Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Friday, January 13, 2023

Pengalaman merasai penangan cikgu garang ketika zaman sekolah dahulu

  Mohd Shubhi       Friday, January 13, 2023


Tadi ada lalu pada akaun twitter saya komen seseorang tentang keputusan menarik balik kesemua status jurulatih seorang cikgu yang disiasat menampar anak murid yang menjadi viral.

Cikgu itu dirakam menampar 2 orang pelajar dalam satu kejohanan bola tampar. Komen itu melabelkan perbuatan cikgu tersebut sebagai 'garang'.

Rasanya orang yang komen itu keliru antara garang dengan tindakan fizikal. Ada komen balas yang berikan pendapat tersebut.

Bagi saya, yang mungkin ada pengalaman melalui fenomena cikgu garang ketika bersekolah dahulu, dapat faham bagaimana orang itu komen dengan melabelkan tindakan menampar itu sebagai garang.

Zaman sekolah dulu, memang garang tak dapat dipisahkan dari amalan menampar atau merotan pelajar. Dan pelajar serta mak bapak pun dapat menerima amalan menghukum pelajar ketika sekolah dengan hukuman fizikal. 

Ada mak bapak yang protes zaman kami dulu. Tapi sikit sangat.

Cikgu garang ketika sekolah rendah

Masa saya sekolah rendah dahulu, ada 2 orang cikgu garang yang sentiasa kelibatnya menggerunkan para pelajar. Seorang cikgu lelaki Melayu dan sorang lagi cikgu lelaki India.

Penampar sulung pertama yang saya dapat adalah dari cikgu India. Dia cikgu kelas saya yang juga cikgu disiplin. 

Saya ke sekolah naik bas awam. Masa tak menentu bas ni. Kalau nasib tak baik, terlepas bas awal maka sampai lewat di sekolah. Jarak dari stesen bas ke sekolah pula terpaksa berjalan kaki sejauh lebih dari 3 kilo. Menambahkan lagi kelewatannya.

Jika waktu masuk dah bermula, pintu pagar utama akan ditunggu oleh cikgu disiplin India tu. Dia akan tanya seorang demi seorang, biasanya tak ramaipun yang lewat. Orang susah tak pergi naik bas sekolah macam saya saja yang sering terlewat sampai.

Cikgu itu akan tanya soalan kenapa lewat dalam Bahasa Inggeris. Kena jawab dalam BI juga. Masa pertama kali lewat tu, saya tak tahu perkara tersebut. Saya memang bodo BI jadi jawab dalam BM saja.

Pang!

Terus kena penampang sulong. Lepas itu baru boleh masuk kelas.

Sejak itu baru saya tahu kalau jawab dalam Bahasa Inggeris, tak kisah apa alasan sekalipun, dia akan lepaskan pergi masuk ke kelas tanpa kena penampar.

Ada seorang lagi cikgu Melayu yang garang. Atau lebih tepat panas baran. Dia tak tahan jika pelajar buat bising kuat sangat.

Ada sekali dia minta kami sekelas diam sebentar. Dia nak periksa buku latihan yang di bawanya atas meja. Jadi kami macam biasa mula berborak. Maklumlah budak-budak lelaki, saya sekolah semua lelaki masa tu.

Dia tegur beberapa kali suruh diam sikit. Tapi tak ada siapa yang mabil peduli. 

Tiba-tiba dia tampat meja. Dihumbankan kesemua buku latihan atas mejanya berterabur kedepan berserakan.

Pelajar semua terkejut dan diam ketakutan. 

Dia menjerit suruh semua bangun dan keluar dari kelas. Pergi ke padang dan berbaris di situ di bawah panas matahari, "jangan masuk kelas. Duduk situ!" Jeritnya.

Kami tunggu di padang tu, depan tempat perhimpunan setiap pagi satu kelas berbaris 2. Pandai pula diam.

Tak lama kemudian datang cikgu kelas, lelaki India tu. Dia tak cakap sepatah haram pun. Ditempelengnya seorang demi seorang dan suruh masuk semula ke dalam kelas.

Itu antara penampar ketika sekolah rendah yang tak akan saya pernah lupa sampai sekarang.

Cikgu garang sekolah menengah

Masa sekolah menengah saya ke sekolah berdekatan dengan rumah sahaja. Tak mahu sambung naik ke BMHS yang berbahasa Inggeris, dan jauh dari rumah lagi. Walaupun bagus sekolah tu, saya tak mahu habiskan duit naik bas. Kami orang susah, buat saja cara orang susah.

Di sekolah menengah, ada seorang cikgu garang. Dia cikgu disiplin berbangsa India. Memang biasanya cikgu disiplin ni garang. Tapi dia tak pakai penampar. Sebaliknya dia sentiasa bawa rotan halus panjang bersamanya.

Rotan ni lagi celaka. Sekali kena samada pada punggong atau kaki, berbirat kulit dan isi.

Nasib baik saya tak pernah kena hukuman samada rotan atau penampar. Tapi saya lihat ramai pelajr nakal lain yang sering kena.

Ada seorang ustaz, dia dah arwah saya dengar. Memang agak brutal. Budak nakal rambut panjang, dia cekak tarik ramput tu sambil heret ikut ke kelas. Terkial-kial menahan sakit.

Biasanya, pelajar yang sama saja kena belasah dengan para cikgu garang ni. Ertinya, dengan segala hukuman fizikal, yang brutal itu, mereka tak pernah serik pun. Nakal tetap nakal sampai habis sekolah.

Ketika tingkatan 4, sekolah kami masa itu dapat Gurubesar baru. Orang Kelantan. Dia ajar subjek pengetahuan sivik. Nampak mulanya dia baik dan tak garang lansung.

Setelah dua tiga bulan, baru tersembul kebrutalannya. Dia jenis cekap rambut pelajar nakal lalu diketuk berkali-kali ke pintu kelas. Kedepang, kedepang bunyi kuat.

Bila dia mengamuk dengan pelajar yang diadu nakal melampau dan ditangkap menghadapnya, dia rotan, penampar macam orang gila. 

Mulutnya menengking macam guruh halilintar. Saya pernah lalu melihat dia membelasah pelajar yang saya kenal. Memang tak sanggup tengok. Sangat menakutkan.

Dengan kegarangan dan tempikan yang konsisten cuba hadapi semua pelajar nakal berlebihan, sedikit demi sedikit pelajar mula takut. Yang nak tu samada terus tak datang sekolah atau kalau datang akan mengelak dari kurang ajar. Ada kesan juga nampaknya.

Yang bagusnya gurubesar tu adalah semenjak kedatangannya, prestasi pelajaran sekolah meningkat secara drastik lebih baik tak pernah dilalui sebelum ini.

Cikgu garang sekolah agama

Masa belajar mengaji Quran di Masjid dulu, Tok Imam pun garang orangnya. Tapi saya dapat tahu dari mereka yang jauh lebih senior, dia dah reda banyak dari sifat garang tu. Dulu lagi kuat merotan.

Dalam tak berapa kuat tu pun, saya kena rotan di kaki sampai berbirat sekali. Sebab pergi main lari-lari dan terjun di masjib baru yang mar-marnya sangat licin. Ada mangkuk pergi report dan saya kena hukum. Terus serik.

Ada seorang Ustaz garang yang ganti ajar mengaji ketika Tok Imam ada urusan seminggu. Dia lelaki muda yang sentiasa bawa tongkat rotan berjambul.

Ada sekali tu saya main air di kolah ambil wuduk. Dia datang diam-diam dari beakang lalu menghentak kepala saya dengan jambul pejal akar rotan tersebut. Sakit kepala benjol. Dan yang paling sakit adalah hati saya.

Saya protes terus balik rumah. Ambil lastik dan menyorok tunggu dia balik. Biasanya dia lalu menaiki basikal ikut jalan tengah kampung saya. Saya nekad untuk lastik dia dengan biji buah gatal. Baru padan mukanya.

Tapi nasib saya baik sebab ada pelajar yang perasan saya dok mengorok dalam belukar tu duduk menunggu ustaz baik. Dia bertahu ustaz dan hari tu Ustaz terpaksa balik ikut jalan jauh depan kubur cina sana.

Garang dan penampar

Masa zaman kami bersekolah dulu, garang sangat sinonim dengan penampar atau merotan.

Ada cikgu yang mulutnya diam saja, tapi tangannya pantas laju dari suaranya. Penampar atau merotan sampai pedih.

Rotan halus panjang tu boleh melukakan kulit kami yang masih kanak-kanak. Memang kami anak kampung, nakal, tapi itu tdak bermakna kami punya kulit tebal sepertu badak sumbu.

Ada kalanya degil macam manapun pelajar itu, bila kena rotan kuat macam tu, menitik juga air mata menahan pedih dan sakit hati.

Bila balik rumah, memang diam. Tak berani mengadu pada mak bapak. Silap hari bulan, dia akan tambah lagi rotan atau penampar. Puas sorok dan merayu pada abang yang tahu hal kena hukum di sekolah tadi untuk tidak beritahu pada orang tua.

Itu zaman kami dulu.

Garang dan penampar sekarang

Sekarang semua dah berubah. Cikgu garang boleh saja. Marah dan membebal. Tapi berhati-hati dengan apa yang disebut. Boleh bawa padah kalau tersilap cakap.

Merotan atau menampar sudah tidak lagi jadi amalan biasa cikgu.

Saya rasa itu tindakan yang betul.

Macam apa yang semua orang dapat lihat ketika pelajar pasukan bola tampar itu kena tempoh hari.

Kesian!

Dia hanya pelajar perempuan yang masih muda. Bersemangat untuk berikan yang terbaik dalam permainannya. Fizikalnya masih belum kuat dan paling penting hati dan jiwanya masih terlalu muda.

Pedih pipi sehari dua akan hilang. Tapi pedih di hati akan kekal samai ke mati.

Paling sedih adalah mereka dalam keadaan yang sangat lemah untuk mengelak tindakan penampar cikgu tu yang jauh lebih besar dan kuat secara fizikalnya. Helpless kata orang putih. 

Kenapa di tampar begitu depan kawan-kawan, depan orang ramai pulak tu.

kalau nak kata tampat pelajar dapat jadikan pasukan kuat, ternyata tak betul sebab ada pasukan lagi kuat yang tak perlu menampar pelajar pun.

Rumusannya, memang elok benarlah gantung sampai bila-bila cikgu tu. Caranya adalah merbahaya dan tidak sesuai lagi untuk zaman ini.

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Pengalaman merasai penangan cikgu garang ketika zaman sekolah dahulu

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !