Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Saturday, September 17, 2022

Siapa yang mulakan budaya sambutan hari lahir?

  Mohd Shubhi       Saturday, September 17, 2022


Sejak bila anda mula sambut hari lahir?

Mungkin ada yang sama macam saya tak ambil kisah lansung pasal hari lahir sejak dilahirkan di kampung belah utara sana. Mak bapak juga tak ambil kisah. Malah kami satu keluarga tak pernah ambil kisah.

Sepanjang sekolah rendah, dari darjah 1 sampai darjah 6, sekalipun hari lahir saya tidak disambut. Berlalu begitu saja.

Naik ke tingkatan 1, sampailah ke tingkatan 5, begitu juga. Tiada sebarang sambutan. Habis belajar di sekolah, lanjutkan pengajian ke luar negara, tiada sambutan juga. 

Balik Malaysia, masuk dunia pekerjaan sampailah mendirikan rumah tangga, tiada sebarang sambutan. Tak ada sebarang ucapan pernah saya terima ketika hari lahir.

Itu perkara biasa bagi saya. Tak sedih pun. Malah saya sendiri ada kalanya tak ingat datangnya hari lahir.

Ukuran umur saja yang penting. Itupun dikira ikut tahun. Sama macam sekolah dulu. Umur meningkat ikut tahun masuk sekolah sahaja.

Hanya ada sekali saja tarikh lahir jadi penting. Ketika darjah 6, sebab kena buat kad pengenalan. Lepas itu, semua kembali ke asal. Tak ada sesiapa nak ingat, nak ucap atau nak beri hadiah.

Saya membesar dengan persepsi bahawa sambutan hari lahir itu adalah budaya orang barat. Masuk ke dalam amalan orang melayu untuk kalangan mereka yang kayaraya dan terikut dengan amalan orang barat saja.

Mula sambut hari lahir

Hanya selepas kahwin barulah sambutan hari lahir bermula. Tanpa rela saya sebenarnya. Malah kemasukkan hari lahir membuatkan saya rasa benci dan tak selesa.

Tak selesa sebab isteri akan sambut dengan berian hadiah. Makin tak selesa sebab hadiah tu adalah duit saya juga. Bukannya duit yang dia cari hasil dari titik peluhnya. Orang utara kata pek tikam pek.

Bagi orang yang angkut sendiri air, sudah tentu dia sangat terasa setiap titik penggunaan air tu. Orang yang tak angkut air main sedap mandi saja. Membazir ke tidak, dia tak rasa lansung. Macam itulah juga dengan bab cari duit.

Satu lagi sebab tak selesa adalah terpaksa ikut juga amalan isteri barikan hadiah. Kena balas bagi hadiah kepadanya bila datang sambutan hari lahirnya nanti. Kalau tak bagi, boleh masam gila mukanya buat hal. Kononnya tak sayang dan tak hargai dirinya. Perghhhh!

Lebih teruk lagi bila hadiah yang dia nak mesti special. Takat bagi baju kurung, mahu dihempaskannya masuk kelongkang. Punya perangai!. 

Pelik dan tak faham saya dibuatnya. Bukankah suami pergi kerja setiap hari bertahun-tahun sediakan makan minum dan segala keperluan hidup lain itu tandanya sayang dan tanda menghargai keluarga. Bukan sedikit punya kebaikan berusaha tunaikan tanggung jawab cari makan. Itu yang saya tak faham.

Sejak berkahwin sehingga sekarang, datangnya hari lahir merupakan sesuatu yang saya benci dan marah. Tambah lagi bila datangnya hari lahir isteri. 

Siapa yang reka sambutan hari lahir ni?

Sejarah sambutan hari lahir

Disebabkan makin lama makin benci dengan sambutan hari lahir ni maka tergerak untuk mencari asal usul sambutan hari lahir ni.

Macam biasa, maklumat hanya dihujung jari saja. Ada internet, buka saja google dan buat carian. Nah!, bersepah artikel yang dah ditulis oleh mereka yang tergerak bertanya soalan yang sama lebih awal lagi.

Saya baca sekali lalu untuk buat perbandingan dan nampak satu rumusan yang sama dari berbagai portal.

Orang mula, atau bangsa awal yang buat sambutan hari lahir adalah orang Mesir. Ia merupakan amalan para Firaun sebaik saja dia dilantik sebagai Firaun.

Perlantikan seseorang sebagai Firaun bermakna bermulanya dia ditabalkan menjadi 'Tuhan'. Atau lebih selesa lagi jika kita sebut perlantikan menjadi Dewa. Itu adalah hari mula seorang Dewa dilahirkan. Dari situlah bermula sambutan hari lahir.

Tapi bukan sebagai hari lahir seorang manusia, sebaliknya sambutan hari lahir seorang Dewa.

Nah ambik kau!. Firaun yang mulakan budaya sambut hari lahir dirinya menjadi Tuhan!.

Budaya sambutan hari lahir juga menjadi amalan para penyembah berhala sejak lama dahulu lagi. Mereka percaya pada hari kelahiran seseorang, dia terdedah kepada semangat baik dan jahat.

Setiap kali datangnya hari lahir, maka seseorang itu mendekati dunia roh dan segala permintaan yang dia niat atau lafazkan sangat mustajab. Tak hairanlah orang suka buat doa atau permintaan pada mereka yang sambut hari lahir.

Orang Greek juga percaya dengan bab semangat ni. Mereka percaya kelahiran seseorang akan sentiasa didampingi oleh semangat dirinya yang turut sama lahir. Sambutan hari lahir adalah untuk ingatkan diri seseorang akan hubungan rapatnya dengan alam roh.

Orang Greek juga percaya asap mampu membawa permintaan seseorang kepada Tuhan. Sebab itu mereka akan tiup lilin setiap kali sambut hari lahir. Bila api terpadam, akan keluar asap. Ketika itulah permintaan dibuat dan asap akan membawa permintaan itu kepada Tuhan. Itulah ceritanya bab tiup lilin setiap kali sambut hari lahir.

Satu lagi amalan yang biasa dilakukan oleh orang barat adalah buat bising ketika sambutan hari lahir. Tiup wisel, taburkan kertas berwarna dengan letupkan bungkusan dan seumpamanya. Bunyi bising tu dipercayai akan menghalau semangat jahat.

Jadi bila yang tingga hanya semangat baik, maka mudahlah nak buat permintaan dan akan lebih lancar perjalanan ke depan untuk lalui tahun berkutnya.

Macam tu punya kepercayaan yang ada dan kita turut sama sambut hari lahir dengan meriah. Sambutan ber-evolusi menjadi berbagai cara ikut kesesuai amalan dan kepercayaan masing-masing diseluruh dunia.

Orang kita sekarang dah tukar perkataan Happy Birthday kepada perkataan arab. Sanah Helwah diucapkan oleh mereka yang condong ke arah Islamik. Maka terus jadi islamik bila ucap bahasa arab gitu!.

Sambut hari lahir bagi hadiah

Pemberian hadiah sudah jadi amalan kebanyakan orang sekarang. Isteri saya dan anak-anak juga turut sama amalkan budaya itu.

Memang seronok dapat hadiah. Tapi jika setiap tahun kena firkirkan hadiah baik-baik untuk diberikan kepada sanak saudara yang sambut hari lahir, taukeh babi pun boleh lari. Tambah lagi bila ada isteri yang mengada-ngada permintaannya.

Bagi saya bab bagi hadiah ni adalah pengaruh iklan para peniaga nak lariskan produk mereka. Pasaran produk yang disasarkan untuk dijadikan pemberian hadiah amat besar.

Lebih mudah hasut lelaki supaya luahkan rasa sayangnya kepada marka dengan membeli emas dari pujuk wanita beli sendiri emas yang dia dambakan.

Maka jadilah ayat seperti 'tunjukkan sayang anda kepada si dia dengan cincin istimewa boleh tulis nama dan lain-lain lagi ..

Paling malang, orang ramai percaya pada semua iklan tersebut. Kalau tak beri emas, maka kurang sayang ..

Kalau berduit, takpa lah juga. Bagi mereka yang ada sekadar cukup makan buat selesaikan perkara wajib sahaja, tentu ianya jadi satu bebanan. Tambahan pulak pasangan tak mahu amil pot pasal kemampuan. Kesian pada yang tidak mampu tapi paksa diri akibat terpedaya dengan iklan peniaga.

Banyak budaya yang merosakkan masyarakat ditiup oleh para peniaga yang mahu lakukan jualan produk mereka. Dimeriahkan lagi dengan zaman teknologi internet sekarang, iklan masuk dari berbagai arah. Celik saja nampak iklan. Habis manusia kena tipu dengan projek pemasaran yang menjual segala barang tak perlu.

Oklah ! setakat itu saja bab sambutan hari lahir ni.

Apapun, saya tetap benci pada amalan sambutan hari lahir. Dengan menulis artikel ini rasa lega sikit dapat meluahkannya ..

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Siapa yang mulakan budaya sambutan hari lahir?

Previous
« Prev Post

6 comments:

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !