Wednesday, October 22, 2008

Financial Freedom



Hujung minggu baru-baru ini saya meluangkan masa mengikuti seorang rakan saya mendengar seminar yang dianjurkan oleh Network 21 di menara PJRM, Cheras.

Memang suasana di sepanjang seminar tersebut amat bertenaga. Majoriti peserta begitu bersemangat untuk menjadi jutawan MLM (Multi Level Marketing).

Tambahan lagi penceramah menunjukkan "slide show" gambar-gambar rumah mewah mereka, tempat-tempat yang mereka telah lawati dan berbagai-bagai lagi nikmat yang telah mereka kecapi hasil dari usaha mereka tanpa mengenal penat menjadi usahawan MLM.

Tiba sesi untuk menghargai mereka yang telah mencapai sasaran diperkenalkan kepada semua yang hadir. Mereka yang telah mencapai sasaran yang ditetapkan oleh syarikat diminta ke atas pentas dan menceritakan impian mereka.

Saya perhatikan semua yang kedepan menyatakan mereka mengimpikan untuk mencapai keadaan bebas kewangan atau perkataan popular yang sering disebut mereka "Financial Freedom"

Mereka bertungkus lumus berusaha hingga berjaya menjana pendapatan pasif, atau pendapatan yang berterusan tanpa perlu menghadirkan untuk bekerja. Pada waktu itu mereka akan bebasa dari masalah kewangan. Dapat melakukan apa yang mereka mahu, melancong, mempunyai rumah idaman, kereta igauan dan sebagainya.

Saya rumuskan bahawa bagi mereka, untuk mencapai Financial Freedom mereka perlu mempunyai banyak wang, dan juga pendapat pasif yang berkekalan, juga menjurus kepada erti banyak wang.

Saya meninggalkan seminar tersebut lebih awal untuk pergi bertemu seorang sahabat saya yang baru pulang dari Indonesia.

Kawan saya ini namanya Hasyim, agak lama juga saya mengenalinya. Saya berbual tentang perjalanannya ke Indonesia, banyak yang diceritakannya. Berbagai ragam manusia yang ditemuinya.

Saya membandingkan Hasyim dengan mereka yang saya melihat bersemangat di seminar yang baru saya hadiri tadi. Mereka memburu wang untuk melaksanakan segala impian mereka.

Hasyim pula seorang yang tidak punyai wang. Dia bukan orang senang, kekayaan tiada dalam senarai impiannya. Namun dalam keadaannya yang tak berduit itu, dia sering ke luar negara, merata pelosok dunia telah dijelajahinya.

Ada saja orang yang akan menyumbang perjalanannya. Makan minumnya tak pernah cicir. Ideanya tak pernah kering. Senyumannya tak hilang walaupun dia tak punyai wang.

Di situ saya terfikir bahawa itulah contoh sebenar orang yang mengecapi "Financial Freedom", iaitu orang yang lansung tak risau walaupun tiada wang. Orang yang hanya meletakkan sasaran apa yang mahu dilakukannya dan berusaha kearah itu dengan tidak meletakkan wang sebagai faktor penghalang.

Sebenarnya kita terlalu meletakkan wang sebagai penyelesaian masalah. Sedangkan itu karut sama sekali. Contohnya untuk makan bukan hanya dengan perlu ada wang untuk membelinya, kita dapat makan juga jika ada orang belanja, atau ada kenduri atau ambil upah kerja sambilan di restoran yang upahnya adalah makan.

Untuk berjalan atau melancong pula Hasyim kawan saya itu telah buktikan bahawa tak ada wang pun boleh jalan juga.

Jadi saya sematkan dalam hati saya bahawa saya tidak akan mendapat kebebasan kewangan selagi saya masih risau apabila saya tidak punyai wang.
Previous Post
Next Post

2 comments:

  1. susah mahu sampai macam tu.... manusia punya sifat mahu duit....

    ReplyDelete