Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Sunday, January 14, 2024

Giliran aku pula melalui pengalaman pemergian ibu kandung yang tercinta

  Mohd Shubhi       Sunday, January 14, 2024


Pada hari rabu baru-baru ini, tanggal 10 Januari 2024, ibu saya telah menghembuskan nafas terakhirnya di pangkuan adik selepas waktu magrib di Langkawi. Tak ada rezki saya untuk saksikan pemergiannya di depan mata. Baru 2 hari sebelum tu saya balik semula ke rumah di Selangor setelah bersamanya selama 5 hari.

Lebih kurang 10 tahun adik menjaganya di Langkawi. Dalam tempoh itu juga saya berulang balik setiap bulan untuk bersama dengan ibu sekurang-kurangnya 2 hari. Itu janji yang saya buat pada diri sendiri sejak datang cari makan di Lembah Kelang pada tahun 1999 dulu.

Terima kasih kepada Mr Kwek, seorang cina tua yang sering saya jumpa masa mula-mula berniaga di Shah Alam dulu. Dia pernah ceritakan pada saya perkara paling disesali dalam hidupnya sepanjang jalani kehidupan mengejar kekayaan masa muda dulu.

Dia berjaya kumpul harta banyak, tapi tak pernah cukup untuk merasa puas. Ibunya di Johor sering menunggu kepulangannya, tapi alasan sibuk sentiasa bermain di mulut. Sehinggalah satu hari ibu tuanya meninggal dunia, dan dia pula ditimpa serangan jantung.

Dia menyesal abaikan ibunya di kampung hanya untuk mengumpul harta yang tak pernah cukup. Baru dia sedar bahawa dia tidak perlukan RM1 juta untuk bahagia, kerana kebahagiaan itu bukan ada pada harta. Tapi ada pada kehidupan yang baik yang dijalani oleh setiap diri manusia. 

Manusia yang jalani kehidupan yang baik adalah dia yang sentiasa berusaha menunaikan segala tanggungjawabnya berdasarkan siapa dirinya. Bagi Mr Kwek, sebagai seorang anak, dia telah abaikan tanggung jawabnya untuk menjaga perhubungan antara dia sebagai seorang anak dengan ibu. Sedangkan ibunya telah melaksanakan kewajibannya selama ini sebagai seorang ibu dengan membesarkannya hingga mampu berdikari.

"Jika mak saya masih hidup, saya akan pastikan untuk memandu balik dari KL ke Johor setiap minggu hanya untuk menatap wajahnya .."

Itu ayat yang Mr Kwek beritahu saya sambil menitiskan air mata menyesali apa yang telah berlalu. Jangan ulangi kesilapan saya, pesannya.

Saya dapat rasa sesalan dari air muka Mr Kwek. Ia memberikan inspirasi untuk saya balik secara konsisten berjumpa mak di kampung dalam keadaan sibuk macam mana sekalipun. Dan saya buat sampai dia menghembuskan nafas terakhirnya.

Kebaikan ibu tak terbalas

Walau apapun kebaikan yang seorang anak lakukan kepada ibunya, jangan rasa itu merupakan satu balasan terhadap segala kebaikan yang ibunya telah berikan kepadanya selama ini. Tak akan terbalaspun sampai bila-bila.

Apa yang setiap anak perlu buat adalah, tunaikan tanggung jawabnya sebagai seorang anak. Pertamanya jaga semua perkara asas seperti makan dan minum, tempat tinggal, kesihatan dan keselamatannya.

Kemudian jaga emosi mereka dengan sentiasa menjalinkan perhubungan. Menziarahi mereka, berbual dengan mereka, kongsikan cerita kehidupan suka dan duka dengan mereka. Khabarkan perkembangan kepada mereka dan seumpamanya. Itu saja yang mereka mahu.

Kerap kali berlaku adalah anak-anak hanya luangkan masa ziarah jenguk mak bapak sekali atau 2 kali saja setahun. Hubungan begitu berterusan tanpa sebarang alasan yang kukuh sehinggalah kedua orang tua meninggal dunia. Itu tanda gagalnya tugasan seorang anak terhadap ibu bapanya.

Bukan saja tiada berhubung, malah duit pun tak pernah hulur pada mereka dengan alasan kekangan dan kesempitan duit.

Walaupun kerap balik, tapi hanya sebulan sekali saja, saya rasa memang tidak mencukupi. Masih terbayang setiap kali saya beritahu nak balik, dia tak keluar rumah dan tunggu saya sampai. Di masaknya makanan kegemaran, kalau lewat malam, dia berjaga tunggu sampai saya tiba. Siapa boleh buat begitu untuk saya selain dari ibu sendiri. Dari bayi sampai ke tua, kasihnya kepada anak-anak tidak ada tolok banding.

Rezeki adik di Langkawi yang dipilih Allah untuk menjaganya dalam tempoh masa yang sangat lama. Kami yang lain hanya menumpang dan memberikan sokongan sebaik mungkin kepadanya.

Dengan segala kekurangan yang mampu saya berikan kepadanya, moga di kira semua itu sebagai amalan kebaikan untuk saya di akhirat kelak. Tiada daya upaya melainkan apa yang telah diperuntukkan olehNya kepada saya.

Ibu

Ya Allah!

Ampunilah segala dosa ibu ku

Ibu yang bersusah payah mengandungkan anak-anak nya selama 9 bulan

Ibu yang melahirkan kami dalam kesakitan

Ibu yang memelihara kami siang dan malam

Ibu yang menyediakan makan dan minum kami

Ibu yang membesarkan kami sehingga kami membawa haluan masing-masing

Ibu yang girang menyediakan masakan kegemaran kami setiap kali pulang ke kampung

Ibu yang tak putus menasihati kami dari kecil sampai ke tua

Ibu yang tak pernah lupa mendoakan kami sepanjang hayatnya.

Sesungguhnya dia telah menunaikan segala tanggung jawabnya dengan baik sepanjang hayatnya sebagai seorang ibu.

Ya Allah!

Demi segala kebaikannya itu, engkau ampunilah segala dosanya dan tempatkan lah dia bersama dengan orang-orang yang berjaya.

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Giliran aku pula melalui pengalaman pemergian ibu kandung yang tercinta

Previous
« Prev Post

4 comments:

  1. Mati bukan perpisahan selamanya, tp permulaan baru bg perjlnn yg sgt jauh. Bg yg beriman dan soleh, merupakan kerehatan seketika, sebelum memulakan perjlnn yg jauh dan pnjg di Mahsyar.

    Pd semua yg bakal meninggal (kita semua bakal meninggal), Nabi saw pesan, cari dan temui dia di Haudhnya. Moga kita semua dpt menemui Nabi kita saw dan org org tersyg dlm keadaan aman, tak terusir dan dpt minum airnya di sana nanti.

    ReplyDelete
  2. Innalillah. Semoga ditempatkan dikalangan org beriman dan beramal soleh.

    ReplyDelete

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !