Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Monday, February 12, 2024

Dunia makin jadi mudah, tapi manusia makin lama makin lemah dan mudah dimanipulasi

  Mohd Shubhi       Monday, February 12, 2024


Untuk anda yang dah lama ikuti blog ni tentu tahu dah banyak artikel telah dimuat naik dalam blog hidup ringkas ini sejak tahun 2008, kalau tak silap. Bermula dengan blogspot sekejap, kemudian ubah pakai wordpress.

Tujuan asalnya mahu tulis berkenaan hidup sebagai orang yang berniaga dan cuba untuk jalani hidup yang sederhana. Lama-kelamaan, sedikit demi sedikit terbawa kepada genre penulisan perniagaan, panduan dan pengurusannya yang ringkas dan berkesan.

Perlahan-lahan blog ini dapat jana pendapatan dari iklan google. Kemudian diberikan pula rezeki jalankan bisnes yang berkaitan dengan panduan berniaga yang membawa saya sampai habis seluruh bandar dan pekan yang ada di Malaysia ini hingga ke Sabah dan Sarawak. 

Tak sia-sia rupanya belajar untuk menulis awal-awal dulu.

Sebelum tahu tentang blogging, menulis sekadar menjadi impian saja. Selama ini saya anggap menulis adalah sesuatu yang sukar. Lagipun, siapa nak baca apa yang orang kebiasaan seperti saya menulis. 

Tiada apa-apa yang istimewa ada pada orang kebiasaan. Sama seperti tak ada orang tahu atau ingat petani yang pernah hidup satu zaman, malah mungkin satu kampung dengan, Tun Perak umpamanya. Manusia biasa sebegitu hidup, harungi suka dan duka kehidupannya kemudian mati terkubur jasad dan segala pengalaman dan kisah hidupnya.

Oleh kerana tak reti menulis maka saya banyak habiskan masa untuk membaca.

Cuba menulis

Aktiviti membaca lama kelamaan terbentuk jadi tabiat yang sukar untuk dilepaskan. Pantang tengok buku dengan tajuk menarik, pasti akan saya beli. Kalau bawa keluarga meronda jalan-jalan, kedai buku jadi salah satu tempat singgahan wajib bagi saya dan keluarga.

Bila banyak membaca, perlu ada orang yang anda boleh bertemu dan kongsikan pengetahuan atau pemikiran baru yang anda temui dari pembacaan. Saya bernasib baik sebab ada kawan otai yang juga kaki membaca di zaman mudanya. Dia jadi tukang dengar yang setia setiap kali kami bertemu.

Satu hari dia kata, bila dah banyak membaca, perlu mula menulis pula. Itu penting untuk mencerna segala maklumat yang sudah dibaca supaya dapat digabungkan menjadi sesuatu yang lebih kukuh. Juga untuk memaksa otak berfikir lebih mendalam.

Kebetulan, kawan otai saya itu memang merupakan seorang penulis. Maka saya tanya padanya macam mana nak menulis.

Jawapannya ringkas, "tulis saja!"

Dari petua mudah, saya mula lakukan dan ternyata ia bukanlah sesukar yang dijangkakan. Dengan teknologi yang menyediakan landasan mudah melalui media sosial, blog dan lain-lain lagi seumpamanya, untuk mempamerkan tulisan anda pada umum, memudahkan dan mempercepatkan lagi proses belajar menulis.

Makin mudah makin lemah

Samada nak membaca atau mahu menulis, anda boleh lakukan kedua-duanya sekarang dengan amat mudah. Berbeza dari zaman di mana internet belum wujud lagi. Zaman itu, anda boleh lihat kaki membaca tenggelam dalam dunia bacaannya berjam-jam.

Saya masih ingat ketika remaja, leka baca buku donggeng dari Parsi, atau Hikayat Hang Tuah dan lain-lain lagi buku-buku yang tebal-tebal sampai kena marah dengan orang tua sebab tak berhenti makan.

Sekarang anak-anak remaja tenggelam leka dengan media sosial. Tersangkut berjam-jam setiap hari merenung skrin telefon pintar mereka. Tetapi bukannya membaca atau menulis. Mereka menonton video pendek 2 atau 3 minit. Membaca quotes pendek beberapa patah perkataan, kemudian buka yang baru dan baru.

Masa dihabiskan berjam-jam untuk melayan seribu satu topik, isu atau maklumat yang berbeza. Mereka tahu sedikit saja tapi tidak memahami duduk perkara dengan lebih mendalam. Jika ada maklumat yang panjang, hanya segelintir yang ambil masa untuk membacanya. Majoriti akan skip.

Sama seperti membaca, menulis juga tak ramai yang sanggup luangkan masa menulis panjang seperti sebuah karangan. Tak sanggup membuat carian maklumat, mengesahkan fakta yang mahu disampaikan dengan sebagainya.

Membaca dan menulis makin mudah, tapi malangnya keupayaan membaca dan menulis makin hilang. Atau lebih tepat lagi, keupayaan memberikan tumpuan untuk menguasai sesuatu permasalahan menjadi makin merosot.

Anda boleh pergi semak sendiri untuk buat perbandingan maklumat berat dan panjang dari satu-satu akaun atau platform media sosial yang ada untuk sahkan perkara ini. Akaun yang paling mendapat tempat di hati pengguna adalah yang berkisar tentang hiburan. Baik perkara berkaitan keagamaan sekalipun, ia lebih ke arah hiburan. Tak lebih dari itu.

Makin sukar berikan tumpuan

Saya sendiri alami masalah yang sama. Makin lama makin sukar untuk memberi tumpuan pada pembacaan. Bukan mudah untuk fokus pada bacaan selama 1 jam pada satu buku, sekalipun ia merupakan satu tajuk yang menarik dan saya suka membacanya. 

Tapi saya boleh hanyut melayari medsos dari satu platform ke flatform lain sedar-sedar dah leka 2 ke 3 jam begitu saja. Tiada daya fokus diperlukan untuk beralih dari satu video ke video lain, dari satu maklumat kecil ke maklumat lain dan dari satu akaun tiktok ke akaun lain. 

Anda mampu hanyut 3 ke 4 jam untuk buat aktiviti sebegitu. Memang reka bentuk penggunaan media sosial direka khas untuk membuatkan anda ketagih dan terperangkap selama boleh.

Bukan setakat membaca atau menulis lama menjadi makin sukar, malah untuk duduk saja atas katil merenung siling sambil melayan perasaan atau cuba membuat refleksi terhadap kehidupan, juga adalah satu perkara yang sanat sukar untuk dilakukan sekarang.

Baru nak layan perasaan 20 minit, signal phone berbunyi tanda masuknya maklumat baru. Anda mula capai phone, buka dan dah terperangkap di situ sejam!.

Nampaknya apa saja yang dicipta manusia untuk memudahkan urusan hidupnya, berakhir dengan menjadikan manusia makin lemah dan lemah. 

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Dunia makin jadi mudah, tapi manusia makin lama makin lemah dan mudah dimanipulasi

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !