Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Saturday, December 24, 2022

Orang lebih suka pada hiburan. Tak ramai sanggup luang masa beri tumpuan untuk belajar

  Mohd Shubhi       Saturday, December 24, 2022


Satu hakikat yang saya belajar dari aktiviti menulis di blog sejak lebih 14 tahun lalu adalah, orang lebih suka pada maklumat berupa hiburan. Terlalu sedikit yang mahu luang masa, beri tumpuan untuk belajar.

Maknanya, tak ramai yang sanggup luang masa, membaca tulisan berat, artikel panjang, letihkan otak cuba memahami dan mendalami ilmu.

Itu yang saya silap selama ini. 

Internet bukan tempat anda cuba dapatkan trafik tinggi dengan menghidangkan perkara berat. Tak akan ada orang yang popular dengan berbuat demikian.

Apa orang ramai mahu

Secara umum, orang ramai mahu 2 perkara saja. Pertamanya dia nak dapatkan maklumat. Keduanya dia mahukan hiburan. Semua yang popular akan gabungkan kedua-dua kemahuan orang ramai ini dalam setiap persembahan mereka.

Sekadar maklumat untuk berikan isyarat yang dia tahu sahaja. Tahu bukan bermakna faham. Tidak juga membawa maksud dia menguasai perkara yang disebut itu.

Dapat tonjolkan diri sebagai seorang yang bermaklumat juga termasuk dalam satu bentuk hiburan. Paling tidak ia menghiburkan diri anda sendiri sebab tidak ketinggalan dari arus maklumat semasa.

Jika anda sering leka melayari semua portal maklumat, media sosial dan seumpamanya, anda sebenarnya sedang tertipu kononnya sedang meluangkan masa belajar ilmu baru. Hakikatnya, anda sedang berhibur. Itu saja yang pasti. Kalau tak, tentu anda tak akan lekat lama leka sampai berjam di situ.

Ramai yang ambil kesempatan tipudaya ini untuk menarik trafik yang tinggi pada portal maklumat atau media sosial mereka. Hiburan bermaklumat pantas tahap permukaan saja ini ada dalam segenap jurusan.

Ada dalam bentuk maklumat agama. Ada dalam bentuk maklumat teknikal, automotif, teknologi, masakan, gossip, kecantikan, penampilan, fesyen, perniagaan, pemasaran, motivasi dan seribu satu macam jurusan lagi.

Semua yang anda dapat dari perkongsian percuma yang saya sebut di atas adalah sekadar maklumat nipis di peringkat kulit saja. Tiada ilmu mendalam yang anda dapat dari kesemua itu.

Saya berikan contoh kawan, dan influencer yang dia suka ikut.

Saya ada seorang kawan yang banyak habiskan masa mengikuti influencer dari berbagai media sosial. Paling popular ketika ini adalah tiktok. Oleh kerana kawan saya itu kerja sendiri, dia banyak fokus kepada maklumat keusahawanan dan motivasi.

Antara influencer yang dia suka ikut ialah Azri Walter. Pengikut tiktok Azri Walter ini ada lebih dari 400 ribu orang. Jumlah like yang dia dapat dari kesemua posting tiktoknya lebih dari 5.2 juta likes.

Jika anda suka kepada motivasi pedas, brutal, tiada lapik, Azri Walter boleh berikan kepuasan untuk anda. Dia akan berikan berbagai rumusan pendek untuk naikkan semangat anda.

Apa yang anda dapat dari perkongsian sebegitu adalah hiburan dan kepuasan. Paling best, Azri Walter anda anggap sebagai jurucakap anda sendiri di tujukan kepada orang lain yang anda kenal tapi tak sanggup cakap depan-depan sebagai mana Azri Walter sanggup cakap.

Itulah hiburannya. Bila ada benda yang anda sangat terhibur dari kepedasan cakap Azri Walter, akan anda share pula dengan kawan-kawan di wasap grup. 

Tapi semua itu adalah sekadar hiburan saja. Tiada apa-apa ilmu mendalam. Tiada apa-apa ilmu baru dan pemahaman baru yang anda dapat untuk diamalkan atau paling tidak untuk dijadikan panduan dalam membentuk satu modul kursus motivasi perniagaan buat para pekerja atau buat anda sendiri pun.

Tapi itulah yang orang ramai mahu. Satu rumusan pendek, menghiburkan dan dapat memberikan rasa lega yang kononnya anda sudah berjaya menguasai konsep motivasi bagaimana untuk berjaya dalam hidup atau dalam perniagaan.

Saya hanya ambil Azri Walter sebagai contoh. Bukan nak kutuk, malah nak beritahu yang Azri Walter ni pandai dan tahu apa orang ramai mahu dengar. Begitu juga dengan ramai influencer lain.

Menguasai ilmu kerja berat

Jika anda seorang usahawan, anda sendiri tahu betapa sukarnya untuk buka dan cuba kekalkan sesebuah perniagaan.

Motivasi kulit, cabaran, atau herdikan pedas tidak banyak membantu.

Anda perlu banyak habiskan masa mencari, mendalami, mengamalkan, membaca respon, melihat hasil, buat perubahan, cari lagi jawapan, ubah dan buat lagi dan lagi. 

Semua itu kerja berat. Membosankan dan meletihkan. Ia ambil masa yang panjang. Perlu kekal istiqamah dalam masa yang lama sebelum anda mampu menempa kejayaan.

Begitu juga dalam semua lapangan kerjaya. Cikgu atau pensyarah umpamanya, tiada penguasaan ilmu akan berlaku jika anda sekadar ceduk maklumat dari media sosial pendek.

Untuk mendalami ilmu, anda perlu membaca. Bukan satu dua buku. Perlu lebih dari itu. Untuk kefahaman teknikal pula, anda perlu buat amali. Baca saja tidak memadai. 

Begitu juga dalam ilmu keagamaan. Perlu kajian, banyak mentelaah kitab, mengambil kira semua pendapat dari berbagai sudut dan aliran. Membuat perbandingan, mengorek dalil dan segala nas yang ada.

Untuk lebih faham lagi, anda terpaksa fokus hanya kepada satu jurusan sahaja terlebih dahulu. Bukan sekadar kutip pendapat yang tercatit dalam berbagai kitad petikan dari ulama itu dan ini. 

Anda perlu sanggup berusaha sehingga ketahap mendapatkan rujukan dari sumber primer. Samada naskah manuskrip asal atau kalau tak ada pergi ke lapangan mencari sumber geologi atau artifak dan seumpamanya.

Buat semua itu, baru boleh anda dianggap sedang mendalami ilmu atau satu-satu pengetahuan.

Sekadar nonton tiktok, anda tak akan mampu kuasai apa-apa ilmu. Sekadar berhibur saja boleh lah.

Siapa yang sanggup buat semua itu?

Berapa kerat manusia yang gunakan masa hidupnya untuk lakukan semua itu?

Anda sendiri tahu, terlalu sedikit.

Kenapa anda tak ramai follower

Jawapan mudahnya adalah disebabkan anda tak dapat berikan hiburan kepada orang yang masuk ke medsos anda. Itu saja jawapannya.

Anda mungkin rasa dengan buat penulisan berat, penuh rujukan, panjang berjela untuk buat kupasan selengkap mungkin, maka orang tentu akan haragi usaha itu.

Tapi minta ampun, minta maaf. Orang yang sanggup habiskan masa tanpa hiburan adalah jauh terlalu kecil berbanding orang yang hanya bersedia untuk dihiburkan.

Sebab itu medsos anda tak ramai followers.

Jika anda seorang perempuan, body cantik, muka lawa, rakam seminggu satu aksi goyang punggong saja. Kekal istiqamah, begitu. Sekejap saja fllower anda akan naik ke tahap puluhan ribu di tiktok. Tak caya cubalah buat ..

Boleh kah diubah fenomena sukakan hiburan tersebut?

Berdasarkan apa yang saya faham dari Al-Quran, memang tak boleh. Manusia memang suka kepada hiburan. Dan tidaklah ada pada dunia ini selain dari hiburan. 

Hanya orang yang betul-betul percaya kepada Tuhan, yakin pada hari pengadilan, mahu kehidupan yang selamat di dunia dan akhirat saja yang akan terlepas dari tipudaya dunia ini.

Jadi rumusannya, jika anda mahu fokus kepada akhirat, tak perlulah harap jadi popular. Anda perlu fokus kepada kualiti berbanding kuantiti.

Yang pastinya, perkara yang menjurus kepada kualiti sangat menyakitkan. Perlu kerja berat. Perlu tumpuan dalam masa yang panjang. Hanya segelintir saja yang sanggup.

Segala usaha anda ke arah kualiti hidup dengan fokus kepada kebenaran tidak akan mendapat sambutan majoriti. Orang tak mau benda serius begitu. Orang mahu berhibur. Hiburan pendek supaya mereka boleh beralih arah kepada hiburan pendek berikutnya ..

Itulah hakikat sebenar dunia.

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Orang lebih suka pada hiburan. Tak ramai sanggup luang masa beri tumpuan untuk belajar

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !