Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Wednesday, May 13, 2015

Bahasa Inggeris sebagai medium pendidikan negara

  Mohd Shubhi       Wednesday, May 13, 2015
Ada dua insan yang membuat banyak kejutan demi kejutan semenjak dua menjak ini di negara kita. Mungkin ada lebih ramai lagi, tapi bagi saya ada dua orang yang agak menonjol.

Orang yang pertama adalah Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem (bukan Satem Diman ok!) Semenjak menggantikan Tun Abdul Taib Mahmud, dia membuat kejutan demi kejutan dengan gaya pengurusan yang praktikal dan jauh berbeza berbanding mantan Ketua Menteri Sarawak yang lalu.

Antara janjinya yang ternyata bukan sekadar janji, malah dikotakan setakat ini adalah usaha membenteras aktiviti pembalakan haram di Sarawak yang umum semua tahu begitu terkenal sehingga ke peringkat antarabangsa.

Jika kita peka, dah banyak kali kedengaran berita rampasan peralatan dan kayu balak haram yang bergelimpangan di dalam hutan negeri Sarawak. Amat berbeza berbanding masa lalu di mana berita sebegitu amat jarang kedengaran.

Cuma malangnya hanya peralatan, pengangkutan dan aset-aset pembalakan lain serta kayu balak saja yang biasanya dirampas berkali-kali dalam serbuan demi serbuan di hutan Sarawak. Pihak yang bertanggung jawab dalam aktiviti balak haram itu masih terlepas bebas. Ertinya ada orang dalam yang bocorkan segala maklumat.

Namun Ketua Menteri Sarawak berazam untuk teruskan segala usahanya sehingga pengganas hutan balak itu berjaya direbus dalam air yang menggelegak. Kita doakan dia segera berjaya, insyaallah. Ada banyak lagi perkara lain yang menonjolkan kredebiliti Adenan Satem. Pembaca boleh mula pantau perkembangan ketua menteri menonjol itu selepas ini kalau berminat.

Titah menggunakan Bahasa Inggeris sebagai medium pendidikan

Berdasarkan tajuk, tentu dah boleh agak siapa seorang lagi gerangan insan yang membuat kejutan dalam negara kita sekarang. Tak lain dan tak bukan Sultan Johor.

Dalam titahnya baru-baru ini, beliau membidas banyak perkara yang pro rakyat terutamanya rakyat negeri Johor. Antara yang menonjol dan mendapat liputan utama adalah kecamannya terhadap pengenaan GST dalam institusi perkhidmatan kerajaan.

Bagi Sultan Johor, adalah kerja yang kurang bijak perkhidmatan kerajaan pada rakyat yang sepatutnya menjadi tugasan mereka melakukannya dikenakan pula GST. Apahal punnya kerajaan yang macam tu?

Masa video Sultan Johor diedarkan secara viral ketika enggan bersalam dengan Menteri 3.85, saya abaikan saja video itu kerana berkemungkinan ianya tidak disengajakan. Kesian Menteri 3.85 orang edarkan video yang mengaibkan airmuka sebegitu. Tapi sekarang saya rasa macam ada betul juga ianya sengaja.

Satu lagi isi menarik titah Sulan Johor adalah berkenaan gesaan mengikuti contoh sistem pendidikan yang diamalkan oleh Negara Singapura. Terbukti negara jiran kita itu berjaya menghasilkan pelajar yang hebat jika dilihat dari segi prestasi para pegawai kerajaan serta rakyat Singapura.

Hebat disebabkan mahir berbahasa Inggeris

Salah satu komponen pendidikan Singapura yang penting adalah penekanan dan penggunaan Bahasa Inggeris sebagai medium komunikasi pendidikan mereka. Mendiang Lee Kuan Yew tak kisah abaikan Bahasa Ibunda atau Bahasa keturunannya demi mencapai matlamat negara maju dan hebat.

Walaupun Bahasa Inggeris diputuskan sebagai bahasa utama Singapura dalam kesemua urusan, semua orang seluruh dunia masih tetap akui bahawa Singapura itu merupakan sebuah negara dikuasai oleh bangsa Cina. Malah Lee Kuan Yew tetap masih menjadi seorang yang berbangsa Cina.

Apakah jika negara kita buat keputusan untuk jadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa utama komunikasi, maka akan hilang bangsa Melayu dan pudar bahasa Melayu?, terserah pada pendapat masing-masing untuk memikirkannya.

Namun begitu, betulkah sesebuah negara itu hebat disebabkan medium komunikasinya adalah Bahasa Inggeris. Betulkah rakyat kita malap terutamanya orang Melayu, kerana lemah menguasai Bahasa Inggeris?

Ada negara hebat tanpa Bahasa Inggeris

Ramai yang boleh berikan jawapan terhadap bukti kepentingan bahasa inggeris bukan penentu kehebatan sesebuah negara. Lihat sahaja Thailand, banyak industrinya jauh meninggalkan Malaysia tapi mereka amat bebal dengan bahasa inggeris.

Kita juga boleh lihat negara seperti Korea, Jepun atau lihat juga negara Eropah yang tidak menjadikan Bahasa Inggeris sebagai medium komunikasi dan pendidikan mereka. Banyak yang hebat tanpa menjadikan Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Utama negara.

Bagi pendapat saya, masalahnya bukan disebabkan medium bahasa apa yang digunakan sebagai bahasa utama atau bahasa pendidikan, tapi konsistensi terhadap keputusan serta perlaksanaan yang menyeluruh yang tidak ada dalam negara kita.

Bila dah jadikan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar, kita masih biarkan penggunaan Bahasa Inggeris bercampur aduk dalam segala urusan. Malah dalam agensi kerajaan sendiri, kita banggakan bahasa inggeris.

Perlaksanaan mesti seiring dengan keputusan

Kita tidak kenakan syarat pada pelabur luar yang nak masuk dalam untuk mengutamakan bahasa melayu. Sebaliknya biarkan sahaja penggunaan bahasa inggeris diutamakan. Tidak ada penekanan sebegitu membuatkan Bahasa Inggeris menjadi bahasa utama secara tidak formal.

Apa yang berlaku adalah kita hasilkan pelajar yang abaikan bahasa inggeris dan bila mereka terjun dalam dunia pekerjaan, semua orang minta mereka berbahasa inggeris. Maka siapa yang untung dan siapa yang rugi sekarang.

Sudah tentu anak-anak orang Melayu yang mengalami kerugian besar dan keciciran dalam pasaran pekerjaan samada swasta atau kerajaan. Orang Cina terutamanya dan juga India mendapat tempat yang lebih baik sebab daripada mereka risaukan untuk berbahasa melayu, lebih mereka tumpukan belajar bahasa inggeris.

Kalau nak buat begitu caca merba ikut suka hati tanpa adanya iltizam yang tinggi, lebih baik jadikan saja Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Utama !,

Apa pendapat anda dalam bab ini? adakah anda rasa kita perlu tukar semula medium bahasa macam orang tua-tua kita dulu yang lebih mahir berbahasa inggeris atau kita tetapkan bahasa malaysia sebagai bahasa utama dan seiringkannya dengan semua urusan dari A sampai Z.

Berikan perintah kepada semua urusan di negara kita sebegini... "Berbahasa Melayu atau DIAM", itu saja pilihan anda.. amacam?
logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Bahasa Inggeris sebagai medium pendidikan negara

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !