Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Tuesday, January 23, 2018

Apa makanan yang baik untuk kesihatan otak anda supaya tak nyanyuk

  Mohd Shubhi       Tuesday, January 23, 2018



Biasanya kita selalu dengar orang berikan nasihat diet yang baik untuk kekuatan dan  kesihatan tubuh badan kita. Supaya bertenaga dan tahan lasak serta tidak lembek gemuk gedempol.

Bila sebut masalah makanan yang baik, biasanya kita juga sering bayangkan pasal tubuh badan juga. Amat jarang kita bayangkan kesihatan otak atau keupayaan akal berfikir.

Kalau adapun makanan yang disyorkan amat baik untuk kecerdasan minda, paling kerap kita jumpa adalah makanan yang dikaitkan dengan apa yang mereka sebut sebagai makanan sunnah.

Saya selalu tengok makanan kismis dan coklat. Makanan yang dijual secara besar-besaran di merata tempat di negara kita sasarkan pada ibubapa yang mahukan anak-anak mereka jadi bijak hebat dan dalam masa yang sama bertukar jadi anak yang soleh.

Makan kismis dan kacang cerdik

Masa kecik dulu, orang tua percaya kanak-kanak yang nak cerdik perlu makan kismis dan kacang cerdik yang dibawa balik dari tanah suci Mekah.

Zaman tu kat kampung, upacara pergi dan balik Mekah adalah satu upacara besar yang amat penting untuk semua orang kampung. Berita seseorang warga kampung yang nak tunaikan haji akan disebarkan ke seluruh kampung.

Sebaik saja berita tersebar, maka seorang demi seorang akan pergi ziarah orang yang nak pergi buat haji tu. Ziarah menziarah adalah perkara biasa kat kampung zaman itu. Ada saja alasan untuk membuatkan orang tua saya pakai lawa dan bersopan untuk pergi ziarah jiran atau kawan kampungnya.

Masa nak balik, salam akhir yang berisi akan berlaku antara orang yang pergi ziarah dengan tuan badan yang nak naik haji. Ada isi duit sedekah yang akan bertukar genggaman tangan berlaku ketika bersalam.

Duit itu biasanya menjadi sebab utama setiap orang yang ke Mekah terpaksa beli dan bawa balik tanda hati pada semua kawan kampungnya. Tanda hati tersebut termasuklah kismis, kurma dan kacang cerdik serta air zam-zam.

Semua makanan tersebut akan diberikan pada anak-anak untuk dimakan sedikit demi sedikit. Kacang cerdik sekali makan mungkin hanya 2 atau 3 ulas. Begitu juga kismis dan air zam-zam, sedikit saja diberikan pada anak-anak. Bukan untuk nikmati rasa, tapi untuk bagi jadi bijak.

Hasil dari makan kismis, kurma, kacang cerdik dan air zam-zam itulah yang gaknya, mungkin jadi penyebab saya dapat keputusan SPM yang agak baik. Sampai boleh pergi ke luar negara. Tak lupa juga mungkin hasil dari air penerang hati yang Chat Gila sembur dan berikan pada saya setiap kali dia lalu depan rumah.

Makanan baik untuk akal dari kajian

Apa yang saya cerita kat atas itu adalah apa yang orang kampung percaya dalam urusan untuk jadi bijak. Sekarangpun ramai yang percaya perkara yang lebih kurang sama. Sebab itu coklat dan kismis minda yang dilabelkan sunnah laku dibeli oleh mak bapak yang mahukan anaknya jadi soleh serta bijaksana.

Sekarang kita lihat pulak makanan yang baik yang dikenal pasti berdasarkan kajian yang para saintis dah buat. Bila sebut saintis, kita maksudkan dengan etika kerja mereka yang akan melakukan pemerhatian dan pengukuran terhadap sesuatu dakwaan sebelum merumuskan samada sesuatu itu betul atau tidak.

Bukan nak agong-agongkan atau nak beza-bezakan antara saintis dengan orang kampung atau selain itu. Kita bezakan berdasarkan amalan kehidupan dalam merumuskan dan mempelajari sesuatu perkara.

Sains biasanya lebih cenderung untuk mengambil sikap memerhatikan kejadian alam melalui deria yang kita ada dalam mempelajari sesuatu ilmu. Sains masih tak masukkan kemungkinan  bahawa untuk belajar perkara baru manusia boleh juga bergantung pada ilham, mimpi dan dimasuki spirit halus. Mungkin satu hari nanti teknik belajar benda baru sebegitu akan diterima sains kot, wallahualam!.

Jadi apa sains kata tentang makanan yang baik untuk perkembangan akal?

Makan buah dan sayuran baik untuk akal

Kajian yang dilakukan terhadap 45 ribu peserta berumur atas 30 tahun, oleh York University di Canada mendapati ada kaitan terhadap kekuatan serta keupayaan kognitif dengan jumlah buah-buahan dan sayur-sayuran yang para peserta makan.

Keupayaan kognitif adalah keupayaan untuk berfikir, mengingati, belajar dan lain-lain seumpamanya.

Bagi mereka yang makan lebih dari 10 kali sehari buah-buahan dan sayur-sayuran di dapati punyai keupayaan kognitif yang jauh lebih bagus dari biasa. Jika anda semakin tua, makan 5 kali sehari sayuran dan buahan sudah cukup untuk memberikan perbezaan yang ketara.

Jadi petuanya mudah saja.

Makan buah dan sayur sebanyak mungkin setiap hari. Insyaallah otak akan jadi lebih geliga dan kuat ingatan. Paling penting sekali, ia menjauhkan kemungkinan menghidapi masalah dimentia bila dah tua nanti.

Makan makanan mediteranean

Kajian yang ramai dah buat dan buktikan tentang makanan yang baik untuk kesihatan otak dan akal adalah tentang makanan mediteranean.

Lagi baik anda ikut diet mediteranean, semakin bagus keupayaan otak dan akal anda terutamanya dalam menghadapi hari-hari tua. Kehilangan sel berkurang dari biasa pada otak mereka yang suka makan makanan mediteranean.

Cari kat Google apa itu makanan mediteranean untuk cuba amalkan.

Yang paling mudah untuk anda segera amalkan sekarang adalah untuk memilih jenis makanan yang lebih banyak sayur, buah, kekacang, dan sumber protein dari ikan dan bukannya dari daging.

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Apa makanan yang baik untuk kesihatan otak anda supaya tak nyanyuk

Previous
« Prev Post

1 comment:

  1. Setiap pg sarapan saya ialah ksmis odd jumber dan sebiji kurma ..basuh dulu ya..pas tu rendam jab ngn air panas n minum ngn susu kambing..masyaallah..sedapnya...dan saya jd lebih bijak saya rasa..

    ReplyDelete

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !