Saturday, 25 October 2008

Khidmat Bimbingan Perniagaan

Posted by   on

Blog ini saya daftarkan dengan tujuan untuk memberi khidmat nasihat kepada mereka yang berminat untuk menjadikan perniagaan sebagai sumbangan amal kebajikan di samping sumber saraan hidup mereka.

Berbekalkan pengalaman saya yang telah berkecimpung dalam dunia perniagaan selama ini saya terpanggil untuk menjadikan usaha bimbingan perniagaan ini sebagai satu bentuk sumbangan saya kepada para usahawan dan bakal usahawan.

Saya percaya pengalaman saya mengharung liku-liku sebagai seorang usahawan selama ini harus disebarkan kepada sebanyak mungkin golongan usahawan dan bakal usahawan yang lain agar mereka dapat menempa kejayaan dengan lebih cepat dan jauh tanpa membuang masa dengan mencuba belajar dari kesalahan sendiri.

Perjalanan saya menjadi seorang usahawan bermula sejak saya masih bersekolah menengah di tingkatan lima. Pada masa itu saya menjalankan perniagaan burger dengan mengambil tempahan dari pelajar sekolah berasrama penuh pada hujung minggu, menyediakan tempahan tersebut dan seterusnya menghantar ke asrama mereka.

Selesai menghadapi peperiksaan SPM, saya mula berniaga burger secara sepenuh masa di pekan kecil kampung saya di Penanti, Bukit Mertajam. Pada waktu itu, tahun 1985, burger merupakan satu jenis makanan yang agak baru dan sedang meningkat popular kepada masyarakat kita. Hasilnya amat lumayan bagi diri saya pada ketika itu sehingga saya mampu untuk menggajikan rakan sekolah saya yang sama-sama menunggu keputusan SPM.

Selepas keputusan SPM diumumkan saya terpaksa berhenti dari meneruskan perniagaan tersebut kerana menyambung belajar ke luar negara. Perniagaan burger saya itu saya jual semuanya pada seorang rakan kampung saya Ibrahim, yang pada waktu itu tiada pekerjaan tetap dan banyak membuang masa dengan perkara yang tidak berfaedah. Saya menjual semuanya termasuk stok, peralatan dan kios burger tersebut dengan harga hanya RM50.00

Ibrahim sekarang merupakan seorang usahawan yang berjaya dan dikenali ramai di tempat saya sekarang. Saya puas dengan sumbangan saya yang tak seberapa memperkenalkan Ibrahim kepada perniagaan burger itu.

Tamat belajar dan bekerja seketika, saya memulakan perniagaan kedai makan dengan abang saya di sebuah kedai makan di Pekan Penanti. Saya terpaksa meninggalkan perniagaan itu kerana sambung belajar lagi.

Tamat belajar saya diterima bekerja di sebuah syarikat automotif di Kulim. Di situ saya bekerja selama 3 tahun dan berhenti untuk memulakan perniagaan membuat peralatan fiber glass. Saya bersama beberapa pekerja saya menjalani kursus membuat peralatan fiber glass sebelum menjalankan perusahaan tersebut. Namun faktor ekonomi yang amat buruk pada ketika itu menyebabkan usaha saya ketika itu lebur.

Saya terpaksa menyara hidup pada waktu itu dengan berniaga di pasar malam di sekitar daerah kampung saya. Macam-macam yang saya niagakan termasuklah, petai, kain batik, kain pelikat, baju kelawar, sabun pelbagaiguna dan lain-lain lagi. Banyak pengalaman suka duka ketika itu yang kalau saya ingatkan kembali membuatkan saya tersenyum.

Pada waktu itu juga saya bersama beberapa rakan saya mengambil alih sebuah syarikat MLM dan mula memasarkannya dengan berpusat di Kulim. Saya menjadi motivator bidan terjun ketika itu. Namun produk utama kami pada ketika itu telah dibeli oleh syarikat MLM lain yang jauh lebih besar. Dan kami terkontang-kanteng tiada produk utama untuk dijual dan akhirnya perniagaan MLM kami gulung tikar.

Selepas itu saya berjaya mendapatkan hak pengedaran sejenis baja yang diimport dari Amerika. Saya mendapatkannya dari seorang rakan lama yang mendapat hak esklusif pengedaran baja tersebut untuk kawasan Asia Pasifik. Saya hanya mengambil hak pengedaran di kawasan utara semenanjung.

Perniagaan baja itu membuahkan hasil. Ia mula berkembang dan baja kami mula dikenali di kawasan utara ketika itu. Selama satu tahun saya bertungkus lumus dengan perniagaan baja tersebut sehingga saya mengambil keputusan untuk menyerahkannya pada rakan kongsi saya. Saya berhasrat untuk mencari peluang lain dengan berhijrah ke Kuala Lumpur.

Di Kuala Lumpur saya menolong seorang rakan sekolah saya yang mejalankan perniagaan Building Automation. Kemudian saya bekerja di syarikat Ericsson, Flextronic dan akhirnya DHL sebelum berhenti dan memulakan perniagaan Perkhidmatan Kawalan Serangga sehinggalah sekarang. Dan saya berhasrat untuk meneruskan perniagaan ini sehinggalah saya berjaya membina sebuah syarikatkawalan serangga yang terbesar dan terbaik di dunia.

1 comment:
Write comments
  1. Assalamualaikum En. Mohd Shubhi, sy tertarik membaca artikel en. berkenaan susah payah & bangun duduknya en. utk memula dan seterusnya membangunkan perniagaan. Sy ingin berkecimpung di dalam bidang perniagaan kecil-kecilan tetapi tidak mempunyai sebarang pengalaman. Di mana harus sy bermula?Utk pengetahuan en. skrng sy bekerja sepenuh ms di dlm bidang swasta. Memohon bantuan serta bimbingan dr en. ttg di mana harus sy bermula utk memulakan perniagaan sendiri ini. Terima kasih

    ReplyDelete

Hey, we've just launched a new tips for small business blog. You'll like it - hidupringkas.com
Join Our Newsletter