Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Thursday, August 4, 2022

Kaji selidik Jabatan Perangkaan dapati majoriti lepasan SPM tak mahu sambung belajar - OK ke?

  Mohd Shubhi       Thursday, August 4, 2022


Ini sesuatu yang menarik!

72.1% dari pelajar lepasan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) yang ditemuramah dalam satu kajian oleh Jabatan Perangkaan tidak mahu sambung pelajaran.

Data adalah dari tahun 2019. Namun begitu, kecenderungan itu dikatakan berterusan hingga ke tahun 2020 dan 2021. Agaknya, tentu teruskan lagi sampai ke tahun 2022 juga.

Saya ambil laporan ni dari portal online Utusan Malaysia.

Kalau anda taip pelajar tak mahu sambung belajar di google, ada banyak artikel memperkatakan isu yang sama.

Baca portal Ismaweb, mereka kata keadaan itu membimbangkan. Kerajaan digesa lakukan sesuatu. Kerana jika dibiarkan akan beri kesan terhadap pembangunan negara.

Bekas Menteri Pelajaran, Maszlee Malik minta Perdana Menteri ambil perhatian serius. Dia berpendapat itu adalah fenomena yang bakal membuatkan negara menjadi parah.

Kerja lebih baik dari sambung pelajaran

Mana satu yang lebih baik?

Pertamanya sambung pelajaran. Saya anggap maksud kaji selidik tersebut adalah para lepasan SPM tak mahu buang masa masuk universiti atau kolej atau mana-mana institusi pendidikan lagi.

Ia tidak bermakna yang para pelajar tidak mahu sambung belajar. 

Saya yakin yang mereka masih mahu belajar, tambah ilmu. Cuma bukan dengan habiskan masa, habiskan duit masuk ke pusat pengajian tinggi samada kerajaan atau swasta.

Pilihan kedua yang ada bagi pelajar lepasan SPM adalah masuk ke dunia pekerjaan. Cari duit dan dalam masa yang sama gali ilmu kehidupan.

Bukankah masuk kerja, tak kisah apa kerja sekalipun merupakan salah satu dari cara menambah ilmu.

Saya cenderung pilihan kedua. Lebih baik masuk kerja dari sambung pelajaran masuk pusat pengajian tinggi. Tapi bukan dalam semua keadaan tak perlu sambung pelajaran.

Pendidikan satu perniagaan

Anak saya sendiri yang lepas SPM, buat permohonan sambung belajar. Merata tempat dia mohon. Universiti, Politeknik dan sebagainya.

Kebanyakan tawaran yang dia dapat adalah kos-kos geli geleman seperti Business Study, Pengurusan bla-bla dan lain-lain.

Itu yang saya halang. Tak bagi masuk.

Tak perlu terima tawaran sambung belajar untuk kursus-kursus demikian yang akhirnya samada tak ada kerja bila grad nanti, atau kalau ada sekadar masuk jadi kerani syarikat.

Saya bertegas kalau nak ambil kursus begitu, masuk kerja sekarang juga pergi jadi kerani di mana saja syarikat kecil. Kerja dengan tekun di situ. Belajar dan bina network. Baca buku dan kuasai kerja sampai cekap.

Masuk 3 tahun, dia akan jadi jauh lebih handal, lebih cekap, lebih pandai dari kawannya yang habiskan masa 3 tahun masuk pusat pengajian tinggi ambil kursus Business Study.

Sebab, apa yang budak diploma tu belajar, tak guna pun bila minta kerja dan bila masuk kerja. Kursus seperti Business Study begitu memang bagi saya membuang masa dan tidak dapat bantu majukan sebuah negara pun.

Kursus macam tu sekadar salah satu cara industri Pendidikan jana pendapatan, dapatkan pelajar masuk habiskan masa dan ibubapa bayar semua kos itu. Lebih ke arah nak buat duit. Lebih berorientasikan perniagaan.

Cuba kira jumlah universiti di negara kita. Campur pula dengan kesemua pusat pengajian swasta yang tumbuh gila-gila macam cendawan lepas hujan. Itu semua adalah perniagaan.

Sama juga seperti pusat pengajian agama swasta, pusat tahfiz dan lain-lain seumpamanya. Ia merupakan perniagaan. Pengasasnya kaya raya macam nak rak.

Kat kampung saya sendiri boleh pergi tengok. Kalau nak kaya, buka pusat pengajian ajar ilmu agama kepada orang tua pencen nak tunggu mati. Kalau kena dengan selera, berpusu-pusu akan datang setia menuntut ilmu pencen.

Tok Guru yang mengajar akan mula membina empayarnya. Dibeli tanah seekar demi seekar. Di bina bangunan, sekolah, hotel, penginapan dan macam-macam lagi. Atas niat menggunakan dana sumbangan orang ramai untuk jalan dakwah.

Bagi yang akal tak ligat, dia akan beli tanah luaskan empayarnya sahaja. Jadi hartanah ulung di kampung.

Bagi yang akal ligat sikit dia akan buat bisnes lebih ranciak. Kemuncaknya adalah melahirkan anak-anak tahfiz hafal 30 juzuk dan diharap akan jadi imam di seluruh negara. Itu sajalah yang boleh dilakukan oleh anak-anak tu. Kalau bernasib baik, suara sedap merdu, tak pandai ilmu fekah pun akan dinobatkan jadi Imam masjid. Merdu lebih utama dari kebijaksanaan akal.

Semua itu adalah perniagaan.

Kerajaan lepas tangan tak mahu kawal semua itu sebab takut jadi tak popular. Lalu dibiarkan semua berjalan ikut pasaran. Pasaran ditentukan oleh perasaan. Dan perasaan rakyat Malaysia, terutamanya orang Melayu adalah sangat tidak kritis. Rosaklah negara jika dibiarkan berterusan begitu.

Tengok silibus pelajaran anak-anak kita di sekolah kebangsaan. Masa yang diperuntukkan bagi pelajaran yang berkaitan dengan agama Islam jauh lebih banyak dari subjek sains dan matematik. Sebab apa jadi begitu.

Cuba fikirkan. Untuk membolehkan rakyat mampu membina satu perindustrian bagi memenuhi keperluan rakyat saja, kita ambil industri pakaian buat seluar dalam sahaja sudah lah, ia adalah satu proses pembelajaran yang sangat besar. Dari segi ilmu mahupun dari segi penyediaan infrastruktur untuk industri tersebut.

Perlu ada kefahaman matematik, sains, industri teknologi dan sebagainya. Perlu ada lab, ada usaha R&D, perlu ada kaji selidik, perlu ada kajian bahan, kajian kimia, kajian mekanikal, kajian pembuatan, dan seribu satu macam lagi usaha tersusun penuh sistematik dalam segenap lapangan.

Fikirkan pula usaha pendidikan agama. Paling banyak ia meliputi pemikiran, hukum hakam, perbincangan, pengamatan. Itupun semua boleh dibuat sambil menjalani kehidupan sahaja. Perlukan sebuah dewan perbincangan sahaja. Perlukan himpunan kitab yang menghuraikan usul fikh sahaja. Selain dari perlukan kumpulan ilmuan yang kerjanya hanya menghafal semua kitab dan huraian serta pendapat ulama terdahulu. Jauh lebih mudah dari usaha untuk membina industri buat seluar dalam.

Bayangkan jika ambil kira semua keperluan hidup manusia. Makanan, pengangkutan, perlindungan, kesihatan, pakaian, pertahanan, pembangunan, tenaga, komunikasi dan seribu satu macam lagi. Keperluan itulah yang jauuuuuh lebih besar dari pembangunan ilmu teologi dan amalan keagamaan. 

Jadi kenapa bab agama lebih banyak daripada bab mempermudahkan kehidupan manusia sebagai khalifah menguruskan kehidupannya di muka bumi tu, di sekolah kebangsaan?

Sebab kerajaan biarkan emosi rakyat kuasai permintaan, maka macam itulah jadinya sistem pendidikan. Tidak rasional. Tidak kritis.

Berbalik kepada bab berniaga ikut pasaran.

Eh! salah ke jadi kaya berniaga?

Memang tak salah. Teruskan saja dah ada permintaan.

Tapi bercakap bab sambung pelajaran yang dah makin nipis berdasarkan kajian itu, ternyata ia satu perkara yang baik. Tak payah nak sekat kesedaran manusia sekarang yang sudah penat hidup hanya sebagai alat mengkayakan golongan elite dan juga penguasa.

Kerajaan jadi alat golongan elit antarabangsa untuk jadikan negara sebagai sumber pengeluaran hamba-hamba syarikat multinational kecil dan besar. Pusat pengeluaran hamba pekerja tersebut adalah pusat-pusat pengajian tinggi yang ada.

Itu jika dilihat dari kaca mata lawan arus terhadap apa yang berlaku di dunia moden sekarang ini. Manusia di hasut jadi pengguna yang hilang akal. Beli segala benda yang tidak diperlukan sangat untuk hidup.

Buat rumah besar yang melebihi ruang lebih dari keperluan. Akhirnya terpaksa habiskan masa kerja untuk bayar balik kos sara hidup yang besar. Lalu rumah besar jarang duduk dan keluarga ramai jarang berjumpa. Hanya jadi hamba majikan dan hamba pekerjaan sahaja.

Ramai berpelajaran tinggi tak perlu

Berbalik kepada keperluan negara menghasilkan rakyat yang berpelajaran tinggi.

Persoalannya adakah perlu ramai yang pandai dan perlukah majoriti rakyat masuk universiti?

Jawapannya tidak semestinya. Negara Jerman tak ramaipun sambung masuk universiti. Hanya 31.3% sahaja. Tapi maju juga.

Dalam buku tulisan Ha Joon Chang, seorang ahli ekonomi yang tulis banyak buku menarik, dia ada berikan data hubung kait antara level pendidikan dengan kemajuan sesebuah negara.

Data yang dia tunjukkan nampak jelas semakin tinggi pendidikan semakin maju sesebuah negara adalah tidak benar. Tapi memang lah jika anda lihat negara-negara maju sekarang tahap pendidikan rakyat mereka tinggi. Tapi bukan sebab itu depa maju. 

Sebaliknya yang berlaku. Negara maju, maka tahap pendidikan tinggi. Bukan sebaliknya. Banyak perkara lain lebih penting untuk majukan sesebuah negara. Bukan sekadar habiskan masa majoriti rakyat dari remaja sampai dewasa duduk bangku sekolah. 

Negara Taiwan juga satu fenomena yang menunjukkan bahawa pendidikan rendah tak berapa kritikal sangat untuk majukan negara dari segi ekonomi. Masa Taiwan jadi negara luar biasa dari segi industri, separuh dari rakyatnya buta huruf. Ok saja, sekalipun ramai yang buta huruf!.

Banyak maklumat menarik boleh didapati dalam buku yang tertera pada gambar di atas sekali tu. Pergi la cari dan baca. Berbaloi untuk faham dan menilai apa yang kerajaan buat kat atas tu.

Untuk pendekkan celoteh ini, elok saya tamatkan di sini saja.

Pesanan akhirnya adalah, pastikan semua menteri yang ada, berpelajaran tinggi dan bijak dari segi daya pemikiran mereka. Pastikan juga orang sekeliling para menteri adalah mereka yang jauh lebih bijak dalam kepakaran dan bidang masing-masing.

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Kaji selidik Jabatan Perangkaan dapati majoriti lepasan SPM tak mahu sambung belajar - OK ke?

Previous
« Prev Post

2 comments:

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !