Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Thursday, December 28, 2023

Perkara yang dibolehkan tapi dibenci perempuan sehingga dipatuhi ramai lelaki - Kahwin Dua

  Mohd Shubhi       Thursday, December 28, 2023


Jika seorang lelaki bercakap pasal kahwin dua, itu perkara biasa. Jika seorang perempuan benci lelaki yang suka cakap pasal kahwin dua, itu juga perkara biasa.

Yang luar biasa adalah jika seorang lelaki itu bukan saja tak suka cakap pasal kahwin dua, malah tak suka lelaki lain yang bercakap pasal kahwin dua. Apatah lagi jika ada seorang perempuan yang suka kepada lelaki yang suka bercerita pasal kahwin dua, lagi lah luar biasa.

Itu gambaran yang saya boleh berikan terhadap stigma kahwin dua atau lebih, yang melanda masyarakat di negara kita sekarang. Satu perkara baru yang melanda masyarakat moden di mana-mana saja negara yang ada tenaga eletrik masuk ke dalam rumah.

Poligami amalan biasa

Pertama sekali bagi anda yang percaya Al-Quran adalah dari Tuhan, tak perlu lihat sejarah atau merantau ke mana-mana tempat untuk mencari bukti bahawa poligami adalah satu amalan yang sudah jadi perkara biasa di kalangan manusia.

Sebab apa saja yang di sebut dalam Al-Quran sudah membuktikan bahawa ia adalah satu amalan biasa. Bila Quran sebut tentang kahwin lebih dari satu, bermakna ia sudah biasa di amalkan setidaknya ketika zaman Al-Quran itu diturunkan.

Sama seperti perhambaan, Quran sebut tentangnya sebab ia memang dah jadi lumrah ketika itu dan sebelum itu juga.

Begitu juga Quran sebut berkenaan peperangan, bukan nak suruh cari pasal perang dan bunuh orang. Tapi sebab memang itu sudah berlaku dan jadi budaya manusia ketika itu.

Semua urusan yang sudah biasa diamalkan, dan urusan itu penting, maka pasti akan diberi garis panduan bagaimana nak tanganinya. Itu konsep yang saya faham apabila membaca dan mengulangkaji apa yang disampaikan di dalam Quran.

Ayat pasal kahwin lebih dari satu ada di beberapa tempat di dalam Al-Quran:

Ayat pertama:

Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman. (An-Nisaa' 4:3) 

Ayat kedua:

Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya); oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awan-awan); dan jika kamu memperbaiki (keadaan yang pincang itu), dan memelihara diri (daripada perbuatan yang zalim), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (An-Nisaa' 4:129)

Ayat ketiga:

Dan jika kamu hendak mengambil isteri (baharu) menggantikan isteri (lama yang kamu ceraikan) sedang kamu telahpun memberikan kepada seseorang di antaranya (isteri yang diceraikan itu) harta yang banyak, maka janganlah kamu mengambil sedikitpun dari harta itu. Patutkah kamu mengambilnya dengan cara yang tidak benar dan (yang menyebabkan) dosa yang nyata? (An-Nisaa' 4:20) 

Jika anda baca semua ayat yang saya berikan di atas, nampak jelas bahawa amalan poligami memang satu kelaziman diamalkan oleh orang ketika itu. Al-Quran tidak melarangnya dan tidak menyuruhnya.

Terpulang, nak buat pastikan anda uruskan nya dengan adil. Kalau tak mau berpoligami pun tak ada masalah, jadi tak timbul nak uruskan lebih dari seorang isteri.

Poligami di muka bumi

Jika dilihat amalan poligami di seluruh dunia, paling ketara anda akan jumpa amalan di negara Afrika, tempat asal usul manusia sekarang. Sampai sekarang masih tetap diamalkan dan mereka tak ada masalah mengamalkannya macam orang kita di Malaysia yang cara berfikir dah berubah. Pergi cari maklumat berkenaan orang Zulu di Afrika Selatan dan orang Maasai di Kenya dan Tanzania.

Kalau anda semak amalan orang Timur Tengah pula, dah pasti akan jumpa betapa amalan poligami ini memang dah jadi amalan tok nenek mereka dari zaman dahulu lagi. Sebab itu saya sebut tadi bila Quran sentuh bab unik sebegitu, tandanya, ia sudah jadi amalan biasa dan perlu diuruskan supaya jelas.

Di Asia Tengah poligami masih diamalkan sampai sekarang seperti di Kyrgyzstan dan Tajikistan. Dulu semua tempat di Asia mengamalkan poligami dengan meluas. tapi sekarang amalan itu sudah pupus malah ada negara di Asia yang melarangnya.

Di Kepulauan Pasifik juga poligami sudah jadi amalan lumrah terutamanya oleh ketua-ketua puak mereka yang tinggal di sana. Orang lelaki yang penting kedudukannya biasa untuk ada lebih dari seorang isteri. Ia perkara biasa bagi budaya kaum Polynesia dan Micronesia di sana terutamanya sebelum kedatangan orang Eropah, perosak budaya manusia di muka bumi.

Begitu juga para penduduk di Nusantara termasuklah kita tidak terkecuali mengamalkan budaya lelaki kahwin lebih dari seorang sejak zaman dahulu kala lagi sebelum kedatangan Islam ke sini lagi.

Kenapa amalkan poligami

Pertama sekali asas amalan orang dulu adalah mengikuti sifat kejadian antara kaum lelaki dengan kaum wanita. Tak ada idea nak samakan antara lelaki dengan wanita. Malah kaum lelaki bangga dengan peranannya yang tersendiri sama seperti mana bangganya kaum wanita memainkan peranannya sebagai wanita. Itu perkara utama. Kemudian baru masuk kesan dari pegangan sedemikian.

Antara tujuan orang dulu amalkan poligami adalah pertamanya untuk tujuan status dan martabat kekayaan. Itu isyarat yang lazim dapat dibaca apa bila melihat lelaki yang ada lebih dari seorang isteri.

Kalau ada lelaki yang dakwa dia gagah perkasa, kaya, ada ramai pengikut, punya jawatan tinggi dalam masyarakat tetapi ada seorang isteri saja dan terkebil-kebil romantik dengan isterinya sepanjang masa, maka sah apa yang dia dakwa itu semuanya palsu. Lelaki perkasa dan berkuasa bukan begitu sifatnya.

Satu lagi tujuan poligami adalah pemeliharaan susur galur kekuasaan di zaman dahulu. Kalau Raja dari sebuah negeri dah ada isteri lebih dari seorang, akan ada juga masuk tawaran ambil puteri raja dari negeri lain untuk tujuan politik kekuasaan.

Bagi orang kampung biasa pula yang gagah dan baik serta keluarga keturunannya banyak harta, memang akan ada ramai orang yang sudi berikan anak perempuannya untuk dijadikan isteri sekalipun jika dia sudah ada isteri. Itu salah satu dari cara terbaik untuk ubah haluan kedudukan keluarga anak dan cucunya di kemudian hari.

Kemodenan tumpulkan sifat lelaki

Macam saya sebut di atas tadi, asas utama berkait rapat dengan tugas dan peranan seorang lelaki sebagai ketua dan pembela keluarga di zaman dahulu. Orang lelaki yang akan cari makan, cari kekayaan cari kesenangan dan jadi pembela semua orang yang berada di bawah jagaannya.

Orang perempuan menggunakan lelaki untuk pastikan dia hidup selamat dan senang dengan mengekalkan ciri-ciri perempuannya. Bukan dengan mencabar kedudukan nak ambil peranan lelaki.

Senjata paling hebat yang perempuan ada adalah jadi perempuan yang baik, yang melaksanakan segala halatuju yang lelaki tentukan. Taat pada suami bukan bererti menghinakan diri, malah ia berlaku sebaliknya. Dengan ketaatan isteri itulah secara halus lelaki sebenarnya sangat mudah dikuasai oleh isterinya. Dengan manja itulah suaminya boleh pergi serang pukul orang lain yang tidak disukai oleh si isteri.

Begitu cara lelaki dan wanita di zaman dahulu berfungsi. Martabat lelaki dan wanita sama. Tapi peranan dan cara mereka berfungsi adalah sangat berbeza. Perumpamaannya adalah jika lelaki menikam dengan senjata, perempuan hanya perlu menikam dengan kata-kata.

Ada timbal balas antara lelaki dan wanita dengan cara lelaki menjaga keselamatan dan kesejahteraan kaum wanita yang bersedia untuk memainkan peranannya sebagai ibu kepada anak-anak yang dia lahirkan bersama lelaki tersebut. Win-win situation.

Semua itu berubah bila wanita diberikan ilusi bahawa mereka tak perlukan lelaki untuk memelihara kesejahteraan dan keselamatan mereka. Wanita boleh bergantung kepada samada kerajaan, atau mereka boleh keluar cari makan sendiri dan bina kekayaan sendiri tanpa perlukan seorang lelaki.

Untuk kuasai sesebuah masyarakat yang para lelakinya kuat, anda hanya perlu kuasai kaum wanita di dalam masyarakat tersebut. Itulah yang berlaku pada seluruh masyarakat moden yang hancur sekarang bila ikatan menang-menang antara lelaki wanita telah dimusnahkan.

Sekarang sifat perkasa dan berkuasa lelaki itu sudah jadi tumpul dimandulkan oleh kemodenan yang mengubah manusia menjadi alat pengeluaran sahaja. Sifat lelaki dan wanita dimomokkan kononnya sama sehingga sekarang anda dilarang sebut he atau she dalam medsos untuk jaga hati wanita. Wanita boleh bentak lelaki yang dah tumpul keperkasaan diri sama macam wanita yang sudah hilang sifat kewanitaannya.

Tujuannya tak lain tak bukan untuk perbanyakkan sumber pengeluaran (mereka sebut dengan bahasa lebih lembut Human Resource) dan mudah untuk dikuasai itu saja. Cuba lihat balik apa yang berlaku bila lelaki dan wanita sama naik keluar cari makan. 

Yang untung adalah kaum elite yang menguasai sistem yang ada. Memang ada sedikit perubahan dari segi gaya hidup makan minum dan sebagainya, tapi ia lebih ke arah menjadi racun kehidupan dari segi emosi. 

Ramai orang gila sekarang baik lelaki mahupun wanita. Tekanan hidup menjadi-jadi. Lelaki jadi lemah sebab peranan mereka jadi orang penting dalam satu unit keluarga sudah hilang. Buktinya bila si laki sangat berhati-hati untuk cakap pasal kahwin seorang lagi. Nak mampus kalau didengari si isteri.

Isyarat kekayaan, kekuasaan dan perebutan menjalin hubungan kekeluargaan dengan lelaki yang berkuasa dan berharga sudah tidak ada dan tak perlu sekarang. Sebab semua lelaki adalah sama saja tarafnya dari segi status sebagai hamba kerja sistem pengeluaran zaman moden. Tak lebih dari itu. Insurance, Kerajaan, Undang-Undang dan Majikan boleh jaga kaum wanita.

Penguasa perosak di atas sana tahu sifat semula jadi kaum lelaki, jadi untuk ikat naluri lelaki yang berkuasa dan berpengaruh, berikan mereka wanita secara gelap. Wujudkan skandal, puaskan kehendak mereka. Itu semua hanya mengikat keadaan lelaki itu terus kekal jadi ayam tambatan elite yang menguasai dan masih mahu menggunakankannya.

Tak perlu saya panjangkan lagi ulasan bagaimana tumpulnya sifat kelakian itu telah menyebabkan lelaki patuh dan bersetuju samada secara paksa atau sengaja untuk setia kekal dengan seorang isteri saja. 

Malah ada lelaki yang secara tak sedar jadi jurucakap hasrat perempuan yang benci di madu tersebut sedangkan tidak ada apa-apa kelebihan buat lelaki itu jika bersetuju pada kebencian wanita terhadap poligami. Kecuali dia hanya mendapat layanan baik dari isterinya saja. Ertinya dia sebenarnya amat takut jika ditinggalkan si isteri yang digeruni itu. Satu lagi bukti ketumpulan sifat kelakian pada lelaki moden.

Mungkin ada yang jawab dia hanya berlakon baik tapi hakikatnya dia berfoya-foya dengan ramai wanita secara gelap di luar sana. Dia percaya bahawa keperkasaan dan kelakiannya masih kekal.

Itu salah sama sekali sebab meninggalkan jalan yang dibolehkan dengan berkahwin sampai 4 kalau ya pun kamu kuat, dengan melakukan zina luar nikah adalah jauh lebih tumpul malah boleh dianggap sebagai telah menjadi lelaki dayus.

Alasan tak perlu poligami

Banyak sebab yang cuba dirasionalkan oleh mereka yang benci dan tidak setuju dengan poligami ni. Antaranya adalah seperti yang satu masih tidak sempurna di jaga dah nak tambah lagi satu. Atau ada juga yang kata tak boleh bersikap adil dengan adanya lebih dari seorang isteri.

Ada yang berikan alasan masalah sosial yang timbul hasil dari perkahwinan lebih dari satu itu mengesahkan keburukan kahwin lebih. Kalau nak bandingkan, masalah sosial akibat perceraian jauh lebih buruk dari kahwin dua, tapi orang cerai jauh lebih ramai dari orang kahwin lebih dari satu. Tiada isu sosial sangat bagi keluarga suami yang lebih dari seorang.

Bagi saya semua itu mengarut saja. Kahwin lebih dari satu jadi masalah sekarang hanya disebabkan fungsi lelaki dan fungsi wanita sudah kacau bilau bersimpang siur. Wanita sekarang bukan lagi wanita macam zaman tok nek kita dahulu. Itu sebab utama poligami telah menjadi rosak.

Yang bukan berkuasa dan bukan penting turut sama kahwin lebih seorang sebab boleh, sebab berlandaskan nafsu sahaja. Maka sudah pasti mengundang banyak masalah pada keluarga yang dibentuknya.

Tunggu sempurna dengan seorang isteri yang dah ada, baru boleh layak kahwin seorang lagi, juga adalah alasan yang tak masuk akal. Mana ada yang sempurna dalam kehidupan ini selagi adanya nafsu keinginan dalam hidup.

Hati manusia naik turun dan itu memberikan kesan terhadap rasa sempurna sampai mati akan berubah-berubah. Ketidak sempurnaan itulah yang perlu dihadapi sebagai satu ujian untuk hari esok selepas mati. Hanya berhadapan dengan ketidak sempurnaan sahaja yang dapat memberikan peluang untuk manusia di dunia ini kutip ganjaran di sana esok.

Kalau nak kahwin kena berlaku adil juga satu alasan popular. Kebanyakan orang yang ditanya apa yang dia faham tentang syarat berlaku adil tu, jawapannya kelaut saja. Rujuk kembali ayat di atas sana surah An-Nisaa (4:129) baca apa kata Tuhan di situ. Adil bukan bererti sama banyak sama tinggi atau sama rendah. 

Adil ertinya jangan langgar hak orang atau jangan langgar undang-undang yang ditentukan oleh orang yang ada kuasa tentukan undang-undang. Memang ada kemungkinan buat semua orang berlaku tak adil, kalau takut, tinggalkan terus. Tapi kalau faham dan bersedia hadapinya, silakan. Tergelincir, mohan maaf dan bertaubat.

Saya ulang, tak sesuai kahwin lebih seorang sekarang hanya lebih disebabkan oleh lelaki sudah tumpul fungsi ke-lakian-nya dan perempuan juga sudah hilang fungsi ke-perempuanan-nya. Itu saja. Itu merupakan satu sebab kenapa bagi saya, kahwin dua adalah perkara terakhir yang akan saya lakukan melainkan jika saya berpindah tinggal di daerah atau negara yang masih berfikiran seperti manusia zaman pertengahan (medieval) di mana lelaki dan wanitanya masih berada di atas landasan fungsi masing-masing. 

Tamat!

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Perkara yang dibolehkan tapi dibenci perempuan sehingga dipatuhi ramai lelaki - Kahwin Dua

Previous
« Prev Post

2 comments:

  1. Lain macam je artikel kali ni, macam dah ada calon dalam senyap je hihihi

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tak sesuai zaman sekarang ni utk berpoligami. Banyak mengundang masalah sebab manusia sudah berubah.

      Delete

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !