Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Monday, April 27, 2020

Kat mana nak beli Baju Melayu untuk persediaan hari raya Aidilfitri tahun 2020 ni

  Mohd Shubhi       Monday, April 27, 2020

Hari ini masuk hari yang ke-4 kita berpuasa. Mula puasa hari jumaat yang lalu, dalam suasana negara masih lagi dilanda Covid-19.

Puasa tahun ini sangat luar biasa. Rasanya, anda juga tentu tak pernah hadapi situasi yang sama macam ni. Tak pernah saya alami keadaan seperti ini sejak dilahirkan sehingga ke tahun ini.

Biasanya, setiap kali masuk bulan ramadan, saya cuba selesaikan terlebih dahulu urusan beli pakaian anak-anak. Mula-mula kena beli baju melayu untuk anak-anak lelaki dan saya sendiri. Lepas itu, kena beli baju kurung untuk anak-anak perempuan dan isteri.

Berikut adalah benda wajib beli setiap kali masuk bulan ramadan:
  1. Baju Melayu - Lengkap sepasang baju dan seluar sekali dengan sampin.
  2. Songkok - Biasanya kalau tak beli songkok pun, akan beli kopiah juga yang baru untuk semua anak termasuk untuk saya sendiri.
  3. Baju kurung - Ini untuk anak perempuan dan isteri. Antara urusan yang sangat mencabar, ambil masa yang lama untuk berjumpa yang diperkenankan oleh pemakai semua.
  4. Tudung - Ini juga mencabar. Nak cari yang ngam dengan pilihan baju kurung tadi.
  5. Baju tidur - Ini pun kena beli khas untuk hari raya. Bukan yang mahalpun, sekadar yang baru dan selesa untuk gembirakan hati anak-anak. Lagipun, hanya waktu inilah pakaian tidur di beli untuk mereka sekali setahun.
  6. Baju jalan - Ini pun kena beli khas untuk sambut raya. Masa inilah saja anak-anak diberi peluang untuk tambah koleksi baju baru mereka. Setahun sekali sahaja.

Perlukah beli baju melayu tahun ini

Bila timbul soalan kat mana nak beli baju melayu untuk raya tahun ini, saya terfikir sejenak samada perlu beli atau tak perlu?

Nak jawab saalan samada perlu atau tidak perlu, beli baju melayu tahun ni, elok fikirkan dahulu tujuan kenapa perlu ada baju raya setiap kali sambut perayaan aidilfitri.

Kenapa kena ada baju melayu?

Tujuan utama baju melayu dibeli setiap kali raya sudah tentu untuk pergi ke masjid tunaikan solat sunat hari raya aidilfitri. Selepas solat sunat aidilfitri kat masjid, balik rumah dan makan ramai-ramai segala ketupat dan rendang.

Selepas itu, keluar pergi ziarah semua saudara mara sebelah ayah dan mak. Habiskan satu persatu jumpa kesemuanya. Masa ziarah tu, baju melayu dan baju kurung rayalah yang akan dipakai. Akan habis satu hari sampai ke malam dengan semua aktiviti tersebut dengan kekal memakai baju melayu satu sut dan baju kurung lengkap sempurna.

Itulah tujuannya kenapa kena ada baju Melayu dan baju kurung serba baru, sedondon satu keluarga. Alah, bukannya selalu buat macam tu. Kalau tak ada kenduri kahwin saudara mara yang buat majlis secara formal, maka setahun sekali saja buat cam tu.

Tapi tahun ni memang tak akan ada kedua-dua aktiviti ni.
  • Balik kampung - Semuanya akan beraya kekal kat rumah sahaja sendiri-sendiri. Baji yang bernasib baik dan terlajak balik kampung sebeum PKP, mungkin akan kekal berya kat kampung.
  • Solat raya -  Sudah tentu solat raya yang perlu dilakukan dalam keadaan berhimpun secara besar-besaran terpaksa dibatalkan sebab covid-19. Ramai yang kata segala aktiviti berhimpun akan kekal dilarang dalam tempoh yang lama lagi sehingga semuanya stabil.
  • Ziarah menziarah - Amalan tradisi dan sangat baik ini juga terpaksa ditangguh terlebih dahulu entah sampai bila. Nak pi ke sana sini ramai-ramai, serbu rumah saudara mara tak boleh nak buat lagi sehingga semuanya kembali normal. Entah akan kembali normal atau tidak tak pasti akan berlaku dalam tahun ini juga.
Kesemua aktiviti yang memerlukan baju raya. baju melayu, baju kurung baru nampaknya tidak akan berlaku. Membawa kepada rumusan semua baju melayu dan baju kurung tu tak perlu diadakan pun.

Satu lagi sebab kenapa beli baju raya adalah atas saranan agam Islam. Elok meriahkan suasana hari raya aidilfitri dengan pakaian yang comel dan menarik.

Untuk memenuhi saranan ini, kita ikut panduan dari UAI saja. Dia kata tak beli baju melayu dan baju kurung barupun tak ada. Yang penting pakai pakaian yang elok. Pakaian elok tu masih ada dalam almari baju tu.

Baju Melayu dan Baju Kurung tahun-tahun yang lalu masih kemas dan cantik tersimpan dalam almari baju semua orang.

Melainkan tubuh badan dah berganda sampai tak muat lagi baju raya tahun-tahun yang lalu. Anda masih boleh melawa dengan pakaian lama yang masih cantik tu.

Baju melayu bukannya murah

Setiap tahun, bila kena beli baju melayu dan baju kurung ni, akan terasa berat dan syahdu. Sebab banyak duit akan habis untuk persediaan kesemua pakaian baru tu. Rasa serba salah kalau tak nak beli. Boleh masam muka isteri sampai masuk tahun baru kalau buat kering tak mahu beli.

Untuk sepasang baju melayu, anda terpaksa keluarkan duit lebih dari RM200. Kalau ada 4 orang ertinya kena ada lebih dari RM800. Biasanya kena bajet dalam RM1,000 untuk baju melayu ni saja. Belum masuk baju kurung dan tudung lagi. Ini lagi mahal.

Saya buat carian kat internet pasal beli baju melayu online. Dapat portal ni. Omar Ali baju kurung baju melayu. Semua pakaian tradisi yang anda mahukan ada terjual kat situ.

Untuk baju Melayu tahun ni saya tengok dia promosi 3 jenis yang diberikan nama, Tuah, Jebat dan Lekiu. Kalau anda nak yang tempahan dia namakan Lekir. Harganya adalah RM269. Harga tu termasuk sampin. Tapi tak termasuk butang dan songkok. Itu kena beli sendiri.

Nampak tu! saya dah kata memang mahal harganya. Itu adalah harga biasa yang anda akan jumpa kalau pergi beli kat PKNS pun.

Baju Melayu yang murah

Dari pengalaman, baju Melayu yang cantik, menarik dan murah harganya saya selalu pergi beli di Parkson. Jauh lebih murah berbanding harga yang dijual di gerai ramadan di PKNS Shah Alam tu. Dan sudah pasti lebih murah dari Omar Ali.

Kalau anda nak yang murah lagi, boleh pergi ke Lazada dan juga Zalora. Mereka tawarkan baju melayu dan baju kurung yang tengok kat gambar memang nampak cantik dan murah harganya. Saya tegok ada satu baju melayu, baju sahaja, jenis teluk belanga dijual dengan harga hanya RM39.90.

Saya tengok kat Zalora juga boleh tahan harga murahnya. Nampak berkualiti, terkini dan berpatutan harga. Dalam lingkungan RM110 sahaja. Tapi jenis teluk belanga juga. Ertinya jenis baju yang tak perlukan butang baju melayu.

Baju Melayu jenis teluk belanga adalah lebih sesuai kalau anda nak beli secara online sebab kalau saiznya ok, takkan ada masalah untuk ukuran bahagian leher. 

Berbanding jenis cekak musang, jika saiznya okpun mungkin bahagian leher akan ada sedikit masalah. Tapi Zalora berikan tawaran menarik. Anda boleh cuba dulu beli dan boleh pulangkan dalam tempoh 30 hari.

Itu selesaikan semua masalah saiz tak ngam !

Jenis Baju Melayu pilihan saya

Masa duduk kat kampung dulu, emak akan beli siap-siap kain ela untuk buat baju raya. Dia akan pergi ke kedai kain di Pekan Bukit Mertajam, pilih kain yang elok untuk anak-anaknya. Kami semua lelaki kecuali adik paling bongsu.

Masa tu Mak akan pilih warna yang berbeza-beza. Kadangkala ikut selera anak-anak. Tapi biasanya dia sendiri yang buat pilihan warna. Yang dia anggap sesuai untuk setiap orang. Warna pilihannya bergantung pada warna kulit anak.

Kalau anak yang kulit cerah dia akan beli warna yang lembut. Kalau anak kulit gelap dia akan beli kain berwarna garang sikit. Itulah citarasa emak. Kami ikut saja tak pernah membantah. Semua warna pilihan mak elok belaka.

Selepas beli kain ela, dia akan hantar ke kedai jahit cina kat pekan penanti. Ada 2 kedai jahir yang dia suka hantar. Samada kedai tukang jahit lelaki di kedai terletak tak jauh dari simpang 3 pekan penanti tu. Atau tukang jahir perempuan di kedai jahit atas ke depan sana berhampiran dengan jerat Cina.

Antara tukang jahit cina lelaki dengan perempuan tu, yang lelaki lebih kemas dan segak buatannya. Sekali dia ukur dan jahit, bila siap semuanya terletak cantik atas badan. Kalau dia buat baju melayu cekak musang, memang sangat kemas dan terletak betul-betul atas tubuh pemakainnya.

Baju Melayu yang saya suka juga adalah jenis cekak musang. Pilihan kedua baru teluk belanga. Tapi kalau untuk buat pakai pergi solah ke masjid seharian, saya suka pakai jenis teluk belanga. Selesa dan tak panas pakai potongan jenis itu.

UNtuk Baju Melayu Cekak Musang, potongan yang saya suka adalah potongan longgar. Baik pada tangan mahupun pada badan. Perlu ada ruang dan selesa memakainya.

Berbeza dengan potongan orang sekarang. Saya tengok anak-anak muda pakai baju melayu macam sarung buah nangka. Punya ketat sampai untuk lipat tangan nak ambil wuduk jadi masalah besar. Entah jenis apa punya pakaian saya tak faham.

Kalau ketat tapi kainnya jenis yang getah masih logik lagi untuk diterima pakai. Tapi kalai kain bukan jenis getah dan tidak elastik, buat ngam-ngam saiz tangan dan badan, itu nak mencekik aliran darah dan aliran angin sebenarnya.

Baju Melayu satu set atau Baju sahaja

Memang dari dulu kat kampung, mak akan tempah baju sahaja. Tak pernah dia tempah kat kami satu set baju dan seluar. Kalau buat sepasang lengkap tu, anya untui anaknya yang nak mendidirikan rumah tangga.

Maksudnya, kami hanya pakai satu set lengkap siap dengan sampin apabila berkahwin sahaja.

Baju Melayu baju sahaja tu akan mak padankan dengan kain pelikat. Dia akan beli dari Kak Nita. Seorang pengimport kain dari Indonesia yang jadi kawan baik mak. Kak Nita tu pembekal semua kain pelikat dan kain batik yang mak buat bisnes sambilan cari income tambahan.

Bila ada model baru, jenis baru, dia akan beli dan pakaikan dulu untuk anak-anaknya. Jadi kami akan dapat latest model dengan harga yang sangat murah. Sekarang, saya hanya pergi ke Langkawi saja untuk beli kain pelikat terbaru.

Itulah fesyen kami sekeluarga, anak lelaki kat kampung kalau hari raya. Pakai Baju Melayu dan kain pelikat untuk solat sunat hari raya aidilfitri.

Sekarang, saya masih ikut budaya macam itu lagi walaupun masa beli baju melayu akan beli satu set lengkap. Tapi bila ke masjid solat sunat raya, saya akan pakai baju melayu saja dan pakai kain pelikat.

Masa pergi ziarah saudara mara sahaja, baru pakai satu set lengkap.

Tahun ini, saya nekad untuk pakai semua stok yang lama sahaja. Tak payah nak beli terus saja sebab nak kena berjmat. Ekonomi masih dalam keadaan terumbang ambing tak tentu kalu. Dapat sediakan makanan untuk berbuka dah kiran syukur Alhamdulillah.

Jadi, kita berjimat dan bersederhana saja tahun ini.

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Kat mana nak beli Baju Melayu untuk persediaan hari raya Aidilfitri tahun 2020 ni

Previous
« Prev Post

3 comments:

  1. Alias collection hanya 99 je... Cantik

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sat nak cari kat google .. tq for info

      Delete
    2. Search Alias, hanya jumpa Ridzuan Alias. Hanya baju kurung high-end

      Delete

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !