Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Thursday, March 31, 2016

Catitan perjalanan dari KLIA ke Kuching Sarawak

  Mohd Shubhi       Thursday, March 31, 2016
Selama satu minggu ini saya berada di Sarawak. Tidak ada apa-apa tujuan yang berunsurkan politik berada di Sarawak kali ini, walaupun suasana sedang hangat di sini membincangkan isu pilihan raya Sarawak yang bakal diadakan dalam masa terdekat ini. Semuanya atas urusan perniagaan sahaja kedatangan kali ini. (sumber gambar)

Memang amat melegakan sejak menjauhkan diri dari aktiviti politik tanah air sejak tamatnya PRU-13 yang lalu. Paling ketara adalah rasa resah dalam diri setiap kali berlakunya kucar kacir dalam dunia politik. Keresahan itu tiada lagi apabila sedikit demi sedikit isu politik tidak dijadikan perkara utama untuk difikirkan dalam otak.

Dunia politik tidak pernah sunyi dari isu hangat dan mendebarkan. Malah ianya sentiasa mampu menarik perhatian dan meminta kita untuk membuat analisa dan memberikan pandangan terhadap apa saja isu yang terjadi. Saya sedar rupanya politik adalah permainan isu yang tidak pernah habis. Ahli politik sentiasa berusaha mencipta isu supaya suasana hangat politik tidak akan pernah padam. Maka tidak hairanlah jika mereka yang memberikan perhatian pada dunia politik tidak akan pernah rasa tenang.

Bertolak ke Sarawak dari KLIA

Mulanya bertolak dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur terus terbang ke Kuching, Sarawak. Perjalanan mengambil masa lebih kurang dua jam sahaja. Bergerak dari KLIA pukul 5.55 petang hari Isnin, saya sampai Kuching dalam pukul 7.40 malam.

Nasib baik naik penerbangan MAS, makanan disediakan dalam penerbangan, bolehlah saya berbuka puasa sunat hari Isnin dengan makanan yang disediakan itu. Agak keliru sedikit untuk tentukan bilakah masuknya waktu magrib ketika berada di udara dalam perjalanan tersebut.

Biasanya di KL, waktu berbuka adalah dalam pukul 7.25 malam, manakala waktu berbuka di Kuching adalah dalam lingkungan 6.30 petang. Jadi pukul berapa agaknya waktu berbuka dalam kapal terbang di atas udara ketika dalam perjalanan merentas masa yang lebih pantas itu?

Jalan mudah untuk selesaikan masalah itu adalah dengan bertanya pada pramugara yang menyediakan makanan. Dah banyak kali saya naik MAS dari KLIA ke Sabah atau Sarawak, yang melayan semuanya terdiri dari Pramugara, dan bukannya Pramugari sebagaimana biasa.

Mungkin kebetulan setiap kali saya naik giliran pramugara yang melayan para penumpang, atau mungkin penerbangan domestik memang akan sentiasa di layan oleh pramugara dan bukannya pramugari, saya tak pasti.

Ketika ditanya apa menu pilihan saya, samada ikan atau ayam, saya memilih menu nasi bersama ikan di masak masam-masam manis. Itu menu pilihan setiap kali naik MAS. Makanannya sedap juga. Sejak kali pertama saya membuat pilihan ikan, saya tidak pernah tukar lagi dengan menu lain. Jadi tak pasti bagaimana rasanya menu ayam.

Kapten mengira waktu magrib atas udara

Ketika menghulurkan makan malam nasi lauk ikan, saya bertanya bila masuknya waktu magrib supaya saya dapat berbuka puasa. Pramugara minta saya tunggu sebentar untuk dia bertanya kepada Kapten. Biasanya Kapten lebih arif terhadap waktu berdasarkan lokasi di mana kapal terbang sedang berada. Mungkin juga pertimbangan terhadap ketinggian perlu diambil kira.

Saya setia menunggu sambil cuba menghabiskan buku yang saya beli ketika di Lapangan Terbang KLIA tadi. Buku yang amat menarik bertajuk The Alchemist tulisan Paulo Coelho. Buku itu menceritakan kisah pengembaraan seorang anak muda mencari tujuan hidupnya dari bumi Andalusia menuju ke Mesir.

Punyalah menarik cerita tersebut membuatkan saya tidak terasa masa berlalu. Tidak juga terasa kekosongan perut menahan lapar sejak subuh. Malah mata juga tidak mengantuk. Sedang asyik mengikuti perjalanan anak muda berbangsa Sepanyol itu yang meninggalkan dunia perkaderan kristian untuk menjadi pengembala kambing supaya dia dapat mengembara, pramugara muncul di sebelah saya.

Dia tunduk mendekati telinga dan memberitahu waktu magrib dah masuk. Kapten baru saja memberitahunya untuk mengesahkan masuknya waktu magrib sudah tiba. Saya boleh berbuka puasa sekarang kata pramugara tersebut. Saya lihat diluar tingkap kelihatan suasana masih agak cerah. Jadi saya tunggu sebentar selama 5 minit untuk memuaskan hati sebelum mula membuka makanan yang diberikan.

Nikmat anugerah Tuhan

Pramugara menghulurkan secawan jus oren pada saya. Dalam jus oren itu ada dua ketul kecil airbatu untuk menambahkan kesejukan jus tersebut. Saya teguk sedikit masuk membasahi kerongkong. Nikmat !, itu yang saya boleh rasakan sebak saja air jus oren yang dingin itu mengalir perlahan melalui segenap kerongkong yang kering selama satu hari.

Nkmat biasanya terasa hanya apabila kita hilang sesuatu yang berharga dan kemudiannya mendapatkannya semula. Itulah kelebihan berpuasa. Kesabaran menahan makan dan minum menambahkan kepekaan deria rasa dan membuatkan akal mengenal erti nikmat dariNya.

Saya makan perlahan-lahan menyuap satu sudu demi satu sudu ke dalam mulut. Kunyah perlahan-lahan sampai lumat sebelum menelan masuk ke perut. Sekali lagi terasa nikmat dapat makan pula. Apa lagi rasanya sedap secukup rasa. Nasi putih, sayur rebus brokoli, bunga kobis dan kacang buncis, berlaukkan ikan dengan sos merah masam manis.

Setiap kali saya kunyah makanan di dalam mulut, saya akan pejamkan mata. Merasakan nikmat dapat makan dan merasai kelazatan yang ada dalam makanan tersebut. Sehinggalah habis licin kesemua makanan sebutir nasipun tidak ditinggalkan.

Habis makan, saya teguk pula jus oren yang sudah cair ketul ais di dalamnya. Saya goncang perlahan-lahan cawan plastik kecil sebelum meneguk untuk meratakan rasa jus yang ada di dalamnya. Habis pula secawan jus oren yang lazat.

Saya buka pula bungkusan kecil kacang goreng yang turut sama dibekalkan di dalam bekas makanan makan malam itu. Satu persatu saya kunyah sehinggalah habis kesemuanya. Dan akhirnya tiba giliran bungkusan makanan terakhir. Sekeping biskut, 'healthy biscuit', tulisan pada bungkusan tersebut. Saya kunyah pula biskut itu, sedap juga.

Akhirnya semua makanan licin. Tentu mereka yang sediakan makanan itu akan tersenyum gembira jika melihat saya habiskan kesemua makanan tanpa ada sedikitpun yang tertinggal.

Alhamdulillah ! perut kenyang dan saya perlu rehatkan diri dengan pejamkan mata sebentar. Niat untuk jamak ta'khir waktu magrib dan pejamkan mata.
logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Catitan perjalanan dari KLIA ke Kuching Sarawak

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !