Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Sunday, April 21, 2024

Antara keluar berdakwah dan keluar cari makan untuk sara hidup keluarga dan ibubapa

  Mohd Shubhi       Sunday, April 21, 2024


"Siapa yang keluar pada jalan Tuhan sekurang-kurangnya 10% daripada kehidupannya,nescaya akan berjaya!."

Itu perkongsian dari seorang kawan ketika kami sembang raya baru-baru ini. Kata-kata, atau lebih tepat nasihat itu dia petik dari seorang rakan seperjuangannya yang dia amat kagum dan hormati dalam organisasi kerja dakwah mereka.

Bagi menterjemahkan perkara itu dia keluar pada jalan Tuhan sekurang-kurang 3 hari setiap bulan untuk membolehkan dia mendapat hasil 10% dari kehidupannya keluar pada jalan Tuhan. Dengan berbuat demikian, dia mengharapkan kejayaan.

Saya khusyuk sekali mendengar apa yang dia terangkan. Dia pula sangat teruja kongsikan segala pengalaman yang didapati hasil dari kerja-kerja agama yang dia dah libatkan diri sejak beberapa tahun yang lalu.

Selesai dia menceritakan perkara itu saya tanyakan 2 soalan kepadanya. 

Yang pertama, apa yang dia maksudkan dengan kejayaan itu?

Soalan yang kedua pula, apa yang dia maksudkan dengan 'jalan Tuhan'?

Kedua-dua soalan itu tidak dapat diterangkan pada saya dengan jelas. Saya diamkan saja dan terus mendengar lagi ceritanya.

Mula keluar pada jalan Tuhan

Dia kongsikan pula bagaimana kisah bermulanya dia keluar pada jalan Tuhan. 

Kawan saya itu bila umur dah mula meningkat, tanggung jawab makin besar terutamanya pada anak-anak, mula berjinak-jinak dengan surau dan masjid. Dia cuba tingkatkan kekerapan solat berjemaah di masjid setiap kali masuk waktu.

Di masjid di mana dia kerap hadir itu ada satu kumpulan dakwah yang aktif. Setiap kali bertemu dengan mereka di masjid,  dia diajak untuk turut serta dengan aktiviti dakwah mereka. Namun pelawaan itu sentiasa di tolaknya dengan baik sebab pada pandangannya, cukuplah sekadar melazimi solat berjemaah bagi mendekatkan dirinya pada Tuhan. Itu memang satu pandangan biasa yang ramai orang pegang selama ini, yang membuatkan mereka rasa tidak perlu aktif dalam usaha berdakwah.

Pada satu hari dia sekali lagi diajak untuk keluar pada jalan Tuhan. Ajakan pada kali itu diterimanya. Dia mahu lihat bagaimana perjalanan aktiviti tersebut dijalankan. Paling penting, supaya dia tidak akan diganggu lagi setelah tunaikan ajakkan itu.

Maka dia pun keluar bersama mereka.

Kebetulan pula kali itu mereka keluar di kawasan kampung kawan saya tersebut. Dia mula rasa serba salah, rasa malu bertemu dengan orang-orang kampung yang mengenalinya apabila pergi menziarahi dari satu rumah ke satu rumah.

Namun, dia gagahkan juga dan ikuti aktiviti tersebut sehingga balik semula ke masjid sebelum solat magrib dan salah seorang dari ahli kumpulan itu berdoa sambil di-aminkan beramai-ramai. Doa itu begitu syahdu. Pendoanya menangis mohon diberikan taufik dan hidayah kepada orang-orang kampung tersebut agar mereka semua datang meramaikan masjid dan surau serta mendekatkan diri kepada Tuhan.

Dari situ lah titik tolak berlaku perubahan pada dirinya. Malam itu ketika menunaikan solat magrib, dia rasa dirinya berada di awangan, sebaik saja angkat takbir ihram. Kemudian sebaik saja mendengar bacaan basmallah dari imam, air matanya terus menitik tidak berhenti. Tiba-tiba dia rasa amat syahdu. Terdetik dalam hatinya, mungkin itulah kelazatan kusyuk dalam solat.

Ketika dia bercerita itu, suaranya mula berubah menjadi sebak, terutamanya apabila dia menzahirkan rasa risaunya kepada umat islam yang makin menjauhi agama, makin menjauhi kerja-kerja agama. Dia ceritakan bagaimana kawan-kawan sedakwahnya itu sentiasa berdoa sambil menangis memohon agar Tuhan buka pintu hati umat islam. 

Kawan saya menceritakan betapa para rakan dakwahnya benar-benar mahu ikut cara nabi yang sentiasa mendoakan untuk umatnya. Diceritakan juga pada saya bagaimana nabi menangis hingga penuh air mata berkumpul pada tapak tangannya mengenangkan nasib umat. 

Dia tekankan bahawa kalau boleh mereka mahu semua orang mendapat syurga.

Saya diam dari awal sampai akhir mendengar ceritanya yang menarik itu. Selesai dia bercerita saya bertanya padanya.

Kenapa menangis dan sedih terhadap umat islam dan mahukan mereka semua masuk syurga?

Dia jawab mereka benar-benar mahu ikut contoh yang ditunjukkan oleh nabi.

Kenapa buat kerja dakwah

Kawan saya sambung lagi perkongsiannya. Kali ini dia menceritakan kenapa dia serius ikuti kerja-kerja agama tersebut.

Paling utama semua kerja dakwah itu adalah untuk mendidik dirinya sendiri. Untuk tanam sifat tawaduk, buang rasa malu dalam usaha mengajak orang ramai keluar pada jalan Tuhan. Dia rasa itu lebih berkesan dalam menjadikan dirinya lebih rajin berzikir dan menunaikan amal ibadah.

Dia bandingkan kesan yang dia dapat dari mengikuti ceramah dan kuliah tidak sama dengan apa yang dia dapat hasil dari keluar pada jalan Tuhan. Dalam ceramah, habis selesai ikuti ceramah atau kuliah, habis begitu saja. Tidak berjaya membawa perubahan dalam dirinya berbanding apa yang dia dapat ketika keluar berdakwah.

Usaha itu juga merupakan satu pengorbanan yang dia lakukan demi agama Tuhan. Untuk mendapat kebaikan dan kejayaan dalam agama, perlu ada pengorbanan. Perlu merendahkan diri dengan melakukan semua kerja sukar seperti membasuh tandas, membersihkan masjid dan surau dan sebagainya. Begitulah hatinya dapat dididik.

Satu lagi kebaikan keluar pada jalan Tuhan adalah amalan yang dilakukan ketika melaksanakan aktiviti dakwah itu, ganjaran amal ibadahnya adalah berlipat ganda jauh lebih besar dari biasa. Semua itu tidak akan dapat jika tiada usaha keluar pada jalan Tuhan.

Dia mahu lebih ramai lagi umat Islam turut serta dalam kerja-kerja dakwah tersebut. Dia nampak kerja keluar pada jalan Tuhan itu amat berjaya dalam mengimarahkan masjid dan surau di merata tempat. 

Banyak surau terutamanya yang sebelum hadir kumpulan dakwah mereka telah mati tiada orang berjemaah. Tapi setelah mereka hadir di surau itu dan tinggal beberapa hari giat berdakwah di setiap rumah di persekitaran kampung tersebut, surau itu kini telah hidup kembali.

Cari makan juga urusan agama

Setelah saya mendengar semua itu, saya utarakan pandangan saya kepadanya bahawa dia amat fokus kepada keluar berdakwah dan aktiviti kumpulannya itu sebagai jalan yang paling utama dalam mendekatkan diri pada jalan Tuhan.

Mendekatkan diri pada Tuhan juga menjurus lebih kepada amal ibadah khusus seperti solat dan zikir. Semua usaha yang dia lakukan adalah ke arah melipat gandakan semua ibadah khusus itu dan kurangkan kesukaan kepada dunia.

Saya berpendapat urusan beri hidayah kepada orang bukanlah urusan kita, itu urusan Tuhan. Dia bersetuju dengan pendapat itu. Lalu saya tanya jika dia tahu perkara itu maka kenapa perlu menangis bersedih?

Jika nabi bersedih masih boleh diterima lagi sebab bagi nabi, urusan sampaikan risalah Tuhan adalah fardu ain padanya. Begitu juga para sahabat melaksanakan apa yang nabi suruh juga adalah fardu ain. Wajib laksanakan. Namun nabi sendiri di ingatkan oleh Tuhan dalam Quran bahawa kerja ubah dan memberi hidayah kepada orang lain bukanlah urusan nabi.

Maka kenapa dia dan rakan dakwahnya sedih dan menangis teresak-esak setiap kali berfikir tentang umat? Ikut siapa?

Satu lagi pandangan saya adalah tentang urusan keluar cari makan. Saya tanya kepadanya adakah urusan keluar bekerja untuk cari makan buat anak dan isteri serta ibubapa yang dah tua itu bukan kerja agama?

Adakah keluar cari makan untuk sediakan tempat perlindungan buat keluarga dan ibubapa yang dah tua itu bukan keluar pada jalan Tuhan?

Bagi saya, keluar cari makan untuk keluarga dan sara kehidupan ibubapa adalah kerja agama dan itu juga keluar pada jalan tuhan. Bukankah urusan itu adalah fardu ain?

Jika dibandingkan dengan urusan keluar dakwah seperti mana yang dia terangkan pada saya tadi itu adalah fardhu kifayah. Sudah tentu darjat kepentingan menunaikan fardhu ain adalah lebih tinggi dari fardhu kifayah.

Maka, sudah tentu amal ibadah orang yang keluar saban hari dari pagi ke petang untuk selesaikan tanggung jawabnya terhadap fardhu ain adalah berlipat kali ganda berbanding orang yang keluar berdakwah seperti mana yang dia terangkan tadi.

Dia jelaskan pada saya kerja dakwah itu adalah tambahan untuk melengkapkan amalan fardhu ain. Ia adalah pilihan dan bukan kewajiban pada semua kecuali jika tiada sesiapa yang lakukan semua urusan tersebut.

Maksudnya dia bersetuju bahawa orang yang keluar cari makan setiap hari dalam tunaikan fardhu ain adalah lebih utama. Lalu saya tanya kepadanya maka kenapa perkara itu tidak lebih ditekankan agar mereka yang tidak berkesempatan untuk keluar dakwah 3 hari atau 7 hari atau 40 hari tidak merasa kecewa dan risau yang dia tidak keluar pada jalan Tuhan.

Urusan itu perlu diberi penekanan agar ramai yang buat urusan itu saban hari lebih berdisiplin dan bersungguh-sungguh tunaikan tanggung jawab mereka terhadap agama. Begitu juga mereka yang cari makan dengan berniaga, mereka adalah golongan yang tunaikan fardhu ain dan fardu kifayah serentak. Bukan saja cari makan untuk keluarganya, malah membantu tunaikan fardu kifayah untuk umat. Bukankah itu lebih besar dari keluar 3 hari sebulan sekali?

Para ustaz yang sebarkan ilmu, berikan peringatan tentang kembali kepada jalan yang lurus pada orang ramai dari masjid ke masjid, dalam program dakwah, di media sosial, buat majlis ilmu live dan sebagainya juga termasuk dalam kategori berdakwah keluar pada jalan agama. Mereka selesaikan fardhu kifayah untuk umat juga.

"Semua itu bergantung kepada pemahaman masing-masing', itu yang keluar dari mulutnya selepas mendengar pendapat saya. Dan perbualan kami terhenti di situ bila isteri kawan saya itu panggil dia balik rumah ..

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Antara keluar berdakwah dan keluar cari makan untuk sara hidup keluarga dan ibubapa

Previous
« Prev Post

8 comments:

  1. Ttg ibadah.

    Seorg muslim yg mengucap Dua Kalimah Syahadah yg kekal dia sbg seorg muslim, tidak membatalkan Syahadatainnya dgn melakukan perkara perkara kufur dan syirik mk adalah dia dlm keadaan ibadah kerana Syahadatainnya.
    Jika dia berwudhu' dan kekal dlm keadaan berwudhu', mk adalah dia dlm keadaan ibadah dlm ibadah. Jika dia berpuasa dan mengekalkan wudhu'nya, mk adalah dia dlm keadaan ibadah dlm ibadah dlm ibadah. Jika dia dlm keadaan berpuasa itu bersolat pula, mk adalah dia dlm keadaan ibadah dlm ibadah dlm ibadah dlm ibadah. Dlm solat itu pula, dia membaca Quran atau berzikrullah, mk adalah dia dlm keadaan ibadah dlm ibadah dlm ibadah dlm ibadah dlm ibadah.

    Adapun ibadah itulah tujuannya Tuhan menciptakan Jin dan Manusia.
    Adapun ibadah itu pula bnyk cabangnya, yg serendah rendahnya membuang halangan / gangguan di jlnn, dan yg tertingginya, ikrar La ilaha illAllah. Apapun kebaikan yg dilakukan bila ikhlas niatnya dan mengikut panduan dr Nabi saw, mk jadilah ianya ibadah.

    Ikhlas itu pula 4 tingkatnya ;
    1. Kerana takut azabNya dan mengharap balasan baik drNya.
    2. Kerana mengharap ampunan dan rahmatNya.
    3. Kerana mengharap redhaNya.
    4. Semata mata bersyukur kpdNya.

    Setinggi tinggi derjat manusia adalah seorg Hamba yg sentiasa bersyukur kpdNya ('abdan syakura).

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih atas penerangannya. Boleh saya katakan dr penerangan di atas makan, kerja cari duit, jaga ibu bapa, menuntut ilmu tidak masuk dlm bab ibadah melainkan syahadatain yg telah diucapkan dan kekal dlmnya. Yg lahir dri keluarga Islam pula bagaimana bab mengucap syahadatain nya?

      Delete
    2. Dalam Quran perkataan ibadah atau 'abada dan yg sama dgnnya ada diulang sebanyak 111 kali. Jika di baca kesemua 111 ayat tersebut nampak sangat jelas bahawa ia bermakna mengabdikan diri hanya kpd Tuhan dalam erti kata jalani kehidupannya utk Tuhan. Kalau makan, kerana Tuhan dan bukan sebab takut orang kata atau kritik dan sebagainya. Kalau pergi kerja kerana Tuhan dan bukan sebab takut kalau tak kerja nanti isteri marah dan seumpamanya. Wallahualam

      Delete
    3. Ertinya solat, puasa, zikir, bersihkan diri dan seumpamanya hanya sebahagian kecil saja dari aktiviti manusia yang dilakukan dlm proses "mengabdikan" dirinya hanya kpd Tuhan?

      Delete
    4. Benar sekali, bahkan amalan dr kita tidur hingga tidur kembali, bahkan tidur itu sendiripun boleh jadi ibadah.

      Delete
  2. Amal perbuatan yg baik, ikhlas niatnya, ikut panduan Nabi saw, jadi ibadah bg seorg muslim. Nak jadi muslim semestinya dgn Syahadatain. Anak anak org muslim, secara otomatiknya juga menjadi muslim. Bg seorg muslim setelah aqil baligh semestinyalah menjaga solat solat wajibnya, yg di dlmnya sekurang kurangnya sekali kita mengulang Syahadatain.
    Seorg muslim kekal sbg muslim selagi tidak meninggalkan solat solat fardhunya dgn sengaja. Bahkan para sahabat r.anhum. tidaklah sepakat sesuatu perkara yg bila ditinggalkan menjadi kafir kecuali solat (walau pun dlm mazhab kita, tidak sekeras itu).

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih atas penjelasannya. Keras betul para sahabat terhadap solat. Biasanya yg dikatakan para sahabat sepakat itu merangkumi siapa senarai para sahabat itu ya?

      Delete
  3. Dikatakan Sahabat r.anhum. menurut para ulama' kita adalah mereka yg hidup di zaman Nabi saw, pernah berjumpa Nabi saw dlm keadaan beriman dan mati dlm keadaan beriman. Disebut Nabi saw sbg sebaik baik kurun / generasi, bahkan dipuji Allah swt sbg sebaik baik umat.

    ReplyDelete

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !