Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Wednesday, October 23, 2019

Tahukah anda yang mesin basuh pakaian berpotensi sebar bakteria merbahaya

  Mohd Shubhi       Wednesday, October 23, 2019

Anda tentu ada sekurang-kurangnya sebuah mesin basuh pakaian kat rumah tu kan?

Tentulah ada. Mesin basuh pakaian dah jadi semacam satu kewajiban terutamanya untuk orang yang hidup sekeluarga dalam satu rumah.

Boleh gelabah bewak kalau mesin basuh baju kat rumah tu rosak. Dua tiga bulan mesin basuh pakaian kat rumah saya buat hal. Dia tak mau berfungsi. Dah puas check dan baca buku manual yang manufacturer bekalkan. Tapi masih tak jumpa juga puncanya.

Last sekali terpaksa telefon services team dari jenama mesin basuh pakaian tersebut. Ambil masa jugak sebelum mereka nak datang ke rumah. Jadi tak boleh nak pakai mesin basuh tu. Dua tiga hari saja pakaian dah menggunung.

Basuh pakaian setiap hari sebab ada mesin

Maklumlah, anak-anak ramai. Semua masih bersekolah. Pakaian sekolah saja dah nak kena basuh setiap hari. Macam tulah amalan yang saya tengok pada anak-anak saya sekarang. Kalau saya masa kat kampung dulu, seluar dan baju yang sama akan dipakai paling cepat dalam tempoh dua hari. Kadang kala boleh dilanjutkan kepada 3 atau 4 hari sebelum nak tukar yang baru.

Tapi bila dah kahwin, dah ada kemudahan mesih basuh pakaian yang memang tak mahal sangatpun. Maka lebih kerap basuh pakaian. Sekali pakai untuk hari itu, malamnya dan tak pakai lagi. Stand by untuk dibasuh. Esok pakai pakaian lain pulak.

Itulah bezanya zaman dulu dengan zaman sekarang.

Kalau zaman saya kecik dulu buat macam tu, mahu kena luku dengan mak. Dia yang terpaksa basuh pakaian secara manual kat dalam bilik air. Bilik air pulak ada kat luar rumah. Air ambil dari telaga. Kena ceduk pakai timba tin.

Ceduk naik dan tuang masuk ke dalam besen untuk dipenuhkan dengan air. Masukkan sabun serbuk basuh kain. Biarkan semalaman dan esok pagi baru basuh.

Tonyoh setiap pakaian dengan berus. Duduk atas kerusi kecil sambil terbongkok-bongkok tekan berus ke pakaian tolak tarik dan tolak tarik. Lepas tu kena bilas dengan air bersih pulak. Dah nak kena ceduk air dari telaga tu guna timba tin berpuluh kali lagi. Penuhkan ke dalam besen.

Perghhhhh ! itulah yang saya tengok mak buat masa kat kampung. Sedar-sedar memang itu dah jadi kerja dia. Sementara anak-anak nak besar, boleh basuh dan berus sendiri, mak kena buat kesemua tu.

Pakaian bapak, mak yang basuh. Selain dari kena basuh pakaian dia sendiri. Anak-anak dari darjah satu sampai darjah 6 dia juga yang basuh. Malah ada anak-anak yang jenis tak reti buat sendiri, mak tak pernah merungut, dia ambil dan basuh saja.

Kalau ada tetamu datang. Ada saudara mara datang. Dia ambil pakaian mereka, dia juga yang basuh. Kain cadar, kain selimut, kain alas meja makan, kain salut kerusi, kain tuala, kain buruk ... semua dia basuh.

Subhanallah! dah bergenang air mata saya ni sekarang, teringat kesemua itu. Ya Allah! Ampunkan segala dosa mak, ya Allah. Berikan kesihatan yang baik padanya. Tenangkan hatinya. Damaikan jiwanya. Rahmati dia dan jadikanlah dia sebagai ahli syurga ya Allah!.

Mesin basuh pakaian ada bakteria bahaya

Ok. Kita balik semula kepada tajuk asal artikel ni. Dah melayang jauh pulak dari isu utama.

Mesin basuh mula diperkenalkan dan digunakan oleh manusia sejak tahun 1850-an. Itu maklumat yang saya dapat dari Google. Sejak itu, mesin basuh pakaian mula berkembang dan diperbaharui dari masa ke masa sehinggalah sekarang.

Mesin basuh yang pakai teknologi berkomputer pulak, ertinya yang guna keupayaan logik dan elektronik, diperkenalkan pada tahun 1998. Sekarang ada macam-macam jenis mesin basuh yang boleh berhubung dengan smart phone anda.

Secara selorohnya, saya baca satu laporan betapa hebatnya mesin basuh sekarang sampai anjing pun boleh tolong guna mesin basuh. Betapa mudah sangat operasi mesin basuh sekarang ni.

Semua itu bagus. Tapi ada juga kesannya baru-baru ini setelah ada kajian yang dibuat terhadap mesin basuh pakaian ni. Kajian ada disiarkan dalam jurnal Applied and Environmental Microbiology. Ada banyak bakteria merbahaya terkumpul pada getah seal pintu mesin basuh pakaian.

Ia berikutan berlakunya masalah kesihatan pada bayi dan kanak-kanak yang ada di hospital di Jerman. Kes itu membuatkan mereka selidik punca dan kesan buruk guna mesin basuh pakaian terutamanya kepada kanak-kanak dan orang tua yang lemah.

Dua jenis mesin basuh pakaian

Anda bleh tengok kat pasaran ada 2 jenis mesin basuh pakaian ni. Satu yang pintu masuk pakaiannya ada kat sebelah atas. Satu lagi jenis masukkan pakaian dari tepi.

Dari kajian, didapati jenis yang masukkan pakaian dari tepi tu lebih banyak kumpul bakteria. Jenis masuk pakaian dari tepi tu biasanya lebih mahal sebab kualiti basuhnya berbeza sikit dari jenis masuk kot atas.

Jenis pintu tepi tu boleh dilekatkan kat dinding sekali dengan kabinet dan mampu jimatkan ruang. Jenis pintu kat atas tak boleh buat macam tu. Jenis pintu tepi juga lebih lembut basuhannya terhadap kaian anda dan dapat jaga pakaian. Biasanya jenis pintu tepi lebih jimatkan penggunaan air.

Tapi masalahnya, dia lebih kurang kering terutamanya pada getal seal pada pintu mesin basuh tu. Itu mengundang banyak bakteria untuk membiak kat situ.

Bakteria berpotensi untuk membiak pada mesin jenis pintu kat atas tu sebab masih tetap ada getah untuk seal air pada tutupan pintu mesih basuh. Tapi kurang sikit berbanding jenis pintu tepi.

Apappun, kes ini mengajak anda untuk perhatikan kebersihan dan keselamatan mesin basuh anda tu. jangan buat tak reti dan tak pernah usaha basuh cuci mesin tu dari mula beli sampai ke tahun yang ke 5 atau 6 sampai dia rosak.

Lepas guna mesin tu, biarkan pintu terbuka dulu supaya mudah kering getah dan bahagian dalam mesin tu. Basuh sekurangnya 2 kali setahun dengan bahan yang sesuai untuk bunuh bakteria. Sentiasa lap getah pada pintu mesin tu supaya kering dan tak jadi pusat biak bakteria.

Paling penting, jangan dok biar pakaian terpendam kat dalam mesin tu lama. Masukkan dan basuh dan segera keluarkan untuk jemur. Itu lebih baik untuk halang bakteria bertambah dan melekat pada pakaian anda pulak.

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Tahukah anda yang mesin basuh pakaian berpotensi sebar bakteria merbahaya

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !