Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Friday, June 4, 2021

Anda percaya ke dengan hidu wap air panas rebusan bunga cengkih mampu rawat pesakit covid-19

  Mohd Shubhi       Friday, June 4, 2021


Kalau anda seorang pengguna WhatsApp tentu pernah terima video viral seorang jejaka yang kongsikan bagaimana keluarga kakaknya pulih dari jangkitan covid-19 hanya dengan menghidu wap air rebusan bunga cengkih.

Saya ada terima video sama. Lebih dari satu grup wasap yang bersemangat kongsikan untuk maklumkan kepada kawan-kawan.

Persoalan yang menarik untuk ditanya adalah, apa yang anda fikirkan sebaik saja terima video sebegitu?

Reaksi anda menzahirkan cara anda menggunakan akal rasional dalam menapis segala maklumat yang anda terima. Samada anda punya pemikiran yang kritis atau lansung tak guna akal terus percaya saja maklumat macam itu.

Tak betul selagi tidak dibuktikan sebaliknya

Petua paling selamat di era komunikasi tanpa batasan sekarang ini adalah untuk menolak apa saja maklumat dari media sosial dengan anggap ianya adalah tak betul selagi tidak dapat dibuktikan sebaliknya.

Maksudnya, apa saja yang anda terima dalam bentuk maklumat, pengetahuan, berita dan lain-lain seumpamanya, tidak perlu dikongsikan terus tanpa ambil masa untuk hadam terlebih dulu.

Jika anda tidak mahu beratkan otak. Maklumat itu tidak penting untuk anda ambil serius dan tak ada kegunaan dalam kehidupan, abaikan saja maklumat sedemikian. 

Dengan berbuat demikian, anda tak payah nak buang masa untuk aktifkan akal pemikiran yang Tuhan berikan untuk perkara yang tak mendatangkan manfaat. 

Dan paling penting, kalau tak mau fikir, janganlah dikongsikan dengan forward ke grup atau kawan-kawan lain pula. Jangan cari pasal ambil risiko terhadap perkara yang tak pasti.

Jika anda rasa menarik, ada kegunaan untuk diri dan orang lain, maka semak lah terlebih dahulu. Mulakan dengan mengaktifkan pemikiran rasional yang ada berdasarkan maklumat yang dah dipelajari sebelum ini.

Jika dari awal dah nampak tak logik, elok abaikan.

Jika rasa tak logik, tapi masih ingin percaya kot-kot betul, maka perlulah buat carian. Paling dekap dan mudah, google saja dan rujuk portal-portal yang dipercayai.

Jika tak ada, rujuk pada kawan-kawan yang berilmu dan arif tentang jurusan yang bersangkutan. Paling baik tanya saja kepada yang pakar.

Jika seorang pakar beritahu dia tak pernah dengar perkara tersebut, kemungkinan perkara itu tak betul adalah sangat tinggi. 

Berbeza dengan seorang yang bukan pakar berkata dia tak pernah dengar perkara tersebut, berkemungkinan ianya wujud tetap ada. Tapi sebab dia bukan pakar dan tak belajar, maka sudah tentu dia tak tahu.

Itulah kegunaannya untuk sentiasa rujuk pada mereka yang pakar.

Pendekatan itu saya belajar dari guru agama satu ketika dulu. Dia merupakan seorang anak murid kepada seorang pakar hadith yang habiskan seluruh hidupnya mempelajari ilmu hadith.

Bila ditanya berkenaan sesuatu hadith dan tok gurunya kata tak pernah dengar. Maka dia akan anggap hadith tu tak ada. Saya pernah tanya mungkin tok gurunya tak pernah dengar sedangkan hadith tu memang ada.

Sambil senyum dia jawab, kalau sijahil yang jawab dia tak pernah dengar, bukan sebab hadith tak ada, tapi mungkin sebab dia jahil. Tapi kalau pakar hadith jawab dia tak pernah dengar, bukan sebab pakar hadith tu tak tahu. Ianya lebih kepada hadith tu memang tak ada.

Pendekatan sama boleh dipakai dalam semua urusan kehidupan sebenarnya. Itulah antara perbezaan besar antara yang berilmu dengan yang jahil.

Disiplin perubatan moden yang ketat

Kenapa dunia moden lebih percaya kepada perubatan moden berbanding perubatan alternatif?

Satu sebab paling penting yang membuatkan orang percaya kepada perubatan moden adalah disiplin untuk mengesahkan keberkesanan sesuatu solusi terhadap masalah kesihatan yang amat ketat.

Disiplin ketat tu diamalkan secara konsisten di mana saja pusat pendidikan perubatan moden di seluruh dunia. Orang yang belajar ilmu kedoktoran moden tentu faham sangat dengan perkara ini. 

Sebab itu majoriti besar dari para doktor punya pendekatan dan sikap yang sama dalam menentukan cara rawatan yang mereka ambil.

Tak hairanlah apabila seorang doktor bernama Dr Mahyuddin, hentam video yang bagi petua sedut wap air panas rebusan bunga cengkih untuk rawat covid-19 tu. Memang patutpun.

Saya yang bukan doktor pun boleh kesan ada masalah keterujaan dalam video tu. Lelaki itu terlalu awal buat rumusan. Siapa tak rasa seronok jumpa formula yang mampu bantu ratusan ribu rakyat Malaysia yang sedang stress diancam covid-19!

Jadi, tak boleh nak salahkan dia terlalu awal buat kesimpulan. Sekalipun tujuannya adalah nak popular, tak salah juga. Tak ada siapa nak larang jika anda nak popular. Bukan dosa dan bukan juga satu jenayahpun.

Ramai pesakit covid-19 yang sembuh

Terlalu teruja membuatkan pemuda itu yakin kuasa wap air panas rebusan bunga cengkih hingga terlupa untuk fikirkan soalan, "takkan hanya disebabkan kakaknya satu keluarga buat kemudian lega maka cara itu dah terpakai untuk semua orang?".

Lihat statistik pesakit yang dah sembuh. Ada lebih dari setengah juta rakyat Malaysia yang dikesan hadapinya dan telah pulih. Apa petua yang ramai pulih tu pakai?

Ramai yang dikesan positif covid-19 tapi tak teruk atau tiada gejala, duduk kuarantin dalam rumah satu keluarga. Mereka tak sedut wap bunga cengkih pun, selepas habis tempoh kuarantin dan buat test semula, hilang juga covid-19 yang dialami sebelum itu.

Salah seorang staff saya juga ada kena covid-19. Kuarantin dalam rumah, hidup macam biasa saja. Minum air dan makan seperti biasa. Dia kata ada telan pil vitamin C dan habiskan tempoh kuarantin. Lepas tu lega juga.

Yang dia makan setiap hari sudah tentu adalah nasi. Tak pula dia rumuskan makan nasi dapat rawat masalah covid-19.

Sebenarnya banyak lagi petua muncul sama keadaan seperti pemuda yang buat video tu. Cuma tak jadi viral saja. Ada yang kongsikan secara rahsia sesama saudara saja.

Contohnya yang beri petua minum air suam banyak-banyak dapat legakan covid. 

Kawan saya ada kongsikan petua ni diamalkan oleh kenalannya yang kuarantin diri satu keluarga di UK. Dia buat kesimpulan dari petua itu bahawa covid-19 adalah lakonan dan kospirasi yang sengaja cetus masalah yang tak perlu. 

Kesimpulan itu jauh lebih bahaya. Berikan mesej tak payah ambil pot sangat dengan usaha elakkan covid ni. Jenuh nak terangkan pada kawan-kawan betapa bahayanya mesej tersebut.

Ada juga yang berikan petua, amalkan doa hembus tapak tangan sapu seluruh badan. Diamalkan oleh kawan yang positif covid lalu sembuh tak lama kemudian. Orang yang amalkan itu juga yakin dia dah temui jalan keluar dari penyakit itu.

Kalau nak dikumpulkan apa amalan mereka yang berjaya sembuh dari covid 19, sudah tentu ada seribu satu macam versi yang semuanya betul dan mereka sendiri buktikan berjaya sembuh.

Dalam keadaan sebegitu, tidakkah terfikir bahawa membuat rumusan untuk cari apa petua sebenar untuk sembuh dari covid adalah sesuatu yang sangat sulit dan kompleks?

Yang pastinya. Untuk semua yang sembuh ditangani oleh pekerja kesihatan kita di pusat rawatan, kesemua ubat atau pendekatan rawatan yang diamalkan adalah yang telah diakui berkesan.

Berkesan setelah benar-benar di kaji dan dilakukan percubaan dengan kawalan yang ketat satu persatu. Mereka rawat gejala yang berlaku pada pesakit covid dan bukannya atasi hapuskan punca covid 19 dalam badan lagi sebab masih tiada solusi. Doktor bukannya main hentam kromo macam tikam nombor ekor saja.

Bukan bermakna teknik alternatif salah

Mungkin ada benarnya satu-satu perubatan alternatif itu berkesan dalam merawat sesuatu masalah. Siapa tahu?

Tetapi macam yang saya kata, disiplin perubatan moden ambil pendekatan yang paling selamat dalam urusan nak sahkan sesuatu teknik, ubat atau prosedur.

Perlu dilakukan ujikaji yang ketat dan terperinci. Disemak oleh pakar dan dicari kalau-kalau ada keciciran. Dilihat peratusan keberkesanan. Dilihat juga kesan sampingan dan sebagainya. 

Dikaji juga kesan terhadap sample yang berbeza. Adakah ianya sesuai untuk umum atau untuk sebahagian kes saja dan macam-macam lagi. Sebelum nak sahkan sesuatu perkara.

Adakah teknik hidu wap air rebus bunga cengkih dah lalui semua kajian dan pembuktian tersebut?

Kalau adapun, dan saya yakin ada pengkaji yang percaya pada rawatan alternatif buat semua itu. ianya masih tahap dikaji yang masih perlu disemak oleh para pengkaji lain lagi. Lama prosesnya.

Oleh itu, selagi tidak dibuktikan betul, maka lebih selamat, anggap saja ianya tak betul. Ikutlah pendekatan yang terbukti telah selamatkan ratusan ribu pesakit yang diamalkan oleh para doktor di unit-unit perubatan moden negara kita sekarang.

Jangan nak konpius kan orang ramai yang rata-rata memang suka sangat nak percaya benda pelik dari melihat statistik kebenaran yang ada. Gerakkan sikit penggunaan akal tu biar selari dengan kehidupan moden sekarang.

Bayangkan jika ada yang memang kena covid-19, makin hari makin parah gejalanya, tapi sebab dapat petua hidup wap bunga cengkih tu, dia bukannya segera ke hospital, sebaliknya tunggu dulu, rebus bunga cengkih dan hidu dan hidu .. akhirnya rebah kritikal baru nak ke hospital dan nazak di sana .. nak salah kan siapa?

Itu satu risiko yang sangat besar yang tak boleh diambil ringan. Dalam itupun, sampai sekarang saya masih lagi dapat kawan-kawan yang level otai, kongsikan juga bahan-bahan maklumat video dan petua entah dari mana-mana dalam grup wasap.

Nak tegur, orang tua. Serba salah jadinya .. 

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Anda percaya ke dengan hidu wap air panas rebusan bunga cengkih mampu rawat pesakit covid-19

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !