Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

26 October 2023

Pengalaman pakai Toyota Hilux Double Cab 2.5G AT dari tahun 2014 sampai sekarang 2023

  Ano Nyme       26 October 2023


Artikel pertama saya tulis pasal Toyota Hilux ni adalah pada tahun 2014. Masa tu baru beli dan pakai Toyota Hilux Double Cab 2.5G AT. Boleh baca di sini.

Itu pengalaman awal menggunakan Toyota Hilux untuk diri sendiri. Sebelum itu, hanya pakai kereta sedan biasa saja. Kalau naik kereta 4x4, hanya sekadar penumpang. Biasanya saya tumpang 4x4 kawan bila ada aktiviti masuk dan berkhemah dalam hutan.

Aktiviti masuk hutan itu juga yang berikan motivasi untuk saya cari dan beli sebuah 4x4. Kononnya nak jadikan perkhemahan dalam hutan sebagai aktiviti rutin di masa lapang. Maka di ringkaskan cerita dapatlah saya guna Toyota Hilux Double Cab 2.5G AT, warna hitam dan kerusi semuanya ditukar kepada sarung kulit.

Dari tahun 2014 sampai 2023

Pertama kali beli dan pakai memang terlalu banyak perbezaan dirasakan. Maklumlah saya hanya pakai kereta sedan saja selama ini, dan tiba-tiba berubah kepada pemanduan kereta tinggi dan besar. 

Dari segi stabil, memang kereta sedan lebih dirasakan stabil. Itu hanya untuk sementara waktu saja. Jika bawa laju, lagi mudah rasa beza kestabilan antara sedan dan Hilux. Oleh kerana saya jenis tak suka bawa laju baik kereta sedan mahupun hilux, maka itu bukanlah satu isu.

Bila dah lama pakai Hilux, keyakinan berubah sama sekali. Saya lebih rasa selamat pakai Toyota Hilux berbanding bawa kereta sedan lain. Rasa kukuh dan tubuh badan jauh dari bahaya. Asalkan tak bawa laju-laju, rasa yakin dan selamat itu insyaallah kekal.

Yang lawaknya, orang rumah asalnya tak mahu langsung bawa Hilux. Kemudian sekali sekala dia terpaksa ambil juga kereta 4x4 tu untuk ambil anak balik dari sekolah. Bila dah beberapa kali bawa Hilux, akhirnya kereta 4x4 itu dah jadi macam dia punya. Saya disuruh bawa sedan biasa pulak dan dia nak guna Hilux tu. Rasa selamat katanya.

Sekarang memang dah sah Hilux tu orang rumah akan bahasakan kereta dia. Bila sekali sekala staff perlu gunakan untuk kerja, masam muka dia sebab terpaksa berikan keretanya untuk orang lain pakai. Siap pesan semua larangan ketika menggunakan Hilux tu. Paling penting, diharamkan merokok dalam kereta Hilux, itu pantang besar orang rumah.

Kereta Hilux itu juga jadi kenderaan kembara kami sekeluarga. Balik kampung atau jalan-jalan pusing Malaysia, memang itu kenderaan yang akan di pakai. Sebab utama adalah boleh susun banyak barang di belakang Hilux tu. Dari tilam, selimut toto sampai bantal, makan minum semuanya dapat diisi. Itu istimewanya Toyota Hilux berbanding kereta saya yang lain. Kalau pakai Alphard sekalipun, tak boleh lawan bab isi barang ni.

Kos bawa Toyota Hilux

Sepanjang saya bawa Hilux dari 2014 sampai sekarang, memang kereta tu tak pernah peningkan kepala langsung. Selenggara ikut jadual, dan kos selenggara memang tak mahal sangat. Terasa sikit bila kena tukar tayar saja. Itu pun saya tukar tayar di kereta tayar paling murah di Lembah Kelang, Oscar Tyre di Kota Kemuning. 

Kos minyak ketika kembara juga sangat jimat. Memang kenderaan tu tak kuat mentekdarah minyak macam kereta lain. Saya isi penuh untuk balik Pulau Pinang, sampai di Seberang Perai separuh pun tak habis. Pusing-pusing Pulau Pinang, naik turun jambatan, pusing Bagan dan Seberang Perai tak perlu isi lagi.

Bila dah lebih dari 5 tahun sudah tentu kena tukar barang-barang yang ada masalah. Paling awal adalah aircond. Masa tu kalau anda masih guna khidmat Pusat Servis Toyota memang akan tertelan air liur setiap kali ada barang utama nak kena tukar.

Tapi saya akan minta mereka semak saja dulu apa nak kena tukar dan pergi cari workshop lain di luar untuk tukarkan. Biasanya kos hanya 10% ke 20% saja dari harga yang dicadangkan oleh pusat servis. Sebab mereka akan syor tukar habis yang baru. Kerja mudah bagi mereka dan akan panjangkan lagi jangkahayat kereta itu.

Bila pergi ke luar, tak perlu tukar semua, mana yang masih boleh pakai, pakai ja dulu.

Itulah yang saya buat bila ada masalah. Aircond juga saya akan servis saja diluar, tak pakai pusat servis toyota. Malah sekarang servis tukar minyak enjin dan selengaraan rutin semuanya saya buat di satu workshop luar yang memang dah berpengalaman dengan 4x4. Jauh lebih menjimatkan lagi berbanding ke pusat servis toyota.

Saya putuskan untuk guna khidmat workshop luar sebab umur kereta tu dah masuk 9 tahun dan sudah tentu ada banyak parts akan kena tukar dari masa ker masa selepas ini. Jadi adalah lebih menjimatkan untuk guna bengkel 4x4 yang saya dah biasa.

Itulah yang berlaku sekarang bila saya tukar timing belt, alternator, betulkan absorber dan lain-lain yang datang sikit-sikit bila tiba masanya. Semua itu masih di bawah kawalan sebab tak mahal sangat.

Alternator tukar seketul kena RM1,300. Tukat Timing Belt kena RM800. Setakat ni, semuanya masih di bawah seribu lagi. Boleh tahan lagi.

Perubahan setelah 9 tahun

Apa yang berubah tentang kereta Toyota Hilux tu berbanding masa awal mula pakai dulu?

Secara umum, tak ada banyak perubahan. Bawa macam tu juga, jimat macam biasa, stabil masih lagi kekal dan hanya sekali sekala masalah timbul.

Antara masalah timbul adalah seperti lampu 'check engine', atau 'check belting'. 

Bila keluar semua lampu tu, bawa ke workshop yang saya guna sekarang, sekejap saja dia kenal pasti apa masalahnya. Setakat ni semua selesai dan tak ada masalah.

Sekarang Hilux tu saya dah kasi Staff gunakan untuk buat kerja Pest Control sebagai ganti bila salah sebuah kenderaan Pest Control syarikat terbakar awal tahun ni. Untuk jimatkan kos, tak perlu lah saya keluarkan van baru untuk syarikat, pakai saja dulu apa yang ada.

Lepas ni boleh buat review apa berlaku pada Hilux tu setelah digunakan oleh para pekerja untuk lenjan buat kerja siang dan malam.

Nota: Gambar di atas tu dari sini. Warna dan jenis sama dengan hilux yang saya pakai sekarang.

logoblog

Boleh Like dan Share artikel ini di akaun Medsos anda. Terima Kasih sudi luangkan masa membaca artikel, Pengalaman pakai Toyota Hilux Double Cab 2.5G AT dari tahun 2014 sampai sekarang 2023

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !