Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Saturday, July 30, 2022

Macam mana nak jauhi masalah demensia bila dah tua nanti?

  Mohd Shubhi       Saturday, July 30, 2022


Perkataan 'demensia' atau ejaan dalam Bahasa Inggeris 'Dementia' mungkin baru bagi anda. Tapi jika sebut perkataan 'nyanyuk' pasti ramai yang tahu.

Dalam bahasa kita, 'nyanyuk' sering diguna pakai buat orang tua yang tak lagi mampu uruskan diri sendiri. Bukan sebab cacat atau masalah anggota. Tapi lebih kepada keupayaan menggunakan akal.

Nyanyuk juga dilabelkan pada orang yang dah tak berapa betul lagi kewarasannya. 

Perkataan dementia sering disamakan dengan satu lagi perkataan yang lebih popular. Alzheimer. 

Sebelum ini saya anggap dementia tu masalah keupayaan berfikir yang lebih ringan. Dan Alzheimer pula, jika masalah itu jadi kritikal sampai ke tahap tak betul.

Apa yang saya faham sebelum ini salah rupanya. Bila nak tulis artikel ni, saya terpaksa buat carian maklumat untuk faham. Dan sekarang barulah saya tahu sedikit apa bezanya.

Secara mudah, dementia adalah nama umum. Manakala alzheirmer adalah lebih spesific dan ia sebahagian dari masalah dementia. Jika nak cuba faham, sila rujuk salah satu dari artikel yang saya baca kat sini.

Dalam pautan tadi, anda boleh baca tanda-tanda berlakunya dementia pada seseorang. Saya berhadapan sendiri dengan masalah dementia ini pada orang tua yang dah masuk 87 tahun umurnya.

Secara ringkas, saya boleh lihat dia bukan lagi insan yang saya kenal dahulu. Bukan dari segi fizikal. Tapi dari segi mental. Dia boleh ingat semua cerita lama secara terperinci dengan cemerlang.

Tapi semua perkara baru berlaku, dia tak ingat lansung.

Keupayaannya untuk berfikir dan membuat keputusan merosot dengan teruk sekali.

Bagi anak-anak yang jaga orang tua yang alami masalah dementia, ia merupakan satu cabaran yang amat besar. Dan tugasan itu jatuh pada satu-satunya adik perempuan saya.

Saya pernah cuba bawa emak balik ke rumah untuk dijaga. Tapi sehari sahaja dia dah mengamuk nak balik. Dia lebih selesa duduk dengan adik. Dan saya dapat faham betapa adik tertekan terpaksa berhadapan dengan semua cabaran jaga insan dementia sejak 10 tahun yang lalu.

Ada saudara lain yang lansung tak ambil tahu. Ada yang sekali sekala ambil tahu dan saya masuk golongan yang sokong adik dari segi moral dan material. Itu yang terbaik saya mampu lakukan. Dan saya boleh lihat saban hari kesabaran adik makin nipis.

Neraka bagi yang jaga orang tua

Apa yang berlaku sejak mula hadapi semua masalah itu membuatkan saya terfikir kelebihan saudara lain yang lansung tak ambil peduli. Termasuk saya juga yang hanya support dari segi moral dan material saja.

Keadaannya begini ..

Sebagai insan biasa, sepanjang adik menjaga dan cuba penuhi segala keperluan orang tua, dah tentu sekali sekala, berlaku keterlanjuran. Dia bukan wali. Merungut, merajuk, naikkan sedikit suara, akan pasti berlaku.

Apatah lagi, orang tua itu bukan saja ada masalah dementia, dia juga tak berapa jelas pendengarannya.

Ada kala cakap perlahan dia dengar. Ada masanya dia tak dengar. Bila terpaksa ulang cakap dengan lebih kuat, tiba-tiba dia merajuk dan marah kerana disangka anaknya menengking.

Bila jadi begitu, habis sumpah serapah keluar dari mulut, anak derhaka, biadap, kurang ajar dan lain-lain lagi. Tertekan teruk adik saya dibuatnya.

Begitulah saban waktu siang dan malam berlaku. Orang tua buat hal tak ikut waktu sebab dia dah tak berapa jelas antara siang dan malam. Setiap hari berlaku dia mengamuk dari pukul 1 hingga 4 pagi sebab marah tak ada siapa yang sahut panggilannya.

Jika orang yang hanya datang ziarah setahun sekali, melihat keadaan itu. Terutamanya terserempak dengan situasi adik tertekan dan hilang kesabaran sedikit, sudah pasti adik akan dikecam dengan dosa besar berkelakuan sedemikian.

Maknanya, selama 10 tahun adik terpaksa menjaga ibu sebaik mungkin, sudah bekali-kali dia mengumpulkan dosa-dosa besar yang banyak tak terkira.

Berbanding dengan saudara lain yang tak membela dan tak ambil tahu pasal orang tuanya, mereka selamat dari segala dosa tersebut. Malah dianggap soleh, beriman dan dijamin syurga. 

Kerana bagi yang datang 3 bulan sekali itu, ketika dia bersama ibunya, dia layan secara 1st Class.

Begitu juga bila yang lansung tak datang jenguk, hanya telefon sekali sekala saja, akan bersembang dan layan orang tua secara 1st class juga.

Pujian melangit akan diberikan oleh orang tua kepada mereka semua. Syurgalah ganjaran mereka kerana berjaya bersabar dengan kerenah ibu yang tidak melontarkan kerenahnya ketika mereka ziarah sekali sekala atau ketika menelefon.

Ringkasnya, anak yang berkorban, masa, kesihatan, kelapangan dan kesejahteraan rumah tangganya, berbelas tahun bakal ke neraka.

Manakala anak-anak yang tak ambil tanggung jawab turut sama memikul bebanan adik terlepas dari semua dosa hilang sabar dan terlanjut tersebut.

Apa yang saya terangkan di atas adalah sekadar renungan. Ia berdasarkan pengalaman. Solusi untuk selamatkan adik dah dirangka seperti yang dah kami buat sebelum ini.

Orang tua akan dibawa balik ke rumah kampung untuk satu tempoh sepanjang mungkin dan insyaallah saya akan tinggalkan semua kesibukan cari makan untuk balik menjaganya. Bergilir dengan abang-abang mana yang sudi sertai program jaga ibu di kampung tu.

Punca dementia

Jika anda rujuk di pautan kat sini, ada dinyatakan punca berlaku dementia setakat pemerhatian dan kajian para pakar perubatan sekarang.

Faktor umur dah tentu ada kaitan sekalipun dementia bukanlah proses normal penuaan.

Satu dari faktor yang menarik saya lihat dinyatakan di situ berkenaan kurang pendidikan. Memang itu ada pada orang tua saya yang tak sekolah tinggi.

Kemudian di senaraikan juga bab tekanan yang tidak duuruskan serta masalah kesunyian. Itu memang sah ada pada orang tua di kampung sejak bapak meninggal di tahun 1982 lagi.

Anak-anak keluar tinggalkan rumah kampung seorang demi seorang dah akhirnya tinggal dia seorang diri di rumah kampung tu. Tahap kesunyiannya memang sangat tinggi. Nasib baik ada ramai kawan-kawan di kampung.

Ada anak-anak yang kerap balik jenguk dia di kampung. Tapi ada yang rayapun tak balik. Sibuk konon. Semua itu berikan tekanan dan dah tentu sedihkan seorang ibu yang sentiasa mengharapkan kepulangan anak-anaknya.

Bagi anda yang duduk dekat dengan orang tua. Pastikan jenguk dan sembang dengan mereka setiap hari kalau tak dapat duduk sebumbung pun. Kalau duduk sekali adalah jauh lebih baik ketika orang tua masih waras sempurna.

Untuk elakkan dementia juga disenaraikan di artikel pada pautan di atas tu. Disarankan untuk jalani kehidupan sihat. Makan dan minum, senaman, jangan banyak duduk, jangan merokok, jangan minum arak dan jaga tekanan darah.

Itu saya rasa agak musykil sebab, tidak ada semua itu pada orang tua saya. Dia tak ada masalah darah tinggi, tak banyak duduk, malah bergerak jauh melebihi orang lain dengan sikapnya yang suka jalan kaki ke mana saja.

Bab makan pula dia bukan jenis makan macam orang sekarang. makan kedaipun dia tak suka. Lebih selesa makan masakan sendiri dan tak sentuh segala makanan segerapun.

Maksudnya, jika anda amalkan segala saranan gaya hidup yang saya sebut di atas, masih tetap akan gagal seandainya hidup tertekan, kesunyian dan kurang menggerakkan daya pemikiran.

Itu yang saya dapat rumuskan. Malah saya percaya amalan menggerakkan otak untuk berfikir, tambah pengetahuan, perah akal untuk cuba memahami perkara berat dan mendalam adalah sangat penting jika mahu elakkan masalah dementia.

Jika anda biarkan semua kerja berfikir itu pada orang lain. Terima segala panduan, idea orang yang dianggap pakar dalam bidangnya tanpa sedikitpun ada sikap kritis, maka akal makin lama makin lemah. Mampu membawa kepada masalah dementia bila tua nanti.

Cuba berusaha untuk menjadi seorang yang kritis dalam segala hal. Malah anda perlu persoalkan cara anda berfkir dan cara anda merasionalkan semua keputusan. 

Anda juga perlu kritis terhadap kepercayaan anda sendiri dan berhujah mencari alasannya terutama alasan logik yang lebih meyakinkan. Dengar dan taat tanpa sedikitpun membuat analisa tidak akan membantu.

Dengar dan taat membabi buta tanpa sedikitpun membuat pencarian dan perbandingan juga tdak membantu cergaskan minda. Jangan elakkan diri dari membaca dan memahami pendapat orang lain yang berbeza dari aliran anda sendiri.

Hanya dengan terbuka mendengar pendapat yang berbeza akan membantu anda belajar memahami perkara baru. Dan akan bantu kembangkan kecergasan pemikiran anda.

Itu pandangan saya .. harap membuka sedikit minda.

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Macam mana nak jauhi masalah demensia bila dah tua nanti?

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !