, minuman keras dan aktiviti ‘clubbing’ selepas menonton bahkan ke tahap aktiviti di atas katil beramai-ramai!

Kerana Allah atau LILLAH BILLAH hilang semuanya. Kerana bola, semuanya halal belaka. Salah seorang anak kami yang belajar di Universiti menceritakan apabila ada perlawanan di stadium melibatkan pasukan yang disokong sahaja, ramai pelajar termasuk ustaz-ustaz yang menjadi pensyarah juga turut berada di stadium seawal jam 5 petang.

Mengapa? Kerana tidak mahu lambat nanti tiada tempat. Sanggup ikat perut, guna duit emak bapak, biasiswa atau PTPTN untuk membeli tiket. Bila ditanya di mana solat? katanya di tangga-tangga stadium.

Mungkin khusyuk solat berkiblatkan padang keramat sambil hati berteka-teki siapa menang dan siapa yang kalah. Sebahagian besarnya tidak langsung memikirkan solat pun. Itu darurat, semangat kesukanan katanya.

Bila ditanya bagaimana dalam keadaan berhimpit-himpit lelaki dan perempuan air sembahyang boleh tetap dijaga? Begitu juga kebersihan tempat solat yang menjadi laluan orang masuk ke stadium?

Jawapannya,“Itu Darurat” dan dibolehkan menggunakan klaus seperti bertawaf di Masjidilharam. Boleh kerrr? Jika ada pilihan dari melakukan sesuatu yang tidak wajib, malah makruh atau boleh jadi haram jika tidak kena gayanya, maka itu bukanlah alasan darurat namanya.

Sudahlah yang solat itu hanya beberapa kerat, mampu pula mengubah persepsi ustaz-ustaz universiti ini untuk merubah hukum dan ketetapan bagi memuaskan nafsu hedonisme.

Nauzubillah, tetapi itulah realiti yang tidak boleh disangkal. Salah seorang dari sukarelawan kami kongsikan yang adik lelaki beliau pernah bergaduh dengan kakaknya kerana menolak giliran menjaga arwah ibu yang ketika itu sedang nazak di hospital, hanya kerana mahu menonton perlawanan bolasepak.

Akhirnya saat ibu meninggal, beliau tidak berpeluang 'menemani pemergiannya'. Dalam kes ini, siapa lebih besar? Seorang ibu yang Allah perintah untuk dimuliakan kah atau perlawanan bola?

Ingat lagi semasa temasya bolasepak piala dunia pertengahan tahun ini? Lihat bagaimana kita sanggup melanggar amalan ritual di bulan puasa.

Ia mampu membangkitkan ummat Islam dari tempat tidur untuk menonton siaran langsung perlawanan bolasepak di TV seawal jam 3 pagi, sedangkan untuk bangun Subuh jam 6 pagi di hari biasa pun liat.

Jauh lagi untuk bangkit bertahajud pada sepertiga malam. Tetapi kerana bola, semuanya laju sahaja. Tepat sebelum sepak mula, sudah terpacak depan TV. Adakah ini tidak kita panggil AGAMA?

“So religious”?

Ironinya, temasya itu berjaya mengalih pandangan dunia dari pembunuhan beramai-ramai warga Gaza oleh Zionis. Maka, agama apakah kita hari ini? Agama Islam atau Agama Bolasepak?

Kita katakan “Orang Palestin di Gaza juga menonton bolasepak”. Adakah seorang bapa yang kehilangan isteri dan 4 orang anaknya mampu menonton bolasepak sekalipun semua di sekitarnya menonton dan bersorak?

Cuba bayangkan jika kita di tempat mereka. Kerajaan belanja berbilion RM untuk sarana dan temasya sukan. Persatuan bola belanja berjuta RM untuk bayar pemain upahan. Rakyat belanja ratusan RM membeli t-shirt dan tiket, tinggal keluarga dan kerja, sewa bas/kereta meredah lebuhraya.

Berapa banyak kita sedekah untuk jihad dan membela saudara seagama? Mana lebih besar? Islam dan seruan Allah atau bola tajaan musuh?

Kesimpulan

Di samping untuk kesihatan, Nabi SAW ajarkan sukan sebagai riadah yang juga menyuburkan ilmu dan kemahiran. Semua riadah yang nabi ajar itu ada diterangkan dalam quran secara mutasyabihatnya.

Contohnya, memanah itu mengajar anak kita berhujah dengan ilmu yang tepat, bukan merewang-rewang macam orang mabuk dan badut tua.

Memacu kuda memupuk semangat anak kita agar memiliki dan memacu kenderaan yang kukuh dan pantas, bukan terhegeh-hegeh macam keldai yang memikul kitab.

Berenang mengajar anak kita agar tidak mudah lemas, boleh mengapungkan diri di ‘lautan’ manusia. 

Sukan dalam Islam bukan seperti amalan kita yang menjadikannya satu PESTA dan TEMASYA pertandingan yang melalaikan dan membazir.

Bukan sahaja menghabiskan masa dan wang rakyat, malah menyuburkan gejala maksiat, permusuhan dan gangsterism yang bermacam rupa.

Sesama pemimpin bergaduh, seagama sebangsa juga bergaduh, sampai sanggup merosak jiwa dan harta benda, bahkan sanggup sumpah laknat … hanya kerana BOLA.

Ya, isu bola sudah menimbulkan fitnah dan kontroversi kepada agama. Menteri Besar boleh suka-suka bersumpah laknat menjunjung alQuran kerana bola. Padahal Allah benci orang yang suka ‘bersumpah’ dengan nama Allah.

Seorang Sultan yang menjadi penaung dan ketua Agama Islam dan Adat Istiadat negeri juga turut menaungi persatuan bolasepak negerinya. Itulah juga tahap bola berbanding agama.

Raja menjadi ketua “Agama Islam” dan pada masa yang sama juga ketua “Agama Bolasepak” Negeri.

Tidak cukupkah lagi untuk mengatakan adanya “penganut bola”?

Sebelum strategi 7S dilancarkan oleh musuh Islam, kita terlebih dahulu mempunyai sejarah pertarungan atas nama sukan / hiburan. Ia menjadi salah satu punca yang mampu menjatuhkan sebuah empayar gergasi di Rome.

Musuh bijak dan sedar bahawa sukan ketika itu mampu meroboh ketamadunan, lalu mereka olah dan kenalkan berbagai sukan untuk kita SEMBAH dan BERJIHAD dengannya.

Sebelum ini seorang menteri keluarkan kenyataan yang kontroversial “Berkorban Demi Bola”. Makan bola, minum bola, tidur bola.

Batas AURA kewanitaan yang menjadi AURAT kita dedah juga demi sukan. Kita pertaruhkan nasib agama dan akhlak anak kita sejak di bangku sekolah untuk sukan. Does it sounds so religious? https://www.facebook.com/wargaprihatin/posts/10152967162947786:0

QS: 6. Al An'aam 108.
“Dan janganlah kamu memaki sembahan (idola) yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka nanti akan “memaki Allah” dengan melampaui batas tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami jadikan setiap umat “menganggap baik” pekerjaan mereka. Kemudian kepada Tuhan merekalah kembali mereka, lalu Dia memberithu apa yang dahulu mereka kerjakan”.

Selain dari sanggup berhabis masa, tenaga, maruah dan dana kerana JIHAD terhadap 7S dan 5F, ayat di atas menunjukkan satu lagi tanda bagaimana semua itu sudah menjadi ‘sembahan semacam sebuah berhala/agama’ dalam hidup kita.

Ya benar. Kita akan marah apabila sembahan (idola) kita seperti pemain / pasukan bola, pemimpin / parti politik, tokoh agama atau artis yang kita puja ditegur. Kita pertahan dan agungkannya melebihi keagungan Allah, walaupun jelas yang semua itu bercanggah dengan perintah dan laranganNya.

Kita akan caci maki orang yang menegur idola kita. Secara tidak sedar kita telah mencaci Allah kerana apa yang diperingatkan itu adalah perintah Allah dan rasul yang nyata.

Alhamdulillah kami juga beriadah, kami juga ikuti perkembangan pemimpin dan politik, tetapi masih mampu senyum dan berlapang dada apabila mereka ditegur kerana melakukan sesuatu yang menyalahi ketetapan Allah.

Ini kerana kami tidak menjadikan mereka idola melebihi idola kami terhadap Allah dan Rasul. Jadi, lihat ke dalam diri sekarang, adakah anda marah apabila bola ditegur?

Jika marah, itu tandanya bola sudah jadi AGAMA/sembahan, bukan sukan lagi.! Jadi, mari kita muhasabah diri sendiri…

Apakah agama kita sekarang? Jihad apakah yang kita utamakan? Seruan jihad Islam Agama Allah, JIHAD FI SABILILLAH kah? Atau seruan jihad di jalan thoghut, JIHAD FI SABILI TTHOGHUT? WARGA PRIHATIN
logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Bola dah jadi satu agama - Apa pendapat anda ?

Previous
« Prev Post

3 comments:

  1. aku seorg yg hanya menonton bola di tv, dan aku juga benci pada fanatik bola.. org di ofis sibuk bekerja, tunaikan amanah, diorang sibuk baca surat khabar, berdebat pasukan siapa lagi handal "semalam" (benda dah basi), sama ada Liverpool atau Manchester (ya! orang malaysia mengaku liverpool & manchester dll tu diorang yg punya!!) aku sangat2 anti dengan org yg fanatik bola, even org tu kawan aku, aku akan jauhkan diri, kalau di ofis, aku sendiri yg akan bagitau leader utk singkirkan org mcm tu dari projek. bila aku cakap aku tak minat bola, diorang cakap aku pelik, bukan laki. padahal aku minat sukan extreme: paragliding, skydiving, diving, trailing etc. yg bleh train aku physically n mentally.
    celaka punya typical melayu fanatic bola.

    ReplyDelete
  2. kalaulah sukan bola sepak pun boleh meningkat tarafnya sebagai satu "agama", maka tidak hairanlah manusia mengangkat sesebuah parti politik berasaskan agam sehingga ketahap sebuah agama juga....
    Hakikatnya semuanya sama... semua menyesatkan samaada bolasepak, artis/seni/hiburan , sukan, politik, ngo, wang, pangkat dsb....

    ReplyDelete
  3. Pd aku sukan adalah utk senaman, hiburan dan utk release stress, jgnlah sampai sukan tu pulak yg menimbulkan stress, apatah lg berbalah dan bergaduh.

    ReplyDelete

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !