Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Friday, October 25, 2019

Macam mana nak pilih tilam yang terbaik untuk anda beli dan pakai

  Mohd Shubhi       Friday, October 25, 2019

Bila tiba masa nak kena beli tilam baru, macam mana agaknya cara anda pilih tilam?

Tentu jarang tanya soalan penting ni kan. Sebab sepanjang hayat anda hidup, berapa kali lah sangat nak kena beli tilam.

Jadi boleh faham sangat jika soalan macam mana nak pilih tilam ni biasanya diabaikan saja. Cara mudah bila tiba masa nak kena tilam baru, anda hanya perlu tengok bajet duit yang ada saja. Kalau bajet tinggi, maka tilam mahal akan jadi pilihan.

Andaiannya mudah saja. Bila harganya mahal, dah tentu tilam itu jenis yang terbaik untuk anda. Kalau tak bagus kenapa dia nak jual mahal!.

Tapi, betul kah macam itu?

Jom semak harga tilam kat pasaran

Saya buka portal beli barang online Lazada untuk semak harga tilam yang mahal kalau dia ada. Saya jumpa satu tawaran menarik. Sejenis tilam bernama Slumberland size Queen. Harganya RM7,915 sahaja.

Untuk kita orang Asia ni, tilam size queen rasanya dah mencukupi. Boleh buat tidur laki bini atas tilam size bersaiz tu.

Melainkan jika anda bersaiz Pakistan, maka tilam saiz King diperlukan. Saya tengok harga tilam saiz King Slumberland adalah RM9,315.

Kebanyakan tilam lain yang ada, harganya dalam lingkungan antara RM400 ke RM600. Itu semua anda boleh beli kat Lazada saja. 

Jika nak pantas, beli saja tilam kat kedai perabot berdekatan tempan anda tinggal. Sekarang, banyak kedai perabot dibuka oleh warga Pakistan. Mereka tawarkan jualan tilam yang memang sangat murah. Harga adalah kelebihan utama yang mereka tumpu.

Atau kalau nak rasa istimewa sikit, cuba kat IKEA.

Kalau anda beli tilam dari situ, harganya lebih kurang saja macam yang ada di Lazada. Bezanya, Ikea jual produk jenama dia sendiri.

Nama tilam yang dia ada kesemuanya guna perkataan Sweedish. Ada dua jenis utama ditawarkan di IKEA, iaitu foam dan spring. Kelebihan beli kat Ikea adalah dia sertakan apa saja aksesori berkaitan dengan tilam dari A ke Z.

Saya beli tilam dari IKEA jenis Foam yang tak berapa tebal dan tak tinggi tu. Bubuh atas katil saiz queen. Harga tilam tu lebih kurang RM600 sahaja. Nipis tapi tahan dan lembut serta empuk. Bila campur dengan pelapik cadar, bantal dan sebagainya, harga melambung naik lebih dari seribu jugak.

Tilam tu saya pakai di rumah yang ada kat Sepang, yang saya jadikan Homestay untuk sanak saudara.

Jom kita cuba kira kos tilam


Kita tengok harga tilam yang mahal nak mampus dari jenis Slumberland tadi. Dia bagi jaminan selama 15 tahun untuk harga sebanyak itu. Ertinya anda kena bayar lebih kurang sebulan RM44 untuk pakai tilam tu.

Kalau saya bahagi pulak kepada kos satu hari, anda perlu bayar lebih kurang RM1.50 sehari untuk tidur atas tilam tersebut.

Berbaloi tak?

Kalau nak dibandingkan dengan jumlah masa yang anda gunakan untuk tidur memang berbaloi. Masa yang digunakan untuk tidur adalah sebanyak satu per tiga dari jumlah hayat hidup. Itu satu jumlah masa yang lama.

Ertinya tidur merupakan satu perkara yang amat penting dalam hidup anda kat muka bumi ini. Jadi, jika difikirkan balik, apalah sangat nak kena bayar RM1.50 sehari untuk tidur untuk urusan yang sangat penting macam tu?

Tidur dengan makan sebenarnya sama penting. Jadi cuba kira berapa kos anda makan setiap hari dan bandingkan dengan kos tidur di atas tadi. Kalau makan kat kedai bajet pun akan habis dalam RM10 sehari. Tu kira jimat habis dah.

Cadangan saya adalah untuk jangan berkira sangat terhadap kos tilam. Asalkan anda dapat sebiji tilam yang baik dan sangat sesuai, beli sajalah.

Tapi ... soalannya, macam mana nak tentukan yang tilam itu adalah jenis yang terbaik untuk anda.

Saya kongsikan kat bawah ni sebagai panduan. Moga ianya dapat berikan sedikit idea untuk anda bila nak buat pilihan tilam yang sesuai.

Cara pilih tilam yang sesuai

Ini beberapa perkara yang anda perlu lihat bila nak buat pilihan dalam menentukan tilam macam mana nak di beli.
  1. Pejal - Ini agak subektif. Bergantung anda suka tidur atas tilam yang macam mana. Adakah jenis yang pejal keras dan kuat atau jenis yang lembut dan mudah tenggelam. Ada juga jenis yang sederhana lembut. Ukuran saya adalah macam tilam kekabu yang sudah ditepuk rata sebelum tidur. Saya suka rasa keras lebut kekabu tu. Nak tahu, kena tidur baring atas tilam tu dulu baru dapat rasakan.
  2. Cara anda tidur - Ini jadi faktor penting juga untuk pilih tilam. Saya suka tidur mengiring dengan perut sedikit diletakkan atas tilam tu. Jadi kalau tilam tu lembut sangat tak berapa nak best. Keras sangatpun tak best juga. Kalau anda jenis suka tidur meniarap, maka tilam yang lebih keras adalah lebih sesuai. Kalau tidak sakit pinggang nanti. Juga jika anda tidur terlentang, maka tilam yang lembut adalah lebih sesuai.
  3. Keupayaan pendam haba - Samada tilam tu jenis simpan haba lama atau jenis bahan yang mudah alirkan haba keluar dari tilam. Kalau jenis simpan haba, mudah berpeluh nanti jadinya sebab tilam tu akan panas dan panas bila anda tidur lama kat atasnya. Tapi jika anda suka tilam yang panas, ok lah. Saya tak suka sebab mudah melekit nanti.
  4. Kekuatan pada tepi tilam - Ini mungkin ramai yang tak berapa ambil peduli. Tapi ia penting jika anda jenis suka duduk kat tepi tilam tu pakai seluar, sembang, exercise dan sebagainya. Kalau tepinya tak kuat, tilam akan mudah rosak. Kalau tepi tak kuat juga, jika anda berat, bergolek ke tepi akan mudah jatuh ketika sedang tidur.
  5. Keupayaan sekat pergerakan - Bagi yang berumah tangga, ini penting. Kalau pasangan anda jenis suka bergerak ketika tidur, tilam yang tak mampu sekat pergerakan akan membuatkan tidur anda terganggu.
  6. Berat atau ringan - Ini juga perlu dipertimbangkan. Ada sekali saya beli tilam saiz king. Tidur memang sedap di atas tilam tu. Tapi punyalah berat. Kalau nak kemas katil, nak ubah tilam tu kena guna banyak tenaga baru bergerak. Kalau nak angkat, seorang memang tak terdaya. Jadi tilam yang berat sampai macam tu memang menyusahkan.

Rujukan perbandingan tilam

Macam mana anda bandingkan kesedapan dan kesesuaian tilam?

Saya punya rujukan adalah tilam kekabu. Itulah tilam yang saya pakai sejak kecil sampai besar masa duduk kat kampung dulu.

Kalau tanya saya, tak ada jenis tilam pun yang ada kat pasaran yang sesedap tilam kekabu asli. Tak simpan haba lama. Tak keras dan tak lembut. Memang mampu sekat pergerakan kalau ada orang pijak tilam tu di sebelah anda ketika tidur.

Cuma persediaan sebelum tidur tu agak susah berbanding tilam yang ada kat kedai sekarang. Nak simpan selepas bangun tidur juga tak mudah. Kena tepuk, gebukan tilam tu, sama ratakannya kemudian baru enak untuk ditidur.

Mak saya akan buka tilam dan keluarkan kekabu, bersihkan dan jemur kekabu tu di tengah panas sekali sekala bila kekabunya dah mula memejal. banyak kerja sikit. Tapi jika rajin buat begitu, tilam kekabu boleh tahan seumur hidup lebih dari satu jenerasi.

Bantal kekabu juga memang tak boleh nak lawan dengan bantal jenis lain yang ada kat pasaran sekarang. Kita cerita pasal bantal dalam artikel lain jika ada kesempatan nanti.

Beli produk kesihatan anda di sini

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Macam mana nak pilih tilam yang terbaik untuk anda beli dan pakai

Previous
« Prev Post

1 comment:

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !