Selepas sarapan pagi tadi saya layan filem dokumentari kehidupan haiwan di pergunungan Ethiopia Afrika sebentar. Filem itu merakamkan kehidupan sekumpulan monyet 'Gelada' sedang leka bersosial dan makan di sekitar tanah tinggi tersebut.
Bila tengok cara monyet itu berkelakuan, saya terbayangkan kelakuan manusia yang nampak hampir sama. Mungkin sebab itu agaknya Darwin boleh dapat idea yang manusia berasal dari monyet. Tertarik dengan cara mereka jalani hidup, saya buat carian maklumat tentang Gelada di wikipedia. Ternyata ada banyak sikap gelada yang menyamai manusia. Boleh baca kat sini kalau berminat.
Saya perhatikan bentuk tubuh badan dan cara duduk mereka, ada tangan yang berfungsi saling tak tumpah seperti manusia, menyelak, memilih dan meragut tumbuh-tumbuhan rumput di sekitar kawasan itu dengan jari jemari kemudian suap masuk ke mulut dan kunyah, nampak tenang dan bebas sekali.
Gelada merupakan satu-satunya jenis monyet yang 90% dari sumber makanan mereka adalah tumbuhan rumput dan bijirin. Bunga juga boleh jadi makanan mereka malah tumbuhan herba juga mereka jadikan makanan.
Kitaran hidup mereka secara ringkasnya bermula dengan tidur pada waktu malam di tepian tebing tinggi. Bila matahari naik mereka bangun dan bergerak ke dataran landai untuk bersosial di waktu pagi dengan kawan-kawan. Bila tengahari, mereka merayau dan aktiviti sosial berkurangan. Bila petang aktif balik bersosial lagi dengan kawan-kawan dan bila gelap pergi cari tempat tidur dan tidur.
Begitulah cara mereka jalani kehidupan dalam tempoh jangka hayat mereka selama 15 tahun di pergunungan tersebut. Dalam satu kumpulan, ada dalam 12 ekor gelada betina dan antara 1 ke 4 ekor gelada jantan. Walaupun ada lebih dari 1 jantan dalam kumpulan itu, hanya seekor sahaja yang boleh mengawan dengan betina yang ada. Jantan 3 ekor lagi tu hanya boleh tengok saja.
Satu perkara yang menarik diperhatikan oleh pengkaji adalah berlakunya aksi curang antara jantan dan betina dalam kumpulan tersebut secara diam-diam. Bila pasangan betina dan jantan curang, mereka mengawan secara diam-diam tanpa keluarkan bunyi bising seperti kebiasaan gelada mengawan. Ini untuk mengelak dari di tangkap oleh gelada jantan ketua dalam kumpulan itu. Kalau tertangkap, pasangan tersebut akan terima hukuman siksaan oleh jantan ketua itu.
Satu lagi perkara menarik ada pada gelada ini adalah cara mereka berkomunikasi. Bunyi yang komplek dan berbagai hampir menyamai manusia dalam bertutur. Setiap bunyi ada makna tersendiri. Mereka juga berkomunikasi dengan isyarat badan.
Memang menarik apa yang saya tonton dalam filem itu, tapi bukan itu tujuan utama artikel ini. Saya cuba bayangkan kehidupan manusia pada satu ketika dahulu sebelum dunia berubah jadi moden atas nama kemajuan.
Kehidupan manusia sekarang
Banyak kali juga saya ulang bab kehidupan manusia moden dalam beberapa artikel yang lalu dan saya ulang sekali lagi di sini. Bukan merungut. Sekadar menyatakan fakta apa yang berlaku sahaja dan tidak bertujuan untuk ubah apa yang sedang berlaku.
Sia-sia pun kalau cuba nak ubah sebab saya yakin manusia punya perjalanan adalah bergerak menuju ke lubang kehancuran. Makin lama makin hampir dan akhirnya terjun mati beramai-ramai. Memang itu arah tujunya dan hanya sebilangan kecil sahaja yang sedar dan tidak tertipu dengan tipu daya syaitan yang bersumpah untuk sesatkan anak-anak Adam sehingga ke akhir dunia.
Rujuk pada Surah Al-A'raaf (Q7: 11-17) di mana Syaitan menolak untuk tunduk kepada Adam setelah diperintahkan oleh Tuhan lalu Tuhan melaknatnya. Syaitan marah dan minta Tuhan tangguh kan masa untuk dia sehingga hari kiamat untuk dia sesatkan manusia dengan mendatangi mereka depan belakang kiri dan kanan. Dan Tuhan akan humban syaitan bersama mereka yang ikut Syaitan ke dalam jahannam.
Cuba bayangkan syaitan yang bersumpah depan Tuhan untuk sesatkan seramai mungkin manusia dan mahu buktikan bahawa sesungguhnya manusia itu tidak tahu bersyukur. Adakah anda rasa dia akan buat usaha sesatkan manusia itu secara main-main?
Sudah tentu tidak sama sekali. Saya 100% yakin dia buat perancangan yang sangat rapi dari awal dulu sampai sekarang secara tersusun dan licik sekali agar manusia bergerak beramai-ramai untuk terjun ke lubang jahannam bersamanya.
Sekarang anda boleh lihat manusia hilang keupayaan memberi tumpuan terhadap hidupnya sendiri. Majoriti besar manusia sekarang, tak mampu untuk tekun duduk diam baca lebih dari 5 muka surat buku. Apatah lagi nak duduk lama-lama 2 jam menelaah buku keilmuan.
Tapi orang yang sama yang tak boleh buka dan baca buku lebih dari 15 minit itu, mampu terkebil-kebil membelek telefon pintarnya melayan video TikTok atau medsos lain selama 3 ke 4 jam tanpa dia sendiri sedar. Kalau tak kena jerkah dengan boss atau pasangan, dah tentu dia akan terus layan sehari semalam agaknya.
Untuk memperdaya manusia yang kononnya dia tidak leka, maka dihidangkan dalam medsos segala ceramah pendek, sufi express, fiqah, akhlak, akidah dan segala petua agama pendek, ilmu ringkas dan panduan segera yang semuanya berdurasi hanya beberapa minit atau saat. Yang menontonnya merasa selamat yang dia sedang berada pada jalan agama menuntut ilmu dengan menonton tiktok sini sekerat sana sekerap. Hakikatnya, semua itu hanya hiburan semata.
Itu bab fokus. Lihat pula bab tekanan jiwa yang ada pada majoriti manusia sekarang. Anda boleh perhatikan cara manusia bawa kenderaan di atas jalan. Mereka seperti dirasuk jin ketika memegang steering kereta. Motosikal sama juga, pantang silap, akan kena hon dan sepak terajang boleh saja berlaku. Malah kerap berlaku dua kenderaan berhenti dan keluar untuk beradu tenaga pukul memukul hingga ada yang mati. hanya disebabkan silap sikit saja.
Jika anda lihat manusia samada sedang jalan kaki, naik basikal, bawa motosikal, pegang steering kereta, lori, bas atau apa saja keadaan mereka, ingatlah bahawa anda sedang melihat sebiji Bom-Jangka yang hanya menunggu masa untuk meletup.
Hilang keupayaan memberi tumpuan, hilang keupayaan kawal diri dan seumpamanya adalah hasil dari semua kemajuan yang manusia sendiri cipta dengan segala peralatan canggihnya. Ditambah lagi dengan pemakanan manusia yang dipenuhi oleh sumber makanan yang tidak cukup zat yang diperlukan oleh tubuh badan.
Semua makanan proses boleh diumpamakan sebagai makanan palsu. Malah tumbuhan juga sudah dipalsukan dengan adanya GMO - Genetically Modified Organism, sudah pasti sifat alami yang ada pada tumbuhan dan makanan itu berubah serta memberi kesan kepada tubuh badan manusia. Mustahil semua keadaan itu tidak memberi kesan kepada sikap manusia yang nampak makin lama makin hilang arah seperti zombies sekarang.
Manusia moden hanya menggunakan akal mereka untuk kuasai kemahiran yang ditentukan oleh puak penguasa dan pemerintah dunia sahaja, kemudian menjadi hamba kepada perusahaan kapitalis dan projek hancurkan dunia mereka.
Akal manusia sekarang sudah tak mampu untuk berfikir buat diri sendiri secara waras dan tidak terpengaruh. Tidak mampu fikir secara sedar dan bersikap kritis serta tak dapat melihat apakah ertinya 'hanya menyerahkan diri kepada Tuhan semata' sebagai yang diingatkan dalam Al-Quran. Ramai yang tertipu.
Lihat para Ustaz mencipta content, para pengikut guna ustaz cipta content, ratusan ribu pengikut, penuh dengan hiburan, penuh dengan pengaruh, penuh dengan hujah menjatuhkan pesaing yang berbeza fahamannya, masing-masing pertahankan cara mereka, dan masing-masing yakin kumpulannya mati masuk syurga.
Saya beri contoh agama sebab ia digunakan atas nama menegakkan kebenaran, itupun mudah terpesong tertipu dengan nikmat moden, kuasa, harta dan populariti. Bab hiburan lain tak payah cerita lah.
Walau bagaimanapun, bukan semua hanyut, masih ada segelintir yang berjaya pertahankan diri dari tipu daya syaitan. Tapi biasanya mereka tidak akan berjaya jadi pempengaruh, atau influencer. Malah nasihat mereka membosankan, serius sangat, tidak faham jiwa anak muda, tak faham tekanan jiwa manusia bekerja dan seribu satu alasan lagi yang membuatkan mereka tak popular sebab berkata benar dan tidak cuba ambil hati sesiapa melainkan Tuhan.
Tiru cara Gelada
Sebelum waktu siang dan malam kehidupan manusia, dipisahkan antara kerja dan tidak kerja, manusia sudah tentu hidup seperti gelada di atas tadi. Anda boleh lihat gambaran kehidupan gelada adalah 100% hidup. Tiada pemisahan antara kerja dan tidak kerja.
Manusia dahulu kala juga begitu. Tak ada cuti atau kerja, atau waktu bersama majikan atau bersama keluarga. Itu semua tak wujud. Yang ada hanya hidup dengan 2 tujuan utama. Untuk teruskan hidup dan untuk membina keluarga. Segala aktiviti yang berlaku pada manusia dahulu bertumpu kepada 2 matlamat utama tersebut.
Saya post dulu artikel ini disini .. sambung balik bila ada masa nanti. TQ
No comments:
Post a Comment
Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !