Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Wednesday, July 27, 2016

Apa anda perlu buat jika kereta baru tiba-tiba tak boleh start

  Mohd Shubhi       Wednesday, July 27, 2016
Kereta baru yang anda beli tak sampai 6 bulan tiba-tiba tak boleh start !

Pernah tak anda lalui pengalaman sedemikian ? Pelik juga jika kereta yang baru saja anda beli, bukan kereta second-hand, tapi kereta segar keluar dari ladang yang first-hand. Pakai tak sampai 6 bulan baru 2 kali servis, dah cari pasal tak boleh nak start.

Itulah yang saya baru saja alami baru-baru ini.

Hari ahad sudah saya bertolak dari Shah Alam, naik lebuhraya Guthrie untuk pergi ke Sungai Petani di Utara tanahair. Biasanya saya akan ambil lebuhraya Guthrie sebab dah terbiasa buat macam tu. Sejak siap saja lebuhraya Guthrie tu, masa itu harga tol masih rendah, trafik pulak sangat minima, sudah tentu Lebuhraya tersebut jadi pilihan.

Naik kat Shah Alam melalui 3 tol, terus keluar sampai ke Rawang. Masa tu kosnya baru RM3 sahaja. Menjimatkan berbanding naik Lebuhraya PLUS masuk di Subang Jaya. Tapi itu semua masa harga tol tak naik lagi.

Sekarang, kita perlu bayar tambang tol RM1.90 setiap satu, didarab dengan 3 dah jadi RM5.70, rasa dah tak berbaloi walaupun jumlah trafiknya masih rendah berbanding jika naik PLUS Highway. Tapi dah terbiasa, masih juga naik Lebuhraya Guthrie tu. Mungkin lepas ini, tak akan naik lagi Guthrie, terus saja naik PLUS kat Subang Jaya lebih mudah.

Perjalanan dari Shah Alam sampai ke Ipoh berjalan lancar. Saya singgah di Ipoh untuk minum dengan kawan di sana. Bersembang sekejap dan makan di restoran Pernama, kemudian sambung perjalanan masuk ke Lebuhraya Utara Selatan kat Ipoh. Ketika keluar dari restoran tadi dah rasa nak buang air kecil tapi entah sebab apa saya tahan sebab malas nak ke tandas kat restoran tu.

Masa saya keluar dari Ipoh dah nak masuk waktu magrib. Saya terus tekan dalam keadaan tahan kencing supaya dapat singgah di Perhentian RnR kat Sungai Perak. Masa tu keadaan cuaca dah mula hujan, jadi tak berapa laju sangat naik kereta. Bila masuk ke RnR nak buang air, malangnya pusing nak cari tempat letak kereta semuanya penuh.

Satu kesilapan besar saya buat walaupun dalam keadaan nak kencing tu, masuk sambung perjalanan ke lebuhraya kononnya boleh tahn lagi. Tapi malangnya hari hujan dan trafik pula banyak dan saya mula sedar dah tak ada tempat nak berhenti. Nak stop kat jalan tu dan buang air kat tepi jalan dalam keadaan hujan pulak raya merbahaya.

Maka tersiksalah diri disebabkan salah buat keputusan. Akhirnya saya sampai ke Exit Kuala Kangsar dah terus keluar ke tol. Pusing balik dan singgah di perhentian tol kat Kuala Kangsar. Ada tandas dan surau kat situ untuk saya lepaskan hajat dan boleh tunaikan solat.

Masa keluar dari kereta semuanya masih ok. Saya ke tandas dalam keadaan yang amat getir dan terasalah betapa nikmatnya buang air sebaik saja masuk ke dalam tandas. Selesai di tandas saya terus ke surau dan tunaikan solah magrib dan himpun sekali solat Insya.

Kereta baru tiba-tiba tak boleh start

Selesai semua urusan itu, dengan santai saya kembali semula ke kereta Nissan Sylphy yang baru tu, dan tekan remote pada kunci untuk buka kereta, semuanya masih ok. Sebaik saja masuk dalam kereta saya masukkan kunci dan pulas, pelik !, tak ada apapun yang berlaku. Kereta tak boleh start !.

Mula rasa pelik, dah terfikir apa pasal pulak ?

Tak pernah ada masalah macam itu sebelum ini. Saya keluar semula dari kereta, buka dan tutup kereta dengan menggunakan remote dari kunci, masih berfungsi baik. Saya masuk semula dan cuba start kereta, tak berjaya. Selepas itu memang dah tak boleh buat apa-apa lagi. Lampu kereta tak berfungsi, tekan brek rasa keras dan remote juga sudah tak berfungsi.

Saya buka dashboard dan keluarkan manual untuk mencari kalau-kalau ada maklumat keselamatan. Baca dalam keadaan gelap dan samar-samar satu persatu, terjumpa arahan bahawa kenderaan itu secara automatik tidak akan dapat dihidupkan seandainya gear silap letak, Saya tengok gear berada pada posisi P, ertinya tak ada masalah tersebut. Tapi kenapa masih tak boleh start?

Saya masih lagi tenang dan mula berfikir macam mana nak selesaikan maslaah tersebut. Saya buat panggilan pada kawan seorang mekanik di Ipoh dan minta bantuan. Malangnya dia berada di KL. Dia cuba bantu dengan berikan beberapa cadangan. Saya terangkan padanya semua tidak berfungsi dan yang pastinya tak ada letrik pada kereta tersebut. Dia kata itu sudah pasti ada kaitan dengan masalah bateri.

Saya buka check bateri, semuanya dalam keadaan baik. Tidak ada tanda-tanda bateri teroksida pada kedua-dua besi positif dan negatifnya. aya pegang ikatan bateri itu juga macam ok saja. Kawan saya menyerah kalah dan nasihatkan saya telefon Nissan Customer Care sebab kereta itu masih lagi dibawah warranty. Itu satu cadangan yang baik, fikir saya.

Saya telefon dahulu salesman Nissan yang saya beli kereta tersebut darinya. Dia tanya soalan yang sama samada bateri berfungsi. Saya kata tidak berfungsi dan semuanya terpadam terus tak boleh buat apa-apa. Dan dia kata perlu telefon Nissan Customer Care Centre dan minta mereka datang tarik kenderaan tersebut masuk workshop.

Akhirnya saya telefon Nissan Centre. Seorang lelaki angkat telefon. Dia tanya apa yang berlaku pada kereta dan saay beritahu semula apa yang berlaku. Dia dengan yakin, suruh saya cunakan jumper. Insyaallah kereta boleh start. Itu masalah bateri, katanya, jangan risau.

Minta bantuan peronda Plus

Jadi sayapun pergi ke pejabat PLUS kat Tol tu terserempak dengan Abang Jaga yang sedang melepak dengan kawannya merokok kat luar pejabat. Saya ceritakan semua masalah saya padanya dan dia bangun bawa saya ke pejabat peronda Plus. Malangnya mereka dah keluar ronda. Dia kata abang tunggu kat kereta, nanti bila mereka balik, saya akan beritahu.

Saya pun dengan bodoh ikut arahan abang jaga tu dan tunggu punya tunggu dah nak masuk satu jam tak ada apa-apa yang berlaku. Saya pergi semula padanya dan tanya encik dah telefon pada peronda tu ke?, dia kata saya tak ada nombor mereka. Rupanya dia tak buat apa-apa, hanya tunggu geng peronda tu balik. Saya kata ok tak apa terima kasih, barulah saya sedar kebodohan saya bertanya dan minta tolong pada orang yang salah.

Kebetulan ada kereta tarik datang ke situ dan saya tanya berapa nombor telefon Plus kecemasan, dia dengan cekap memberikannya pada saya. Nombor tu dah ada dalam kepalanya dan saya terus mendail mengadu hal. Mereka dapatkan lokasi saya dan nombor kenderaan dan minta saya tunggu seentar untuk menghantar bantuan pada saya.

Tak samapi berapa minit, kelihatan datanglah kereta peronda masuk menuju terus pada kereta saya. Hujan masih turun gerimis dan saya pergi mendapatkan mereka. Pegawai Peronda Plus itu turun dan terus keluarkan wire jumper. Saya buka bahagian bateri dan teringat nak godek-godek bateri itu sekali lagi. Dan tiba-tiba pemegang bateri itu tercabut keluar dengan mudah.

Punca tak boleh start

Barulah saya sedar rupanya pemegang bateri itu tidak kuat diikat. Saya lekatkan semula dan alarm mula berfungsi. Saya dengan penuh rasa malu beritahu peronda plus yang saya silap. Bukannya bateri kong, tapi ikatannya tak kuat. Dia tak cakap banyak, keluarkan peralatannya dan mula mengunci skru ikatan bateri tersebut sampai ketat.

Saya masuk dalam kereta dan cuba start. Semuanya dah hidup semula dan tak ada apa-apa masalah pun rupanya. Saya ucapkan terima kasih pada peronda Plus sebab menyusahkan mereka pada masalah yang kecil macam itu. Dan mereka senyum saja... senyum pahit dan saya cepat-cepat belah dari situ sebab Sungai Petani masih jauh.

Terasalah bodohnya diri ini, kenapa tak check betul-betul tadi keadaan ikatan bateri tadi. Kalau tidak taklah saya buang masa lebih 3 jam kat situ dan merosakkan semua program malam tu si Sungai Petani.

Itulah petuanya jika kereta baru anda tiba-tiba tak boleh start, jangan malukan diri sendiri dengan buat hal macam saya. Periksa terlebih dahulu bateri dan pastikan anda periksa betul-betul ikatannya samada kuat dan kejap atau tidak. Itu rule number one !
logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Apa anda perlu buat jika kereta baru tiba-tiba tak boleh start

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !