Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Thursday, May 12, 2022

6 perkara yang ada pada diri orang yang berakhir dengan jadi jutawan

  Mohd Shubhi       Thursday, May 12, 2022


Ada sekali tu, saya pergi ke Sabah dengan seorang anak muda atas urusan kerja.

Seronok travel bersama anak muda tusebab dia ada cita-tiba besar. Impian yang banyak dalam kepalanya membuatkan dia suka bertanya dan tinggi selera terhadap ilmu.

"Saya mahu jadi jutawan!"

Itu yang dia beritahu ketika kami sedang bersembang sambil dia memegang steering memandu kereta di sebelah saya.

Sebelum itu, saya ada beritahu padanya. Kalau nak berjaya, perlu ada keinginan yang amat-amat kuat untuk mendapatkan kejayaan tersebut. Perlu sangat jelas gambarannya.

Kalau sekadar teringin sikit-sikit, sekadar lintasan yang lalu dalam fikiran, macam biasa saja, insyaallah tak akan kemana.

Semua orang ada lintasan sebegitu terhadap kesenangan hidup dan kejayaan. Tapi tak ke manapun. Sebab tidak berusaha besarkan keinginan ini secara serius.

Itu yang paling penting. Cukup kuat sehingga kesemua urusan lain, yang diperlukan untuk anda berjaya, akan datang menjelma tersusun satu persatu dengan sendirinya.

Saya dah lihat depan mata kepala sendiri apa yang berlaku pada kenalan-kenalan yang benar-benar mahukan kejayaan sebelum ini.

Mereka memang berakhir dengan mendapat apa ang mereka mahukan.

Sama mahu jadi jutawan

Luahan yang sama, mahu jadi jutawan, pernah saya dengar dari mulut seorang kenalan yang saya kenal, lama sebelum itu.

Masa itu dia masih tak ada apa-apa sangat. Sedang berusaha keras dengan perniagaannya yang masih suam-suam kuku.

Tapi dari luahannya saya lihat ada kesungguhan. Matanya bersinar galak bila sebut nak jadi jutawan. Bukan sekadar nak jadi jutawan. Dia nak jadi multi jutawan. Dia nak ada private jet terus.

Sangat besar. Tapi saya percaya ianya bukanlah sesuatu yang mustahil.

Tak lama pun selepas itu.

Dalam 6 ke 7 tahun, dia dapat semua yang dia memang benar-benar mahukan.

Ada beberapa orang lagi yang sama macam kes kat atas tu.

Saya dengar keazaman yang sama diluahkan pada saya ketika mereka masih tak punya apa-apa. Dan berakhir dengan mendapat apa yang mereka azamkan dalam beberapa tahun kemudiannya.

6 kriteria untuk jadi jutawan

Anda juga tentu boleh sangat untuk turut sama jadi jutawan.

Atau mungkin anda nak jadi multi jutawan. Ada private jet, ada kapal layar, ada banglo mewah dan ada macam-macam lagi yang boleh dibayangkan.

Sudah tentu bukan senang-senang tiba-tiba boleh jadi jutawan.

Melainkan anda dapat wasiat dari mana-mana orang kaya besar hartawan yang sangat kaya yang tak ada waris dan nama anda dipilih secara rawak … boleh la jadi jutawan tiba-tiba.

Kalau bukan ada darah keturunan orang kaya yang ada harta pusaka sangat banyak, perlulah cari jalan lain yang lebih mujarab dan terbukti berjaya menghasilkan ramai jutawan atas mukabumi ini.

Anda perlu ada 6 kriteria di bawah ini.

#1. Berasal dari kalangan orang yang susah

Ini paling ramai yang saya jumpa. Mereka bukannya dari kalangan keluarga mewah senang lenang. Nak apa saja semuanya ada depan mata.

Ada beberapa kes kawan-kawan yang memang anak orang kaya besar, bila mak bapak tiada, mereka jadi tukang habiskan semua harta yang ada. Makin lama makin kecut dan tidak berkembang.

Yang susah keluarganya, sedar mereka tak punya apa-apa kelebihan melainkan impian yang besar untuk berjaya, mereka mula mengorak langkah dan berusaha pecahkan segala halangan untuk ke depan.

Ada juga yang bermula dengan ada banyak duit dan harta. Mereka berusaha tapi malangnya semua duit dan harta habis dengan berbagai cubaan yang tidak menjadi.

Tapi pelik juga. Bila semua dah habis, mereka jatuh susah, barulah segalanya mula menjadi. Mereka bangun semula dari abu kehancuran yang mereka buat sendiri dan keluar menuju kejayaan yang besar.

Satu perkara yang penting pada orang ang biasa susah ni. Mereka biasanya merendah diri dan dalam masa yang sama sangat laparkan kejayaan.

#2. Impian yang sangat tinggi

Setakat berasal dari anak orang susah saja masih tak cukup.

Ramai sangat anak-anak orang susah yang tak kemana. Bukannya berjaya keluar dari kesusahan yang mak bapak mereka hadapi, malah makin menyusahkan mak bapak lagi adalah.

Anda perlu ada impian dan keazaman yang sangat besar. Anda wajib untuk benar-benar berjaya mendapatkan apa yang anda impikan macam yang saya sebut di awal artikel ini tadi.

Macam mana nak bezakan anda nak berjaya dengan benar-benar nak berjaya.

Saya berikan contoh mudah ketika anda berpuasa di bulan ramadan. Anda nampak segelas air lemon ais bercampur madu atas meja bercahaya jernih seperti kristal yang mampu hilangkan dahaga puasa anda itu.

Siapa saja yang nampak air macam itu ketika berpuasa akan teringin nak teguk habis segelas air tu. Kalau anda sekadar rasa ingin nak minum, anda macam kesemua orang biasa lain yang berpuasa. Anda tak akan ambil gelas itu dan minum.

Tapi berbeza buat orang yang benar-benar nak minum air lemon ais bermadu itu. Dia tak akan fikir panjang lagi. Dicapainya gelas itu, lalu diteguknya sampai habis. Ahhhh! lega !.

Ha!, itu tandanya orang tersebut memang benar-benar nak minum. Bukan sekadar nak biasa-biasa saja.

Tapi janganlah nanti bulan puasa anda pi belasah minum air bila jumpa. Dengan alasan untuk latih diri benar-benar nak berjaya. Saya hanya berikan perumpamaan supaya anda faham maksud benar-benar nak berjaya.

#3. Citarasa yang tinggi

Selain dari perlu ada keazaman dan keinginan yang sangat tinggi untuk berjaya, anda juga perlu ada citarasa yang tinggi. Tak boleh ala-ala kadar saja.

Tengok kerja separuh tak siap, tak apa ..

Kerja cincai dan lebih kurang, kira ok saja. Tak kisah ..

Orang tolak anda beransur, ditolak lalu beransur …

Macam itu punya perangai, memang tak akan ke mana. Tanamkan citarasa yang tinggi dalam apa saja urusan samada kerja atau hobi. Itu akan mendorong untuk anda jadi yang terbaik melebihi orang lain.

Tak perlu risau jika orang nak kata anda cerewet. Tetapkan iman dan teruskan dengan standard anda yang lebih dari biasa itu.

Ada kawan yang sekampung dengan saya memang jenis yang pnya citarasa yang sangat tinggi. Kalau dia kerja makan gaji, dia akan buat kerja sungguh-sungguh. Anak buah tentu akan rasa rimas bila kerja di bawahnya.

Bila dia berhenti kerja dan jadi kontraktor, dia nak mencanak. Bila dia buka restoran, habis semua restoran lain kena pukul liau-liau kata orang Penang. Kalau masuk pertandingan restoran makan terbaik di Pulau Pinang, dia duduk nombor 2, yang nombor satu tu adalah restoran hotel 5 bintang. Tapi dalam kriteria pantas servis, dia atasi restoran tu.

Itulah penangan punya citarasa yang tinggi dalam urusan kehidupan dan kerja anda.

#4. Rendah diri dan tak berlagak pandai

Ini juga satu lagi kriteria kawan-kawan yang berjaya naik ke atas bermula dari bawah.

Bila dah naik, mereka masih juga merendah diri. Banyak mengaku tak tahu daripada berlagak semua tahu.

Mereka sentiasa bersedia untuk buang malu bertanya pada kawan yang lebih pandai bila nak cuba faham sesuatu. Dengan orang yang biasa-biasa sajapun mereka akan merendah diri dan akan melihat apa saja perkara baru yang boleh dipelajari.

Tak hairanlah mereka semakin lama semakin naik ke atas. Dah kaya raya, dah berjaya, makin kaya lagi dan makin berjaya.

Belajar dan terokai perkara dan ilmu baru memang dah macam darah daging mereka.

#5. Terlibat dan punya minat mendalam terhadap kerja mereka

Ini memang tak boleh nak elak. Kalau anda buat apa kerjapun, tanpa ada minat yang mendalam terhadap kerja yang anda lakukan, janganlah harap nak pergi jauh.

Biladah minat, mahu tak mahu, anda akan libatkan diri dengan semua urusan kerja tersebut. Ambil tahu semua urusan. Sanggup lipat lengan baju untuk turun ke bawah dan buat yang terbaik untuk pastikan semuanya berjalan lancar.

Semua kawan-kawan yang jadi jutawan atau multi jutawan yang saya kenal punya perangai sedemikian. Mereka memang tak akan lepas tangan dari awal memulakan kerja atau perniagaan sehingga ke tahap yang jauh.

Bila dah pergi jauh, bisnes dah besar, memanglah tak dapat nak libatkan diri dalam kesemua ursan kerja. Tapi mereka masih ambil tahu, turun ke bawah membimbing supaya orang yang mereka amanahkan kerja dapat laksanakan kerja mereka dengan baik.

Ada orang yang nak jadi jutawan dengan berniaga. Tapi dia sekadar bagi duit nak jadi sleeping partner. Tak ambil tahu dan tak minatpun nak tahu tentang bisnes tu.

Dengan berbuat begitu, dia harap bisnes yang dia laburkan itu akan mampu menjadikan dirinya jutawan besar .. !

Kalau anda macam itu, tak payah nak mimpi sangat. Nak naik jadi jutawan besar dengan cara yang macam itu sangat nipis berbanding jika anda libatkan diri dan sangat minat dengan industri atau bisnes yang anda lakukan itu.

#6. Suka bimbing dan yakin dengan kemampuan orang lain

Ini satu lagi karakter orang yang berjaya naik jadi multi jutawan. Mereka sangat cenderung untuk bimbing dan berikan kepercayaan pada orang yang mereka ambil.

Orang bawah hormat dan dalam masa yang sama amat suka pada mereka dengan sikap yang suka bimbing dan taruh kepercayaan yang tinggi terhadap kemampuan orang lain.

Dalam pada itu, mereka juga ada satu kelebihan untuk mengenal pasti bakat orang lain. Mereka sangat cekap memilih orang yang sesuai untuk bersama dengan mereka.

Kriteria ini perlu ada pada semua orang yang nak pergi jauh. Bukan mudah nak kayuh perjalanan yang jauh kalau tak ada satu team yang kuat dan saling hormat dan rasa selamat antara satu dengan yang lain.

Nak jadi jutawan?

Anda bagaimana?

Ada impian nak jadi jutawan tak?

Kalau malu-malu nak bagi tau, itu tandanya, masih tidak ada keinginan yang sangat kuat untuk jadi jutawan. Insyaallah tak akan jadi jutawan kalau macam tu.

Kalau sekadar nak lah juga …

Pun tak akan ke mana.

Kalau sangat pasti, anda memang tak mahu jadi jutawan. Sebab jutawan tu jahat, sebab takut jadi jahat jika jadi jutawan nanti. Lagilah confirm anda memang tak akan jadi jutawan. Bukan senang nak jadi apa yang anda tak suka jadi.

Atau lebih suka sederhana ala kadar setakat mencukupi sahaja. Inipun tak akan membawa anda ke mana-mana sebab kalau itu yang anda mahukan, anda memang dah dapatpun sekarang. Jadi tak payah nak teruk-teruk berusaha pada benda yang anda dah dapat.

Tapi kalau anda punya impian, satu impian yang besar. Pastikan anda benar-benar mahu. Cari jalan macam mana nak jadikan anda benar-benar mahukan impian itu dan bila dah jadi, jalannya akan tersusun dengan sendiri. Insyaallah ! 

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, 6 perkara yang ada pada diri orang yang berakhir dengan jadi jutawan

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !