Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Tuesday, August 9, 2022

Berapa banyak syarikat perniagaan di negara kita yang wujud sejak lebih dari 100 tahun lalu?

  Mohd Shubhi       Tuesday, August 9, 2022

Apa syarikat yang paling lama wujud di negara kita yang sampai sekarang masih ada lagi?

Jawapannya, POS Malaysia.

Mungkin anda terkejut kalau saya beritahu, syarikat POS Malaysia tu dah wujud sejak tahun 1800. Dah lebih 222 tahun!

Lama gila tu!.

Saya kongsikan maklumat syarikat tua yang ada di asia melalui gambar di bawah ni.


Sekarang kita cerita pasal Pekan Penanti pulak ..

Orang Permatang Pauh, tentu kenal dan pernah sampai ke Pekan Penanti. Itu kampung saya.

Dari pengamatan saya, di pekan itu, ada 3 syarikat perniagaan yang sangat lama bertahan, masih wujud sampai sekarang. Itu berdasarkan syarikat dan perniagaannya sekali.

Jika di ambil kira jenis perniagaan saja, mungkin ada lebih dari 3. Contohnya macam bisnes jual laksa. Kedai asal dah dan pengasasnya dah meninggal. Anak-anak berpecah buka 2 kedai. Maksudnya perniagaan laksa, legasi dari ayah mereka masih wujud. Cuma sudah jadi syarikat yang lain sahaja.

Saya nak cerita pasal syarikat dan perniagaan kat sini. Bukan mudah nak cari sebuah syarikat perniagaan yang dapat bertahan lama wujud dari zaman tok nenek dulu sampai ke cucu cicitnya.

Salah satu darinya adalah syarikat perniagaan basikal di kampung saya.

Satu lagi adalah syarikat motosikal yang buat servis, baiki dan jual motor. Syarikat tu dah ada sejak saya kecil lagi dan masih bertahan sampai sekarang.

Syarikat perniagaan yang ke-3 yang bertahan lama dan masih kekal sampai sekarang adalah kedai makan di tengah pekan Penanti tu. Menu kegemarannya adalah mee kuah atau mee goreng. Makanan kegemaran saya sejak di bangku sekolah.

Semua kedai yang saya sebut di atas merupakan kedai yang diperturunkan dari ayah sampai ke anak.

Syarikat tak tahan lama

Fenomena syarikat tak dapat bertahan lama ni berlaku di seluruh dunia. Dalam sebuah buku bertajuk ‘Scale’ yang saya baca, ada diberikan fakta menarik pasal syarikat yang berniaga di Amerika.

Ada sebanyak 28,853 syarikat yang diniagakan dalam pasaran saham Amerika sejak tahun 1950. Dari keseluruhan syarikat perniagaan itu, bila disemak pada tahun 2009, ada sebanyak 22,469 syarikat telah mati.

Ia mewakili 78% dari keseluruhan syarikat.

Dari 78% itu, sebanyak 45% telah dimakan (dibeli) oleh syarikat lain atau berlaku gabungan dengan syarikat lain. 9% jatuh bankrup. 3% keluar dari pasaran saham dan selebihnya ada yang hilang terus tak ketahuan.

Semua syarikat itu merupakan syarikat perniagaan yang besar. Ertinya, samada syarikat anda besar atau kecil, kemungkinan untuk padam adalah sama saja.

Satu lagi maklumat menarik dari buku yang saya sebut di atas tadi. Dalam keseluruhan syarikat yang masuk dalam kategori Fortune 500 pada tahun 1955, hanya tinggal 61 syarikat saja yang masih kekal pada tahun 2014. 

Menunjukkan hanya 12% saja masih bertahan. Yang lainnya samada di makan oleh syarikat lain, terkeluar dari senarai atau jatuh bankrup.

Saya kongsikan syarikat paling lama di dunia melalui carta di bawah ..

Syarikat bertahan ratusan tahun

Dari kajian, untuk sesebuah syarikat perniagaan kekal lebih dari 100 tahun kemungkinannya hanyalah 45 dari 1 juta syarikat sahaja.

Untuk sesebuah syarikat bertahan sampai lebih dari 200 tahun pula hanya 1 dalam 1 billion syarikat! 

Betapa sukarnya untuk syarikat bertahan tak mati!

Tapi yang menarik, ada juga syarikat yang mampu bertahan ratusan tahun.

Kebanyakkannya ada di Eropah dan di Jepun. Dan lebih menarik lagi, kesemua syarikat itu bukanlah syarikat gergasi yang besar-besar.

Mereka berada dalam industri yang sangat niche (ceruk), pakar dalam bidang masing-masing seperti syarikat wine, gula-gula, restoran dan seumpamanya.

Kesemua syarikat yang bertahan ratusan tahun itu tak ikutpun falsafah mempelbagaikan perniagaan (diversify) dan seumpamanya.

Mereka kekal berikan tumpuan yang serius dalam menghasilkan produk yang sangat berkualiti tinggi, khas untuk pelanggan sasaran mereka yang sangat niche.

Syarikat perniagaan Jepun

Banyak syarikat Jepun yang dapat bertahan ratusan tahun. Mereka kekal dengan konsep perniagaan yang sama sejak awal. 

Mereka kekalkan reputasi dan amat konsisten dengan kualiti dan perkhidmatan yang diberikan.

Dari maklumat Bank of Korea pada tahun 2008, ada sebanyak 5,586 syarikat yang berumur lebih dari 200 tahun.

Dari keseluruhan itu, 3,146 syarikat adalah dari Jepun, 837 dari Jerman, 222 dari Belanda dan 196 dari Perancis.

Lebih 90% dari keseluruhan syarikat itu tak besar pun. Jumlah pekerja mereka tak lebih dari 300 orang.

Contoh syarikat bertahan lama

Ada satu syarikat yang sangat tua di Jerman. Nama syarikat itu ialah Eduard Meier.

Ia ditubuhkan di Munich pada tahun 1596.

Sampai sekarang dia masih kekal dengan satu kedainya saja dan tak gila buka cawangan merata-rata macam yang digemari oleh kebanyakan usahawan sekarang!.

Ada satu lagi hotel yang masuk buku Guinness World Record sebagai hotel paling lama wujud di dunia. Nama hotel itu, Nishiyama Onsen Keiunkan. Terletak di Hayakawa, Jepun.

Hotel ajaib yang sangat tua itu ditubuhkan pada tahun 705.

Sampai sekarang masih dimiliki oleh keluarga yang sama selama 52 generasi!.

Dalam keadaan zaman moden nipun hotel tua itu masih kekalkan dengan hanya 37 buah bilik sahaja. Tarikan utama hotel itu adalah mata air panas.

Syarikat perniagaan yang paling lama diketahui adalah Syarikat Kongo Gumi. Ia ditubuhkan pada tahun 578. Kekal dibawah generasi keluarga sama.

Tapi syarikat itu dibubarkan pada tahun 2006 setelah hampir 1,500 tahun menjalankan perniagaan! Kemudiannya dibeli oleh Takamatsu Corporation.

Perniagaan yang dibuat oleh Kongo Gumi adalah khidmat membina Kuil Buddha berkualiti sangat luar biasa. Disebabkan perubahan budaya Jepun selepas perang dunia ke-2, syarikat itu tidak lagi dapat sesuaikan perniagaan yang diceburinya.

Pilih syarikat bertahan lama atau besar

Dari semua maklumat yang saya kongsikan di atas, agaknya mana satu pilihan anda?

Mana satu yang perlu anda sasarkan?

Adakah syarikat yang membesar dan membesar sampai jadi raksaksa dan akhirnya runtuh. Atau anda lebih suka mengusahakan syarikat yang sederhana tetapi dapat bertahan sampai ke anak cucu dan cicit generasi demi generasi?

Semua maklumat itu, setelah saya baca dan cuba hadam, membuatkan saya terfikirkan semula hala tuju syarikat perniagaan yang sedang saya buat sekarang.

Selama ini, saya juga terbeli dengan konsep diversify, buat banyak syarikat, bina sampai jadi besar, pasarkan di bursa saham dan begitulah seterusnya menjadi sebuah syarikat gergasi yang hebat dan menjana berbillion-billion ringgit!.

Tak terfikir pula ada satu lagi pilihan yang berbeza dari apa yang semua orang kejar.

Cuba fikirkan bagaimana nak bina sebuah syarikat yang mampu bertahan sangat lama dengan mengadakan produk yang sangat berkualiti dan konsisten luar biasa.

Namun begitu, itu bukanlah satu urusan yang mudah untuk dilaksanakan. Syarikat yang sedemikian adalah spesis pelik yang jarang-jarang berlaku.

Namun begitu tentu ada sesuatu yang dapat kita belajar dari semua maklumat tersebut di atas.

Saya harap anda boleh cuba perhatikan di tempat anda tinggal sekarang. Ada tak mana-mana syarikat perniagaan yang dapat bertahan lama dari dulu sampai sekarang.

Kalau ada jumpa, beritahu berapa lama sudah mereka bisnes dan mereka buat bisnes apa.

Boleh kongsikan kat ruang komen di bawah ni untuk maklumat saya dan semua pembaca yang berminat. Terima kasih saya dahulukan ! 

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Berapa banyak syarikat perniagaan di negara kita yang wujud sejak lebih dari 100 tahun lalu?

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !