26 August 2025

Berapa tempoh umur yang terbaik untuk mendirikan rumah tangga di zaman sekarang

  Ano Nyme       26 August 2025


Semalam saya hantar kereta ke bengkel depan taman untuk betulkan 2 masalah utama yang dah dibiarkan dalam tempoh masa yang agak lama tidak dibetulkan. Maklumlah, kereta itu saya beli dari Tan Chong Motor dah lama iaitu pada tahun 2014. Punca utama ambil kereta itu adalah hasil dari tawaran diskaun RM25k yang mereka buat. Mereka nak habiskan stok kereta terakhir yang diimport secara CBU dari tersadai di dalam show room lebih lama lagi.

Umur kereta itu sekarang di tangan saya dah masuk 11 tahun. Jika dikira dari tahun ia di pasang di Thailand dia dah berumur 13 tahun. Jika diikutkan polisi yang kerajaan nak buat, setiap kenderaan berumur lebih dari 10 tahun perlu dilupuskan. Data tahun 2023, ada lebih dari 10 juta kereta yang masih digunakan yang dah melepasi 10 tahun. Sebab itu rasanya kerajaan tak putuskan lagi, takut ramai yang mengamuk hingga mampu tumbangkan kerajaan jika polisi itu berjalan. Nasib baik untuk saya juga, boleh pakai lagi kereta yang masih elok tu.

Saya beli dengan harga diskaun yang besar, kekal pakai sampai dah masuk 11 tahun dan berusaha jaga sebaik mungkin supaya kereta itu dapat bertahan selama mungkin, semuanya adalah demi penjimatan duit yang saya ada. Simpan duit itu bukan untuk kegunaan saya sendiri, tapi diperuntukkan buat kegunaan anak-anak yang masih tak reti cari duit dan sara kehidupan mereka. 4 orang anak yang saya ada masih belajar. Kakak mereka yang sulong saja dah bekerja dan pandai berdikari, yang lain semuanya perlu saya tanggung lagi. 

En Lim pemandu Grab

Selepas hantar kereta saya ambil grab dari rumah ke pejabat. Seperti biasa, saya akan temuramah setiap pemandu Grab yang saya ambil. Itu perkara yang makin lama makin kurang orang buat, berinteraksi sesama manusia lain. Saya tak mahu amalkan sikap yang bertentangan dengan kelebihan yang ada pada manusia, kemampuan berinteraksi dan menjalinkan perhubungan sesama manusia lain. 

Pemandu Grab itu namanya En Lim, berumur 64 tahun dan lahir dan membesar di Selangor. Dia bawa Grab untuk habiskan masanya daripada duduk terkebil-kebil di rumah tanpa sebarang aktiviti. Dia dah bersara dari kerja makan gaji setelah bekerja sejak tamat persekolahan lama dulu. Dia kerja di sebuah kilang kepunyaan bapa saudaranya yang menjadi pembekal kepada TNB. Mereka buat panel elektrik dari dulu sampai sekarang. Bila kilang itu berpindah ke Ijuk, dia berhenti sebab tak mahu berulang alik jauh dari Gombak ke Ijuk.

Lagipun anak-anaknya seramai 2 orang sudah pun berkeluarga dan tidak perlu ditanggung lagi. Tak banyak duit yang dia perlukan sekarang untuk teruskan hidup. Bila duduk saja kat rumah dia rasa bosan sebab dah terlalu lama biasa dengan kesibukan cari makan selama ini. Saya terkejut juga bila dia beritahu yang anak-anaknya sudah berumur lebih dari 40 tahun dan anak lelakinya sekarang sudah ada kilang sendiri, juga sebagai pembekal kepada TNB.

Anaknya dulu dia daftarkan masuk ke Kolej TAR selepas tamat tingkatan 5 tapi hanya bertahan selama sebulan sahaja dan berhenti tak mahu teruskan pengajian. Dia nak terus kerja macam ayahnya, dikilang yang sama. Tapi anaknya pandai sikit sebab setelah dah faham selok belok perniagaan, dia berhenti dan buat kilang sendiri sama seperti Tok Saudaranya. Saya puji En Lim sebab tak halang anaknya untuk tidak mahu sambung belajar. Bagi En Lim, yang penting, kemampuan untuk cari makan untuk sara kehidupan sendiri. Tidak semestinya perlu masuk universiti untuk boleh berdikari cari makan.

En Lim beritahu yang dia ikut cara ayahnya dulu yang tak halang dia dari terus cari kerja selepas tamat persekolahan dan tak mahu sambung belajar. Bila mula kerja awal, dia bersedia untuk kahwin awal, ketika umurnya baru 21 tahun dan isterinya ketika itu baru berumur 18 tahun. Sebab itu sekarang dalam usi baru 64 tahun, En Lim dah boleh berehat dari menyara anak-anaknya. Itu kali pertama yang saya jumpa seorang lelaki Cina berkahwin awal. Mungkin ada ramai lagi seperti En Lim tapi saya tak pernah jumpa, malah tak pernah terfikir orang Cina berfikiran seperti En Lim.

Kahwin lewat di usia 33 tahun

Tak molek jika saya saja yang korek perihal En Lim sedangkan dia tak ada peluang untuk tahu tentang diri saya. Bila dia bertanya tentang diri saya, umur dan anak-anak, dia agak terkejut bila saya beritahu yang dari 5 orang anak yang saya ada baru seorang dah bekerja. Semua 4 orang lagi masih belajar. Saya beritahu yang saya kahwin lewat. Bila usia dah masuk 33 tahun, barulah saya mendirikan rumah tangga.

Saya akui ia adalah sesuatu yang tidak bijak untuk kahwin lewat. Berbanding dengan kawan-kawan lain di kampung, semua dah ada lebih sedozen cucu sedangkan saya masih terhegeh-hegeh terus berusaha untuk menyara anak-anak yang sudah pastinya akan berterusan lagi sekurang-kurangnya dalam tempoh 10 tahun yang akan datang, jika masih diizinkan untuk terus bernyawa dan sihat tubuh badan.

Sebab utama kahwin lewat adalah saya sambung belajar selepas tamat tingkatan 5. Ketika kawan-kawan sekampung ramai yang terus cari kerja, saya habiskan lagi masa selama 5 tahun untuk belajar. Masih tak ada idea apa nak jadi kepada kehidupan saya ketika itu. Ada pernah ambil langkah untuk mendirikan rumah tangga ketika belajar dulu bila saya tertarik dengan pergerakan Al-Arqam yang menjodohkan anggota jemaah mereka lelaki dan perempuan. 

Saya bukan anggota mereka tapi kalau jadi percaturan temukan jodoh saya ketika itu, dah tentu saya jadi ahli jemaah mereka pada tahun 1991 dahulu. Entah kenapa saya berfikir semula projek untuk berkahwin itu. Yang saya ingat, disebabkan saya tak berapa sehaluan dengan cara dan pemikiran mereka yang berbeza dari apa yang saya faham.

Ramai kawan-kawan kampung tinggalkan saya sayup jauhnya. Ada yang berkahwin seawal umur 19 tahun. Kawan itu sekarang sudah ada sebuah empayar keluarganya sendiri yang besar 3 generasi dan dah nak masuk 4 generasi. Dari luar, saya kagum dan hormat pencapaiannya. Bukanlah sesuatu yang mudah untuk membina empayar seluas itu dalam usia sama seperti saya. Itu satu kejayaan yang besar dan saya amat yakin banyak cubaan dan cabaran yang dia sudah tempuh yang buatkan dirinya jauh lebih matang dalam bab membina keluarga berbanding saya.

Berapa umur sesuai kahwin

Dari apa yang saya kongsikan di atas tadi, persoalan yang nak cuba diketengahkan adalah berapa umur terbaik untuk mendirikan rumah tangga sekarang?

Zaman mak bapak saya dulu kahwin seawal umur 20-an adalah perkara biasa untuk orang lelaki. Untuk perempuan pula mereka dah mendirikan rumah tangga sebelum masuk umur 20 tahun lagi. Zaman itu orang lelaki kebanyakannya hanya tamat sekolah rendah. Jika sambung belajar selepas sekolah rendah, itu tanda anak-anak orang kaya atau bernasib baik dikurniakan rezki peluang sambung belajar. Biasanya mereka jadi orang-orang penting dalam masyarakat begitu juga anak-anak mereka.

Masuk zaman abang saya, anak-anak akan sambung ke sekolah menengah sebagai amalan biasa. Yang bernasib baik samada disebabkan pencapaian akademik yang melebihi purata atau dari keturunan keluarga kaya, akan sambung masuk universiti. Yang sambung uni itu sekarang jadi orang penting dalam kerja dan industri. Mereka dah duduk di taman perumahan elit sekarang di kotaraya atau balik kampung buat rumah besar macam istana dengan tanah kebun yang luas.

Bila masuk zaman sekarang pula sambung belajar selepas tamat tingkatan 5 sudah jadi satu lumrah. Malah habis diploma, sambung lagi ke ijazah. Habis ijazah sambung buat masters dan kemudian buat doktor falsafah. Sambung dan sambung belajar jadi amalan yang kadangkala berlaku tanpa ada sebab tertentu yang dia nak capai. Pokok pangkal nak sambung belajar adalah kerana dirasakan ada kertas akademik lagi tinggi lagi bagus. Untuk apa semua itu, ada yang tak dapat nak jawab dengan meyakinkan.

Sambung belajar lewat kahwin

Bagi saya, jika ada hasrat untuk masuk aliran akademik, maka ia memang ada kelebihan dan keperluan jika mahu pergi jauh. Tapi sambung belajar dan sambung tanpa arah tuju, nampak seperti jadi pak turut yang tertipu dengan kegiatan pemasaran para peniaga dalam bidang pengajian dan pendidikan sahaja. Buat kolej, universiti dan seumpamanya sudah jadi satu perdagangan untuk kayakan pelabur dalam bidang tersebut. Baik dalam aliran sekular mahupun dalam bidang agama.

Apa yang berlaku sekarang memberi kesan kepada proses kematangan anak-anak muda yang ibubapa mereka terjebak dengan tekanan masyarakat yang terpedaya dengan perdagangan pusat pengajian. Dan yang merana adalah para ibubapa dari kalangan berpendapatan pertengahan yang terpaksa korbankan masa dan tenaga untuk cari duit menyara anak-anak yang dah jadi seperti dirasuk untuk sambung belajar selepas tamat sekolah.

Buat ibubapa yang berpendapatan rendah, tiada kemampuan untuk ikut budaya itu sekalipun mereka mungkin rasa terkilan, sedangkan bagi saya ia adalah satu kelebihan untuk tidak dapat pengaruhi oleh jala iklan sambung belajar yang menjanjikan kelebihan. Ramai yang anak-anak mereka mula cari kerja dari bawah sebaik saja tamat sekolah. Anak-anak ini sebenarnya jauh lebih baik proses kematangan mereka. 

Tak perlu nak rasa rendah diri sebab lebih lama tempoh anda tercampak dalam dunia sebenar kehidupan, lebih bagus proses kematangan anda memahami erti kehidupan. Dalam kawan-kawan seusia masih hanyut dalam dunia drama 7 petang di menara gading, anda sudah dapat bezakan apa itu dunia palsu dan mana satu dunia keras sebenarnya kehidupan.

Tapi sekalipun ada ramai yang tak berkemampuan untuk sara anak-anak sambung belajar, sistem yang ada berjaya juga pecahkan keupayaan anak-anak muda ini dari masuk ke dunia sebenar lebih awal dengan merangka peluang berhutang untuk sambung belajar. Belum lagi mampu jana pendapatan, mereka sudah diikat tengkok dengan hutang. 

Maka anak-anak malah masyarakat dan pimpinan sekeliling, yakinkan ibubapa bahawa hanya dengan sambung belajar sahaja keturunan mereka akan berubah. Dan mak bapa terus mengharap, kerja lebih kuat sementara menunggu anak-anak tamat belajar dan menjadi kekaguman mereka satu hari nanti. Biasanya mak bapak ini mati awal sebelum sempat nikmati kejayaan anak-anak mereka, sebab tekanan hidup adalah pembunuh besar manusia moden sekarang. Idea bahawa hanya dengan pendidikan terbukti benar zaman selepas merdeka hingga ke satu tempoh zaman Tun Mahathir jadi Perdana Menteri dahulu, tapi saya sangsi ia masih lagi benar sekarang.

Cuba lihat sekarang berapa peratus tenaga kerja yang terpaksa terima tawaran kerja dibawah kemampuan atau kelayakan sebenar mereka. Mengikut laporan NST online pada May 2025 sebanyak 65% pemegang ijazah dibayar gaji kurang dari RM3 ribu. Kalau ikut Khazanah Research pula, kajian tahun 2021, 65.6% dari pemegang ijazah di bayar kurang dari RM2 ribu sebulan. Satu lagi rumusan adalah dalam 3 graduan, seorang terpaksa bekerja di luar dari bidang yang mereka belajar.

Secara umum, lebih dari separuh ibubapa yang berkorban melepaskan anak-anak sambung belajar dengan impian untuk ubah keturunan mereka terpaksa bersabar lagi menunggu peluang datang mengetuk pintu rumah PPRT mereka. Yang pastinya mereka terpaksa tahan tekanan jiwa setiap kali surat minta bayar hutang pengajian dulu yang masih tak mampu dilunaskan masuk ke kotak surat mereka.

Akibat semua itu, anak-anak kahwin lewat, mak bapak kerja kuat sampai meninggal dunia tanpa sempat melihat keturunannya berkembang dalam keadaan yang lebih senang dari dirinya.

Bandingkan kawan-kawan di kampung yang ramai anak-anak sebab kahwin awal. Sebahagian besar anak-anaknya kerja terus selepas tamat sekolah, bapa rehat awal sebab anak-anak berdikari awal, keluarga besar dan stabil sebab sumbangan yang kecil dari ahli yang ramai akan jadi besar dan selesa buat ayah dan ibu yang masih kuat hidup di kampung dengan kos yang agak rendah ditambah pula dengan tinggal dirumah dan atas tanah sendiri.

Itu yang berlaku pada kawan kampung saya di atas tadi, Mungkin dikampung perkara itu lebih mudah untuk berlaku, tapi contoh En Lim yang saya berikan tadi berlaku di pusat bandar besar juga berlaku perkara sama. Dia bersara awal dan anak-anaknya juga berjaya berdikari tanpa sambung belajar ambil diploma atau ijazah.

Kerja awal kahwin awal

Tentu ramai yang akan tolak pendapat untuk tidak beri galakan sambung belajar selepas tamat sekolah menengah. Saya sering lihat perdebatan ini berlaku di medsos di mana pro sambung belajar masih percaya pendidikan tinggi mampu ubah keluarga. Tapi data yang saya berikan tadi menyatakan bahawa 65% dari mereka yang sambung belajar berakhir dengan tanggung hutang pengajian dan dapat kerja yang tak seberapa bayarannya berbanding kawan mereka yang terus bekerja selepas sekolah dan dalam tempoh 5 tahun, pengalaman yang mereka ada membolehkan gaji mereka yang tak ada ijazah itu2 atau 3 kali ganda dari rakannya yang baru grad.

Pemimpin juga tentu tolak saranan tak payah jadikan sambung belajar sebagai amalan semua pelajar selepas tamat sekolah sebab kata mereka negara maju perlukan rakyat berpendidikan tinggi yang ramai. Jika anda baca maklumat yang diberikan oleh ahli ekonomi Korea Ha-Joon Chang dalam bukunya 23 Things They Don't Tell You About Capitalism, anda akan lihat data menunjukkan sebaliknya. Iaitu kemajuan sesebuah negara tidak ada hubung kait yang selari dengan tahap pendidikan samada rendah menengah atau tinggi.

Semua orang mahu anak-anak muda sambung belajar lebih tinggi hanya disebabkan berjayanya propaganda para kapitalis dalam melahirkan kilang pengeluaran hamba abdi sebanyak mungkin supaya pelaburan mereka dalam industri pembuatan dan perniagaan lain tidak kepupusan hamba untuk bekerja di dalamnya. Ya betul! akan ada hamba yang jadi macam Spartacus atau Toussaint Louverture, naik menjadi pemimpin, tapi itu sangat terpencil malah tidak kekal.

Yang pastinya, hamba abdi dahulu kala adalah jauh lebih senang hidup mereka dari hamba yang dipanggil pekerja, staff, executive, officer dan sebagainya sekarang yang akan dibuang bila majikan tak perlukan mereka. Hamba abdi dulu kala dibela sampai mati oleh tuannya termasuk seluruh keluarga hamba itu.

Kilang pengeluaran hamba sekarang sangat berjaya dalam merencatkan keupayaan akal berfikir bakal hamba masa depan mereka. Majoriti gagal  membebaskan diri dari belenggu propaganda kaum elite atasan yang mengatur segala perjalanan ekonomi dunia termasuklah cara hidup majoriti besar manusia di bumi sekarang. 

Jika anda mahu bebaskan pemikiran dari semua belenggu itu, kerja awal, dalami ilmu kehidupan, baca buku falsafah dan pemikiran lama dan tak perlu terikut-ikut dengan pendapat para jurucakap yang dibayar bagi mengekalkan sistem perhambaan zaman moden sekarang yang mereka gelar thought leader dan seumpamanya. 

Perkara paling buruk yang boleh berlaku pada manusia adalah merasakan dia sedang berada di atas jalan yang benar dan sangat yakin dengan keadaannya itu selamat dan selesa sedangkan dia sebenarnya sedang dipandu ke lubang kehancuran.

Mungkin cerita orang tua dulu kononnya ada orang yang dirasuk masuk ke dunia bunian dengan makanan serba mewah dan kehidupan penuh bahagia sedangkan dia hakikatnya diberi makan najis dan hampir separuh mati hanyalah kiasan sebagai amaran kepada anak cucu untuk sentiasa semak diri agar tidak terpedaya pada dunia bunian.

Jadi saya sarankan tamat secepat mungkin zaman persekolahan dan masuk ke dunia cari makan, kahwin awal dan kumpulkan pengalaman tanpa meninggalkan aktiviti mengasah akal untuk melihat kebenaran. Jangan sampai mati baru terjaga.

logoblog

Boleh Like dan Share artikel ini di akaun Medsos anda. Terima Kasih sudi luangkan masa membaca artikel, Berapa tempoh umur yang terbaik untuk mendirikan rumah tangga di zaman sekarang

Newest
You are reading the newest post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !