Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Sunday, April 21, 2024

Pantang larang berbincang buat tafsiran sendiri ayat-ayat Al-Quran yang dipegang kuat

  Mohd Shubhi       Sunday, April 21, 2024


Zaman kanak-kanak di kampung dulu, rumah saya terletak tak jauh dari sekolah pondok. Tok Ayah dulu  memang Tok Guru pondok. Ramai saudara mara dari belah ayah merupakan pelajar lepasan pondok. Ada yang jadi tok guru dan paling ramai jadi lebai kampung termasuk ayah saya.

Boleh dikatakan tradisi cenderung kepada agama sudah berakar umbi di kampung, sekalipun jumlah mereka yang masuk mengaji pondok makin lama makin sangat berkurangan. Namun begitu, beberapa keluarga masih kekal hantar anak mereka sekurang-kurangnya seorang untuk teruskan tradisi mengaji pondok.

Anak-anak kampung yang masuk aliran sekolah biasa , kalau tak melazimi masjid masa muda, bila beralih umur tua, majoritinya akan jadi ahli masjid juga. Masing-masing mula rajin solat berjemaah terutamanya waktu magrib dan insya serta subuh.

Mereka juga ikuti kuliah tetap pengajian agama setiap minggu di masjid. Yang lebih rajin lagi mula jadi murid tetap pergi mengaji agama di beberapa pusat pengajian yang terkenal di sekitar kampung, paling lekeh seminggu sekali. Cara berpakaian juga sudah mula berubah dengan kopiah sentiasa di atas kepala. Itu semua adalah signal mereka sudah tua dan bersedia kembali ke jalan yang lurus.

Solat di masjid & mengaji agama

Orang tua hantar saya dan abang-abang masuk sekolah inggeris di bandar. Masing-masing membesar jadi orang biasa kerja makan gaji dan bina kehidupan seperti cara kebanyakan orang. Solat tetap jadi perkara penting dalam kehidupan kami semua sebab memang itu penekanan yang diberikan oleh orang tua.

Saya pula bermula darjah 1, selain dari mula bersekolah di bandar, bapak hantar mengaji al-quran di masjid dan sekolah agama waktu pagi. Semua perkara asas tentang agama saya belajar ketika belajar Al-Quran di masjid dari Imam kampung dan ketika sekolah arab.

Hasilnya, saya jadi kaki solat di masjid sejak bersekolah sehingga lah selepas sekolah. Saya lebih gemar solat berjemaah setiap kali masuk waktunya. Jika tak sekolah, semua waktu solat akan saya hadir di masjid. Amalan itu kekal sekalipun dah keluar dari kampung sambung belajar dan kemudiannya kerja cari makan.

Habis belajar, balik semula ke kampung dan dapat kerja, saya mula rajin ikuti pengajian agama di masjid dan surau. Masa itu saya perasan dalam ramai-ramai yang rajin ikuti mana-mana tok guru dalam pengajian agama, majoritinya adalah orang tua.

Kalau ada yang muda dah tentu mereka ialah pelajar pondok yang datang ikut tok guru mereka mengajar di masjid-masjid sekitar kampung. Mungkin itu salah satu sebab masa duduk di kampung dulu selepas balik dari luar negara, ada yang ingat saya ustaz yang sambung belajar agama selepas sekolah dulu sedangkan saya belajar Math & Fizik, bukan agama.

Pantang belajar agama sendiri

Suasana yang saya gambarkan di atas tadi saya yakin berlaku di mana-mana saja kampung di negara kita. Anak muda tak ramai yang rajin belajar agama secara konsisten kecuali yang memang dari aliran agama. Yang tak rajin belajar agama akan hormati kawan-kawan mereka yang belajar. Tapi, sekalipun mereka tak rajin cari ilmu agama, pegangan tetap sama macam yang rajin mencari.

Dalam pada itu, ada segelintir lagi anak muda yang cenderung ikuti pengajian tasawuf atau sertai halaqah tertentu yang bersifat kesufian. Mereka adakan pertemuan rutin dalam jumlah yang tak ramai. Selalunya mereka lebih gemar bersosial sesama mereka dan tak boleh masuk sangat bergaul dengan orang kebanyakan sebab susah nak belaga angin.

Semua perkumpulan dan pengajian dalam bab agama berlaku dalam bentuk adanya anak murid dan ada tok guru. Tak kisah samada aliran biasa atau aliran sufi dan sebagainya. Mesti ada tok guru. Belajar agama dan beramal sendiri-sendiri adalah dilarang.

Itu yang saya faham sejak kecil. Sering diulang ingatkan oleh orang-orang tua dan para tok guru sehingga saya sendiri tak ingat bila kali pertama saya dengar panduan itu. Saya anggap itu adalah satu kewajiban yang berlaku secara konvensional difahami oleh semua orang yang beragama Islam.

Bila saya ke luar negara, berkawan dengan orang Islam dari merata tempat di seluruh dunia, saya dapati perkara sama dipegang oleh umat Islam yang belajar agama secara tradisi. Bukan orang Melayu saja yang faham demikian rupanya.

Ayat terkenal yang paling saya tak lupa adalah "belajar agama tanpa tok guru, sama dengan belajar agama dari syaitan."

Adalah dilarang untuk buka kitab, buka tafsiran Quran dan buka Kitab Hadith dan sebagainya jika anda tidak ada guru. Maksudnya perlu ada seseorang yang ada autoriti yang diiktiraf sebagai tok guru yang anda boleh rujuk nanti kalau nak baca juga sendiri-sendiri. Ertinya anda mestilah dah pernah jadi anak murid dari tok guru tersebut yang apabila perlu boleh merujuk kembali kepadanya.

Menjaga aliran agama

Konsep belajar agama dengan cara demikian ada baik dan buruknya bergantung pada cara anda mendapat didikan selama ini. Jika ikut aliran berguru, sikap anda akan jadi mudah melenting sebaik saja ada yang cuba-cuba pandai nak buka cerita ayat Quran dan buat tafsiran.

Baru-baru ini sebelum buat artikel ini, untuk mengesahkan andaian saya terhadap pantang bincang dan tafsir Quran sendiri, saya uji kawan-kawan dengan kongsikan satu ayat Quran yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia.

Saya minta semua baca dan lihat samada terdapat kejanggalan ayat pada 'terjemahan' itu.

Tanpa cuba memahami soalan, salah seorang terus menghalang perbincangan itu dengan menyatakan Al-Quran perlu dibaca ayat sebelum dan selepasnya untuk memahami konteks ayat. Kalau apa yang kita faham pula belum tentu mencapai maksud ayat dan mungkin berbeza dari mereka yang arif tentang ayat Quran. Maka untuk ambil jalan selamat, tak perlu bincang bab 'Kalam' kerana ia bukan sesuai untuk orang awal.

Itu baru nak cuba bincang pasal apa yang diterjemahkan. Bukan nak bincang maksud ayat itu sendiri.

Tanpa disedari, fahaman itu membawa kepada rumusan bahawa Quran hanya untuk segelintir ilmuan elite tertentu saja dan bukanlah untuk orang ramai manusia kebanyakannya. Itu bertentangan sama sekali dari apa yang dinyatakan di dalam Quran.

Apa yang kawan itu buat sebenarnya sama seperti hampir semua orang Islam lain yang ada aliran agama dari halaqah tertentu atau pusat pengajian tertentu. Sama seperti saya juga pada satu ketika dahulu ketika setia ikuti satu aliran pengajian.

Jika ikut cara tradisi seperti yang saya sebutkan di atas tadi, anda berpegang bahawa itu adalah satu-satunya cara untuk pastikan apa yang dipelajari oleh orang ramai, terutamanya orang awam berada pada jalan yang betul. Para Imam, paraTok Guru, para Ketua adalah pelindung kepada ajaran yang benar.

Lagipun, majoriti orang ramai memang suka ikut jalan yang telah dilalui oleh peneroka awal. Mereka tak mahu duduk di depan menjadi pemula dalam apa saja perkara. Apatah lagi dalam bab menggunakan akal untuk berfikir. Al-Quran jelas perkara tersebut banyak kali dengan mengatakan hanya sedikit yang mahu berfikir menggunakan akal.

Dengan menerima pakai keadaan orang awam yang majoritinya tak mahu berfikir, hanya bersedia nak ikut, ia mendedahkan mereka kepada risiko dikuasai oleh pemikir atau ketua atau tok guru yang ada kepentingan peribadi. 

Orang ramai ikut tok guru secara jujur dengan harapan untuk mati masuk syurga dan sanggup ikut apa saja pendapat Tok Guru, sanggup berikan apa saja pada Guru atau ketua mereka dan percaya bahawa di padang mahsyar nanti bakal mendapat syafaat dari tok gurunya. 

Contohnya, Tok Guru buka pusat tahfiz, buat promosi dan tekankan dengan memberitahu yang anak yang hafal Quran akan beri syafaat pada kedua orang tuanya dan ia memberi motivasi kepada orang tua yang mahu syurga mudah untuk jadikan anaknya seorang Hafiz. 

Itu antara sebab Pusat Tahfiz mendapat sambutan ramai dari ibubapa yang hantar anak-anak mereka yang masih kecil untuk hafal Quran dan tinggalkan aliran pendidikan moden biasa. Terang-terang yang keputusan itu adalah 100% dari ibubapa dan sebab anak mereka masih kecil untuk buat keputusan sendiri secara sukarela dan bertanggung jawab dengan keputusan mereka.

Itu contoh yang dapat saya fikirkan yang mungkin berlaku atau mungkin juga tidak berlaku dalam masyarakat kita.

Cuba bayangkan elemen ada kepentingan peribadi dari ribuan para ketua, para Tok Guru yang ada sejak ratusan tahun dulu. Masing-masing hanya tambah sedikit saja. Sedikit demi sedikit itu disuntik dalam aliran pengajian agama dan kepercayaan orang Islam zaman berzaman. 

Ia sudah tentu akan mengubah konsep sebenar yang Nabi sampaikan melalui Al-Quran pada asalnya. Sama dengan 2 garis lurus yang selari apabila diubah sikit saja beberapa micro meter dari kedudukan asalnya akan menghasilkan penjarakan yang lebar dihujung sana apabila garis lurus itu bergerak lebih panjang ke depan.

Sebab itu tidak hairan apabila anda boleh lihat sendiri betapa banyak pecahan aliran pegangan dalam agama Islam itu sendiri. Ada yang pecah dari segi kefahaman akidah, ada yang pecah atas dasar fiqah dan ada pula yang pecah atas dasar Tasawuf. Masing-masing rasa aliran mereka yang betul dan selamat serta menepati apa yang Tuhan kehendaki (berani sungguh dakwaan sebegitu).

Untuk lega kan pecahan besar yang berlaku, maka diwar-warkan bahawa pecahan umat nabi itu adalah satu rahmat. Orang awam dengar dan taat tanpa perlu gaduh-gaduh lagi sebab mereka sedang berada dalam rahmat.

Soalan penting yang manusia perlu bertanya dalam kepala mereka sekarang adalah, bagaimana nak pastikan apa yang dipercayai dan diajari sekarang adalah sama sebagaimana yang Nabi sampaikan ketika turunnya wahyu dulu?

Samada penganut Yahudi, Kristian atau yang lainnya, perlu tanya soalan sama sebab apa yang berlaku dalam agama Islam berlaku dalam hampir semua agama lain yang ada sekarang. Bagaimana nak pastikan kepercayaan dan panduan hidup yang ada dalam agama mereka benar-benar seperti mana yang Tuhan sampai kepada nabi masing-masing.

Tidak ada jalan lain selain dari merujuk dan memahami Al-Quran sahaja sebab hanya Quran sahaja yang Tuhan jamin Dia akan pelihara tanpa ada perubahan. Al-Quran juga tegaskan bahawa ia adalah pengesahan terhadap semua Kalam Tuhan lain yang diturunkan sebelum ini. Maksudnya semua mesej yang para nabi bawa dari awal sehingga kepada Nabi Muhammad adalah sama.

Cuma masalahnya adalah, orang Islam awam dilarang untuk pandai-pandai buka dan cuba paham sendiri apa maksud sebenar yang disampaikan dalam Al-Quran. Malah jika ada yang cuba-cuba mahu lakukannya, akan diberi ingatan agar tidak jadi seperti Kasim Ahmad, umpamanya. Macam yang saya kena di atas tadi.

Saya stop di sini dulu. Nanti akan sambung balik dalam artikel lain pula tentang pendekatan yang saya ambil untuk tidak meletakkan 100% kepercayaan dan fahaman saya kepada Tok Guru, Ketua, aliran atau apa saja selain kepada diri sendiri yang akan dipertanggungjawabkan terhadap akal yang telah Tuhan berikan ketika hidup.

Nota: Apa yang saya tulis di atas adalah satu sudut pandang yang keluar secara bebas apabila saya cuba berfikir kemungkinan yang berlaku secara logik. Saya yakin ada kelemahan yang besar dari pemikiran tersebut dan para Tok Guru yang alim sudah pasti ada jawapan yang padu dalam menolak apa yang saya andaikan di atas. Wallahualam.

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Pantang larang berbincang buat tafsiran sendiri ayat-ayat Al-Quran yang dipegang kuat

Previous
« Prev Post

5 comments:

  1. Brown Flesh Corpora Cavernosa with ED says: sebermula masuk menengah saya terlibat dengan segala jenis aliran "ugama" dengan pelbagai doktrin falsafah tafsiran pandangan dan cara beramal dari halaqah sosial, tarekat, sufi, hingga halaqah politik. Hingga suatu masa, atas hidayah Allah swt atas persoalan unggul saya selama ini (yg buat saya sentiasa menangis), kalau semua grup ni kata merekalah yang paling benar menurut yg diajar Nabi saw, habis, siapa yang paling benar?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sentiasa merendah diri, tawaddu', minta dgn Allah swt berikan bimbingan, hidayah dan taufik ke jln yg diredhaiNya. Bnykkan Selawat Nabi saw, amalkan 10 ayat Surah AlKahfi setiap hari dan baca Surah Al Kahfi setiap Jumaat, antara petua tok tok guru agar selamat dr perdayaan Syaithan utk menyesatkan manusia. Hormati perbezaan pendapat antara kita dan jauhkan diri dr menyalah nyalahkan yg tak sependapat dgn kita. Rendahkan diri buangkan ego, ujub rasa terpaling berilmu, hingga merendah rendahkan org lain yg berbeza pendapat dgn kita.
      Kita dgr semua pendapat dan kita pilih yg terbaik antaranya, mudah mudahan kita termasuk golongan yg berakal sempurna.
      Bg kita di Nusantara sejak berzaman, pegangan kita ; segi Tauhidnya Mazhab Assyairah dan Maturidiyah, segi Fekahnya Mazhab Assyafei' dan Tasaufnya (akhlak) mazhab Ghazaliyah. Itulah yg diajarkan di kbnykkn sekolah sekolah agama kita. Bg kita, org awam ni rasanya itu memadai. Yg lebih dr itu serah sj pd guru guru kita. Kita diam ajer, mana yg kita yakin lebih benar, kita ikuti tanpa menyalah nyalahkan yg lain.

      Delete
  2. Allahumma arina haqqa haqqan warzuknattiba'ah, wa arina batila batilan warzuknajtinabah !
    Allahumma perlihatkan kpd kami yg benar itu benar dan rezkikan kami utk mengikutinya.
    Dan perlihatkan kpd kami yg salah itu salah dan rezkikan kami utk menjauhinya.
    Amin !

    ReplyDelete

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !