Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Thursday, August 10, 2023

Perkara asas yang anda perlu tahu pasal duit untuk hidup tenang senang

  Mohd Shubhi       Thursday, August 10, 2023


Saya kongsikan beberapa perkara asas yang anda perlu tahu pasal duit kat bawah ni. Perkara asas ini perlu anda faham dan amalkan. Supaya hidup anda menjadi lebih tenang dan senang.

Tapi jika anda memilih untuk kerja kuat, kerja, teruk, rasa tertekan dan hidup kelam kabut, sila abaikan artikel ini. Teruskan saja denga amalan anda itu. Tiada paksaan dalam memilih cara hidup.

Sebelum saya teruskan. Perlu diingatkan kat sini bahawa saya bukan pakar dalam bidang kewangan. Saya masih tak layak untuk buat jaminan bahawa, “tak hensem takpa, janji kaya!”. Sebab apa yang saya kongsikan belum tentu dapat bantu anda jadi kaya secara pasti.

Apa yang saya tahu hanyalah perkara asas sahaja. Saya sendiri masih mencari jalan untuk ke depan. Semua maklumat yang dikongsi adalah berdasarkan pembacaan, pertanyaan kepada kawan-kawan yang lebih pandai  pengalaman dan pengamatan serba sedikit selama hidup sebagai seorang pemilik bisnes kecil di Malaysia ni.

Kalau anda faham, tak pa. Kita teruskan bacaan ni kat bawah.

Kenapa anda buat kerja

Ada dua sebab anda kerja selama ini.

Sebab pertama..

Sebab memang anda sangat suka buat kerja tu. Jatuh cinta dengan kerja yang anda lakukan sehingga jika tak kerja boleh rasa murung dan naik biru muka tu.

Kategori yang pertama tu, amat jarang berlaku.

Jika memang anda salah seorang insan yang bernasib baik. Sangat suka dengan kerja yang anda buat. Maka, tahniah! Saya ucapkan (sambil pegang bahu anda tu). Anda termasuk dalam kumpulan insan ‘rare’, mereka yang tidak perlu bekerja untuk hidup.

Sebab atau kategori kedua, kenapa orang kerja, adalah untuk dapatkan duit.

Ini paling ramai ada kat luar sana. Duit diperlukan dalam hidup di zaman moden ni. Bila dapat duit, anda boleh tampung kesemua urusan kehidupan yang lain.

Saya pun sama saja. Masuk dalam kumpulan ni.

Walaupun memang ada kerja yang saya buat sebab memang suka buat kerja tu. Tapi, kebanyakan kerja yang saya buat, tujuan akhirnya sebab nak dapatkan duit.

Ada banyak juga kerja saya terpaksa buat walaupun tak suka. Buat juga sebab ia mampu berikan duit.

Cari duit tapi tak faham pasal duit

Jika anda sama macam saya, buat kerja sebab nak dapatkan duit, maka saya yakin anda tentu setuju bahawa, sangat penting untuk faham macam mana duit berfungsi.

Cuba fikirkan.

Tentu sangat pelik seandainya selama ini, anda pulun buat kerja untuk dapatkan duit. Tetapi, anda tak berapa nak faham tentang macam mana duit itu berfungsi.

Apa yang ramai orang faham pasal duit?

Kebanyakkannya faham macam ni saja. ‘Pulun buat kerja, kerja kuat. Lagi kuat kerja, dapat lagi banyak duit. Bila dapat banyak duit boleh banyak berbelanja. Bila habis, pergi cari lagi, dapat dan belanja lagi’.

Macam itulah selama ini berlaku. Terutamanya kepada mereka yang kerja makan gaji. Memang tak boleh nak mengelak dari berulangnya semua itu.

Jadi artikel ini saya tulis untuk kongsikan beberapa prisip supaya anda faham perkara asas tentang duit.

Supaya anda kenal benda yang anda cari selama ini, yang dibayar hasil dari buat kerja. Seterusnya membantu untuk anda faham, macam benda tu berfungsi.

Jom kita tengok apa perkara asas tersebut kat bawah ..

Duit banyak bukan perkara utama

Ramai orang yang berjaya cari duit dengan sangat banyak. Tapi bila dia tak faham macam mana duit bekerja, sekejap saja semua duit tu akan habis lesap.

Ada seorang kawan yang pernah ceritakan pada saya bagaimana dia boleh habiskan duit sebanyak 12 juta dalam tempoh setahun saja. Dia belanjakan RM1 juta sebulan!

Bayangkan! 12 juta tu !.

Bila dia cerita kat saya, masa tu saya terfikir panjang. Fikir untuk belajar macam mana nak buat, untuk jadi pandai habiskan RM1 juta sebulan tanpa teragak-agak. Itu satu ilmu yang sangat hebat.

Bukan senang nak cari 12 juta. Tapi dia boleh buat dengan kreatviti yang dia ada. Malangnya dia hanya pandai cari duit. Tapi tak berapa pandai nak buat apa dengan duit tu.

Tapi anda tak perlu pandai sampai mampu buat duit RM12 juta dengan pantas. Sebab yang pentingnya, anda hanya perlu ada sumber pendapatan.

Itu paling utama. Banyak atau sikit adalah tidak berapa penting sangat.

Jika anda fikirkan semula, dalam zaman sekarang ni, nak cari duit adalah satu urusan yang sangat mudah.

Buat bisnes secara online saja mampu membuatkan anda dapat duit dengan mudah. Cuba tengok orang buat kerja kat dunia cyber tu. Macam-macam mereka ketengahkan ..

Hanya kongsikan saja maklumat, anda boleh dapat duit.

Anda tentu perah tengok paparan kat skrin media sosial anda ayat macam ni kan ..

“Bukan MLM, bukan Skim Cepat Kaya, bukan bla-bla-bla, kata ‘nak’ saya akan kongsikan ..”

Jangan terkejut. Ada saja orang yang joint.

Ada saja yang akan dapat jana duit berbekalkan ayat-ayat macam tu saja.

Nak beritahu kat sini, nak buat duit sebenarnya memang agak mudah. Pegang maklumat itu dan tak perlu nak risau untuk ligan duit yang banyak.

Simpan banyak juga tak guna

Cuba kaji berapa banyak nilai duit RM1 kita telah menyusut dari awal tahun 60-an dahulu sampai sekarang. RM1 zaman P Ramlee sudah tentu lansung tak sama nilai dengan RM1 yang ada dalam poket anda tu sekarang. Betul tak?

Jadi, kalau anda buat kerja, dapat RM100. Belanja RM50 dan baki lagi RM50 tu anda simpan masukkan ke dalam bank.

Biarkan pendam saja kat situ. Sebab anda amalkan apa yang orang pesan, bila dapat duit jangan lupa untuk menabung.

Tambah satu lagi.

Jika anda tak suka riba. Tak mau simpan dalam akaun yang janjikan bayaran interest.

Katakan anda simpan duit RM50, sejak zaman P Ramlee dulu lagi. Sampai sekarang masih ada dan kekal duit tu dalam simpanan sebanyak RM50.

Jika di zaman P Ramlee dulu, anda boleh senyum lebar, layak bangga.

Tapi sekarang, anda cepat-cepat akan koyak penyata baki akaun yang keluar dari mesin ATM tu. Sikitpun tak rasa bangga dengan jumlah sebanyak tu!

Buat supaya duit bekerja untuk anda

Jika anda dah baca buku Rich Dad Poor Dad tentu dah biasa sangat dengar ayat ni. “Buat supaya duit bekerja untuk anda dan bukannya anda yang kena bekerja untuk duit”.

Kita dah baca kat atas tadi 2 perkara penting tentang duit.

  • Banyak bukanlah perkara utama dalam mencari duit
  • Menabung juga bukan perkara utama dalam mencari dan simpan duit.

Yang penting adalah usahakan supaya duit tu mula buat kerja untuk anda. Dalam ertikata yang betul, anda perlu melabur. Mat Saleh kata Invest. Itulah maksudnya yang dikatakan, duit buat kerja untuk anda.

Dan dalam bab melabur pulak. Tak perlu nak pandai macam Warren Buffet baru nak mula melabur. Anda boleh mula melabur dalam beberapa pilihan yang asas seperti berikut.

  1. Emas
  2. Hartanah
  3. Bond
  4. Pasaran saham
  5. Matawang Digital

Dengan meletakkan duit anda dalam pilihan tersebut, nilai duit itu tak akan menyusut teruk apabila masa beredar.

Pelbagaikan pelaburan anda

Ini satu lagi panduan tambahan yang sangat penting. Anda perlu pelbagaikan sumber di mana anda laburkan duit yang anda dapat tu. Jangan labur hanya pada satu tempat sahaja.

Cuma masalahnya, berapa dan nak letak kat mana.

Dalam contoh yang saya berikan kat atas tadi. Ada 5 tempat yang anda boleh laburkan duit sekarang. Cuba perdalamkan lagi pengetahuan anda terhadap ke semua perkara itu sedikit demi sedikit supaya lebih faham.

Jumlah yang perlu ditetapkan ke setiap saluran pelaburan itu juga bergantung pada umur dan jumlah duit yang anda ada sekarang.

Jika ada RM100 ribu lain caranya. Jika ada RM5000 pula lain lagi caranya.

Juga bergantung pada umur anda tu. Kalau RM100k dan masih muda dalam 20-an, anda ada masa panjang untuk ambil risiko naik turun ekonomi dalam pasaran saham.

Tapi kalau umur dah 60 tahun, elok pertimbangkan betul-betul kalau nak main saham di bursa yang biasanya sangat ‘volatile’.

Apapun, perlu selidik dan ambillah kursus atau seminar supaya mula faham sedikit demi sedikit. Faham tentang mekanisma setiap pelaburan dan mula tentukan berapakan peratusan yang sesuai untuk anda buat pelaburan.

Mungkin begini,

  • Emas – 10%
  • Hartanah – 40%
  • Bond – 20%
  • Pasaran saham – 25%
  • Matawang digital – 5%

Saya main letak saja peratusan tu secara spontan dengan sedikit pertimbangan berdasarkan umur saya dan jumlah duit yang ada. Mungkin untuk anda sendiri berbeza.

Bagi yang berniaga pula tentu bergantung pada kedudukan perniagaan sekarang. Ok ke tak ok. Stabil ke tidak. Anda perlu fikirkan kepantasan untuk cairkan pelaburan seandainya diperlukan untuk kegunaan perniagaan yang jauh lebih penting dari pelaburan kat atas tu.

Moga ada manfaat artikel ini. Saya ingatkan sekali lagi yang saya sekadar kongsikan maklumat asas. Bukan saya pandai dalam bab pelaburan ni. Sama macam anda juga. Silap hari bulan, anda lebih pandai dari saya.

Sama-sama lah kita cari maklumat dan mendalami urusan seterusnya bagaimana nak melabur. Yang pentingnya perlu melabur dan jangan simpan statik macam tu saja. Apatah lagi kalau simpan dalam tin milo!

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Perkara asas yang anda perlu tahu pasal duit untuk hidup tenang senang

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !