Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Friday, October 25, 2019

Macam mana nak pilih tilam yang terbaik untuk anda beli dan pakai

  Mohd Shubhi       Friday, October 25, 2019

Bila tiba masa perlu beli tilam baru, bagaimana agaknya anda buat pemilihan tilam?

Anda tentu jarang tanya soalan penting tu kan. Sebab sepanjang hayat, berapa kali lah sangat perlu beli tilam. Sebab itu, pertanyaan terhadap cara betul untuk pilih tilam ni biasanya diabaikan begitu saja.

Selalunya, bila tiba masa untuk dapatkan tilam baru, anda hanya tengok peruntukan duit yang ada saja. Kalau ada banyak, maka tilam mahal akan jadi pilihan.

Andaiannya mudah saja. Bila harganya mahal, dah tentu tilam itu jenis yang terbaik untuk anda. Kalau tak bagus, kenapa dia nak jual mahal!

Tapi, betul kah tilam yang harganya tinggi itu bagus?

Semak harga tilam di pasaran

Bila saya buka portal beli barang online Lazada untuk semak harga tilam yang mahal, jumpa satu tawaran menarik. Sejenis tilam bernama Slumberland size Queen.

Harganya RM7,915 

Untuk kita orang Asia ni, tilam size queen sudah mencukupi. Boleh buat tidur suami dan isteri atas tilam sebesar itu.

Melainkan jika anda bersaiz Pakistan, maka tilam saiz King diperlukan. Saya tengok harga tilam saiz King Slumberland adalah RM9,315.

Kebanyakan tilam lain yang ada, harganya dalam lingkungan antara RM400 ke RM600. Semua itu boleh dibeli dari Lazada saja.

Tapi, jika anda nak pantas, beli saja dari kedai perabot berdekatan tempat anda tinggal. Hampir di semua tempat di negara kita sekarang, banyak kedai perabot dibuka oleh warga Pakistan. Mereka tawarkan jualan tilam yang memang sangat murah. Itu kelebihan kedai perabut Pakistan.

Atau kalau nak rasa kelainan dan istimewa sikit, anda boleh cuba ke IKEA. Kalau anda beli tilam dari situ, harganya lebih kurang saja macam yang ada di Lazada. Bezanya, Ikea jual produk jenama dia sendiri.

Nama tilam dari IKEA kesemuanya guna perkataan Sweedish. Ada dua jenis tilam utama yang ditawarkan di IKEA, iaitu foam dan spring.

Saya beli tilam dari IKEA jenis foam yang tak berapa tebal dan tak juga tinggi. Saya letakkan di atas katil bersaiz queen. Harga tilam tu lebih kurang RM600 sahaja. 

Tilamnya nipis tapi tahan dan lembut serta empuk. Bila campur dengan pelapik cadar, bantal dan sebagainya, saya belanja lebih dari RM1,000 jugak.

Kira kos tilam

Kita tengok harga tilam yang mahal nak mampus dari jenis Slumberland tadi. Dia bagi jaminan selama 15 tahun untuk harga sebanyak itu. Ertinya anda kena bayar lebih kurang sebulan RM44 untuk pakai tilam tu.

Kalau dibahagi pulak kepada kos satu hari, anda perlu bayar lebih kurang RM1.50 sehari untuk tidur atas tilam tersebut.

Berbaloi tak?

Kalau nak dibandingkan dengan jumlah masa yang anda gunakan untuk tidur memang berbaloi. Masa yang digunakan untuk tidur adalah sebanyak satu per tiga dari jumlah hayat hidup. Itu satu jumlah masa yang lama.

Ertinya tidur merupakan satu perkara yang amat penting dalam hidup anda kat muka bumi ini. Jadi, jika difikirkan balik, apalah sangat nak kena bayar RM1.50 sehari untuk tidur untuk urusan yang sangat penting macam tu?

Tidur dengan makan sebenarnya sama penting. Jadi cuba kira berapa kos anda makan setiap hari dan bandingkan dengan kos tidur di atas tadi. Kalau makan kat kedai bajet pun akan habis dalam RM10 sehari. Tu kira jimat habis dah.

Cadangan saya adalah untuk jangan berkira sangat terhadap kos tilam. Asalkan anda dapat sebiji tilam yang baik dan sangat sesuai, beli sajalah.

Tapi, soalannya, macam mana nak tentukan yang tilam itu adalah jenis yang terbaik untuk anda.

Untuk itu, saya kongsikan di bawah, sebagai panduan. Moga ianya dapat berikan sedikit idea untuk anda bila nak buat pilihan tilam yang sesuai nanti.

Cara pilih tilam yang sesuai

Ini beberapa perkara yang anda perlu lihat bila mahu membuat pilihan, menentukan tilam macam mana yang nak di beli.

1. Pejal

Ini agak subektif. Bergantung anda suka tidur atas tilam yang macam mana. Adakah jenis yang pejal keras dan kuat atau jenis yang lembut dan mudah tenggelam. Ada juga jenis yang sederhana lembut. Ukuran saya adalah macam tilam kekabu yang sudah ditepuk rata sebelum tidur. Saya suka rasa keras lebut kekabu tu. Nak tahu, kena tidur baring atas tilam tu dulu baru dapat rasakan.

2. Cara anda tidur

Ini jadi faktor penting juga untuk pilih tilam. Saya suka tidur mengiring dengan perut sedikit diletakkan atas tilam tu. Jadi kalau tilam tu lembut sangat tak berapa nak best. Keras sangatpun tak best juga. Kalau anda jenis suka tidur meniarap, maka tilam yang lebih keras adalah lebih sesuai. Kalau tidak sakit pinggang nanti. Juga jika anda tidur terlentang, maka tilam yang lembut adalah lebih sesuai.

3. Keupayaan pendam haba

Samada tilam tu jenis simpan haba lama atau jenis bahan yang mudah alirkan haba keluar dari tilam. Kalau jenis simpan haba, mudah berpeluh nanti jadinya sebab tilam tu akan panas dan panas bila anda tidur lama kat atasnya. Tapi jika anda suka tilam yang panas, ok lah. Saya tak suka sebab mudah melekit nanti.

4. Kekuatan pada tepi tilam 

Ini mungkin ramai yang tak berapa ambil peduli. Tapi ia penting jika anda jenis suka duduk kat tepi tilam tu pakai seluar, sembang, exercise dan sebagainya. Kalau tepinya tak kuat, tilam akan mudah rosak. Kalau tepi tak kuat juga, jika anda berat, bergolek ke tepi akan mudah jatuh ketika sedang tidur.

5. Keupayaan sekat pergerakan

Bagi yang berumah tangga, ini penting. Kalau pasangan anda jenis suka bergerak ketika tidur, tilam yang tak mampu sekat pergerakan akan membuatkan tidur anda terganggu.

6. Berat atau ringan

Ini juga perlu dipertimbangkan. Ada sekali saya beli tilam saiz king. Tidur memang sedap di atas tilam tu. Tapi punyalah berat. Kalau nak kemas katil, nak ubah tilam tu kena guna banyak tenaga baru bergerak. Kalau nak angkat, seorang memang tak terdaya. Jadi tilam yang berat sampai macam tu memang menyusahkan.

Rujukan perbandingan tilam

Macam mana nak buat perbandingan dalam menentukan tahap kesedapan dan kesesuaian tilam?

Saya punya rujukan adalah tilam kekabu. Itulah tilam yang saya pakai sejak kecil sampai besar masa duduk di kampung dulu.

Kalau tanya saya, tak ada jenis tilam pun yang ada kat pasaran yang sesedap tilam kekabu asli. Tak simpan haba lama. Tak keras dan tak lembut. Memang mampu sekat pergerakan kalau ada orang pijak tilam tu ketika anda tidur di sebelah.

Cuma persediaan tilam kekabu sebelum tidur tu agak susah berbanding tilam yang ada banyak di kedai sekarang. Begitu juga urusan untuk simpan selepas bangun tidur juga tak mudah. 

Tilam kekabu perlu di tepuk, gebukan tilam tu, sama ratakannya kemudian baru enak untuk ditidur atau untuk digulung dan disimpan.

Masa di kampung dulu, Mak saya akan buka tilam dan keluarkan kekabu, bersihkan dan jemur kekabu tu di tengah panas sekali sekala bila kekabunya dah mula memejal.

Agak banyak kerja sikit. Tapi jika rajin buat begitu, tilam kekabu boleh tahan seumur hidup lebih dari satu jenerasi.

Bantal kekabu juga memang tak boleh nak lawan dengan bantal jenis lain yang ada kat pasaran sekarang. Kita cerita pasal bantal dalam artikel lain jika ada kesempatan nanti.

Beli produk kesihatan anda di sini

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Macam mana nak pilih tilam yang terbaik untuk anda beli dan pakai

Previous
« Prev Post

4 comments:

  1. terima kasih . perkongsian yang sangat berguna

    ReplyDelete
  2. Terima kasih..perkongsian menarik dan bermanfaat..saya ke entry ni sebab nak ganti tilam lama..harap2 dapat beli tilam yang sesuai dengan saya

    ReplyDelete

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !